Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Qadr – Ayat Ke-2 dan Ke-3

Tafsir Surah Al-Qadr – Ayat Ke-2 dan Ke-3

1549
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Qadr : Ayat Ke-2 dan Ke-3

Pada perbincangan yang lepas, kita telah membincangkan:

A) Perihal penurunan Al-Quran pada malam Al-Qadr.

– beberapa perbincangan tentang masa, keadaan dan lain-lain.

B) Erti sebenar Al-Qadr dalam kemuncak ibadah ( sujud dan taqarrub kepada Allah SWT – akhir surah Al-A’laq )

– persiapan rapi sepatutnya telah bermula.

C) Beberapa keluasan pengertian Al-Qadr.

– kesemuanya kembali menunjukkan kemuliaan.

Seterusnya kita sambung lagi dalam ayat yang berikut:

Tafsir Ayat Ke-2:

وَما أَدراكَ ما لَيلَةُ القَدرِ

“Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Al Qadar itu?”

وَما أَدراكَ

Apakah makna ما dalam ayat ini?

Ada beberapa maksud ‘ما’

1.Maa at-ta’ajjub ( untuk menyatakan kejutan, takjub atau kagum dengan sesuatu ).

Maksudnya : Apakah yang dapat memberitahu kamu tentang kehebatan malam Al-Qadr yang hebat itu? ( kelebihan malam itu )

Ibarat pertanyaan Allah SWT itu, untuk menunjukkan tersirat makna kehebatan malam tersebut.

Mudah untuk faham cuba bayang skrip anak-anak hendak tunjuk keputusan cemerlang mereka: “Ayah hendak tahu adik dapat berapa markah?”

2. Maa Istifham ( bermaksud soalan “Apakah” )

Maksudnya : Apakah engkau ( wahai Muhammad ) tahu apakah Malam Al Qadar itu?

Antara hikmah soalan di dalam Al-Quran:

1.Untuk menarik perhatian.

Contohnya seorang cikgu masuk ke dalam kelas, kemudian memulakan pengajaran dengan memberikan satu soalan. Sedangkan dia ( cikgu ) itu belum lagi mengajarkan apa-apa dengan yang lain. Maka dengan dia bertanya, jawapan yang difahaminya dapat dikongsi dengan yang lain.

2. Untuk menunjukkan bahawa ia satu perkara yang penting.

Sehingga kita boleh dapati dalam Surah Al-Qadr ini, TIGA KALI Allah SWT mengulangi perkataan Al-Qadr.

3. Untuk memberi pengajaran di sebalik soalan.

Contohnya dalam sebuah kelas, ada seorang yang telah mengetahui jawapan tetapi ingin berkongsi dengan yang lain. Maka dengan dia bertanya, jawapan yang difahaminya dapat dikongsi dengan yang lain.

أَدرى

[ kalimah ini adalah dalam kategori kata kerja yang telah berlaku (past tense) ]

Lebih tepat bermaksud : Apakah engkau telah mengetahui

Dalam Al-Quran, “lazimnya” kalimah berbentuk telah ( past tense ) sebagai makna menunjukkan kepastian.

Contohnya dalam Surah [Ar Rum: 2]

غُلِبَتِ الرُّومُ

“Rom telah dikalahkan!”

Ayat ini turun kepada Nabi SAW ketika itu kerajaan Rom masih kuat. Namun penggunaan “telah” menunjukkan bahawa Rom PASTI kalah. Maka benar firman Allah SWT bahawa, Rom akhirnya dijatuhkan oleh pejuang Islam.

Di dalam ayat Surah Al-Qadr ini, Allah SWT gunakan “past tense” maka Allah SWT akan beritahu tentang apakah malam itu ( iaitu ayat yang ke-3 nanti ).

Seperti yang kita telah sebut di dalam pengenalan, kita tidak mengetahui akan bilakah Lailatul Qadr itu.

Terdapat beberapa hikmah apabila ia menjadi rahsia:

Pertama:

Sekiranya manusia tahu, boleh jadi ramai yang akan hanya beribadah pada malam itu sahaja dan meninggalkan ibadah pada malam yang lain.

Kedua:

Jika manusia tahu, tetapi MASIH TIDAK beribadah pada malam itu, sudah tentu ia dikira sebagai satu kesalahan besar.

Oleh itu, jika kita tahu bilakah Malam Al-Qadr itu dengan tepat, tetapi kita tidak mengambil peluang itu untuk meningkatkan amal ibadat pada malam itu, maka ia adalah satu perkara yang buruk.

Jadi, lebih baik kita tidak tahu!

Dalam satu riwayat:

Tentang perkara ini, Nabi SAW pernah hendak memberitahu bilakah akan terjadinya malam itu. Tetapi semasa baginda keluar untuk beritahu, ada 2 orang yang bertengkar, maka dilupakan tentang berita itu kepada Nabi. Oleh itu, kita tidak akan dapat tahu bilakah malam itu akan berlaku.

Dari Ubadah bin Shamit ra, ia berkata :

Rasulullah SAW keluar pada Lailatul Qadar, ada dua orang sahabat berdebat, Baginda SAW bersabda:

“Aku keluar untuk mengkhabarkan kepada kalian tentang malam Lailatul Qadar, tetapi ada dua orang berdebat hingga tidak mampu lagi diketahui bila; mungkin ini lebih baik bagi kalian, carilah di malam 29, 27, 25 .

( dan dalam riwayat lain : tujuh, sembilan dan lima ) HR Bukhari.

Maksudnya, kadang-kadang manusia suka menanti akan apakah hikmah yang akan terserlah.

Akan tetapi sebenarnya kita lupa, tuntutan kita adalah untuk taat kepada Allah SWT. Apabila kita taat, maka hikmah yang terbaik Allah SWT berikan.

Dalam hal Al-Qadr ini, hikmah ibadah telah diketahui iaitu umpama seperti 1000 bulan. Jadi itu telah pasti. Soalnya kembali kepada kita, sama ada kita taati Allah SWT atau tidak.

Kalau kita taat, maka janji Allah SWT itu benar, 1000 bulan lebih baik diberikan kepada kita.

Tafsir Ayat Ke-3:

لَيلَةُ القَدرِ

Kali ketiga Allah SWT ulang kalimah ini.

Allah SWT menerangkan rahsia Lailatul Qadr.

لَيلَةُ القَدرِ خَيرٌ مِن أَلفِ شَهرٍ

“Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan”.

Allah SWT memberi peluang kepada kita untuk mendapat pahala yang banyak. Jika kita melakukan ibadat pada malam itu, ianya ‘lebih’ dari amalan ibadat yang dibuat selama 83 tahun, iaitu sepanjang hidupnya kerana kita sedia maklum umur umat Nabi SAW adalah antara 60 – 70 tahun, malah ada yang lebih rendah lagi dari umur itu.

Maka ini adalah pemberian nikmat yang amat tinggi dari Allah SWT. Bagaimana agaknya kebaikan yang kita boleh dapati jika kita beramal pada malam itu? Seumpama amalan sepanjang hidup yang dibuat pada satu malam sahaja.

Alangkah besar erti “keberkatan” yang Allah SWT sediakan.

Boleh jadi:

Pemberian ini diberikan kepada umat Nabi Muhammad SAW kerana umur umatnya tidak dapat menyamai amalan umat-umat yang terdahulu.

Maka, Allah SWT telah memberikan Lailatul Qadr. Walaupun umur kita pendek, tetapi pahala kita boleh jadi lagi banyak dari umat-umat terdahulu.

Adapun asbabun Nuzul atau sebab-sebab turunnya ayat tersebut:

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dan al-Wahidi, dari Mujahid bahawa Rasulullah SAW pernah menyebut Bani Israel yang berjuang fiisabilillah menggunakan senjatanya selama seribu bulan terus menerus.

Kaum Muslimin mengagumi perjuangan orang tersebut. Maka Allah SWT menurunkan surat [Al-Qadr: 1-3] yang menegaskan bahawa satu malam Al-Qadr lebih baik daripada perjuangan Bani Israel selama seribu bulan itu.

Riwayat lain oleh Ibnu Jarir dari Mujahid juga, bahawa di kalangan Bani Israel terdapat seorang lelaki yang suka beribadah malam hari hingga pagi dan berjuang memerangi musuh pada siang harinya.

Perbuatan itu dilakukannya selama seribu bulan. Maka Allah SWT menurunkan ayat ini [Al-Qadr: 1-3] yang menegaskan bahawa satu malam Al-Qadr lebih baik daripada amal seribu bulan yang dilakukan lelaki dari Bani Israel tersebut.

خَيرٌ مِن أَلفِ شَهرٍ

“Lebih baik dari seribu bulan”

Kalau dibuat kiraan,:

أَلفِ شَهرٍ

(seribu bulan) itu lebih kurang 83 tahun.

Tetapi Allah SWT juga menggunakan kalimah:

خَيرٌ

(lebih baik)

Ini bermakna, ia lebih baik lagi. Atau ia juga boleh bermaksud tidak setakat seribu bulan sahaja.

Ibrah dan kesimpulan:

1.Bonus yang besar telah disediakan Allah SWT kepada hambanya dalam bulan Ramadhan. Namun hanya tersedia bagi mereka yang benar-benar inginkan. Beruntung bagi sesiapa yang dikurniakan Allah SWT bonus ini.

2. Hidup ini amat singkat berbanding perjalanan / kehidupan sebenar kita setelah mati nanti. Oleh itu persediaan rapi dan bekalan secukupnya amat penting dipersiapkan sementara umur masih ada. Ambillah peluang sebaik mungkin bagi ganjaran Al-Qadr ini.

3. Allah SWT menjadikan rahsia Al-Qadr ini sebagai hikmah:

– suatu motivasi dan peluang kepada hamba-Nya untuk beribadah bersungguh-sungguh dan benar-benar berharap kepada Allah SWT.

– dalam soal kehidupan, kadang-kadang ada banyak perkara yang kita mahu tetapi dapat sebaliknya. namun lebih baik begitu. Boleh jadi pengetahuan, pemilikan, dan lain-lain boleh menjadi fitnah terpalit semula kepada diri kita.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan