Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Pengenalan

Tafsir Surah Ghafir – Pengenalan

5177
0
Iklan

Tafsir Surah Ghafir

Muqaddimah:

Kita semua kena wajib taat kepada ajaran Nabi Muhammad SAW. Ini banyak disebut dalam ayat-ayat dalam Al-Quran dan hadis Nabi. Salah satu perkara yang amat penting difahami adalah tentang doa. Apa sahaja doa yang kita buat, perlu ikhlas seperti yang Nabi ajar. Jika tidak, tidak diterima doa itu.

Yang paling penting, tidak boleh menggunakan perantaraan makhluk dalam berdoa. Seperti yang akan disebut di dalam Al-Ghafir ini. Kita akan belajar dalil yang mengatakan kita kena doa terus kepada Allah sahaja, bukan melalui perantaraan. Kalau ada yang kata boleh berdoa guna perantaraan, maka kenalah bawa bukti yang Nabi ajar menggunakan perantaraan makhluk dalam berdoa.

Banyaklah kesalahan yang dilakukan oleh manusia dalam hal berdoa ini. Ini semua terjadi kerana tidak tahu cara berdoa. Mereka rasa susah sangat untuk berdoa dan kena belajar cara-cara yang spesifik dan tertib yang tertentu yang amat payah. Sedangkan, senang sahaja cara untuk berdoa. Insya Allah, kita akan belajar cara-cara berdoa dalam surah ini.

Pengenalan kepada Surah Ghafir:

Surah ini juga dinamakan sebagai Surah Mu’min kerana ada kisah tentang seorang lelaki mu’min dalam surah ini. Lelaki itu adalah dalam kalangan pembesar Firaun tetapi beliau beriman dan menyembunyikan keimanannya. Tidak ramai yang tahu tentang kisah itu dan Insya Allah kita akan memperkenalkan beliau dalam tafsir surah ini.

Dari Al-Ghafir ini sampailah kepada Al-Ahqaf nanti, semuanya dimulakan dengan huruf muqattaah ‘ha mim’. Oleh kerana itu, ketujuh-tujuh surah ini dikenali sebagai ‘sab’u hawamiim‘ – tujuh ha mim’. Juga dikenali sebagai hamimaat.

Ada kelebihan kepada surah-surah yang dimulakan dengan ha mim ini. Ia mengandungi bacaan yang indah-indah dan mengandungi peringatan yang amat penting. Banyak sekali riwayat-riwayat tentang kepentingan surah-surah yang dimulai dengan ‘ha mim’ ini. Dan selepas disebut ‘ha mim’ itu, Allah terus menyebut tentang Al-Quran. Ini kerana hendak menekankan kepentingan Al-Quran itu. Allah menarik perhatian manusia kepada Al-Quran dengan menggunakan huruf-huruf Muqatta’ah itu.

Al-Ghafir ini diturunkan selepas Az-Zumar. Tujuan utama Al-Ghafir ini adalah untuk menjelaskan ‘Tauhid dalam berdoa’. Ia mentafsirkan ayat إِيّاكَ نَستَعينُ dalam Al-Fatihah. Ada tujuh surah hendak menjelaskan potongan ayat itu sahaja, kerana kepentingan perkara itu. Allah hendak bagi kita faham supaya tidak ada kekeliruan lagi dalam hal berdoa.

Kenapa sampai ada tujuh surah? Al-Ghafir ini menjelaskan tentang tauhid dalam berdoa dan enam surah lagi menyentuh tentang kekeliruan yang mungkin timbul dalam doa itu. Maknanya, sampai tidak ada ruang untuk mengatakan boleh syirik dalam berdoa.

Itulah kepentingan tahu dengan jelas makna إِيّاكَ نَستَعينُ. Kena faham betul-betul. Inilah perkara paling penting dalam hawamim tujuh ini. Demi untuk memberi kefahaman, Allah SWT bawakan hingga tujuh surah. Sedangkan إِيّاكَ نَعبُدُ, Allah SWT hanya bawa satu surah sahaja iaitu Surah Az-Zumar.

Kita teruskan dengan menjelaskan tentang doa dahulu. Manusia tidak lepas dari dua perkara yang dikehendaki:

  1. Hajat. Berbagai-bagai keperluan dan keinginan kita di dalam hidup ini dan mengharapkan ianya diberikan kepada kita.
  2. Penyelesaian kepada masalah dan musibah. Sebagai manusia, tentu ada banyak masalah yang kita akan hadapi. Apabila kita menghadapi perkara itu, kita berharap semoga ianya dapat diselesaikan.

Dalam kedua-dua perkara ini, kita bergantung kepada Allah SWT sahaja. Kalau Allah SWT tidak beri bantuan, tentu kita tidak dapat apa yang kita hajati dan masalah tentu tidak dapat diselesaikan. Tidak kira sama ada perkara itu kecil atau besar, semua bergantung harap kepada Allah SWT.

Jangan kita sangka yang perkara besar sahaja kita minta kepada Allah SWT, tetapi ingatlah kena minta kepada Allah SWT dalam semua perkara. Sebab itu Nabi ajar doa dalam perkara yang remeh temeh pun kena minta kepada Allah SWT. Minta kepada Allah SWT dulu sebelum minta kepada orang lain. Mintalah kepada Allah SWT walau pun putus tali selipar. Jangan ada ruang dalam hidup kita yang kita tidak bergantung kepada Allah SWT. Sentiasalah doa kepada Allah SWT dalam setiap keadaan. Kena dekat dengan Allah SWT. Jangan dalam hajat besar sahaja kita harap kepada Allah SWT.

Inilah tauhid dalam berdoa. Kita kena hadapkan doa kita kepada Allah SWT dalam setiap perkara. Dan kita kena tawajuh (fokus) semasa meminta. Jangan lafaz dengan lidah tetapi hati tidak tawajuh. Ingatlah yang Allah SWT tidak terima doa dari hati yang lalai leka.

Dakwa surah adalah dalam ayat 14 yang kita akan belajar nanti.

Ini adalah tugas Khalifah negara Islam, bukan tugas kita. Khalifah kena beri ujian kepada mereka utk memastikan mereka bukan golongan munafik. Kerana golongan munafik tidak boleh dibenarkan dalam tentera Islam.

حم

Haa Miiim.

Ayat-ayat jenis ini dinamakan ayat-ayat Muqattaah. Tuhan sahaja yang tahu makna huruf-huruf ini. Kita hanya dapat tahu tafsir ayat-ayat selepasnya sahaja. Kita tidak tahu apa makna ayat ini.

Ini menyedarkan kita bahawa, kalau Allah SWT tidak memberitahu apa-apa kepada kita, kita tidak akan tahu apa-apa pun. Tetapi bukanlah huruf-huruf Muqattaah ini tidak ada makna. Ada maknanya, cuma kita sahaja yang tidak tahu kerana Allah SWT tidak memberitahu kepada kita. Nabi Muhammad SAW pun tidak pernah menceritakan apakah maknanya. Kita tahu tidak ada maklumat tentangnya, kerana tidak ada hadis yang Nabi memberitahu maknanya.

Ada perkara yang Allah SWT tidak beritahu kepada kita, termasuklah kepada Nabi Muhammad SAW. Kalau Nabi Muhammad SAW tahu maknanya, maka wajib bagi baginda untuk memberitahu kepada kita kerana tugas Nabi adalah mentafsir Al-Quran kepada kita.

Namun, kita boleh ambil pengajaran dari perkara ini. Ini adalah satu ujian kepada orang yang alim – (orang berilmu). Ujian untuk lihat sama ada mereka boleh kata mereka ‘tidak tahu’. Untuk melihat sama ada mereka boleh mengaku kepada manusia dan anak murid yang mereka tidak tahu. Mereka mungkin rasa malu untuk mengaku tidak tahu kalau ditanya. Takut orang hairan kenapa mereka tidak tahu, takut malu dia hendak jawab begitu.

Masalahnya, ada orang alim yang walaupun mereka tidak tahu dengan pasti, mereka akan jawab juga mengikut agak-agak mereka, walaupun mereka tahu maklumat itu tidak tepat. Ini bahaya. Sepatutnya jangan malu hendak kata tidak tahu. Ini mengingatkan kita kepada kisah bagaimana pernah satu rombongan dari jauh datang bertemu Imam Malik dengan membawa 18 soalan. Imam Malik hanya menjawab 3 sahaja soalan-soalan itu dan selainnya, Imam Malik jawab: “Aku tidak tahu”. Beliau kata: “La adri”.

Kepada kita yang tidak berilmu ini, ayat ini mengajar kita untuk mula belajar dengan ‘tidak tahu’, dengan fikiran yang kosong, bersedia untuk menerima ilmu. Kalau kita mulakan belajar sesuatu dengan idea lain yang sudah ada dalam fikiran kita, itu akan jadi satu gangguan kepada pemahaman kita.

Satu lagi, huruf-huruf Muqattaah ini menarik perhatian orang yang mendengar dan membacanya.

Bangsa Arab adalah satu bangsa yang amat berbangga dengan penguasaan bahasa mereka. Penggunaan huruf Muqattaah ini tidak pernah mereka dengar. Jadi, apabila Al-Quran menggunakan perkataan sebegini, mereka kehairanan dan mereka akan tertanya-tanya apakah yang hendak dibawa oleh ayat-ayat Al-Quran itu. Oleh itu, mereka akan memberi perhatian kepada ayat-ayat yang seterusnya.

Oleh, kalimah Ha Mim ini adalah kalimah untuk tawajuh (hadapkan wajah/perhatian/fokus). Orang yang tahu bahasa Arab, apabila jumpa benda pelik sebegini yang tidak biasa dengar, dia akan tawajuh.

Kita kena ingat bahawa, walaupun bahasa Al-Quran menggunakan bahasa Arab, tetapi apabila ia telah menjadi Kalam Allah SWT, sudah jadi lain dan tidak sama dari bahasa Arab yang asal. Bahasa Al-Quran adalah mukjizat dan bukanlah bahasa Arab yang biasa.

Kepada kita, apabila kita baca huruf-huruf Muqattaah ini, ia adalah satu penggunaan bahasa yang amat menarik perhatian kita. Kita akan rasa terpanggil untuk terus membaca ayat-ayat seterusnya. Ada ‘getaran’ yang tersendiri, bukan? Begitulah keindahan Al-Quran yang Allah SWT telah jadikan untuk kita.

Begitulah tafsir tentang Ayat-ayat Muqattaah. Ada 29 semuanya dalam Al-Quran dan selepas ini bila kita berjumpa lagi, tidaklah perlu untuk ditafsirkan lagi kerana ianya sama sahaja. Ringkasnya: kita tidak tahu.

Walaupun ramai yang cuba memberi tafsir, tetapi jikalau ianya tidak ada sandaran dari Sunnah, maka tidaklah perlu kita beri perhatian. Kerana itu hanyalah agakan akal manusia yang lemah sahaja.

Soalan: Cabaran paling besar ialah untuk mendirikan solat yang khusyuk, adakah doa kita diterima oleh Allah?

Jawapan: Untuk mendapatkan solat yang khusyuk memerlukan usaha dan ilmu. Bertambah ilmu maka bertambahlah khusyuk.

Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan doa itu adalah otak ibadat?

Jawapan: Doa itu otak ibadat bermaksud dalam semua ibadat kita sebenarnya ada doa di dalamnya. Ia adalah perkara yang amat penting sekali. Seseorang boleh jadi kafir dan syirik kerana salah faham dalam hal berdoa.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan