Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Al-Baqarah Ayat Ke-13 hingga Ke-15

Tafsir Al-Baqarah Ayat Ke-13 hingga Ke-15

1429
0
Iklan

Tafsir Al-Baqarah Ayat Ke-13:

‎وَإِذا قيلَ لَهُم آمِنوا كَما آمَنَ النّاسُ قالوا أَنُؤمِنُ كَما آمَنَ السُّفَهاءُ ۗ أَلا إِنَّهُم هُمُ السُّفَهاءُ وَلٰكِن لا يَعلَمونَ

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman”. Mereka menjawab: “Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?” Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui”.

Tafsiran ayat:

‎وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ

Dan apabila dikatakan kepada mereka:

Nasihat diberikan kepada mereka lagi. Ada orang yang menjalankan tugas mereka untuk memberi peringatan kepada orang lain. Begitulah, kita hendaklah jalankan tugas kita dengan memberi peringatan dan menegur mereka yang membuat kesalahan. Jangan hanya melihat kerana jika tidak, mereka yang melakukan kesalahan itu mungkin tidak tahu kesalahan yang dibuat (sebab tiada yang menegur dan ingat yang dibuat itu adalah betul)

آمِنُوا كَمَا آمَنَ النَّاسُ

Berimanlah kamu sepertimana berimannya manusia;

Nasihat diberikan lagi kepada mereka, supaya duduk dengan Nabi sahaja. Perkataan ‘النَّاسُ’ yang dimaksudkan adalah para sahabat Nabi yang mukmin, yang benar-benar beriman. Tidak perlu lagi belajar Taurat atau Injil. Tidak perlu lagi pergi kepada pendita Yahudi dan ambil ilmu dari mereka. Mereka dinasihati untuk ikut seperti para sahabat Nabi yang setia. Sahabat yang setia dan beriman itu duduk belajar dengan Nabi sahaja, iaitu dengan mengambil ilmu yang benar sahaja.

‘mereka’ yang dimaksudkan adalah orang-orang munafik itu.

Begitu juga dengan orang yang hendak terima sunnah. Tidak perlu lagi pergi belajar dengan guru-guru yang mengajar yang tidak mengikut ajaran sunnah, jangan pergi lagi kepada guru yang mengajar bidaah.

Ada banyak guru sunnah sekarang, kenapa hendak pergi lagi kepada mereka yang belum tentu mengajar dari Al-Quran dan Sunnah? Bukan semua mereka cakap itu salah, tetapi pandaikah kita hendak tapis mana yang benar dan mana yang salah? Bukankah mudah jika kita terus belajar dengan ustaz yang sunnah sahaja?

قَالُوا أَنُؤْمِنُ كَمَا آمَنَ السُّفَهَاءُ

Mereka jawab: patutkah kami beriman sepertimana berimannya orang-orang yang bodoh itu?

Apabila mereka diberi nasihat sebegitu, puak-puak Munafik itu menjawab: puak yang duduk dengan Muhammad SAW sahaja itu jenis orang yang bodoh. Kami ini sudah biasa mengaji dengan puak Yahudi. Kami belajar dengan orang yang tahu baca Kitab – Nabi Muhammad SAW itu tidak tahu pun baca kitab. Lihatlah bagaimana orang kampung dia (Mekah) sampai halau dia, bukan?

Mereka pandang rendah pada Nabi Muhammad SAW; mereka pun melihat sahabat Nabi yang taat dengan Nabi itu pun jenis tidak pandai, tidak pandai cari harta seperti mana orang Yahudi. Orang Yahudi pula kaya raya, pandai berniaga dan sebagainya.

Kumpulan munafik itu juga mengatakan orang-orang Muhajirin yang telah berpindah dari Mekah itu bodoh-bodoh belaka. Mereka kata Muhajirin itu bodoh kerana meninggalkan segala apa yang mereka ada semasa di Mekah dahulu. Oleh yang demikian, mereka tidak mahu bersama dengan orang-orang yang mereka kata bodoh itu.

Zaman sekarang pun ada juga orang sebegini. Apabila kita ajak mereka untuk belajar sepertimana orang-orang yang telah belajar Al-Quran dan Sunnah, mereka akan kata mereka yang belajar Al-Quran dan Sunnah itu tidak pandai. Mereka akan suruh kita belajar lagi. Mereka akan kata kita tidak habis belajar lagi, sebab tidak berjumpa lagi dengan apa yang mereka telah jumpa. Mereka rasa mereka sudah pandai kerana mereka telah belajar dengan banyak guru dan banyak kitab-kitab karangan manusia yang mereka telah baca. Padahal mereka tidak sedar bahawa yang mereka belajar itu adalah ilmu yang salah kerana tidak berdasarkan Al-Quran dan Sunnah. Kitab yang mereka rujuk itu adalah kitab karangan manusia yang menggunakan akal sahaja dan ilmu khayalan.

أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ السُّفَهَاءُ

Ketahuilah, sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh

Lihatlah, Allah sendiri kata merekalah (golongan munafik) yang bodoh sebenarnya, bukannya sahabat Nabi yang bodoh, tetapi mereka tidak menyedarinya.

‎وَلَٰكِنْ لَا يَعْلَمُونَ

Dan tidaklah mereka mengetahui;

Mereka tidak sedar bahawasanya merekalah yang tidak berilmu. Walaupun orang-orang Munafik itu kata pengikut-pengikut Nabi itu bodoh, tetapi sebenarnya merekalah yang bodoh, iaitu bodoh dan jahil dalam hal agama. Al-Quran yang telah dipastikan kebenarannya pun mereka tidak mahu belajar. Mereka tidak boleh bezakan manakah nafsu dan mana wahyu, mereka kejar adalah nafsu, bukannya wahyu.

Ketahuilah, apa-apa sahaja dalil yang bukan diambil dari Al-Quran dan Sunnah, itu adalah ‘dalil nafsu’.

Mereka tidak mengetahui perkara-perkara yang benar, kerana jika hendak tahu, kenalah belajar. Tetapi mereka tidak mahu belajar. Inilah yang payah, mereka tidak tahu tetapi mengaku pandai. Kalau orang yang mengaku bodoh, mengaku tidak tahu senang kita hendak ajar dia. Tetapi jika orang yang tidak tahu, tetapi dia ingat dia tahu, bagaimana hendak mengajar orang begitu? Dalam bahasa Arab, ini dipanggil jahil murakkab – kejahilan berganda, sudahlah dia jahil tetapi dia tidak tahu dia jahil, maka memang susahlah hendak diajar.

Maka, kita kena kembangkan keinginan untuk belajar. Malangnya, institusi keagamaan dalam negara ini ada yang bermasalah, kerana ada guru-guru yang mengajar, mereka ajar anak murid mereka jadi bodoh. Antaranya, mereka larang anak murid dari bertanya. Awal-awal lagi, mereka akan beritahu kepada anak murid, kalau banyak bertanya, itu tanda lemah iman. Maka, anak murid tidak beranilah hendak bertanya selepas itu, apa yang guru cakap mereka terima sahaja, walaupun kadang-kadang tidak masuk akal dari mula lagi.

Kemudian, ada pula yang ajar, tafsir Al-Quran tidak boleh belajar, sebab kita tidak akan faham. Hendak belajar tafsir Al-Quran, kena ada 15 ilmu baru boleh belajar dan orang awam tidak boleh belajar, nanti jadi sesat, jadi perpecahan umat, Masya Allah! Syaitan telah berjaya menjauhkan manusia dari Al-Quran. Bila jauh dari Al-Quran jadi jahil maka, senanglah syaitan hendak menipu.

Masyarakat kita banyak yang tidak berfikiran kritis, mereka terima sahaja bulat-bulat apa yang diajar oleh guru-guru. Mereka tidak bertanya balik, “ustaz, benda yang ustaz cerita ni, adakah ada dalam Al-Quran? Ada dalam kitab hadis mana saya boleh rujuk?”.

Memang mereka tidak berani bertanya apa yang guru itu cakap, mereka mengiakan sahaja, kadang-kadang jika ada yang berani bertanya, kena marah pula, sedangkan Nabi pernah bersabda:

فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالُ

Ertinya: Sesungguhnya ubat kepada kejahilan adalah bertanya (kerana kejahilan itu seumpama penyakit) (Sunan Abu Dawud, Sunan Ibn Majah & Musnad Ahmad).

Saya sudah banyak pengalaman berhujah dengan mereka yang menentang sunnah. Memang payah. kerana mereka benda asas pun tidak tahu. Seperti hendak bersembang “Add Math” dengan kita,tetapi “Modern Math” pun tidak tahu lagi, maka susahlah hendak bersembang. Benarlah kata Imam Syafie: “Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu tetapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu”.

Semoga anda semua dapat meneruskan pembelajaran dan mempunyai fikiran yang kritis. Jangan takut mempersoalkan apa yang disampaikan oleh guru. Jika tidak faham, hendaklah bertanya. Jangan takut untuk bertanya, tidak ada istilah soalan bodoh. Jangan terus duduk dalam kejahilan. Kena cuba fahamkan seboleh mungkin tentang agama. Agama Islam ini mudah sebenarnya, tidak perlu berbelok-belok, tetapi kena berusaha untuk menambah ilmu.

Berdoalah kepada Allah untuk memberikan kita ilmu yang benar dan tunjuk manakah yang betul, kata ustaz inikah atau kata ustaz yang itu, supaya Allah sendiri yang memimpin kita.

Tafsir Ayat Ke-14:

وَإِذا لَقُوا الَّذينَ آمَنوا قالوا آمَنّا وَإِذا خَلَوا إِلىٰ شَياطينِهِم قالوا إِنّا مَعَكُم إِنَّما نَحنُ مُستَهزِئونَ

“Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: “Kami beriman”, dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:” Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok”.

وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ آمَنُوا

“Apabila mereka berjumpa dengan orang beriman”;

Iaitu apabila mereka berjumpa sahabat-sahabat Nabi.

قَالُوا آمَنَّا

“Mereka berkata: “Kami beriman”;

Kenapa sibuk hendak berkata mereka beriman? kerana mereka tahu mereka salah, oleh itu mereka segera berkata bahawa mereka sebenarnya beriman. Macam anak kita yang sudah bersalah, belum kita kata apa-apa, mereka akan kata ‘bukan salah adik’ tetapi Allah telah beritahu dalam ayat sebelum ini yang mereka tidak beriman sebenarnya. Dan kita pun telah belajar bagaimana mereka jadi pengintip kepada golongan Yahudi itu – apa yang Nabi Muhammad SAW ajar, mereka akan beritahu kepada orang Yahudi. Mereka bersahabat dan rapat lagi dengan orang Yahudi itu.

Mungkin timbul persoalan: Kenapakah agaknya golongan Munafik itu tidak terus sahaja tinggalkan Nabi dan para sahabat yang beriman? Atau, kenapa tidak mengaku sahaja yang mereka itu bukan orang Islam? Bukankah senang kalau begitu?

Golongan munafik itu tidak terus mengaku kafir dan duduk terus sebelah pihak Yahudi kerana kalau mereka mengaku kafir, mereka akan dihukum bunuh. Itu adalah hukum hudud – mereka yang murtad akan dihukum bunuh. Oleh itu, mereka tidak berani mengaku kafir terus. Jadi, di depan Nabi dan para sahabat, mereka berlakon mereka beriman. Jadi, hidup mereka susah sebenarnya. Bila duduk dengan para sahabat yang beriman, mereka kata mereka beriman juga. Dan mereka pergi majlis Nabi juga. Mereka hidup berpura-pura.

إِنَّ ٱلْمُنَٰفِقِينَ يُخَٰدِعُونَ ٱللَّهَ وَهُوَ خَٰدِعُهُمْ وَإِذَا قَامُوٓا۟ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ قَامُوا۟ كُسَالَىٰ يُرَآءُونَ ٱلنَّاسَ وَلَا يَذْكُرُونَ ٱللَّهَ إِلَّا قَلِيلًا

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang)”.(An-Nisa’ – 142)

وَإِذَا خَلَوْا إِلَىٰ شَيَاطِينِهِمْ

”Dan apabila mereka berpaling pergi kepada syaitan-syaitan mereka”;

Iaitu yang dimaksudkan tok guru-tok guru mereka dari kalangan Pendita Yahudi itu,

قَالُوا إِنَّا مَعَكُمْ

“Mereka berkata: Kami sebenarnya bersama kamu”;

Tetapi bila mereka pergi kepada ‘syaitan-syaitan’ mereka, mereka kata lain pula. Mereka beritahu kepada puak-puak Yahudi itu yang hati mereka bersama puak Yahudi itu.

Lihatlah bagaimana Allah gelar ketua-ketua puak Yahudi itu sebagai ‘syaitan’ – kerana sifat syaitan itu perosak agama. Yang dimaksudkan ‘syaitan’ dalam ayat ini adalah ulama-ulama Yahudi dan pembesar-pembesar mereka.

Hati golongan munafik sebenarnya bersama puak Yahudi itu. Walaupun tubuh badan mereka bersama Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang mukmin, mereka terpaksa menipu kerana kalau tidak tunjuk yang mereka sokong Nabi Muhammad SAW, tentu mereka akan dihukum.

Lihatlah bagaimana Allah gelar tempat rujukan mereka itu ‘syaitan’. Ini juga adalah satu dalil bahawa ‘syaitan’ itu bukan dari golongan jin sahaja. Lihatlah bagaimana Allah gelar pemuka-pemuda Yahudi itu sebagai ‘syaitan’ sedangkan mereka itu manusia. Ini adalah kerana ‘syaitan’ adalah satu ‘sifat’ jika sifat menjauhkan orang dari agama, itu dipanggil syaitan, sama ada dari kalangan jin atau manusia.

Mereka menunggu untuk melihat mana yang lebih menguntungkan mereka untuk dijadikan sebagai kawan. Ini tidak boleh. Kita tidak boleh menjadikan orang kafir sebagai teman rapat kita. Teman rapat adalah orang yang kita berkongsi rahsia dengan mereka. Mana boleh berkongsi rahsia dengan orang kafir.

Kita selalu sebut munafik. Tetapi dari manakah datang kalimah ‘munafik’ itu?

Perkataan ‘munafiq’ itu adalah dari lafaz ‘nafaqa’ yang bermaksud ‘lubang biawak’ dalam bahasa Arab. Biawak di Tanah Arab akan buat dua lubang dalam tanah. Jadi, kalau ada binatang lain kejar masuk satu lubang, mereka akan lari dari lubang yang lagi satu. Begitulah juga munafik ini. Mereka masuk Islam dari satu lubang dan keluar dari lubang yang lain. Satu lubang mereka masuk Islam, dan satu lubang lagi mereka keluar untuk berjumpa dengan kawan mereka dari golongan kafir.

إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ

“Sebenarnya kami hendak mengejek-ngejek mereka sahaja”;

Mereka kata yang mereka hanya memperlekeh orang-orang beriman itu dengan menipu kata mereka beriman. Mereka mempersendakan mereka yang beriman. Dan mereka hendak memperdayakan puak-puak yang beriman.

Namun, di dunia lagi Allah telah memalukan mereka. Kedua-dua pihak tidak percaya kepada mereka. Orang beriman tidak percayakan mereka, orang Yahudi pun tidak percayakan mereka, kerana mereka tahu yang puak Munafik itu talam dua muka sahaja.

Ini terjadi pada zaman sekarang pun. Ada orang Islam yang hendak berkawan dengan kedua-dua pihak – di pihak Sunnah mereka hendak kawan, di pihak Bidaah pun mereka hendak berkawan juga.

Jika mereka ada ciri-ciri tersebut, kita berhati-hati sahajalah. Jangan pula beritahu orang lain yang mereka itu adalah munafik pula. Kalau ada peluang untuk beri nasihat, beritahulah mereka yang mereka ada sifat-sifat munafik. Kita bukan hendak melabelkan orang. Kita hendak memperbaiki orang.

Banyak ayat dalam Al-Quran yang menyentuh tentang perkara ini, jadi ada pengkelasan ‘kawan’. Maka, adalah dilarang untuk menjadikan mereka ‘teman rapat’, kerana takut kita terikut-ikut dengan mereka pula, kita selalunya ikut kawan rapat kita.

Tafsir Ayat Ke-15

Inilah balasan yang dikenakan kepada mereka. Apa mereka sangka mereka boleh lepas begitu sahaja?

اللَّهُ يَستَهزِئُ بِهِم وَيَمُدُّهُم في طُغيانِهِم يَعمَهونَ

“Allah (membalas) memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka”.

اللَّهُ يَسْتَهْزِئُ بِهِمْ

“Allahlah yang memperolok-olokkan mereka”

Allah jawab dalam ayat ini bahawa Allahlah yang membodohkan munafik itu. Mereka hendak mempersendakan dan membodohkan orang-orang Mukmin, tetapi Allah kata Dia yang mempersendakan mereka.

Allah tidak terus azab mereka di dunia, jadi mereka nampak macam mereka selamat sahaja menipu orang beriman, tapi Allah olok-olok sahaja bagi mereka nampak macam mereka selamat, kelak di akhirat nanti, mereka akan dikenakan azab.

وَيَمُدُّهُمْ

“Dan Allah membiarkan mereka”

Allah biarkan mereka buat apa yang mereka hendak buat, tiada halangan dari Allah pun.

Kalimah ‘مُدُّ’ bermaksud ‘memanjangkan’. Maknanya biarkan sahaja, untuk lihat sejauh mana perbuatan mereka. Contoh kita sudah tahu dalam pejabat kita ada seorang yang kaki curi. Kita pun biarkan sahaja hendak tengok apa dia akan buat kalau kita letak duit sana sikit, sini sikit.

فِي طُغْيَانِهِمْ

“Dalam kesesatan mereka”

Allah biarkan mereka jadi bodoh. Allah biarkan mereka dalam kesesatan wahyu supaya tidak faham wahyu dan buta hati. Kenapa teruk sekali mereka kena dengan Allah? Kerana mereka adalah musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan, api dalam sekam. Mereka ini lebih bahaya dari musuh yang nyata kerana musuh yang nyata, kita tahu mereka musuh, dan kita telah tahu bagaimana hendak berurusan dengan mereka, tetapi kalau musuh dalam selimut bagaimana?

يَعْمَهُونَ

“Mereka kebingungan”

Mereka jadi bodoh kebingungan kerana buta hati. Allah akan memberi peluang kepada mereka untuk berbuat kerosakan supaya mereka nanti akan dimasukkan ke dalam neraka yang paling dalam. Semakin banyak mereka buat kesalahan, semakin banyak mereka akan diazab nanti. Allah biar mereka kumpul dosa kerana Allah akan azab mereka dengan azab yang pedih sekali.

Allahu a’lam.

 

 

 

Komen dan Soalan