Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Istilah Tafsir Al-Quran – Khotmul Qalbi dan Robtul Qalbi

Istilah Tafsir Al-Quran – Khotmul Qalbi dan Robtul Qalbi

1719
0
Iklan

Istilah Tafsir Al-Quran

Istilah Ke-15 – Khotmul Qalbi – ختم القلب

‘Kunci mati mata hati’. Istilah ini berkenaan ayat-ayat yang menceritakan bagaimana Allah SWT akan ‘kunci mati mata hati’. Khatm: penutupan (macam khatam Al-Quran) dan Qalbi: hati.

Ia adalah ayat-ayat yang didatangkan sebagai keputusan terakhir kepada penentang Dakwa. Setelah diberi peluang berkali-kali bagi mereka untuk menerima dakwah.

Setelah diberikan kepadanya akal, pancaindera dan telah dibawakan pembawa Dakwa, dari kalangan Nabi dan pengikutnya, mereka masih juga menolak. Semua dalil dan bukti serta contoh tauladan dan nasihat berguna telah diberikan. Semua itu dibawa supaya mereka menerima dakwa namun mereka masih berdegil.

Maka Allah SWT, pada satu waktu akan menarik balik peluang untuk mereka mengikut hikmah-Nya dan takdir-Nya. Setelah peluang itu tidak ada lagi, akan dikunci mati hati mereka.

Waktu itu tidak ada jalan yang boleh menyampaikan mereka kepada haq. Penarikan peluang itulah yang dinamakan Khotmul Qalbi.

Ini adalah kufur tahap keempat. Maknanya, sebelum terjadi perkara ini, ada tiga peringkat kufur sebelum itu. Maka kena beringat-ingat takut kita pun terkena juga. Peringkat-peringkat itu adalah:

1.Syak atau was-was terhadap ugama. Tolak tidak, terima pun tidak. Ini pun sudah dikira sesat kerana kita sepatutnya kena terima kebenaran. Ini pun sudah ada masalah sebenarnya. Mereka ada syak terhadap Al-Quran dan agama. Oleh kerana syak, maka mereka tunggu dan lihat apa yang terjadi, tanpa buat apa-apa. Itulah mereka yang kalau kita ajak mereka belajar, mereka tidak mahu hendak ikut. Mereka hendak tunggu dan lihat.

2. Kalau tidak diubat penyakit pada tahap pertama di atas, ia boleh melarat ke peringkat kedua pula. Ini apabila sudah berada di atas kesesatan (dolalah), iaitu apabila dia terima fahaman yang salah. Setelah ajaran yang betul dibacakan, mereka masih tidak terima dan pakai pula fahaman yang salah. Ini terjadi kalau masalah dalam peringkat 1 tidak diselesaikan dan diperbaiki.

3. Sentiasa mujadalah (membantah dan melawan). Melawan kebenaran setelah dibacakan kebenaran kepadanya. Peringkat 1 dan 2, mereka duduk diam sahaja, tidak membantah. Tetapi dalam peringat 3 ini, mereka mula bantah. Mula hendak lawan. Mula hendak kata tidak baik terhadap ajaran sunnah.

4. Akhirnya kalau tidak berhenti juga, tidak ambil peluang untuk kembali kepada kebenaran, Allah SWT akan kunci mati mata hati dia. Sampai bila-bila dia tidak akan terima Islam.

Orang yang Allah SWT telah tutup hatinya dari menerima hidayah, tidak akan terima hidayah sampai bila-bila. Walaupun segala hujah diberikan kepadanya, walaupun semua orang telah berdakwah kepadanya, walau datang pendakwah yang paling baik pun, tidak akan mengubah dirinya kerana Allah SWT telah buat keputusan yang orang itu adalah ahli neraka. Allah SWT telah tarik peluang untuk beriman dari dirinya.

Namun, kita kena berhati-hati dengan pengetahuan ini. Kita kena sedar yang mengunci mati hati manusia bukan kerja kita. Kita pun tidak boleh kata seseorang itu telah dikunci mati hatinya. Kita jangan ambil kerja Tuhan pula dengan mengatakan seseorang itu tidak ada harapan lagi untuk terima iman. Kita kena seru dakwah dan ajak kepada agama Islam ini kepada semua orang.

Kita baca ayat ini untuk kita sendiri beringat, bukannya hendak hukum orang lain. Dan supaya kita dapat ingatkan kepada orang lain kerana ramai yang tidak tahu langsung perkara ini.

Soalan: Adakah konteks tutup mata hati dan disesatkan oleh Allah SWT ini cuma untuk orang-orang kafir atau termasuk juga orang-orang muslim?

Jawapan: Tidak kira sama ada dia bukan Islam atau namanya muslim jika dia menentang Islam, termasuklah juga. Cuma jika orang itu malas beribadat, tidak semestinya Khotmul qalbi kerana dia tidak menentang Islam kerana itu ada yang akhirnya berubah.

Tiga perkara berkenaan Khotmul Qalbi ini disebut dalam Al-Quran.

1.Apakah makna Khatmul Qalbi itu. Setelah kita mengetahui apakah Khatmul Qalbi itu, maka kita kena doa kepada Allah SWT supaya kita dijauhkan darinya kerana kalau kita mati dalam keadaan itu, ia adalah su’ul khatimah dan perkara yang amat malang sekali. Maka kita kena minta berlindung darinya.

2. Cara ia berlaku dan kenapa berlaku?3

3. Siapa yang melakukan Khatmul Qalbi itu. Tentulah yang menentukannya hanyalah Allah SWT. Hanya Allah SWT yang menentukan siapa yang akan dikunci mati hati mereka. Ia dilakukan mengikut ‘hikmah ilahiah’. Allah SWT sahaja yang tahu kenapa hati mereka dikunci mati.

Lihat [A’raf: 179]

لَهُمْ قُلُوبٌ لَّا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَّا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَّا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

“Mereka mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah SWT), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah SWT) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai”.

Ayat ini menceritakan apakah Khatmul Qalbi. Iaitu mereka yang ada mata, telinga dan hati tetapi kebenaran tidak akan masuk. Sesiapa datang dakwah kepada mereka pun mereka tidak akan terima.

Bagaimana pula cara ia berlaku? Allah SWT sebut dalam [Mutaffifin: 14]

كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَىٰ قُلُوبِهِم مَّا كَانُوا يَكْسِبُونَ

“Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan”.

Allah SWT telah menutup hati mereka sampaikan mereka tidak boleh hendak lihat kebenaran kerana mereka telah menentang agama Allah SWT. Mereka bukan sahaja tidak beriman, malah mereka menentang. Mereka cari kesalahan-kesalahan dalam agama, mereka halang orang lain dari beriman, mereka tulis blog menentang ajaran agama dan sebagainya. Setiap kali mereka melakukan penentangan itu, semakin tinggi kebarangkalian mereka akan ditutup hati.

Siapakah yang melakukan Khatmul Qalbi itu? Allah SWTlah yang melakukannya, bukan kita. Seperti Allah SWT sebut dalam [Baqarah: 7]

خَتَمَ اللَهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَعَلَىٰ سَمْعِهِمْ وَعَلَىٰ أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

“(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah SWT mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar”.

Lihat ayat ini – Allah SWT memberitahu yang Dia yang memateri hati mereka itu. Jadi jangan kita memandai hendak mengatakan: “ahhh, orang itu dah kena Khatmul qalbi ”. Jangan sekali-kali.

Istilah Tafsir Ke-16 – Robtul Qalbi – ربط القلب

‘Peneguhan Hati’. Ia adalah lawan kepada Khotmul Qalbi di mana ia adalah peneguhan hati atau keyakinan yang sejati. Maksudnya, seseorang itu diberikan iman yang sempurna yang membawa kepada kejayaan. Ia akan diberikan kepada hamba yang berusaha untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT dan beramal dengan amalan yang benar.

Iman yang tidak sempurna akan sentiasa melanggar hukum Allah SWT. Iman mereka memang ada, tetapi tidak sempurna. Ini boleh menyebabkan seseorang itu diazab beberapa lama di neraka sedangkan mereka yang beriman sempurna tidak akan masuk neraka langsung.

Ayat-ayat Robtul Qalbi adalah ayat-ayat yang menceritakan tentang hati Pembawa Dakwa. Iaitu mereka yang belajar dan menerima ajaran Al-Quran. Mereka istiqamah dalam pendirian mereka. Mereka akan menegakkan hukum dalam segala ujian kehidupan mereka. Mereka tetap teguh atas iman walaupun mereka diuji dengan berbagai-bagai ujian. Hati mereka telah sampai ke satu peringkat yang amat sukar kembali kepada kesesatan. Oleh kerana itu mereka tidak akan sesat kerana mereka telah memiliki Robtul Qalbi. Jika orang yang belum capai tahap ini, ada lagi kemungkinan boleh jatuh ke lembah kesesatan.

Ini pun ada tahap juga iaitu tahap iman yang keempat. Maksudnya, ada tahap-tahap lain sebelumnya. Inilah tahap yang kita mahu. Semua tahap-tahap itu disebut dalam Al-Quran. Peringkat-peringkat itu adalah:

1.Sifat inabah. Iaitu mereka yang ada keinginan kepada kebenaran, mereka mencari-cari kebenaran, ingin belajar dan sebagainya. Walaupun mungkin mereka tidak buat lagi, tetapi ia adalah permulaan kepada hidayah. Mereka sanggup dengar dahulu apa yang hendak diberitahu dalam agama. Hati mereka terbuka kerana mereka mahu kepada kebenaran. Mereka hendak mencari kebenaran, tidak kisah dari mana datangnya.

2. Selepas mereka menerima hidayah, mereka mula duduk di atas jalan hidayah. Sudah menerima kebenaran. Mereka sudah masuk Islam dan sudah mula tahu tentang hukum-hukum agama yang mereka perlu belajar dari taat. Mereka sudah mula ikut sedikit demi sedikit.

3. Istiqomah dan tetap atas jalan agama. Setelah diduga dengan berbagai ujian ditentang oleh pihak yang menghalang, namun mereka masih tetap di atas jalan hidayah. Oleh itu Allah SWT akan angkat lagi kedudukan manusia itu kerana mereka dapat melepasi ujian yang Allah SWT berikan. Mereka sabar dengan ujian dan tidak meninggalkan agama. Kenalah kita ingat yang ujian itu adalah untuk meningkatkan darjat kita dan menambah pahala kita sebenarnya.

4. Jika ia dia dapat melepasi tiga peringkat itu, maka dia akan diteguhkan hatinya di atas aqidah tauhid. Setelah melalui berbagai-bagai dugaan dan tentangan namun dia masih tetap tidak gugur dan tidak terkesan dengan mana-mana dugaan. Maka, mereka akan tetap terus beriman dan akan mati dalam Husnul Khotimah.

Para Nabi dan para sahabat telah sampai ke tahap keempat ini. Sebab itu mereka boleh dijadikan sebagai contoh tauladan. Selain dari mereka, tidak boleh lagi dijadikan contoh kerana belum tentu mereka itu telah selamat. Kerana kita tidak tahu di mana tahap mereka. Seperti Nabi dan para sahabat, telah diberitahu oleh Allah SWT yang mereka telah sampai ke tahap keempat. Semua sahabat dikira sebagai ‘adil’. Merekalah neraca syariat yang kita kena ikut. Sebab itu kita selalu katakan: ikut amalan Nabi dan sahabat.

Contoh Robtul Qalbi: [Kahfi: 14]

وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَٰهًا لَّقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا

“Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”

Semua pemuda Kahfi itu telah mendapat Robtul Qalbi. Mereka sanggup berdiri menegakkan hujah berdepan dengan raja yang zalim. Maka Allah SWT telah berikan Robtul Qalbi kepada mereka.

Kerana itu mereka telah dilindungi dalam gua untuk menjaga akidah mereka. Para wali, seperti Pemuda Kahfi ini, ada sifat ini. Oleh kerana mereka telah dijadikan sebagai contoh, maka kita kena jadikan mereka juga sebagai contoh. Iaitu kita kena cakap tentang kebenaran walaupun kita berdepan dengan orang yang bahaya, yang boleh memudharatkan kita. Oleh itu, kita boleh mendapat Robtul Qalbi ini kalau kita sampaikan kepada mereka yang menentang.

Kita mungkin tidak sampai lagi peringkat ini kerana bila tidak pergi ke Majlis Tahlil pun sudah segan dengan ahli keluarga, belum hendak berdakwah kepada raja lagi!

Allahu a’lam.

 

Komen dan Soalan