Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-‘Alaq – Tafsir Ayat Ke-4 dan Ke-5

Tafsir Surah Al-‘Alaq – Tafsir Ayat Ke-4 dan Ke-5

2404
0
Iklan

Tafsir Surah Al-‘Alaq

Tafsir Ayat Ke-4 dan Ke-5

Perbincangan syarat ayat sebelum ini:

– Perbincangan mengenai info berkaitan surah

– Perbincangan mengenai sarana besar terhadap ilmu di dalam Islam

– Umat terdahulu tersesat hingga menjadikan makhluk sebagai Tuhan kerana tidak mempelajari Kitabullah

– Sesungguhnya Allah SWT yang memberikan ilmu kepada manusia

Tafsir Ayat ke – 4 :

الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ

“Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam”

Allah menyebut tentang القَلَمِ (pen) dalam ayat ini.

القَلَمِ

Pen: Adalah makhluk pertama yang dicipta Allah SWT, seperti dalam satu Hadis Qudsi:

إن أول ما حلق الله القلم , قل له : أكتب! قل : رب وماذا أكتب؟ قل : أكتب مقادير كل شيء حتى تقوم الساعة

“Yang pertama kali Allah ciptakan adalah al-qalam (pen), lalu Allah berfirman, ‘Tulislah!’ Ia bertanya, ‘Wahai Rabb-ku apa yang harus aku tulis?’ Allah berfirman, ‘Tulislah takdir segala sesuatu sampai terjadinya Kiamat.’”

Takhrij hadis:

(Sahih, riwayat Abu Dawud (no. 4700), dalam Sahih Abu Dawud (no. 3933), Tirmidzi (no. 2155, 3319), Ibnu Abi ‘Ashim dalam as-Sunnah (no. 102), al-Ajurry dalam ­asy-Syari’ah (no.180), Ahmad (V/317), dari Sahabat ‘Ubadah bin ash-Shamit ra)

Surah ini juga berkenaan dengan ilmu pengetahuan.

Allah sebut kalimah اقرَأ (bacalah) dua kali dan kalimah عَلَّمَ (mengajar) dua kali juga. Ini sebagai isyarat kepada kepentingan ilmu.

Dan seperti yang kita sudah tahu, semua ilmu pengetahuan yang disampaikan dari generasi ke generasi kebanyakannya disebabkan oleh penulisan manusia yang awal dan menyampaikannya kepada generasi selepasnya.

Begitulah cara ilmu disampaikan kepada kita. Kerana dengan cara penulisan, ilmu itu dapat berkembang. Kalau ilmu itu hanya disampaikan melalui lisan sahaja, lama kelamaan ia boleh hilang begitu sahaja.

Dan untuk menulis ilmu yang dapat disampaikan kepada manusia selepas kita, memerlukan القَلَمِ dan kerana itulah Allah sebut القَلَمِ dalam ayat ini – sebagai satu isyarat kepada kepentingan menulis ilmu yang telah dipelajari atau telah didapati.

Dengan menulis ilmu itu, ia dapat dibaca oleh orang lain dan dapat memberi manfaat yang besar kepada orang-orang selepas kita. Caranya? Kita beri ilmu kepada orang lain dengan menulis ilmu itu.

Allah juga menyebut kepentingan القَلَمِ di dalam ayat Al-Quran.

Rujuk surah Al-Qalam (68): 1

ن ۚ وَالقَلَمِ وَما يَسطُرونَ

“Nun, demi Pena dan apa yang mereka tulis”,

Ini menunjukkan lagi kepentingan القَلَمِ itu.

Bukan sahaja manusia menulis dengan القَلَمِ, tetapi para malaikat juga menulis dengan القَلَمِ juga.

Berkali-kali Allah mengajar manusia rahsia yang ada pada tulisan. Kerana dengan tulisanlah, manusia tidak menjadi seperti makhluk yang lain. Kita menjadi mulia kerana boleh menulis. Dan penulisan memberi kesan kepada kita.

Bukan sekadar kita mendapat ilmu, emosi kita juga boleh tersentuh dengan penulisan yang kita baca. Sebab itu kadang-kadang dengan membaca pun kita mampu terkesan hingga boleh menangis, marah dan pelbagai lagi. Sedangkan kalau difikirkan kembali, itu adalah tulisan sahaja. Namun, kita boleh tersentuh kerana penulisan itu memberi kesan kepada kita. Dan dengan tulisanlah boleh merubah jiwa manusia. Oleh itu kadang-kadang tulisan menjadi lebih hebat dari percakapan.

Kita mungkin beri nasihat kepada seseorang tetapi dia tidak dengar; tetapi bila kita tulis dan kita beri kepada dia, baru dia boleh berubah.

Rasulullah SAW bersabda,

قيدوا العلم بالكتابة

( Qayyidul i’lma bil kitabah )

“Ikatlah ilmu dengan tulisan”

(Silsilah Ahadts As Sahihah no. 2026)

Syaikh Muhammad bin Soleh Al Utsaimin rahimahullah berkata:

“Seorang penuntut ilmu mestilah semangat dalam mengingati dan menghafal apa yang telah ia pelajari, baik dengan hafalan di dalam dada atau pun dengan penulisan.

Sesungguhnya manusia adalah sifatnya lupa, maka jika dia tidak bersemangat untuk mengulang pelajaran yang telah didapatkan, maka ilmu yang telah diraih itu boleh hilang, sia-sia atau dia lupakan”

(Kitaabul ‘Ilmi hal. 62)

Nabi pernah menyebut mengenai kepentingan mendapatkan ilmu:

مَْن سَلَكَ طَرِْيقًا َيلْتَمِسُ فِيْهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللهُ لَهُ طَرِيْقًا ِإلىَ اْلجَنَّةِ

“Barang siapa yang menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan ke surga” – (HR Muslim)

Ilmu yang paling penting untuk dipelajari adalah ilmu Al-Quran, seperti mana sabda Nabi Muhammad SAW:

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

“Orang terbaik di antara kalian adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya”

Oleh itu, mempelajari Al-Quran adalah sunnah Rasulullah SAW, tetapi mengajar Al-Quran bukan sahaja sunnah Rasulullah, bahkan ia adalah sunnah Allah juga.

Rujuk: Surah Ar-Rahman (55) : 1 – 2

الرَّحْمَٰنُ / عَلَّمَ القُرآنَ

“Ar Rahman (Tuhan yang Maha Pemurah) / Yang telah mengajarkan Al-Quran”.

Bayangkan besar rupanya kepentingan mengajar Al-Quran itu, kerana kita bukan sahaja ikut sunnah Rasulullah, tetapi kita ikut Allah juga. Malanglah siapa yang hari ni tiada minat mempelajari Al-Quran, bahkan tidak minat membaca atau mempelajarinya.

Soalnya apabila ingin mempelajari Al-Quran, bukan faktor umur atau kecerdikan yang menjadi penghalang, kerana kita hanya berusaha, akan tetapi Allah SWT yang memberi ilmu dan kefahaman kepada kita. Teruskan mempelajari, atau menghafal Al-Quran.

Tafsir Ayat ke-5 :

عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

“Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya”.

Hakikat seseorang itu, dia tidak akan capai ke tahap tertentu tanpa menurut aturan Allah. Maksud lain, hari ni perkembangan Al-Quran serta ilmu lainnya, telah ditentukan Allah iaitu ia melalui para Rasul.

Hikmah penurunan Al-Quran serta kerasulan Nabi SAW telah mengangkat satu bangsa yang rendah ke tahap yang tertinggi. Selepas Nabi Muhammad SAW menyampaikan wahyu, bangsa Arab telah menjadi umat yang bijak dan pandai.

Sedangkan ketika itu Eropah masih lagi dalam Zaman Kegelapan. Akhirnya mereka yang terpaksa datang ke negara orang Islam untuk mendapatkan ilmu dari orang Islam.

Masa kini, HANYA dalam banyak pameran, kita berbangga dengan tamadun Islam dahulu yang tinggi. Islam melahirkan banyak para pemikir dunia. Tetapi itu dahulu, sedangkan sekarang nama orang Islam susah untuk bersaing ke hadapan.

Kenapa? Kerana orang Islam mencari pedoman yang lain, tidak kurang juga ramai yang tertipu. Kononnya kembalikan kehidupan kepada Allah SWT dengan Al-Quran akan menjadikan manusia ini kolot.

Jangan kita tinggalkan apa yang Allah SWT telah berikan kepada kita. Kembalilah kepada Al-Quran dan Sunnah untuk memperbaiki amalan kepada Allah SWT. Kemudian ketentuan Allah SWT yang terbaik kepada hamba-hamba-Nya yang memperbaiki amal baik.

Contohi Nabi Yusuf as. [Yusuf: 22]

وَلَمَّا بَلَغَ أَشُدَّهُ آتَيْنَاهُ حُكْمًا وَعِلْمًا ۚ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ

“Dan ketika Yusuf sampai ke peringkat umurnya yang sempurna kekuatannya, Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikianlah kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya”.

Kisah Nabi Yusuf as:

– Dari kecil dibuang oleh adik beradik.

– Dicampak masuk perigi.

– Dikutip oleh pedagang.

– Menjadi budak suruhan istana.

– Dipenjarakan kerana fitnah.

Namun akhirnya, Nabi Yusuf as menjadi pemimpin Mesir yang bijak serta dapat mentadbir negara dengan baik.

Siapa yang memberikan ilmu dan kebijaksanaan kepada Nabi Yusuf as? Siapa yang mengangkat dunia Islam menjadi wilayah disegani tatkala zaman Umar Al-Khattab?

Jawapannya kembali kepada ayat perbincangan kita.

عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

“Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya”.

Allah yang telah mencipta dunia ini. Manual hendak belajar tentang dunia, Allah telah sediakan (Al-Quran). Maka tidak perlu mencari manual yang lain selain dari Al-Quran.

Soalan: Adakah kita pilih pemimpin dengan lihat kepada agamanya bukan berdasarkan latar belakang pendidikan?

Jawapan: Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.

Lihat surah As-Sajadah: 24

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا۟ ۖ وَكَانُوا۟ بِـَٔايَٰتِنَا يُوقِنُونَ

“Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami”. [As-Sajdah: 24]

Kunci pertama sebelum memilih pemimpin, hendaklah menjadi hamba Allah yang sabar (taat).

Soalan: Adakah umat yang bermasalah sebab tidak ikut Al-Quran?

Jawapan: Benar. Contohnya Al-Quran kata malam adalah untuk berehat, tetapi kita ikut kata orang “siang malam kena cari duit”

Soalan: Adakah pemimpin yang buruk itu umpama hukuman untuk kaumnya?

Jawapan: Cerminan dan ujian kepada kaum itu agar ambil peringatan, muhasabah dan perbaiki diri dan masyarakat.

Kembalikan hidup kita seimbang dengan ilmu serta penyerahan kembali hidup kepada Allah SWT. Dengan mengikuti agama ini menurut apa yang telah difirmankan, serta sabda Nabi kita Muhammad SAW iaitu dengan mula mempelajari Al-Quran, memahami serta mengamalkan dalam kehidupan.

Apa guna dapat 11A SPM jika selepas tu pergi raikan bersama dengan “geng” bercampur lelaki dan perempuan? Atau cemerlang fizik, kimia dan lainnya, tetapi kemudian membesar sebagai lelaki/perempuan yang merokok serta lupa mudaratnya seperti yang dia tahu dalam pelajaran?

Tidak menafikan sistem hari ini, namun seimbangkan setiap perkara dengan aturan Allah SWT. Bukan sahaja cemerlang dunia, malah menjaga dan mengikuti hidup dengan panduan agama. Itulah sebenar Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) bagi orang yang beriman.

Kita sudah sampai ke ayat yang ke-5. Dan jumhur ulama bersetuju bahawa 5 ayat yang pertama ini adalah ayat-ayat yang pertama sekali diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW di Gua Hira’.

Ibrah dan Kesimpulan:

1.Seruan dari Allah SWT agar manusia menjadi orang yang berilmu, serta mampu juga menyampaikan kepada orang lain. Apatah lagi melalui penulisan.

2.Allah SWT jualah yang memberikan pengetahuan kepada manusia. Maka apa yang kita pelajari / dapati hingga hari ni, selarikan dengan fitrah hidup beragama. Agar kita tidak tertipu dengan akibat ilmu yang tidak berfaedah mahupun ilmu yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepada insan tersebut.

3.Orang beriman kena yakin, bahawa apabila kita kembalikan hidup ini kepada agama (menurut Al-Quran dan Sunnah), maka itulah erti kejayaan hidup yang sebenar.

Kerana persoalan akhirat nanti tidak bertanya keputusan periksa, slip pendapatan dan lain-lain. Soalan untuk menjawab di hadapan Allah nanti ialah bagaimana kita menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah SWT.

Soalan: Kena ikut ajaran Al-Quran walaupun melawan arus zaman?

Jawapan: Jika kita hendak jernihkan semula air kolah, susah dan rugi kalau kita hendak buang semua. Masukkan air jernih sedikit demi sedikit, lama-kelamaan keseluruhan air akan bersih.

Soalan: Adakah kita mengajar Al-Quran wajib menguasai ilmu Tadabbur juga?

Jawapan: Wajib ajar ikut kemampuan diri dan dalam masa yang sama, kena tingkatkan kemampuan lain. Jika tidak kelak Allah akan tanya “kenapa dulu kini dan selamanya” masih tidak lagi berubah?

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan