Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Istilah Tafsir Al-Quran – Shikayah dan Zajrun

Istilah Tafsir Al-Quran – Shikayah dan Zajrun

1809
0
Iklan

Istilah Tafsir Al-Quran

7. Istilah Shikayah – شكاية

Ia adalah ayat rungutan Allah SWT tentang sikap degil manusia. Tujuan Shikayah adalah supaya hamba tahu yang Allah SWT tidak suka dengan apa yang mereka sedang lakukan dan mereka kena tukar amalan atau ubah perangai mereka. Kalau Allah SWT tidak suka sehingga ada rungutan, itu ada masalah maka kena ubah cara hidup.

Allah SWT hendak manusia masuk syurga, oleh itu telah diajar cara-caranya, tetapi ramai yang masih tidak mahu juga. Disebabkan marah dengan perbuatan mereka, maka Allah SWT nukilkan dalam Al-Quran ini, perkataan-perkataan hamba-Nya yang degil, iaitu kata-kata mereka yang tidak munasabah. Seumpamanya seperti Allah SWT hendak kata: “Tengoklah betapa teruknya mereka ini, tengoklah kata-kata mereka….”. Kita pun kadang-kadang merungut tentang orang, kan? Tetapi ini adalah rungutan dari Allah SWT.

Ada juga Allah SWT menukilkan kata-kata mereka yang mencabar Nabi dan menghina Nabi. Memang kedudukan kebanyakan Nabi-Nabi adalah rendah dari segi keduniaan, sampai ada yang mencabar dan menghina Nabi atau pembawa Dakwa. Nabi telah elok mengajar manusia bagaimana cara hendak masuk ke dalam syurga, tetapi mereka tolak dan hina para Nabi. Ada yang kata nabi mahukan kekayaan, hendak kerajaan dan bermacam lagi tuduhan mereka.

Dan Allah SWT menukilkan kata-kata mereka yang mencabar kemampuan Nabi. Maknanya, bukan pendakwah sahaja yang dihina, tetapi para Nabi juga dihina. Sebagaimana Nabi bersabar, kita pun kena bersabar juga. Tujuan mereka menghina begitu adalah kerana hendak tundukkan Rasul pembawa Dakwa dan menghalang mereka dari menyampaikan dakwah. Kalau berhenti dakwah, maka berjayalah mereka dan sukalah syaitan jika terjadi demikian.

Jadi, kita yang menyampaikan wahyu ini, jangan berhenti berdakwah kerana perbuatan dan perkataan mereka itu akan terus berlaku. Mereka mengeluarkan perkataan dari bisikan syaitan. Allah SWT cerita kepada kita supaya kita jangan berhenti menyampaikan ayat-ayat Allah SWT. Jika kita teruskan, ada kemungkinan orang yang melawan itu akan lembut hati dan mahu menerima wahyu Ilahi. Kadang-kadang, apa yang mereka kata itu, sekejap sahaja. Kalau kita terus sampaikan, syaitan pun akan tinggalkan mereka.

Cara untuk kenal ayat-ayat sebegini adalah apabila ada kata قال (dia berkata) atau قالوا (mereka berkata). Allah SWT nukilkan kata-kata mereka yang Dia tidak suka. Contoh ayat Shikayah adalah:

‎وَقَالُوا لَنْ نُؤْمِنَ لَكَ حَتَّى تَفْجُرَ لَنَا مِنَ الْأَرْضِ يَنْبُوعًا

“Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan matair dari bumi, bagi Kami”. [Al-Isra’: 90]

Soalan: Jika kita baca Al-Quran pada ayat shikayah adakah kena keraskan bacaan?

Jawapan: Intonasi akan jadi lain jika kita faham apa yang kita sedang dibaca.

8.  Istilah Zajrun – زجر

Ini adalah jenis ayat-ayat teguran dari Allah SWT. Ada dua jenis yang digunakan dalam Al-Quran: kepada yang mengikut ajaran wahyu dan juga kepada yang melawan.

A: Kalau kepada yang melawan, ianya adalah ‘teguran keras’ dan ‘kiasan pedas’, disebabkan tuntutan mereka yang tidak munasabah dan sikap mereka yang salah.

Contoh ayat Zajrun untuk penentang Dakwa adalah seperti yang disebut dalam [Al-Ghafir: 83]

‎فَلَمّا جاءَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّناتِ فَرِحوا بِما عِندَهُم مِنَ العِلمِ

“Kerana pada masa mereka didatangi oleh Rasul-rasul yang diutus kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan, mereka bergembira dengan pengetahuan yang ada pada mereka”;

Mereka tidak mahu menerima dakwah dari Rasul, tetapi lebih berbangga dengan ilmu sesat yang mereka ada. Padahal itu adalah ilmu khayalan yang bukan datang dari wahyu tetapi dari nafsu mereka. Macam kita zaman sekarang, kita bawa dalil yang sahih dari nas Al-Quran dan sunnah, tetapi ada golongan yang kata mereka ada hujah juga, dari kata tok guru-tok guru mereka sahaja. Mereka berbangga dengan ilmu mereka sedangkan itu bukanlah dari dalil yang sahih.

B: Dikira sebagai ‘teguran membina’ atau nasihat yang berguna, jikalau ianya diberikan kepada Nabi dan umat Islam yang beriman. Manusia perlu memperbaiki diri mereka walaupun mereka tidak buat salah.

Kedua-dua jenis teguran itu adalah untuk memperbaiki sifat manusia. Termasuk teguran yang membina pun. Ini susah sikit hendak faham. Sebagai contoh dalam [AT-Tawbah: 41], Allah SWT berfirman:

‎انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah SWT), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah SWT (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui”.

Dalam ayat ini, suruhan Allah SWT adalah untuk semua sekali umat Islam waktu itu pergi untuk berjihad. Allah SWT telah pesan untuk kosongkan Madinah untuk berperang di Tabuk. Tabuk itu adalah tempat yang jauh, waktu itu adalah musim panas dan musuh yang hendak dihadapi adalah ramai. Ditambah pula hasil kurma waktu itu sedang elok sudah boleh dikutip. Itu semua adalah dugaan-dugaan berat untuk pergi berperang. Ramai yang sudah tidak mahu pergi berperang dan ada beberapa munafik datang jumpa Nabi untuk beri alasan palsu. Namun, Nabi beri izin kepada mereka untuk tidak ikut berperang.

Atas keizinan Nabi itulah yang Allah SWT tegur. Inilah yang dinamakan ‘teguran membina’. Ini terdapat dalam ayat [At-Tawbah: 43], di mana Allah SWT telah tegur dan maafkan Nabi.

‎عَفَا اللَّهُ عَنكَ لِمَ أَذِنتَ لَهُمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَتَعْلَمَ الْكَاذِبِينَ

“Allah SWT memaafkanmu (wahai Muhammad), mengapa engkau izinkan mereka (tidak turut berperang) sebelum nyata bagimu orang-orang yang benar dan (sebelum) engkau mengetahui orang-orang yang berdusta”?

Sepatutnya Nabi tidak bagi izin. Jika baginda tidak benarkan, tentulah akan dapat tahu siapakah yang beriman dan siapa yang munafik, kerana yang munafik tentu tidak akan pergi berperang. Tetapi, disebabkan Nabi telah beri izin kepada mereka untuk tidak berperang, maka tidaklah jelas siapakah yang munafik dan siapa yang tidak. Kerana munafik yang tidak pergi berperang itu boleh kata yang Nabi telah benarkan mereka untuk tidak pergi.

Kadangkala Nabi ditegur kerana khilaful awla – perkara yang kurang baik dari yang lebih baik – menyalahi yang terbaik. Bukanlah Nabi telah buat satu kesalahan tetapi ianya adalah kesilapan strategik sahaja yang tidak dipersalahkan kepada Nabi.

Oleh itu, kena berhati-hati dalam menghurai ayat sebegini, kerana takut kita kata sesuatu perkataan yang tidak sesuai terhadap Nabi. Jangan kita kata sesuatu yang sampai boleh merendahkan kedudukan Nabi. Yang layak tegur Nabi adalah Allah SWT sahaja. Boleh rosak akidah kalau merendahkan kedudukan Nabi Muhammad SAW. Tidaklah sama teguran kepada Nabi dan orang mukmin dan teguran kepada puak penentang.

Allahu a’lam.

 

Komen dan Soalan