Utama Tazkirah Admin PANTAS PROAKTIF.. DEMI KUALITI IBADAH!

PANTAS PROAKTIF.. DEMI KUALITI IBADAH!

153
0
Iklan

UiTO Channel: Tazkirah Harian
PANTAS PROAKTIF.. DEMI KUALITI IBADAH!

#NotaBroSyarief

‘Aisyah – radhiyalLaahu ‘anha – meriwayatkan,

صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي خَمِيصَةٍ لَهُ لَهَا أَعْلاَمٌ، فَنَظَرَ إِلَى أَعْلاَمِهَا نَظْرَةً، فَلَمَّا سَلَّمَ قَالَ‏:

RasululLah – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam – pernah solat sambil memakai pakaian Khamisah yang padanya terdapat sedikit corak-corak, lalu dia terlihat kepada corak-corak itu sekilas pandang. Setelah dia memberi salam, dia berkata:

اذْهَبُوا بِخَمِيصَتِي هَذِهِ إِلَى أَبِي جَهْمٍ، فَإِنَّهَا أَلْهَتْنِي آنِفًا عَنْ صَلاَتِي، وَائْتُونِي بِأَنْبِجَانِيَّةِ

“Kalian bawalah khamisahku ini kepada Abu Jahm, kerana ia telah melekakan aku tadi di dalam solatku, dan bawakan kepadaku dengan pakaian biasa (yang kosong)”

[HR al-Bukhari]

Di dalam sebuah riwayat yang lain dari Anas ibn Malik, katanya:

كَانَ قِرَامٌ لِعَائِشَةَ سَتَرَتْ بِهِ جَانِبَ بَيْتِهَا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Terdapat satu kain penghadang yang bergambar milik Aisyah yang dipasang di sudut rumahnya, lalu Nabi – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam – berkata:

أَمِيطِي عَنَّا قِرَامَكِ هَذَا فَإِنَّهُ لَا تَزَالُ تَصَاوِيرُهُ تَعْرِضُ فِي صَلَاتِي

“Jauhkan kain ini dari kita, kerana gambarnya berterusan mengganggu solatku”

[HR al-Bukhari]

‘Abdullah ibn Abi Bakr meriwayatkan,

أَنَّ أَبَا طَلْحَةَ الْأَنْصَارِيَّ كَانَ يُصَلِّي فِي حَائِطٍ لَهُ فَطَارَ دُبْسِيٌّ فَطَفِقَ يَتَرَدَّدُ يَلْتَمِسُ مَخْرَجًا

Pernah Abu Talhah sedang solat di dalam kebunnya, lalu hinggap seekor burung berterbangan ke sana ke mari mencari jalan keluar,

فَأَعْجَبَهُ ذَلِكَ فَجَعَلَ يُتْبِعُهُ بَصَرَهُ سَاعَةً، ثُمَّ رَجَعَ إِلَى صَلَاتِهِ، فَإِذَا هُوَ لَا يَدْرِي كَمْ صَلَّى،

Abu Talhah menjadi teruja menyebabkan pandangannya terlempar mengikuti pergerakan burung itu sebentar.

Kemudian, dia kembali fokus untuk solat, lalu dia terlupa berapa rakaat yang telah dia lakukan?

فَقَالَ: لَقَدْ أَصَابَنِي فِي مَالِي هَذَا فِتْنَةٌ، فَجَاءَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maka, (selepas selesai solat) dia berkata: Aku telah ditimpa kerana hartaku ini dengan fitnah (ujian).

Lalu dia terus bertemu dengan RasululLah – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam –

فَذَكَرَ لَهُ الَّذِي أَصَابَهُ فِي حَائِطِهِ مِنَ الْفِتْنَةِ، وَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ هُوَ صَدَقَةٌ لِلَّهِ فَضَعْهُ حَيْثُ شِئْتَ .

Diapun menceritakan apa yang berlaku di kebunnya tadi, lalu berkata:

‘Wahai RasululLah – sallalLaahu ‘alaihi wa sallam -, (aku jadikan) ia sebagai sedekah kerana Allah, engkau tetapkanlah (ke mana ia perlu diinfaqkan) mengikut kemahuanmu’

[Muwatta]

Pesan BroSyarief:

Limpahan ganjaran di bulan Ramadhan seharusnya menuntut usaha yang juga berlipat ganda dari kita untuk mengaut segala kelebihan yang ditawarkan.

Malah tidak teragak-agak untuk menghilangkan malah menjauhi segala apa yang menjadi sumber perosak tumpuan terutama terhadap ibadah dan segala amal kebaikan di bulan yang mulia ini.

Barangkali ada yang cuba menutup akaun Facebook atau Whatsapp. Barangkali ada yang berusaha mengelak ke tempat yang terlalu ramai orang seperti bazar Ramadhan. Barangkali ada yang berusaha menutup data internet kecuali di waktu-waktu tertentu.

Semuanya di atas dasar proaktif bagi meningkatkan kadar fokus, dan meningkatkan kualiti aktiviti khususnya dalam meraikan pesta ibadah di bulan Ramadhan ini.
__
@BroSyariefShares 👈🏻
#01Ramadhan1438H

Komen dan Soalan