Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Istilah Tafsir Al-Quran – Umur Muslihah dan Umur Munazimah

Istilah Tafsir Al-Quran – Umur Muslihah dan Umur Munazimah

1504
0
Iklan

Tafsir Istilah Ke-10 dan Ke-11

Tafsir Istilah Ke-10 – Umur Muslihah – أمور مصلحة

Ia bermaksud ‘amalan-amalan yang memberi kesan kepada islah diri’. Ia adalah ayat-ayat yang mengajar amalan-amalan yang memberi kesan kepada islah (memperbaiki) diri.

Sebelum pergi lebih jauh, kalimah ‘umur’ bukanlah umur 20 tahun, 30 tahun, tetapi ia dari kalimah أمر yang bermaksud ‘arahan, suruhan’.

Apabila kita terima Allah SWT dan kenal Allah SWT, maka kita akan berkeinginan untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT dan cara untuk menghampirkan diri kepada-Nya adalah dengan cara ibadat yang Nabi SAW ajar berdasarkan dari Al-Quran dan Sunnah.

Bukan setiap manusia yang terima Islam itu sudah sempurna agama mereka. Maka, kena ada usaha untuk memperbaiki diri. Hendak dapat hasil, kenalah luangkan masa. Dan untuk mendapatkan ilmu, ia berhajat kepada tempoh dan melalui proses yang agak lama. Tidaklah baru belajar, terus jadi pandai, bukan?

Dalam kita berdakwah, kita mesti akan bertemu penentang yang ramai. Walaupun ia berat, tetapi kita kena sampaikan juga Dakwa kepada mereka. Dan untuk menyampaikan dakwah, kita sendiri kena hidup dalam sistem yang baik yang boleh menjadi tauladan kepada orang lain. Jangan orang lihat cara hidup kita yang buruk sampai mereka tidak berminat hendak dengar dakwah kita. Ini termasuklah perkara yang nampak macam kecil seperti menjaga kebersihan dan sebagainya.

Apabila hidup kita elok, barulah senang nak sampaikan dakwah. Baru orang pandang baik kepada kita. Tidaklah sama sahaja kita dengan orang yang berperangai buruk. Kadang-kadang perangai buruk kita menjadikan orang susah terima Islam kerana mereka mengaitkan perangai kita dengan agama Islam itu sendiri. Mereka akan kata: “kalau agama Islam itu baik, tentulah penganutnya pun baik juga tetapi lihatlah orang Islam itu teruk perangai mereka! Apalah agama mereka ajar mereka”. Jadi ini amat bahaya sekali dalam usaha dakwah kita. Jadi hendak berdakwah kepada orang lain, kena amalkan kehidupan yang baik. Untuk mendapatkan kehidupan yang baik, kita memerlukan kepada ayat-ayat jenis ‘umur munazimah’ yang akan diterangkan selepas ini.

Ada kaitan yang amat rapat antara ayat-ayat Umur Muslihah dan Umur Munazimah. Sebab itu kita kena terangkan sekali bersama-sama. Ayat-ayat ‘umur munazimah’ adalah untuk menyusun hidup kita jadi baik dan harmoni, bertimbang rasa dan supaya menjadi baik. Untuk mengamalkan ayat-ayat Umur Munazimah, kena ada amalan khusus yang Allah SWT beri untuk menyusun kehidupan kita. Itulah ‘umur muslihah’. Bila ‘umur muslihah’ betul, barulah ‘umur munazimah’ menjadi. Maknanya, kena mulakan dengan Umur Muslihah dahulu.

Ayat Umur Muslihah adalah ayat-ayat tentang ibadat khusus seperti solat, puasa dan lain-lain. Allah SWT mendidik kita untuk jadi molek dengan solat kerana solat adalah Umur Muslihah yang terbaik. Contoh ayat-ayat Umur Muslihah adalah seperti firman Allah dalam [ Al-Baqarah: 238]

حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ

“Peliharalah kamu segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (Asar atau Subuh) dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk”.

Ayat ini diletakkan di antara ayat-ayat tentang kehidupan berkeluarga. Tiba-tiba sahaja masuk tentang solat. Kalau dikira ikut susunan, macam tidak kena. Mungkin ada yang kata, macam silap cetak pula. Dan memang golongan Syiah ada kata yang inilah kesilapan golongan sunni dalam menulis semula Al-Quran – mereka gunakan ini sebagai dalil yang puak sunnah reka Al-Quran.

Solat yang baik adalah solat yang menjaga khusyuk dan dengan berjemaah di masjid. Merekalah yang boleh dibentuk menjadi masyarakat yang baik, yang boleh ikut hukum-hukum Umur Munazimah yang Allah berikan. Begitulah, ayat Umur Muslihah ini dimasukkan di antara ayat-ayat muamalah dan cara berkehidupan. Kerana kalau solat pun tidak boleh jaga, bagaimana hendak ikut arahan tentang bermasyarakat? Boleh nampak kaitan antara keduanya? Kalau tidak belajar, tidak nampak kaitan antara ayat-ayat itu.

Kaitan yang lain adalah apabila kita buat baik di satu bahagian, ia akan merangsang kebaikan di bahagian yang lain. Kerana ianya menjadi satu dorongan kepada yang satu lagi. Itu sebab diselangi antara ayat Umur Muslihah dan Umur Munazimah. Kalau kita buat pahala, akan lahir dalam hati satu dorongan baru untuk berusaha untuk buat kebaikan lain. Mula-mula solat fardu, kemudian kita akan berasa hendak solat sunat pula. Amalan baik akan mendapat taufik dari Allah.

Dari kebaikan yang ada itu, amalan Umur Munazimah akan jadi elok dan teratur. Umur Muslihah jadi ‘ibadat’ dan Umur Munazimah jadi ‘adat’. Ada empat jenis ‘adat’ dalam kehidupan:

  1. Mu’asharah – adat dengan keluarga kita.
  2. Muamalah – hubungan sesama masyarakat. Iaitu hubungan satu keluarga dengan keluarga yang lain. Semua ada kerja masing-masing yang perlu dijalankan. Kita sentiasa memerlukan sesuatu dari orang lain. Ia memerlukan pertukaran keperluan yang baik antara satu sama lain.
  3. Siasatul madaniah – Keluarga yang lebih besar adalah masyarakat. Masyarakat yang baik kena ada pemimpin. Jadi ayat-ayat jenis ini mengajar sistem pentadbiran.
  4. Akhlak dan budi pekerti – Ini merangkumi semua perhubungan antara manusia dan manusia dan juga antara manusia dan haiwan juga.

Semua ‘adat’ ini akan jadi baik kalau ‘ibadat’ kita baik. Kalau kita buat dosa dalam ibadat, dosa itu akan mengheret kita kepada melakukan dosa dalam perkara kehidupan kita. Kerana dosa itu akan merangsang kita untuk buat dosa lain. Kita kena bertaubat atas dosa-dosa yang kita buat dalam ibadat kita. Sebab itu kita diajar untuk melakukan taubat dalam solat. Kalau bertaubat, perasaan untuk buat dosa lain akan jadi lemah. Ini adalah cara yang amat mantap dan penting untuk dilakukan.

Tafsir Istilah Ke-11 – Umur Munazimah – أمور منظمة

Ayat-ayat ini mengajar cara hidup bermasyarakat Islam kepada mereka yang telah menerima Dakwa dari wahyu. Ini adalah kesinambungan dari Umur Muslihah. Oleh itu, kena ada pemahaman dan ikut amalan yang telah disebut dalam Umur Muslihah dahulu, kerana itu di celah-celah ayat Umur Munazimah, akan ada ayat-ayat Umur Muslihah.

Ia adalah ayat-ayat tentang kaedah hidup bermasyarakat termasuk nikah kahwin, jual beli, cara memiliki harta, cara membelanjakan harta, pembahagian harta pusaka dan undang-undang jenayah (apabila berlaku keterlanjuran) serta cara-cara “muhakamah” (mengadili) dan lain-lain lagi.

Dari awal kita hidup, sampailah kita mati, semua perkara penting tentang kehidupan telah disentuh dalam Al-Quran. Cuma penerangannya kenalah lihat syarahan dari ulamak. Maka tidak perlu panduan cara hidup dari budaya lain. Takut kalau tambah dari cara lain, boleh punah dan rosak kehidupan kita. Apa yang ada dalam Al-Quran dan Sunnah sudah cukup untuk kita menjalani kehidupan kita dari mula hidup sampai kita mati.

Banyak orang belajar perkara dari sumber lain sampai ke universiti, tetapi agama dia tidak belajar lagi. Kalau dia belajar, dia akan tahu bahawa agama Islam adalah agama yang syumul. Untuk kita tahu yang agama Islam ini hebat, kenalah belajar dahulu. Kalau belajar sikit sahaja, ala kadar sahaja, tentulah tidak nampak.

Kita kena seru umat Islam semua sekali menerima dan belajar agama Islam. Supaya kita boleh jadi contoh kepada mereka yang tidak tahu, terutama sekali mereka yang belum masuk Islam. Kita ada cara hidup yang sempurna, maka tunjuk dan ajak kepada mereka.

Sebagai contoh, peperangan yang berlaku dalam Islam adalah untuk membebaskan masyarakat kafir yang tertindas dengan pemimpin mereka. Raja mereka mungkin tidak mahu masuk Islam dan sebab itu terjadi peperangan – tetapi masyarakat itu sendiri, mereka memang hendakkan Islam.

Ingatlah bahawa kita tidak dapat menjalankan tugas dakwah kalau kehidupan kita sendiri kucar kacir. Susah hendak menjalankan kerja dakwah kalau kehidupan kita sendiri tidak boleh dicontohi. Ini adalah masalah besar yang dihadapi oleh kita sekarang. Lihatlah bagaimana kita hidup berpuak-puak dan berpecah belah. Masalah kita banyak dan memalukan. Ini kerana kita jauh dari saranan yang ada dalam Umur Munazimah yang diajar oleh Al-Quran.

Belajarlah bagaimana Al-Quran ini boleh menyusun hidup kita. Semua sudah disentuh dalam Al-Quran asalkan kita mahu belajar. Allah SWT yang menjadikan kita, maka tentulah Allah SWT tahu bagaimana cara yang terbaik untuk kita. Allah SWT tidak biarkan kita begitu sahaja tanpa panduan.

Contoh ayat-ayat Umur Munazimah adalah seperti ayat [Al-Baqarah: 226].

لِلَّذِينَ يُؤْلُونَ مِنْ نِسَائِهِمْ تَرَبُّصُ أَرْبَعَةِ أَشْهُرٍ

“Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan”.

Juga ayat tentang mua’malah dalam [Al-Baqarah: 282].

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا إِذا تَدايَنتُم بِدَينٍ إِلىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى فَاكتُبوهُ

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu”.

Diingatkan kembali, Umur Munazimah tidak akan sempurna kalau Umur Muslihah tidak sempurna. Kena baikkan hubungan dengan Allah SWT dahulu, untuk mendapat hubungan yang baik dengan makhluk.

Umur Muslihah = ‘vertical relationship’ iaitu hubungan dengan Allah.

Umur Munazimah = ‘horizontal relationship’ iaitu hubungan sesama manusia.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan