Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah At-Tiin – Ayat Ke-4

Tafsir Surah At-Tiin – Ayat Ke-4

6921
0
Iklan

Tafsir Surah At-Tiin

Tafsir Ayat Ke-4

Pada perbincangan yang lepas, kita telah membincangkan:

  1. Empat sumpahan Allah SWT di permulaan Surah At Tiin (Tin, Zaitun, Tursina dan Makkah).
  2. Beberapa maksud sumpahan tersebut.

Menariknya, ia banyak berkaitan/bermaksud tempat. Wallahu a’lam.

Walau bagaimanapun, untuk meneruskan perbincangan ayat yang seterusnya, kita perlu ingat semula antara hikmah/isyarat Allah berkaitan dengan sumpahan iaitu:

  • Selepas Allah bersumpah ada berita/perkara yang Allah hendak sampaikan “selepas” sumpahan itu. Ingat dengan betul “antaranya”, bukan semesti wajib.

Contoh:

وَالْعَصْرِ

إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ

“Demi Masa” —-> kemudian datang berita selepasnya:

“Sesungguhnya Manusia BENAR-BENAR DALAM KERUGIAN”

Bagi Al-A’sr, Allah SWT mulakan dengan SATU sumpahan (iaitu Masa). Sekarang (bagi At-Tiin), kita telah ketahui yang Allah SWT bersumpah dengan EMPAT perkara.

Bayangkan, jika satu perkara sumpahan sahaja telah menunjukkan perkara yang besar/penting, inikan pula dengan EMPAT perkara sumpahan.

Apakah perkara yang besar / penting selepas EMPAT sumpahan ini?

Tafsir Ayat ke-4:

لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya”) [At-Tiin 95:4]

Kholaq-Na; Kami telah menciptakan:

Apabila Allah SWT gunakan “Kami”, ia bukan bermaksud kelemahan Allah SWT sehingga seolah-olah “memerlukan” kepada pertolongan makhluk. Akan tetapi “Kami” ada isyarat menunjukkan kebesaran proses/perkara itu.

Contoh dalam ayat lain:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam-Qadar” [Al-Qadr 97:1]

Kembali kepada perbincangan ayat:

Ahsani: sebaik-baik/paling baik!

Berikut Al-Quran menceritakan perihal penciptaan manusia yang sempurna/paling baik:

PERTAMA: Sempurna jasad – kemudian ditiupkan Roh

إِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي خَالِقٌ بَشَرًا مِّن طِينٍ

فَإِذَا سَوَّيْتُهُ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِن رُّوحِي فَقَعُوا لَهُ سَاجِدِينَ

“(Ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: ” Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia – Adam dari tanah; ” Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya” [Saad 38: 71-72]

Sifat kesempurnaan di sini ialah, tiupan Roh oleh Allah SWT kepada kejadian-Nya. Atau dalam maksud lain, “Allah beri peluang hidup atas dunia”. Betapa ramai juga kita dapat melihat bayi-bayi comel, tapi meninggal awal (mungkin dari dalam perut). Maka, kesempurnaan kita yang hidup atas dunia ini ialah bersama tiupan Roh oleh Allah SWT.

Maha Suci Allah SWT yang juga Maha Tinggi, sehingga “jika”manusia terus mendalami ayat ini, mereka patut sedar betapa kerdilnya mereka di sisi Allah.

Maksud lain yang lebih mudah:

Jika manusia boleh mencipta sesuatu, manusia tetap tidak boleh berikan Roh. Buat lah patung secantik/sehalus mana sekali pun, tidak akan sampai sepertimana kudrat Allah SWT yang bukan sekadar mampu mencipta, bahkan Allah SWT jua yang menghidupkan dan mematikan.

يَٰأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِن كُنتُمْ فِى رَيْبٍ مِّنَ ٱلْبَعْثِ فَإِنَّا خَلَقْنَٰكُم مِّن تُرَابٍ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ مِن مُّضْغَةٍ مُّخَلَّقَةٍ وَغَيْرِ مُخَلَّقَةٍ لِّنُبَيِّنَ لَكُمْ ۚ وَنُقِرُّ فِى ٱلْأَرْحَامِ مَا نَشَآءُ إِلَىٰٓ أَجَلٍ مُّسَمًّى ثُمَّ نُخْرِجُكُمْ طِفْلًا ثُمَّ لِتَبْلُغُوٓا۟ أَشُدَّكُمْ ۖ وَمِنكُم مَّن يُتَوَفَّىٰ وَمِنكُم مَّن يُرَدُّ إِلَىٰٓ أَرْذَلِ ٱلْعُمُرِ لِكَيْلَا يَعْلَمَ مِنۢ بَعْدِ عِلْمٍ شَيْـًٔا ۚ وَتَرَى ٱلْأَرْضَ هَامِدَةً فَإِذَآ أَنزَلْنَا عَلَيْهَا ٱلْمَآءَ ٱهْتَزَّتْ وَرَبَتْ وَأَنۢبَتَتْ مِن كُلِّ زَوْجٍۭ بَهِيجٍ

Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.(Al-Hajj – 5)

 KEDUA: Pendengaran, Penglihatan dan Hati

قُلْ هُوَ ٱلَّذِىٓ أَنشَأَكُمْ وَجَعَلَ لَكُمُ ٱلسَّمْعَ وَٱلْأَبْصَٰرَ وَٱلْأَفْـِٔدَةَ ۖ قَلِيلًا مَّا تَشْكُرُونَ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur”.[Al-Mulk: 23]

Sebelum syarah ayat ini, tahukah anda:

  1. Allah kerap menyatakan 3 nikmat ini secara serangkai
  2. Tiga serangkai ini ada empat kali dalam Al-Quran

yang mana: satu darinya Allah akhiri dengan “agar kamu bersyukur”

TETAPI: tiga darinya Allah akhiri dengan “sedikit kamu yang bersyukur”

AKAN TETAPI, kesempurnaan manusia terhadap 3 nikmat serangkai ini ialah “sekiranya” mereka mengambil pengajaran dari ayat-ayat Allah SWT (Al-Quran). Sekiranya manusia tidak mengambil peringatan, jadilah ia seperti binatang. Bahkan lebih buruk (iaitu binatang ternak!)

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِّنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌ لَّا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَّا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَّا يَسْمَعُونَ بِهَا ۚ أُولَٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai” [Al-A’raaf 7: 179].

Kenapa binatang ternak lebih teruk dari binatang biasa?? (merujuk kepada ayat ini).

Binatang ternak: Binatang liar, sekurang-kurangnya ia bebas dan mencari makan apa yang ia mahu.

Tetapi binatang ternak, ia hidup dengan makan apa yang diberikan sahaja. Ia tidak mencari makanan yang ia mahu makan. Kalau si penternak berikan makanan yang buruk ia tetap “ambil”.

Perhatian:

Begitulah manusia yang TELAH diberikan Allah SWT nikmat “pendengaran, penglihatan dan hati”. Jika hidup hanya tunggu “suapan” atau “ambil begitu sahaja” agama untuk hidup, maka tidak ubahlah manusia seperti ini umpama binatang ternak.

Sebab itulah kita belajar Al-Quran ini jika hendak beragama dengan sebenarnya.

KETIGA: Seimbang antara fizikal dan spiritual/mengenal baik dan buruk.

وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا

فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا

“Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada bertaqwa”; [Asy-Syams 91:7-8]

Katakunci: Seimbang

Oleh itu, diri kita perlukan keseimbangan antara keperluan fizikal dan spiritual. Manusia telah diberikan dengan sesuatu yang tidak diberikan kepada makhluk-makhluk yang lain. Kita adalah makhluk yang dijadikan bersifat mulia dari asalnya. Ini menolak pendapat yang mengatakan manusia ini fitrahnya teruk, tidak ada moral dan sebagainya.

Faktor umur juga berperanan seiring dengan pengalaman dan perjalanan dalam hidup seseorang. Sebenarnya tidaklah ganjil jika seseorang tu semakin lama telah berubah karakter.

Sama ada mengikut “ilham” kefasikan atau ketakwaan. Beruntunglah bagi yang memilih ketakwaan (menyucikan diri).

Bolehkah kita beza ilham baik dan ilham yang tidak baik?

Bergantung. Fitrahnya tahu dan sedar cuma nafsu dan bisikan syaitan yang selalu memadamkan kesedaran atau memberikan alasan. Lihat natijah sama ada membawa kepada takwa + proses itu patuh syariah atau tidak. Namun untuk kes yang di luar pengetahuan, hindarilah sekiranya berasa ragu-ragu.

Taqwim: kalimah ق و م yang bermaksud berdiri.

Oleh itu, تَقويمٍ bermaksud membuat sesuatu yang tegak. Mengambil beberapa bahagian dan menjadikan satu bentuk yang tegak dan lurus. Ia juga bermaksud menjadikan sesuatu yang sempurna seperti yang dikehendaki.

Perhatian untuk orang lelaki: TAQWIM

Dalam ayat lain, Allah mengisyaratkan “Qawwam” ini kepada Rijal (real man), yang juga membawa maksud “mampu berdikari dalam menjaga wanita”

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan”.

Manusia kena berusaha menjadi Qawwam (Ahsani Taqwim). Bahkan Rijal mesti berusaha menjadi insan berdikari lalu membimbing wanita. Kalau Rijal hanya hendak menjadi seperti TLDM (Tidur, Lepak dan Makan) maka tidak payahlah menjadi manusia atau Rijal. Bak kata orang Melayu, lebih baik jadi biawak hidup.

Ibrah dan Kesimpulan:

Pertama:

Manusia sepatutnya sedar akan kehebatan/kelebihan yang Allah SWT telah berikan kepada mereka. Penghormatan yang besar dengan permulaan surah yang mengandungi sehingga EMPAT sumpahan yang besar.

Kedua:

Kesempurnaan manusia adalah apabila ia menuruti fitrah kebaikan yang Allah SWT telah kurniakan:

– Roh yang diberikan “makanan” yang baik dan cukup.

– Pancaindera yang digunakan untuk tazakkur/tafakkur ayat-ayat dan kebesaran Allah SWT.

– Keseimbangan antara fizikal dan spiritual. Terlalu sufisme pun tidak boleh. Contoh: Hidup semua dengan niat dalam spiritual tetapi ibadah/syariat tidak buat.

Ketiga:

Manusia telah diberikan Allah SWT kebolehan berdikari (untuk hidup). Berusahalah untuk mengeluarkan potensi diri. Seterusnya melahirkan generasi Muslim yang Qawwam.

Contohi insan-insan hebat, seperti Abdul Rahman Bin Auf. Sampai dalam Hijrah dari Makkah ke Madinah, beliau ditawarkan macam-macam kemudahan. Tetapi beliau tanya tentang pasar. Bukannya soal sombong, terlalu yakin dan lain-lain tetapi kerana jiwa berdikari yang baik telah meresap dalam golongan Muhajirin pada masa tu.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan