Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-‘Alaq – Ayat Pertama hingga Ke-3

Tafsir Surah Al-‘Alaq – Ayat Pertama hingga Ke-3

8500
0
Iklan

Tafsir Surah Al-‘Alaq

Maksud: Segumpal darah

Surah ke: 96 (akan tetapi kronologi penurunan ialah yang pertama)

Bilangan ayat: 19

Kategori: Makkiyyah

72 kalimat, 288 huruf

Kaitan antara At-Tiin dengan Al-A’laq:

Surah Al-A’laq ini lebih spesifik kalau dibandingkan dengan surah At-Tiin yang lebih berbentuk umum:

A) Dalam At-Tiin, para Nabi disebut secara umum dan hanya diisyaratkan dalam cerita di sebalik sumpahan Allah SWT. Akan tetapi dalam Al-A’laq, ia lebih menjurus kepada Nabi Muhammad SAW.

B) Dalam Surah At-Tiin, Allah SWT memberitahu yang Dia menjadikan kita dalam bentuk yang baik, dalam Surah Al A’laq, Allah SWT menjelaskan dengan lebih lanjut penciptaan manusia.

C) Dalam Surah At-Tiin, Allah SWT memberitahu bahawa ada manusia yang direndahkan. Maka di dalam Surah Al A’laq, Allah SWT mendatangkan contoh lelaki yang sebegitu.

D) Dalam Surah At-Tiin, Allah SWT mengutuk mereka yang menolak Nabi Muhammad SAW yang mendatangkan dalil agama. Di dalam Surah Al A’laq, Allah SWT memberi contoh Abu Jahal yang menolak Nabi Muhammad SAW.

Tafsir Ayat Pertama

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ

“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan” [Al-‘Alaq: 1]

Ayat ini dimulakan dengan fi’il amar (kata perintah). Ini adalah salah satu surah yang dimulai dengan kata suruhan. Allah SWT arahkan kita ‘membaca’ dalam surah ini.

Bahkan inilah ayat pertama yang Allah SWT turunkan kepada Nabi Muhammad SAW (kita telah sentuh sedikit tentang bagaimana cara ianya disampaikan kepada Rasulullah SAW).

Perhatikan, kalimah pertama yang Allah SWT berikan kepada manusia dari dalam Al-Quran iaitu, “Bacalah!”.

Di sebalik ini, kita juga mengetahui agama-agama sebelum itu, masyarakat awam memang tidak dibenarkan membaca/belajar kitab suci mereka. Tetapi ayat pertama yang Allah SWT turunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah untuk membaca.

Oleh itu, Islamlah agama yang mula-mula mengajar umatnya untuk membaca/belajar kitab suci mereka. Kita tidak perlukan ‘orang tengah’ untuk bacakan Al-Quran ini. Upah orang itu, upah budak tahfiz, bayar pakej valet atau khatam Al-Quran di Mekah.

Yang kita perlukan adalah Nabi Muhammad SAW sebagai contoh tauladan kita untuk kita belajar bagaimana cara mengamalkan ayat-ayat Al-Quran itu.

Islam bukan agama yang dimonopoli oleh pemuka agama, sampaikan pemuka agama itu boleh menipu dan mengubah agama sesuka hati mereka. Sehinggakan kita pernah mengetahui terdapat “zaman gelap” dalam agama Kristian kerana mereka tidak membaca/belajar dari kitab mereka.

بِاسمِ رَبِّكَ

Bermaksud: “Dengan nama Tuhanmu”. Ia membawa beberapa makna.

1. Bacalah Al-Quran itu dengan nama Allah SWT. Kerana itu, kita selalu memulakan bacaan Al-Quran dengan lafaz Bismillah/Basmalah.

2. Dalam hidup ini, bacalah apa yang telah disampaikan oleh Tuhanmu itu, iaitu Al-Quran, dan Nabi Muhammad SAW memenuhi suruhan ini sepanjang hidup baginda selepas dilantik menjadi Rasul.

3. Bacalah Al-Quran itu dengan harapan kepada Tuhanmu. Kalau Allah SWT tidak beri bantuan dan keizinan, kita pun tidak dapat lakukan apa sahaja yang kita mahu buat. Inikan pula ilmu dan kefahaman dari Al-Quran. Tentulah ia juga hanya dari Allah SWT.

4. Apabila membaca Al-Quran, pastikan hati sentiasa sedar bahawa ia adalah kata-kata dari Allah SWT.

Selain itu, inilah perbezaan bagi orang beriman dengan orang yang tidak beriman. Bagi orang beriman, sentiasa menjaga niat mereka untuk membuat sesuatu dengan nama Allah SWT.

Hadis Nabi saw:

عَنْ أَمِيْرِ الْمُؤْمِنِيْنَ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ : إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى. فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ.

Maksud Hadis:

Dari Amirul Mukminin, Abi Hafs Umar bin Al Khattab ra, dia berkata,

“Saya mendengar Rasulullah saw bersabda:

Sesungguhnya setiap perbuatan bergantung niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya kerana Allah SWT dan Rasul, maka hijrahnya kepada Allah SWT dan Rasul.Dan siapa yang hijrahnya karena menginginkan kehidupan di dunia atau kerana wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan”.

Ingatan untuk diri sendiri juga. Buat apa pun, kena jaga niat kerana Allah SWT. Amalkan basmalah dalam apa juga perbuatan kita.

وَأَنْ أَتْلُوَا۟ ٱلْقُرْءَانَ ۖ فَمَنِ ٱهْتَدَىٰ فَإِنَّمَا يَهْتَدِى لِنَفْسِهِۦ ۖ وَمَن ضَلَّ فَقُلْ إِنَّمَآ أَنَا۠ مِنَ ٱلْمُنذِرِينَ

“Dan supaya aku membacakan Al-Quran (kepada manusia). Maka barang siapa yang mendapat petunjuk maka sesungguhnya ia hanyalah mendapat petunjuk untuk (kebaikan) dirinya, dan barang siapa yang sesat maka katakanlah: “Sesungguhnya aku (ini) tidak lain hanyalah salah seorang pemberi peringatan“. [An-Naml: 92]

الَّذي خَلَقَ

Bermaksud: yang telah menciptakan”.

Yang menjadikan dari tiada kepada ada. Allah SWT memberitahu, bahawa semua yang ada dalam alam ini, Dialah yang menjadikan. Ia tidak dinafikan oleh ramai manusia.

Sebagai contoh: walaupun Musyrikin Mekah itu mengamalkan ajaran syirik, tetapi mereka juga menerima bahawa Allah SWT itu adalah Tuhan yang menjadikan.

Oleh itu ayat pertama ini juga adalah untuk mengingatkan manusia agar kembali semula kepada Allah SWT. Bermula apa sahaja perbuatan dengan Allah SWT, serta mengetahui yang menjadikan/mengizinkan juga adalah daripada Allah SWT.

Soalan: Kaum musyrikin yang mengamalkan syirik di mana mereka terima Allah SWT sebagai Yang Menciptakan mereka tetapi mengapa masih mahu mensyirikkan Allah SWT?

Jawapan: Sebab tersesat. Syaitan hendak menjauhkan manusia, tidak perlu hingga “menolak” Allah SWT. Tetapi membisikkan sesuatu yang tanpa sedar menjauhkan manusia dari Allah SWT, antaranya, musyrikin Mekah menjadikan “perantaraan” makhluk untuk meminta dengan Allah SWT. Oleh yang demikian, Al-Quran pun kena baca sendiri. Bahaya upah ini, walaupun nampak macam “baik atau bagus”.

Tafsir Ayat Ke-2:

خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ

“Ia telah menciptakan manusia dari segumpal darah[Al-‘Alaq: 2].

Dalam ayat pertama, Allah SWT memberitahu bahawa Dia yang menjadikan, tetapi tidak disebut apakah yang Allah SWT jadikan. Maka dalam ayat ini, Allah SWT menjurus pula kepada penciptaan manusia.

Lebih khusus, ia seumpama Allah SWT “membawa isu” yang DEKAT dengan manusia (penciptaan manusia). Ia untuk mengingatkan kita bahawa Dialah yang menciptakan manusia itu.

Apakah عَلَقٍ itu?

Kalimah عَلَقٍ dari ع ل ق : bermaksud sesuatu yang melekat dan tergantung. Selalunya diterjemahkan sebagai “segumpal darah”

Apabila sains moden semakin maju dan kajian embriologi dijalankan, kita dapat tahu bagaimana proses persenyawaan manusia itu.

Apabila sperma bercantum dengan telur wanita, percampuran itu akan menjadi zaigot dan ia akan melekat di dinding rahim. Apabila zaigot itu telah menjadi, itu sebagai tanda yang persenyawaan telah terjadi.

Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِّنَ الْبَعْثِ فَإِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن تُرَابٍ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ مِن مُّضْغَةٍ مُّخَلَّقَةٍ وَغَيْرِ مُخَلَّقَةٍ لِّنُبَيِّنَ لَكُمْ ۚ وَنُقِرُّ فِي الْأَرْحَامِ مَا نَشَاءُ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ثُمَّ نُخْرِجُكُمْ طِفْلًا ثُمَّ لِتَبْلُغُوا أَشُدَّكُمْ ۖ وَمِنكُم مَّن يُتَوَفَّىٰ وَمِنكُم مَّن يُرَدُّ إِلَىٰ أَرْذَلِ الْعُمُرِ لِكَيْلَا يَعْلَمَ مِن بَعْدِ عِلْمٍ شَيْئًا ۚ وَتَرَى الْأَرْضَ هَامِدَةً فَإِذَا أَنزَلْنَا عَلَيْهَا الْمَاءَ اهْتَزَّتْ وَرَبَتْ وَأَنبَتَتْ مِن كُلِّ زَوْجٍ بَهِيجٍ

“Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu.

Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai”. [Al-Hajj: 5)

Sudah tentu perkara ini tidak mungkin dapat diketahui oleh manusia pada zaman Nabi Muhammad SAW kerana untuk mengetahui perkara ini, memerlukan melihat ke dalam perut wanita dan menggunakan alat-alat moden.

Namun itulah antara mukjizat Al-Quran, di mana ilmu darinya melangkaui pengetahuan dan kepandaian manusia.

Cuma manusia itu yang kembali suka membantah Allah SWT:

خَلَقَ الْإِنسَانَ مِن نُّطْفَةٍ فَإِذَا هُوَ خَصِيمٌ مُّبِينٌ

“Ia menciptakan manusia dari air benih (nutfah), tiba-tiba menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya”. [Al-Nahl: 4]

Itu sahaja hanya dari satu bahagian dari Al-Quran. Belum lagi kita kumpulkan data-data, maklumat lain yang terdapat dalam Al-Quran. Sama ada yang telah lalu, semasa dan akan datang.

Bayangkan kebijaksanaan sebenar bagi mereka yang “ada ilmu” dari Al-Quran. Tidak kira Sains, Sejarah, Peradaban, Tamadun dan lain-lain. Betapa mereka yang ada ilmu dari Al-Quran, seolah-olah mampu “hidup” dengan mengetahui masa lampau, terkini dan akan datang.

Inilah yang digemari oleh musuh-musuh Islam. Mereka tahu, meninggalkan Al-Quran bererti ketinggalan zaman.

Semoga dapat kita kembali menghidupkan seruan pertama iaitu “membaca” dalam hidup kita dan keluarga dengan bermula dari Al-Quran.

Tafsir Ayat Ke-3:

اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ

“Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Mulia”.[Al-‘Alaq: 3]

Ini adalah pengulangan sekali lagi, arahan dan suruhan untuk membaca. Allah SWT telah suruh Nabi SAW membaca Al-Quran, ulangan ini juga sebagai motivasi dan kata-kata semangat.

Ini kerana Rasulullah SAW akan menerima banyak tentangan dan kata-kata yang mencemuh dan menghina Baginda. Maka ayat ini juga sebagai peringatan untuk terus membaca Al-Quran itu.

Sememangnya tugas Baginda amat sukar, tetapi dengan terus membaca Al-Quran, ia mendatangkan semangat kepada Nabi SAW. Begitulah juga dengan kita yang hidup atas dunia ini, pasti sangat penting untuk memperbanyakkan bacaan dan tadabbur Al-Quran.

الأَكرَمُ

Adalah dari kalimah ك ر م yang bermaksud “yang dihormati kerana kemuliaannya”.

Kenapakah Allah SWT dikatakan sebagai “mulia”?

Ini kerana betapa Allah SWT Maha Memberi dengan tidak perlu meminta. Kita lahir-lahir sahaja, sudah bermacam perkara yang kita dapat dari Allah SWT, walaupun waktu itu kita tidak tahu pun bagaimana untuk meminta.

Manusia pula, jika jadi mulia sekalipun, itu adalah kerana Allah SWT yang memuliakan kita dengan meninggikan darjat kita. Bukannya kita mulia kerana kedudukan kita sendiri.

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan”. [Al-Israa’: 70]

Oleh itu, kita jangan menjadi sombong jika terdapat sedikit “kemuliaan” yang Allah SWT izinkan untuk diri kita kerana setiap kelebihan itu adalah dari Allah SWT.

Ibrah dan kesimpulan:

1. Antara kehebatan dan sikap yang baik terdapat dalam kisah permulaan agama ini ialah dengan membaca. Namun hendaklah kita mulakan bacaan dalam hidup ini dengan meletakkan keutamaan dengan Al-Quran dan mengharap bimbingan dari-Nya.

Bacalah dengan nama Allah SWT, peliharalah niat hanya kerana-Nya. Mudah-mudahan kita terpelihara dari ilmu yang tidak bermanfaat atau ilmu yang menyebabkan kita kembali menyesal di hari akhirat nanti.

2. Sesungguhnya penciptaan manusia ini hanyalah dari segumpal darah. Tiada kemuliaan dan kelebihan melainkan Allah SWT yang “pinjamkan” kepada kita. Maka peliharalah diri kita elok-elok.

“Orang dah bagi pinjam, maka jaga elok-elok agar tak kalut bila kena pulangkan semula kepada tuannya”.

3. Jadikan Al-Quran sebagai bacaan berterusan dalam hidup kita. Mudah-mudahan kita terpimpin dan menjadi insan yang berada “dekat” dengan-Nya.

Sabda Rasulullah SAW:

“Barangsiapa yang menumpukan masanya utk membaca Al-Quran daripada meminta kepada-Ku, nescaya akan Aku berikan kepadanya lebih baik daripada apa yang diberikan kepada orang-orang yang meminta. Kelebihan Kalam Allah SWT di atas segala kalam yang lainnya adalah seperti kelebihan Allah SWT di atas makhluk-Nya.” [H.R. Tirmizi].

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan