Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Qadr – Ayat Pertama

Tafsir Surah Al-Qadr – Ayat Pertama

1232
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Qadr

Ayat Pertama

إِنّا أَنزَلناهُ في لَيلَةِ القَدرِ

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) pada malam Al-Qadr”.

Allah SWT menekankan dalam ayat ini bahawa Allah SWTlah yang menurunkan Al-Quran.

Kalimah: أَنزَل

Kalau kita lihat dalam terjemahan, “biasa” difahami dengan makna menurunkan sahaja. Akan tetapi dalam Al-Quran, penggunaan kalimah yang berbeza. Ada perkataan lain iaitu نزّل yang juga diterjemahkan sebagai ‘menurunkan’.

Oleh itu, sebelum melihat lebih dalam kita boleh tahu (mungkin ilmu baru kepada pembaca sekarang ini ) berkenaan kalimah WAZAN.

“Wazan” boleh diertikan sebagai: bentuk susunan dan ejaan.

Bagi kalimah bermaksud “menurunkan”, boleh terdapat dua “wazan / bentuk”.

Pertama:

أَنزَل – dari wazan أفعل bermaksud menurunkan sesuatu SEKALI SAHAJA.

Kedua:

نزّل – dari wazan فعّل bermaksud menurunkan sesuatu beberapa kali – sedikit demi sedikit.

Dalam ayat Al-Qadr ini, Allah SWT menggunakan perkataan أَنزَلَ ( bagi wazan yang pertama tadi ).

Ini kerana dalam ayat ini, ianya menceritakan bagaimana penurunan Al-Quran dari Lauh Mahfuz ke langit dunia (Baitul Izzah) dengan cara “sekaligus” ke Langit Dunia ( Langit Pertama ).

Kita ke perbincangan sifat keberkatan yang ada pada malam Al-Qadr ini:

Antara surah yang lain, berkaitan sifat keberkatan yang terdapat dalam peristiwa penurunan Al-Quran pada malam ini.

Firman Allah SWT dalam Surah [Ad-Dukhan: 3]

إِنّا أَنزَلناهُ في لَيلَةٍ مُبارَكَةٍ

“Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati”

Dalil ini dalam surah yang lain, yakni bukan dari surah Al-Qadr namun ia sama, menceritakan sifat malam penurunan Al-Quran iaitu mengenai “keberkatan”.

Walaupun perkataan berkat ini suatu yang jarang kita cermati, akan tetapi perlu kita ingat kepada nilai besar terhadap peristiwa-peristiwa yang mempunyai “sifat keberkatan”.

Dalam ayat Ad-Dukhan ini, keberkatan ada bersama dengan peristiwa penurunan Al-Quran. Begitu juga jika kita teringat kembali ayat yang menceritakan tentang peristiwa BESAR juga, iaitu Isra’ dan Mikraj.

Kisah malam Isra’ Mikraj, hanya dalam 1 malam berlaku kejadian besar kerana sifat keberkatan itu

(Mubarak – rujuk [Al-Isra’: 1].

سُبْحَٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًا مِّنَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ إِلَى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَا ٱلَّذِى بَٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَٰتِنَآ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ

“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsha yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.(Al-Isra’ – 1)

Apa yang hendak dimaksudkan di sini, iaitu kemuliaan yang terdapat pada malam Al-Qadr itu datang dengan keberkatan dari Allah SWT.

“Berkat” berasal daripada bahasa Arab ‘barakah’ yang bermaksud: tumbuh dan bertambah.

Umum: menurut pemahaman orang Melayu ada kaitan dengan anugerah Allah SWT, yang mendatangkan kebaikan bagi diri seseorang

Berdasarkan kisah dari Al-Quran. Lazimnya seumpama mengatakan bahawa keberkatan ialah seumpama memiliki sedikit, tetapi memberi nilai yang besar.

Kalau dari kisah turunnya Al-Quran: Al-Quran yang diberkati, sarat dengan ilmu dan kandungan sepanjang zaman. Walaupun hanya dengan beberapa ratus halaman sahaja.

لَيلَةِ القَدرِ

Beberapa pendapat mengenai makna Lailatul Qadr:

1.Ada yang berpendapat ia bermaksud “kadar” ( ukuran ). Iaitu Allah SWT menentukan bahagian yang insan tersebut akan dapat pada tahun itu.

2. Al-Qadr juga boleh diterjemahkan sebagai “kemuliaan”. Dan kerana itu Lailatul Qadr boleh juga dikatakan sebagai Malam yang Mulia.

3. Al-Qadr juga boleh diterjemahkan sebagai penghargaan. Oleh itu, sesiapa yang beribadat pada malam itu kepada Allah SWT, ibarat Allah SWT memberikan penghargaan dan kelebihan amalan mereka itu melebihi 1000 bulan.

4. Al-Qadr juga boleh bermaksud penahanan, tertahan, atau tersekat.

Contohnya: Allah SWT menahan rezeki seseorang. Surah [Al-Fajr: 16]

وَأَمّا إِذا مَا ابتَلاهُ فَقَدَرَ عَلَيهِ رِزقَهُ

“Adapun apabila Tuhannya mengujinya lalu menahan rezekinya”.

Oleh itu dapat kita tahu bahawa terdapat banyak maksud القَدرِ dan semuanya boleh digunakan untuk menjelaskan maksud لَيلَةِ القَدرِ itu sendiri ( tidak menunjukkan ia hanya satu makna sahaja).

Kalau kita bataskan maksudnya kepada “Malam Mulia” maka akan kurangnya makna untuk pemahaman yang lebih luas.

Ibrah dan kesimpulan:

1.Peringatan: Al-Qadr merupakan kemuncak ibadah dan taqarrub. Maka persediaan perlu dibuat dari sekarang jika mahu sampai ke puncak itu.

2. Sifat keberkatan antaranya, memberikan impak yang besar walau dalam keadaan atau masa yang singkat. Contohnya:

– Al-Quran yang diberkati, sarat dengan ilmu dan kandungan sepanjang zaman walaupun hanya dengan beberapa ratus halaman sahaja rujuk [As-Sad: 29]

كِتَٰبٌ أَنزَلْنَٰهُ إِلَيْكَ مُبَٰرَكٌ لِّيَدَّبَّرُوٓا۟ ءَايَٰتِهِۦ وَلِيَتَذَكَّرَ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَٰبِ

“Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran”. [Sad: 29]

– Peristiwa Isra’ Mikraj yang diberkati keseluruhannya, hanya berlangsung dalam satu malam. Namun sarat dengan pengajaran, perjalanan yang jauh walau dalam satu malam, serta ibadah solat yang agung [Al-Isra’: 1].

– Peristiwa penurunan Al-Quran yang diberkati, seumpama orang yang beribadah hanya pada malam itu seperti 1000 bulan rujuk [Al-Qadr].

Kerana itulah, lazimnya orang akan mengatakan bahawa keberkatan ialah seumpama memiliki sedikit, tetapi memberi nilai yang besar.

Contoh mendapat rezeki halal, cukup berbelanja kerana ia diberkati. Berbanding rezeki yang dapat dari jalan salah sentiasa tidak cukup kerana tidak berkat.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan