Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Ayat Ke-4 hingga Ke-6

Tafsir Surah Ghafir – Ayat Ke-4 hingga Ke-6

1257
0
Iklan

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-4:

Kita telah diberitahu dengan sifat-sifat Allah SWT dalam ayat yang sebelum ini. Sepatutnya, selepas kita tahu sifat-sifat Allah SWT sebegitu, hendaklah kita taat kepada Dia sahaja, bukan? Tetapi kenapa di alam ini, dari dulu sampai sekarang, ramai yang tidak taat? Allah SWT jawab dalam ayat ini:

  مَا يُجَادِلُ فِي آيَاتِ اللَّهِ إِلَّا الَّذِينَ كَفَرُوا فَلَا يَغْرُرْكَ تَقَلُّبُهُمْ فِي الْبِلَادِ

“Tidak ada yang membantah mengenai ayat-ayat Allah SWT melainkan orang-orang yang kafir. Oleh itu janganlah engkau diperdayakan oleh kebebasan mereka bergerak dengan berulang alik dari sebuah bandar ke bandar yang lain”. مَا يُجَادِلُ فِي آيَاتِ اللَّهِ Tidak ada manusia yang membantah tentang ayat-ayat Allah SWT.

‘Ayat-ayat Allah SWT’ adalah dalil-dalil yang dikeluarkan oleh Allah SWT. Tidak kira mana-mana ayat pun. Kita kena tahu bahawa ‘ayat-ayat Allah SWT’ itu luas maknanya. Bukan hanya ayat-ayat Al-Quran sahaja. Alam yang luas ini juga termasuk dalam ‘ayat-ayat Allah SWT’. Mukjizat yang Allah SWT berikan kepada para Nabi juga adalah ‘ayat’. Namun, apa dimaksudkan dalam ayat ini adalah ayat-ayat wahyu. Bagaimanakah cara manusia bantah ayat-ayat Allah SWT itu? Ada berbagai-bagai cara. Ada yang mengejek, ada yang menggunakan akal. Sebagai contoh, ada yang buat kajian tentang kesilapan-kesilapan (kononnya) yang ada dalam ayat-ayat Al-Quran. Mereka kata contoh-contoh saintifik yang diberikan oleh Al-Quran itu salah; atau mereka kata nahu yang digunakan dalam Al-Quran itu tidak menggunakan nahu bahasa Arab yang sah dan sebagainya.

Termasuk dalam hal ini adalah orang-orang Islam juga. Mereka mengaku sahaja beragama Islam tetapi mereka tidak menjadikan Al-Quran itu sebagai pedoman hidup. Maka, apabila dibacakan ayat-ayat Al-Quran dan diberikan tafsirannya, mereka menolaknya kerana ia tidak sama dengan apa yang diajar oleh guru-guru mereka. Itu pun dikira ‘bantah’ juga.

إِلَّا الَّذِينَ كَفَرُوا

melainkan orang kafir sahaja.

Allah SWT beritahu hanya orang-orang kafir sahaja yang membantah dan berdebat tentang ayat -ayat-Nya. Ini adalah kerana mereka ingkar dengan wahyu yang Allah SWT sampaikan. Orang beriman tidak akan buat perkara ini.

Kita juga mungkin sudah pernah dengar orang melawan ayat Al-Quran kalau didakwahkan kepadanya, termasuklah orang Islam. Mereka tidaklah tolak terus ayat Al-Quran itu, tetapi mereka akan berdalih. Mereka akan kata: “Betul dah ayat yang kau baca itu, tetapi….” Itu maknanya mereka menolak ayat Allah SWT.

Kalimah “tetapi….” itu adalah cara menolak yang digunakan oleh masyarakat kita dengan paling lembut sekali. Apabila mereka cakap begitu, sebenarnya mereka menolak ayat Al-Quran. Cuma mereka tidak terus berkata yang mereka menolak ayat-ayat Al-Quran kerana mereka tidak berani hendak cakap begitu, bukan? Oleh itu, mereka berdolak-dalik dalam kata-kata mereka.

Bagaimana orang Islam boleh jadi ‘kafir’ pula sedangkan mereka itu muslim? Kekeliruan itu timbul kalau kita terjemah perkataan ‘kufur’ itu yang hanya merujuk kepada ‘orang bukan Islam’. Ianya akan lebih jelas kalau kita terjemah perkataan ‘kufur’ dengan maksud ‘ingkar’.

Oleh itu, orang Islam pun boleh jadi ingkar dengan ayat-ayat Al-Quran juga. Kita pun tahu bagaimana ada manusia yang nampak sahaja pada zahirnya Islam, tetapi pada hakikatnya mereka bukan muslim. Mereka pakai nama muslim sebab mereka lahir dalam keluarga muslim sahaja. Tetapi mereka tidak mengamalkan pun ajaran Islam yang sebenar. Allah SWT sahaja yang tahu sama ada mereka kufur atau tidak, tetapi tanda-tandanya kita boleh lihat.

Sehubungan dengan perkara itu, mari kita lihat pembahagian jenis manusia:

1.Muslim di mata manusia, dan di kira muslim oleh Allah SWT. Ini yang kita hendak.

2. Kufur di mata manusia, dan di kira kufur oleh Allah SWT. Ini biasa sahaja.

3. Muslim di mata manusia, tetapi di kira kufur oleh Allah SWT. Ini yang kita paling takut. Takut sangat kalau kita sangka kita ini muslim, tetapi Allah SWT pandang kita sebagai kafir. Nauzubillah min dzaalik.

4. Kufur di mata manusia tetapi di nilai muslim oleh Allah SWT. Ini pun selamat juga kerana bukan nilaian manusia yang penting, tetapi nilaian Allah SWT. Mungkin dia sembunyikan keislamannya dari manusia; atau mungkin dia baru masuk Islam tetapi terus mati sebelum sempat berbuat amal pun. Itu dikira mati di dalam suci.

Maka yang menolak ayat-ayat wahyu dikira sebagai orang kafir. Orang Islam dan yang beriman akan terus percaya dan terima ayat-ayat Al-Quran. Walaupun mungkin mereka tidak faham lagi ajaran dari ayat-ayat itu. Seperti mana kita baru belajar tafsir, tidak faham pun keseluruhan Al-Quran itu lagi, namun kita terus terima ia sebagai kebenaran. Cuma masih kena belajar untuk memahami apakah yang dimaksudkan oleh ayat itu dan apakah yang perlu kita lakukan untuk beramal dengan ayat itu. Ini kerana sebagai seorang Muslim, kita kena terima sepenuhnya ayat Al-Quran itu seperti yang Allah SWT telah sebut dalam [Al-Ahzab: 36]

وَما كانَ لِمُؤمِنٍ وَلا مُؤمِنَةٍ إِذا قَضَى اللَّهُ وَرَسولُهُ أَمرًا أَن يَكونَ لَهُمُ الخِيَرَةُ مِن أَمرِهِم ۗ وَمَن يَعصِ اللَّهَ وَرَسولَهُ فَقَد ضَلَّ ضَلالًا مُبينًا

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah SWT dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah SWT dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata”.

Orang Islam tidak ada pilihan lain lagi selain dari terima apa sahaja arahan dari Allah SWT dan Rasulullah SAW. Semoga kita terselamat dari masuk di kalangan golongan kafir ini. Ameen.

MUZAKARAH

Soalan: Adakah dengan mempersendakan hukum Allah SWT, agama Allah SWT malah membuat jenaka tentang agama boleh jatuh kafir?

Jawapan: Boleh jatuh kafir termasuklah menghina Nabi.

فَلَا يَغْرُرْكَ

Maka jangan kamu berasa hairan/terpesona/tertipu Seperti yang telah disebut sebelum ini, ramai dari kalangan hamba yang tidak taat kepada Allah SWT. Kenapa? Kerana mereka terpedaya dengan kehidupan dunia sekarang. Dunia ini memang menggoda dan ramai yang tidak sanggup menerima kebenaran kerana untuk terima kebenaran, mereka kena tinggalkan kekayaan dan kekuasaan. Maka, Allah SWT beri peringatan kepada orang mukmin supaya jangan terpedaya dengan dunia. Dan jangan terikut-ikut dengan mereka yang terpedaya dengan dunia. Jangan kita tertipu dengan mereka, dengan kata-kata mereka, dengan kesenangan yang mereka ada. Jangan kita tengok orang kaya, kita hendak jadi macam dia dan kita ikut fahaman dan cara hidup dia, jangan sekali-kali.

Selalunya yang menentang ayat-ayat Al-Quran itu akan memberikan hujah-hujah yang boleh menyebabkan orang yang jahil jadi keliru disebabkan mereka selalunya orang-orang terpelajar, saintis dan sebagainya, yang selalunya pandai berkata-kata dan menggunakan fakta-fakta sains untuk menyokong dakwaan mereka. Tetapi Allah SWT mengingatkan kita dalam ayat ini supaya kita jangan tertipu.

Sedangkan mereka sebenarnya tidak mempunyai pengetahuan, seperti firman Allah SWT dalam [Al-Hajj: 3]: وَمِنَ النّاسِ مَن يُجادِلُ فِي اللَّهِ

بِغَيرِ عِلمٍ وَيَتَّبِعُ كُلَّ شَيطانٍ مَريدٍ

“Dan ada di antara manusia yang membantah perkara-perkara yang berhubung dengan Allah SWT dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan ia menurut tiap-tiap syaitan yang telah sebati dengan kejahatan”.

Sebagai contoh, mereka hanya memperkatakan perkara luaran sahaja tanpa melihat apakah yang ada di sebalik ayat-ayat Al-Quran dan tanda-tanda pada alam. Mereka baca sedikit sahaja ayat Al-Quran dan mereka tafsir sendiri – ini bahaya. Atau ada yang mengejek ayat Al-Quran dengan mengambil satu ayat dan membandingkan dengan ayat lain dan mengatakan ayat-ayat itu tidak sama dan berlawanan. Padahal jika belajar, baru tahu bahawa tiada percanggahan langsung dalam ayat-ayat Al-Quran itu. Mereka berkata begitu kerana mereka jahil dengan Al-Quran. Mereka hanya melihat dengan akal yang cetek sahaja. Sebagai contoh mereka kata: “Hukum Hudud itu hanya sesuai pada zaman dahulu sahaja, tidak sesuai pada zaman moden sekarang, takkan nak potong tangan orang pula?”.

تَقَلُّبُهُمْ فِي الْبِلَادِ

“dengan kamu melihat bebasnya mereka berulang-alik atas muka bumi”.

Jangan terpesona dengan kesenangan yang mereka ada. Kadang-kadang kita mungkin terpesona dan terpedaya dengan kelebihan yang ada pada mereka. Mereka bebas sahaja bergerak atas bumi Allah SWT ini.

Contohnya, kita boleh lihat bagaimana orang-orang yang kafir itu bebas bergerak ke sana dan ke sini. Kenderaan mereka pun lebih mewah dari kita. Lebih banyak melancong dari kita. Macam tiada masalah apa-apa pun dengan kehidupan mereka, padahal mereka lawan Islam!

Walaupun mereka ingkar kepada Allah SWT, tetapi Allah SWT bebaskan mereka di dunia. Biasanya orang yang ingkar ini, Allah SWT beri rezeki yang banyak. Semakin mereka ingkar, semakin mereka diberi rezeki pula. Ini dinamakan ‘istidraj’. Allah SWT beri mereka kemewahan dan kesenangan dalam dunia sebab Allah SWT hendak azab mereka kemudian di dalam neraka.

Sepertimana Musyrikin Mekah yang kaya dan berkuasa itu menentang ayat-ayat Al-Quran dan Nabi Muhammad SAW, mereka pula diikuti oleh mereka yang terpesona dan terpedaya dengan kekayaan dan kekuasaan yang mereka ada. Mereka boleh mengembara merata-rata tempat di dunia kerana mereka kaya.

Maka, ramai dari pengikut mereka ikut pemuka-pemuka yang menentang itu kerana yang menentang itu kaya dan berkuasa sahaja. Padahal, mereka telah tahu bahawa ajaran dari Nabi Muhammad SAW itu benar belaka. Sekali lagi, jangan kita terpedaya dan tertipu dengan kemewahan yang ada pada mereka yang menentang. Itu hanyalah kesenangan sementara sahaja. Itu bukanlah neraca kejayaan atau benarnya mereka. Seperti yang Allah SWT telah firmankan dalam [Ali Imran: 196-197] لا يَغُرَّنَّكَ تَقَلُّبُ

الَّذينَ كَفَروا فِي البِلادِ

“Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka)”.

مَتاعٌ قَليلٌ ثُمَّ مَأواهُم جَهَنَّمُ ۚ وَبِئسَ المِهادُ

“(Semuanya) itu hanyalah kesenangan sementara yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka Jahanam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan”.

Ayat ini juga memberitahu supaya jangan hairan dengan perbuatan orang kafir itu. Nabi ada mendengar bagaimana Musyrikin Mekah berulang alik sesama mereka, menjalankan mesyuarat bagaimana hendak menjatuhkan baginda dan dakwah baginda. Baginda juga ada mendengar bagaimana Musyrikin Mekah ada berjumpa dengan puak Yahudi di Yathrib (nama lama untuk Madinah) untuk mendapatkan nasihat dari mereka bagaimana hendak mengalahkan hujah baginda. Allah SWT hendak beritahu Nabi dalam ayat ini, supaya jangan hairan dan takut dengan perancangan mereka. Ayat ini juga mengajar kita supaya jangan hairan dan terkesan dengan kisah-kisah bagaimana musuh-musuh Islam hendak menjatuhkan Islam.

Banyak kisah-kisah kita dengar dari ‘conspiracy theory’ bagaimana mereka merancang dengan bermacam-macam cara. Allah SWT suruh Nabi jangan risau, begitu juga kita. Cuma buat kerja kita, jalankan ibadat kita, teruskan dakwah tentang wahyu ini kepada manusia. Allah SWT akan menjaga kita dari rancangan mereka.

MUZAKARAH

1.Soalan: Adakah dibolehkan untuk menegur orang-orang yang seperti itu dengan mengatakan mereka jahil?

Jawapan: Sebaiknya kita tegur dengan baik. Jika kita panggil mereka sebagai ‘jahil’, ‘kafir’, ‘munafik’, tentu mereka pun tidak mahu dengar kata-kata kita selepas itu.

2. Soalan: Rujuk kepada item ke 3 di atas “Muslim di mata manusia, tetapi di kira kufur oleh Allah SWT” adakah sudah dikira kufur besar?

Jawapan: Ya benar. Kufur jenis ini memang masuk neraka. Namun, Allah sahaja yang tahu. Jangan pula kita label orang itu sebagai kafir.

3. Soalan: Bagaimana kita sebagai muslim boleh tahu atau dapat mengesan kita tergolong atau berbuat kufur besar?

Jawapan: Belajar tafsir Al-Quran dan bandingkan dengan diri sendiri sama ada kita ada buat atau tidak.

4. Soalan: Bagaimana pula seseorang yang mempunyai pengetahuan dan kedudukan tetapi gagal mengetengahkan hukum-hukum Allah ini?

Jawapan: Jatuh fasik, belum dikira kafir lagi. Ini ada disebut dalam surah Al-Maidah yang akan dibincangkan nanti.

5. Soalan: Adakah kita akan dipersoalkan jika kita tidak berdakwah dan tegakkan hujah Islam kepada seorang pun non-muslim?

Jawapan: Kena ada niat dalam hati untuk berdakwah kepada mereka. Jika tidak ada niat langsung bagaimana agaknya. Tetapi jika kita telah cuba berdakwah dan beri nasihat maka terlepaslah tanggungjawab.

وَإِذْ قَالَتْ أُمَّةٌ مِّنْهُمْ لِمَ تَعِظُونَ قَوْمًا ۙ ٱللَّهُ مُهْلِكُهُمْ أَوْ مُعَذِّبُهُمْ عَذَابًا شَدِيدًا ۖ قَالُوا۟ مَعْذِرَةً إِلَىٰ رَبِّكُمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ ﴿١٦٤﴾

“Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?” Mereka menjawab: “Agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggung jawab) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertaqwa.” [Al-A’raf: 164]

6. Soalan: Bagaimana pula dengan jiran yang kafir tetapi adik-beradik mereka telah Islam. Adakah kita masih akan disoal?

Jawapan: Dakwah bukanlah kepada non-muslim sahaja tetapi kepada orang Islam juga. Jika kita tengok mereka tidak amalkan Islam dengan benar, tidak dakwah kepada ahli keluarga mereka, maka kita kenalah dakwah.

7. Soalan: Bagaimana pula dengan kedudukan orang Islam di negara kita yang menentang pelaksanaan hukum Allah? Contohnya hukum hudud dan hukum-hukum Allah yang lain yang telah dijelaskan dalam Al-Quran?

Jawapan: Rujuk [Al-Maidah: 44] mengatakan mereka yang tidak berhukum dengan hukum Allah adalah kafir. Namun, kena ada perincian dalam hal ini. Yang kafir adalah mereka yang tolak hukum Allah termasuk hudud iaitu mereka kata pakai hukum Allah tidak wajib, kolot, ketinggalan zaman, zalim dan sebagainya. Sedangkan ada yang tidak menolak tetapi tidak mampu hendak buat. Atau dia nampak tidak sesuai untuk dijalankan lagi dan bermacam sebab. Mungkin juga keputusan bukan di tangannya. Ini tidaklah kafir. Maka jangan kita cepat hendak mengkafirkan orang lain.

Tafsir Ayat Ke-5:

Allah memberi contoh kedegilan umat-umat yang terdahulu. Hendak beritahu kepada Nabi dan pembawa ajaran tauhid, bukan Musyrikin Mekah sahaja yang menolak dakwa tauhid, tetapi umat-umat sebelum itu lagi. Allah memberi contoh pada zaman Nabi Nuh a.s. di mana kaumnya dahulu pun menentang ayat-ayat Allah SWT.

كَذَّبَت قَبلَهُم قَومُ نوحٍ وَالأَحزابُ مِن بَعدِهِم ۖ وَهَمَّت كُلُّ أُمَّةٍ بِرَسولِهِم لِيَأخُذوهُ ۖ وَجادَلوا بِالباطِلِ لِيُدحِضوا بِهِ الحَقَّ فَأَخَذتُهُم ۖ فَكَيفَ كانَ عِقابِ

“Sebelum mereka, kaum Nabi Nuh dan puak-puak yang bergabung – sesudah kaum Nabi Nuh itu – telah mendustakan (Rasul-rasulnya), dan tiap-tiap umat di antaranya telah merancangkan rancangan jahat terhadap Rasul mereka untuk menawannya (dan membinasakannya); dan mereka pula telah membantah dengan perkara yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan perkara yang salah itu; sebab itu Aku binasakan mereka. Maka (lihatlah) bagaimana kesan azab-Ku!”

كَذَّبَتْ قَبْلَهُمْ

“Telah berdusta orang-orang sebelum mereka”.

Maknanya bukan Musyrikin Mekah sahaja yang mula berdusta dan menentang ayat Allah. Dahulu lagi telah ramai yang mendustakan ayat-ayat Allah SWT.

Begitu juga, kalau ada yang menentang ayat-ayat Allah SWT zaman sekarang, tidak menghairankan kerana dari dahulu lagi telah ada orang yang menentang. Perkara yang sama sahaja yang berulang.

قَوْمُ نُوحٍ وَالْأَحْزَابُ مِن بَعْدِهِمْ

“dari kalangan Kaum Nabi Nuh dan puak-puak selepas kaum Nabi Nuh”.

Allah beri contoh apa yang terjadi kepada kaum Nabi Nuh. Itulah mulanya penentangan manusia kepada tauhid dalam sejarah Islam (selepas Nabi Adam dan sebelum zaman Nabi Nuh, masih diterima lagi). Dan selepas mereka dimatikan semuanya dalam banjir besar, hanya tinggal mereka yang beriman sahaja, tetapi lama kelamaan lahir golongan yang menentang tauhid dan mengamalkan syirik (sembah berhala dan sebagainya).

Dan bukan sahaja kaum Nabi Nuh, tetapi kaum-kaum selepas baginda, seperti kaum Aad, Tsamud, Luth dan Madyan dan sebagainya. Allah SWT hendak memberitahu kepada Nabi Muhammad SAW dan pendakwah-pendakwah sekarang bahawa bukanlah sekarang baru manusia menentang ayat-ayat Allah SWT tetapi dari dahulu lagi.

وَهَمَّتْ كُلُّ أُمَّةٍ بِرَسُولِهِمْ

“Kuat azam setiap umat kepada rasul-rasul mereka”

Mereka yang menentang itu mempunyai keazaman yang kuat untuk melakukan sesuatu yang tidak baik kepada rasul-rasul mereka. Maksudnya, mereka bersungguh-sungguh dalam usaha mereka. Usaha untuk buat apa?

لِيَأْخُذُوهُ

“untuk tangkap rasul”

Kaum-kaum yang menentang ayat-ayat Allah SWT telah merancang untuk menangkap rasul-rasul itu supaya Rasul-rasul itu tidak dapat meneruskan dakwah mereka. Kerana dakwah para Rasul itu menyusahkan mereka hendak cari makan. Ada juga yang telah berjaya membunuh rasul-rasul mereka. Mengikut satu riwayat, sebanyak lebih kurang 70 ribu nabi-nabi telah dibunuh. Kalau pendakwah, lagi ramai telah dibunuh.

Kenapa mereka hendak bunuh? Kerana pada mereka, kalau berhujah susah sangat, maka elok bunuh sahaja, habis cerita.

Musyrikin Mekah juga sebenarnya hendak menangkap dan membunuh Nabi Muhammad SAW. Mereka telah membuat perancangan dengan semua puak di sekitar Mekah. Mereka lakukan begitu supaya Bani Hashim (puak Nabi Muhammad SAW) tidak dapat mengambil tindakan balas kerana ramai sangat puak yang bersekongkol untuk membunuh Nabi. Mereka tidak berani hendak buat sendirian kerana takut kalau satu puak sahaja yang bunuh Nabi, maka puak Bani Hashim akan serang balas. Namun, rancangan mereka telah digagalkan oleh Allah SWT.

Zaman sekarang, pembunuhan ulama-ulama yang menegur kesalahan yang dilakukan manusia masih lagi berlaku dan akan terus berlaku. Yang kena tangkap di negara ini pun berlaku juga. Ada ustaz sunnah kita yang meringkuk dalam penjara, hanya kerana tidak ada tauliah.

وَجَادَلُوا بِالْبَاطِلِ

“Dan mereka berhujah dengan menggunakan hujah yang batil”.

Musyrikin Mekah menggunakan propaganda yang berbagai-bagai untuk menjatuhkan dakwah Nabi Muhammad SAW. Mereka kata Nabi penipu, ahli sihir, penyair, belajar dari orang lain dan bermacam lagi.

Begitulah dalam masyarakat kita banyak sekali hujah-hujah batil. Iaitu hujah yang dikeluarkan tanpa dalil yang sah, yang palsu, yang guna hawa nafsu semata. Ataupun hujah menggunakan akal semata-mata. Itu adalah hujah-hujah palsu sahaja. Perkataan seperti: “Takkanlah begitu…”. “Saya rasa…”. Dan macam-macam hujah lagi dikeluarkan mereka. Mereka menggunakan logik akal untuk reka perkara baru dalam agama.

Ini juga mengajar kita bagaimana berhujah dengan orang-orang yang menentang Islam. Mereka akan menggunakan hujah-hujah batil. Mereka akan mereka-reka fakta. Maka kita kena periksa apa yang mereka kata. Mereka sanggup untuk mengeluarkan fakta yang tidak benar, hanya untuk memenangi hujah itu.

Begitu juga dengan orang-orang ahli bidaah. Apabila kita berhujah dengan mereka, ada yang menggunakan fakta yang tidak benar. Mereka kata ada dalam kitab sekian-sekian ulama itu kata bidaah itu elok dan sebagainya. Sebagai contoh, pernah terjadi kepada saya sendiri, ada orang berhujah yang Imam Ibnu Taimiyyah mengatakan dalam kitabnya yang menyambut Maulid Nabi adalah baik. Tetapi apabila diperiksa sendiri kitab itu, tidaklah kata-kata beliau begitu tetapi adalah sebaliknya.

لِيُدْحِضُوا بِهِ الْحَقَّ

“kerana dengan hujah batil itu, mereka hendak memesongkan kebenaran

Mereka yang menentang kebenaran itu sebenarnya hendak memesongkan kebenaran dengan menggunakan hujah batil. Hujah batil adalah hujah yang tidak ada asas dari nas yang sahih.

Beginilah yang banyak terjadi dalam zaman sekarang. Ramai yang mengamalkan bidaah dalam amalan mereka. Mereka memberi hujah mengatakan apa yang mereka lakukan itu adalah ‘bidaah hasanah.’ Iaitu mereka kata ianya adalah bidaah yang baik. Ini adalah kerana kurang faham dengan maksud ‘bidaah’ itu sendiri.

Mereka tidak tahu bahawa sebenarnya, semua bidaah adalah sesat. Berbagai-bagai hujah yang mereka ketengahkan dan hujah-hujah itu tidak datang dari nas, dan kalau datang dari nas, mereka pesongkan maksudnya dari maksud asal. Mereka akan tafsir nas-nas itu ikut fahaman mereka sendiri sedangkan itu bukanlah fahaman salafussoleh. Sedangkan kita kena pakai faham nas-nas itu dengan fahaman salafussoleh kerana mereka yang lebih kenal agama dari kita.

فَأَخَذْتُهُمْ

“maka Allah azab mereka”.

Mereka diazab kerana melawan Rasul dengan hujah akal. Allah tidak akan biarkan mereka begitu sahaja. Kalau menentang ayat-ayat Allah, Allah akan mengazab mereka dengan azab yang dahsyat.

فَكَيْفَ كَانَ عِقَابِ

“Alangkah dahsyatnya azab”

Alangkah berat azab Allah itu. Tidak terperi beratnya. Tidak ada yang sanggup nak menahannya.

Tafsir Ayat Ke-6:

وَكَذٰلِكَ حَقَّت كَلِمَتُ رَبِّكَ عَلَى الَّذينَ كَفَروا أَنَّهُم أَصحابُ النّارِ

“Dan demikianlah juga tetapnya hukuman Tuhanmu terhadap orang-orang yang kafir, kerana sesungguhnya mereka ialah ahli neraka”.

وَكَذَٰلِكَ حَقَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ عَلَى الَّذِينَ كَفَرُوا

“Dan kerana itu, sudah tetap keputusan Tuhan kamu kepada orang-orang yang ingkar, kafir itu”

Perkataan كَذَٰلِكَ dalam ayat ini, bermaksud ‘kerana itu’. Kerana degil dan membantah seperti yang disebut dalam ayat-ayat sebelum inilah yang menyebabkan mereka kena masuk neraka.

Maka telah tetaplah keputusan Allah SWT ke atas mereka yang tidak menerima ayat-ayat Allah SWT itu. Maksudnya, tidak akan berubah ketetapan Allah SWT itu. Kerana Allah SWT telah buat keputusan akan memasukkan ramai umat ke dalam neraka.

Ada dalam hadis, disebut bagaimana 999 dari 1,000 orang manusia akan dimasukkan ke dalam neraka.

Lihat sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam:

“Allah berfirman: “Wahai Adam!” maka ia menjawab: “Labbaik wa sa’daik” kemudian Allah berfirman: “Keluarkanlah dari keturunanmu delegasi neraka!” maka Adam bertanya: “Ya Rabb, apakah itu delegasi neraka?” Allah berfirman: “Dari setiap 1000 orang 999 di neraka dan hanya 1 orang yang masuk syurga.” ……” (HR. Bukhari dan Muslim)

أَنَّهُمْ أَصْحَابُ النَّارِ

“Sesungguhnya mereka itu adalah penghuni neraka”.

Mungkin ada orang Islam yang akan masuk neraka, iaitu mereka yang mempunyai banyak dosa. Tetapi mereka bukan ‘ashab neraka’ ataupun ‘pemegang geran kekal’ neraka. Mereka dikenali sebagai golongan Jahannamiyyun – orang yang pernah tinggal dalam neraka. Dosa mereka sahaja banyak yang menyebabkan mereka akan masuk neraka untuk dicuci dosa mereka.

Bertaubatlah kalau kita pernah melakukan perkara itu dulu. Jangan degil dengan kebenaran yang Allah telah tunjukkan. Tolonglah beritahu kepada mereka yang melakukannya. Kalau kita boleh basmi satu perkara salah sahaja, kita akan mendapat pahala yang amat banyak.

Macam-macam perkara syirik yang masyarakat kita lakukan. Contohnya, ada satu majlis selepas mengandung, iaitu majlis ‘lenggang perut’. Gunanya adalah untuk tahu anak yang akan dilahirkan adalah anak lelaki atau anak perempuan. Ini adalah syirik, kerana Allah sahaja yang tahu apakah anak yang akan lahir. Kalau pakai scan di hospital pun, mereka boleh agak-agak sahaja, tetapi tidak semestinya tepat. Ini salah satu sahaja. Masih banyak lagi perkara syirik dan khurafat yang diamalkan oleh manusia. Semoga Allah bukakan mata kita untuk dapat mengenalnya.

Apabila sudah lama belajar tafsir, perkara ini akan jadi jelas. Jika baru belajar pun, akan timbul satu perasaan dalam hari kita apabila perkara karut marut itu: “Eh biar benar amalan ni…macam pelik jer..” Mungkin tidak tahu lagi mana yang salah, tetapi sudah mula ada rasa yang tidak sedap dengan amalan karut itu. Insya Allah.

Fokuskan perhatian kita kepada mereka yang mengajarkan sunah sahaja kerana ia akan menjimatkan masa. Seperkara lagi kita pun tidak mahir untuk menapis yang mana perkara benar dan salah.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan