Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Istilah Tafsir Al-Quran – Tasliah

Istilah Tafsir Al-Quran – Tasliah

1318
0
Iklan

Istilah Tafsir Al-Quran

Istilah Tafsir yang ke-9 – Tasliah atau tasalli – تسلية / تسلّى

Ini adalah ayat-ayat pujukan atau penghibur hati kepada penyebar Dakwa – merangkumi Nabi dan semua umat yang menyebar tauhid – termasuk pengikut Nabi. Apabila kita berdakwah menyampaikan ajaran agama, akan ada yang tidak suka dan akan berkata buruk terhadap kita. Memang bukan senang hendak dakwah – walaupun kita benar, tidaklah semua orang akan terima. Kalau senang, tentu semua orang akan beriman dengan Nabi Muhammad SAW.

Ini adalah kerana ramai yang belajar benda selain dari Al-Quran dan Sunnah, maka mereka ikut nafsu mereka. Marah betul mereka apabila kita kata apa yang mereka faham dan amalkan itu salah. Mereka bukan sahaja tidak terima, tetapi ada yang menentang dan kata buruk terhadap kita. Tambahan pula mereka sudah lama amal ikut bisikan syaitan, dan syaitan telah banyak tanam ‘saham’ dengan mereka, maka tidak mudah syaitan hendak lepaskan mereka ikut Sunnah.

Apabila itu berlaku, hati pendakwah akan menjadi kecewa sungguh kerana yang menentang itu adalah ahli keluarga, kawan rapat dan masyarakat sendiri. Kepada mereka yang menerima dugaan itu, ada ayat-ayat yang Allah SWT turunkan kepada Nabi dan penyebar Dakwa sebagai penghibur dan pujukan hati – supaya mereka mendapat ketabahan.

Oleh itu, jangan mudah kecewa. Allah SWT memberitahu kita untuk menelan apa yang kena kepada kita, kelak nanti akan dibalas dengan baik di akhirat. Susah sekejap sahaja di dunia, bukan lama. Diberikan ayat-ayat sebegitu supaya mereka mendapat ketenangan dalam menyebar dakwah.

Kena ingat bahawa bukan hanya kita sahaja yang kena, tetapi Nabi pun menderita kerana kata-kata umat baginda. Apabila kita memperjuangkan perkara yang sama, maka kita pun akan terima juga dugaan-dugaan itu. Ayat-ayat yang menghiburkan hati Nabi, ia juga akan menghiburkan hati kita yang mendapat tentangan dalam usaha dakwah kita.

1. al balwa iza ‘ammat, khaffat. لبلوى اذا عمّت خفّت

‘Penderitaan itu apabila ia telah jadi umum, ia rasa ringan’.

Musibah itu jika ia umum, iaitu apabila kita tahu yang orang ramai lain pun terkena, maka kita yang menerimanya juga akan rasa ringan. Kita rasa ringan sebab tidak rasa kita sahaja yang kena, tetapi ramai orang mengalaminya. Maka, tahulah kita bukan berseorangan, terasa kurang sedikit kesusahan itu.

Contoh, kalau kita sakit perut makan kenduri, kita akan kurang rasa sakit jika kita tahu ada ramai lagi yang sakit perut. Memang psikologi manusia sudah begitu. Sebab itu Allah SWT sebutkan tentang nabi-nabi yang lalu.

Untuk melihat contoh tasliah jenis pertama ini, lihat ayat [Al-Fathir: 25]

وَإِن يُكَذِّبُوكَ فَقَدْ كَذَّبَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ جَاءَتْهُمْ رُسُلُهُم بِالْبَيِّنَاتِ وَبِالزُّبُرِ وَبِالْكِتَابِ الْمُنِيرِ

Dan jika mereka (yang kafir itu) mendustakanmu, sesungguhnya orang-orang yang terdahulu sebelum mereka telah juga mendustakan (Rasul masing-masing), mereka telah didatangi rasul-rasulnya dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan Kitab-kitab (nasihat pengajaran) serta Kitab-kitab (syariat) yang terang jelas.

Dalam ayat ini, Nabi dan penyebar Dakwa diberitahu yang bukan mereka sahaja yang ditolak dalam usaha dakwah mereka, tetapi orang-orang terdahulu sebelum mereka pun kena juga. Maka, itu akan mengurangkan sedikit keresahan dan sakit hati yang dialami oleh Nabi. Dalam hati kita akan berkata: Kalau mereka boleh sabar, takkan kita tidak boleh sabar?

2. Tarkul qaliili lil kathir. ترك القليل للكثير.

‘Meninggalkan yang sedikit demi untuk mendapat yang lebih banyak’.

Meninggalkan yang sedikit untuk mendapatkan sesuatu yang lebih besar nilainya dan lebih banyak. Perumpamaan, kita tinggalkan projek yang kecil dan pulangan yang sedikit, asalkan kita boleh dapat projek yang berjuta-juta harganya – kita tidak kisah pun kalau orang lain berebut hendak dapatkan projek yang kecil-kecil itu.

Seperti yang kita tahu, Allah SWT tidak limpahkan kelebihan keduniaan kepada pendakwah seperti yang diberikan kepada mereka yang menentang dakwah. Kadang-kadang kita lihat orang yang kafir dan yang menentang Islam, kehidupan dunia mereka nampak sangat mewah. Sedangkan kita lihat penyeru dakwah seperti Nabi kita, seperti tidak ada apa-apa dalam dunia ini, mereka hidup dengan serba kedaifan. Tetapi dalam masa yang sama mereka kena dakwah kepada mereka-mereka yang kaya dan yang berkedudukan tinggi dalam dunia. Semua ini mencabar Nabi dan penyeru Dakwa sedikit sebanyak.

Allah SWT beritahu bahawa dunia ini kecil sahaja, dan akhirnya semuanya akan ditinggalkan. Allah SWT memujuk: Tahanlah sekejap kesengsaraan yang dialami semasa di dunia ini. Ia tidak ada apa-apa pada hakikatnya. Hasil dari kesabaran itu, mereka akan dapat kelebihan yang lebih besar di akhirat. Dengan membaca ayat-ayat itu, menjadi ringan untuk menghadapi segala kesusahan yang kita alami di dunia.

Contoh ayat Tasliah jenis ini adalah seperti ayat [Ali-Imran: 196-197]

لَا يَغُرَّنَّكَ تَقَلُّبُ الَّذِينَ كَفَرُوا فِي الْبِلَادِ

“Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh bebasnya orang-orang yang kafir bergerak di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka)”.

مَتاعٌ قَليلٌ ثُمَّ مَأواهُم جَهَنَّمُ ۚ وَبِئسَ المِهادُ

“(Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka Jahanam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan”.

Kelebihan keduniaan yang mereka dapat itu sedikit sangat jika dibandingkan dengan apa yang Nabi akan dapat di akhirat nanti. Berapa sangatlah kelebihan mereka dapat itu? Sebagai contoh, kalau hendak makan banyak, berapa sangatlah yang mereka boleh makan? Maka, biarkanlah mereka kata apa sahaja mereka hendak kata. Biarlah mereka buat apa yang mereka hendak buat.

Biarkan mereka rebut keduniaan. Nabi dan mereka yang beriman akan dapat kelebihan yang berkali-kali ganda. Kita pun sebagai pendakwah, akan tentunya berjumpa dengan mereka yang berharta dan kemewahan berjuta-juta, tetapi janganlah kita terpesona dengan kelebihan yang mereka ada itu. Ingatlah, kita kejar akhirat, tetapi mereka kejar dunia sahaja.

3. Tarkul mubaalaati bil mukhaaliifin biada’i syukri ترك المبالاة بالمخالفين بأداء الشكر على نعم المنعم

Tidak peduli pada penentang dengan cara menyempurnakan kesyukuran’. Tidak mempedulikan sikap mereka yang menentang dengan cara menyempurnakan kesyukuran ke atas nikmat kepada Allah SWT, sebesar-besar pemberi nikmat.

Nikmat-nikmat yang disentuh ini adalah dalam bentuk rohani yang tidak ternilai sekali. Bukannya nikmat harta berjuta-juta. Itulah nikmat iman dan ibadah. Kalau kita memikirkan sangat apa yang orang kata terhadap kita, iaitu yang kata kita sesat, wahabi dan sebagainya, akan sesak fikiran dan nafas kita – buang masa sahaja, baik kita solat dan buat amalan ibadat yang lain.

Memang syaitan mahu kita buang masa dan susah hati memikirkan perkara itu. Oleh itu, tumpukan fokus kita kepada buat amal ibadat. Itu lebih baik dari kita memikirkan apa yang mereka katakan itu. Mereka sibuk cari dosa, kita sibukkan diri kita dengan kumpul pahala.

Allah SWT mengajar kita supaya jangan layan apa kata mereka yang menentang, tetapi banyakkan bersyukur kepada Allah SWT. Jangan hirau dengan cakap para penentang. Takkan kita hendak marah kepada pekerja sampah yang tidak ada kedudukan? Atau kata budak-budak kecil yang tidak tahu apa-apa?

Macam kita yang sudah tahu tauhid ini, takkan hendak lawan dengan mereka yang tidak ada nikmat iman? Syaitan sampaikan kata-kata mereka kepada kita kerana syaitan hendak kita berhenti dakwah. Kalau kita berhenti dakwah hanya kerana kata-kata manusia yang menentang, sukalah syaitan, menanglah syaitan.

Kenanglah bagaimana Allah SWT telah bagi Al-Quran, bagi wahyu, bagi Nabi kepada kita, dan itu adalah sebesar-besar nikmat. Dengan mengingati nikmat Allah SWT kepada kita, hati kita akan jadi tenang. Fikirkan yang positif dan tinggalkan yang negatif. Kenangkan juga nikmat iman yang Allah SWT telah berikan kepada kita. Bukan ramai yang dapat terima jalan sunnah ini, bukan?

Oleh itu, sibukkan hati kita dengan ibadat kepada Allah SWT. Ucapkan syukur kepada Allah SWT sentiasa. Kenanglah segala nikmat-nikmat yang kita telah dapat. Jangan serabutkan fikiran dengan perkara-perkara yang tidak penting. Ingatlah bahawa kesusahan yang kita alami ini akan mendapat balasan baik di akhirat.

Kita kena Tawajuh (hadapkan wajah, fokus) kepada Allah SWT. Lihatlah bagaimana Nabi tenang dan damai walaupun baginda dikelilingi dengan musuh yang ramai, kerana baginda telah diberikan dengan ayat-ayat tasliah seperti ini.

Contoh ayat tasliah jenis ini: [Taha: 130]

فَاصْبِرْ عَلَىٰ مَا يَقُولُونَ وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ غُرُوبِهَا وَمِنْ آنَاءِ اللَّيْلِ فَسَبِّحْ وَأَطْرَافَ النَّهَارِ لَعَلَّكَ تَرْضَىٰ

“Oleh itu, bersabarlah engkau (wahai Muhammad) akan apa yang mereka katakan, dan beribadatlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya; dan beribadatlah pada saat-saat dari waktu malam dan pada sebelah-sebelah siang; supaya engkau reda”.

Apabila kita hadapkan hati kita kepada Allah SWT, Dia akan berikan ketenangan kepada kita. Inilah ubat untuk mengubat hati kita dari terganggu dengan apa yang mereka lakukan dan katakan terhadap kita.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan