Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah Ayat Ke-11 dan Ke-12

Tafsir Surah Al-Baqarah Ayat Ke-11 dan Ke-12

2253
0
Iklan

Tafsir Al-Baqarah Ayat Ke-11

Kata-kata orang munafik

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat kerosakan di bumi”, mereka menjawab: ” Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan”.[2: 11]

Pengenalan:

Allah SWT ajar kita cara bagaimana hendak mengenali mereka yang munafik itu. Kalau Allah SWT tidak ajar, kita tidak tahu kerana ianya tidak jelas kepada kita, kerana ia adalah penyakit dalaman. Melalui alamat yang Allah SWT berikan ini, kita boleh kenal. Seperti kita nampak asap, itu adalah tanda ada api. Jadi, kalau ada yang bercakap seperti yang disebut dalam Al-Quran ini, tahulah kita yang mereka itu munafik. Tetapi ingat jangan kita pergi kata kepada mereka yang mereka itu munafik pula. Kita kena nasihat dan dakwah kepada mereka, kerana mungkin mereka tidak tahu yang sifat mereka itu munafik. Tugas kita adalah beri dakwah, bukan hendak hukum orang sana sini.

Dan, yang paling penting, kena bandingkan diri kita dengan sifat-sifat dalam ayat- ayat ini kerana kalau kita buat juga macam yang disebut dalam ayat-ayat ini maknanya, kita pun ada sifat munafik dan kita kena betulkan diri kita kalau begitu.

Pertama, golongan munafik ini salah faham dengan kebenaran. Mereka tidak nampak kebenaran dan mana yang benar, sebaliknya yang salah, mereka kata betul. Maknanya, mereka keliru. Apabila kita tunjuk dalil-dalil dari Al-Quran kepada mereka dan mereka tolak, kita boleh agak yang mereka itu ada penyakit munafik dalam diri mereka.

Begitulah mereka, apabila diberi dalil dan bukti yang sahih, mereka susah hendak terima. Mereka hendak pakai fahaman mereka sahaja. Padahal, yang kita bawa adalah nas Al-Quran, bukannya kata-kata kita. Dan memang sepatutnya kita kena dakwah dengan ayat Al-Quran dan sunnah. Jangan bawa dalil yang lain. Hujah- hujah lain adalah sokongan, namun kena ingat, hujah utama adalah dari Al-Quran. Sebab itu kita belajar tafsir Al-Quran sekarang, supaya selepas ini dalam berhujah, kita guna ayat-ayat Al-Quran. Kemudian, kita gunakan hujah dari hadis sahih pula.

Untuk memahami ayat ini, kita kena tahu keadaan masa ayat ini diturunkan. Kalau kita tidak tahu latar belakang keadaan waktu itu, susah kita hendak faham apakah yang hendak disampaikan. Sebelum penduduk Madinah menerima Islam, Arab Madinah (waktu itu namanya Yathrib) tinggal bersama dengan Bangsa Yahudi. Mereka berkawan dengan Yahudi itu, belajar dari mereka tentang agama, bekerja dengan mereka, berniaga dan sebagainya.

Dipendekkan cerita, ada pemimpin dari kalangan bangsa Arab yang masuk Islam di Mekah setelah berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW dan apabila mereka pulang ke Yathrib, mereka telah mengajak masyarakat mereka yang lain untuk masuk Islam juga. Disebabkan ramai yang sudah masuk Islam, maka yang tidak mahu masuk Islam pun, terpaksa masuk Islam juga, kerana jika tidak, mereka pula yang nampak terpinggir. Oleh itu, dalam hati mereka, mereka tidak terima Islam, tapi pada zahirnya, mereka mengaku yang mereka muslim. Itulah sebabnya mereka munafik – mulut kata Islam, tetapi hati tidak.

Sebelum masuk Islam, mereka dulunya memang menghormati golongan Yahudi itu kerana mereka melihat golongan Yahudi itu, sudahlah kaya dan pandai dalam hal keduniaan, mereka juga pandai dalam hal agama. Bagi Arab Madinah, Yahudi itu golongan yang ada agama, ada kitab dan dulu mereka ada Nabi sebagai ikutan. Jadi, mereka selalu belajar dengan orang Yahudi tentang agama. Orang Yahudi pun beritahulah macam-macam berita agama kepada Arab Madinah itu. Jadi, mereka hormat benar dan percaya benar kepada orang-orang Yahudi itu. Yahudilah yang menjadi tempat rujukan mereka. Tetapi, apabila Islam sudah sampai, sepatutnya mereka hanya berpegang dengan ajaran dari Nabi Muhammad SAW sahaja. Tetapi sebab telah lama merujuk kepada Yahudi dulu, mereka tidak dapat hendak tinggalkan. Maka, mereka masih pergi jumpa dan rujuk kepada Yahudi sebab Yahudi itu seperti ‘Tok Guru’ mereka.

Mari kita tafsir satu persatu:

‎وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ

“Dan apabila dikatakan kepada mereka”.

‘Mereka’ yang dimaksudkan adalah golongan Munafik. Pada masa ayat ini diturunkan, yang menegur mereka itu adalah para sahabat yang mukmin. Ini kerana para sahabat yang melihat perangai golongan munafik itu pun telah rasa lain macam. Sebab mereka boleh lihat yang golongan Munafik itu ada juga pergi berjumpa dengan orang Yahudi lagi. Maka, para sahabat yang beriman pun telah menegur mereka, kenapa pergi lagi ke majlis orang Yahudi? Kenapa tanya hal agama lagi pada mereka, bukankah kita telah ada Nabi Muhammad SAW?

Begitulah orang yang belajar, apabila mereka lihat sesuatu yang tidak kena, mereka akan tegur terus kesalahan orang lain, tidaklah tengok sahaja. Sebab kalau kita tengok dan tidak tegur, orang itu akan rasa yang mereka tidak buat salah, mereka fikir: “mesti aku buat ini betul…kalau salah, kawan aku ini telah lama tegur aku.”

‎لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ

“Janganlah kamu berbuat kerosakan di atas muka bumi”;

Orang-orang yang beriman memberi nasihat kepada orang-orang Munafik itu supaya jangan buat ‘kerosakan’. Apakah ‘kerosakan’ yang dimaksudkan itu? Ini bukan kerosakan tebang pokok, rosakkan sungai dan alam ini, ini berkaitan dengan kerosakan dalam hal agama. Untuk kita memahami ayat ini, kita kena faham sejarah Madinah zaman Nabi seperti yang telah disebut tadi.

Apabila Nabi Muhammad SAW sudah ada di kalangan mereka, ajar agama kepada mereka, mereka akan berjumpa dengan pendita Yahudi menceritakan tentang ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Mereka kata Muhammad SAW kata begini, Pendita Yahudi akan balas dengan berkata begini dan begitu. Selalunya akan berlawanan dengan apa yang Nabi ajar sebab agama mereka telah rosak.

Puak Ansar yang munafik itu akan membawakan apa yang mereka dapat dari Pendita Yahudi kepada kaum mereka. Mereka kata Pendita Yahudi itu yang betul kerana Yahudi itu lebih lama dapat ilmu agama dari Nabi Muhammad SAW. Jadi, mereka laga-lagakan sahabat Nabi dengan Nabi Muhammad SAW. Mereka kata Nabi pula yang tidak betul.

Itulah kerosakan yang dimaksudkan dalam ayat ini. Iaitu kepercayaan yang bertentangan dengan wahyu.

Orang munafik itu masih lagi berkawan dengan Pendita Yahudi yang mereka rujuk itu walaupun setelah Nabi Muhammad SAW berada di kalangan mereka dan mereka pun mengaku telah beragama Islam. Mereka masih tidak percaya sepenuhnya kepada Nabi Muhammad SAW. Jadi, mereka hendak kawan dengan dua-dua pihak. Mereka hendak lihat siapakah yang akan menang. Mereka tidak sepenuhnya duduk dalam Islam.

Dan kerana mereka masih tetap pergi berjumpa dengan Yahudi, maka orang lain yang tengok pun rasa macam tidak salah pergi berjumpa dengan Yahudi dan mengambil agama dari Yahudi. Ini juga merosakkan fahaman orang lain.

Ini terjadi sebab mereka tidak ada pegangan akidah yang kuat. Mereka kejap ke sana dan kejap ke sini. Sebenarnya tidak boleh begitu, kerana ajaran yang suci tidak boleh campur dengan yang cemar. Sepatutnya salah faham mereka itu kena dibersihkan terus. Mereka sepatutnya sudah tidak boleh rujuk lagi kepada Pendita-Pendita Yahudi itu.

Adakah perkara yang sama berlaku zaman sekarang? Memang ada. Orang kita pun ada kenalan mereka dari kalangan ustaz-ustaz yang mereka telah belajar dahulu. Tetapi ada yang sudah mula kenal dengan ustaz-ustaz sunnah. Malangnya, ada yang dengar apa yang disampaikan oleh ustaz sunnah dan mereka balik beritahu kepada ustaz-ustaz mereka yang mengajar perkara bidaah. Ustaz itu pula kata tidak betul ajaran yang kita sampaikan sebab tidak sama ilmu kita dan mereka. Kerana kita menggunakan dalil dari Al-Quran dan Sunnah, tetapi guru-guru mereka tidak pun belajar Al-Quran dan Hadis Nabi.

Namun, mereka tetap hendak kata, ustaz-ustaz yang tidak sunnah itu pun ada benarnya. Dan mereka masih lagi mengambil ilmu dari mereka. Sepatutnya mereka tidak boleh lagi belajar dengan ustaz-ustaz yang mengamalkan bidaah itu lagi. Bayangkan, kalau kita tanya tentang kesalahan bidaah dengan mereka yang masih mengamalkan bidaah? Tentulah mereka kata bidaah itu tidak salah, bukan? Kemudian mereka beritahu kepada orang kampung: “Ustaz A kata bolehlah kalau buat tahlil, molek buat tahlil tu….”. Ini sebagai contoh.

Jadi kerosakan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah melaga-lagakan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat. Begitu juga melagakan antara ajaran berasaskan sunnah dan tidak sunnah.

‎قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ

“Mereka jawab: Sebenarnya kami orang yang hendak buat baik”;

Selepas ditegur, puak munafik itu menjawab seperti yang disebut dalam surah ini, dalam nada membantah.

Mereka kata: “kami ini hendak mendamaikan orang yang berbalah sebenarnya”; Ini adalah kerana mereka nampak Nabi SAW ada kebenarannya, tetapi mereka nampak puak Yahudi pun ada kebenaran juga, maka kononnya mereka hendak jadi orang tengah. Supaya dua pihak itu mencari persamaan antara mereka dan dapat berdamai. Mereka rasa mereka sedang buat kebaikan, tetapi sebenarnya tidak.

Mereka kata mereka bukan hendak lagakan, tetapi hendak buat baik. Mereka kata mereka sebenarnya mencari kebenaran. Itu tidaklah benar. Apa yang mereka lakukan adalah membunuh ajaran agama. Mereka sebenarnya berbuat kerosakan.

Ini seperti perbezaan antara puak sunnah dan puak sekolah pondok (bukan semua) pada zaman sekarang. Puak sunnah berpegang kepada ajaran sunnah tapi puak sekolah Pondok banyak yang berpegang kepada ajaran yang bidaah. Jadi, adalah golongan yang kononnya hendak satukan dua kumpulan yang berbeza pegangan ini. Nampak macam sedap dan molek apa yang mereka katakan itu. Tetapi mereka tidak faham bahawa kebenaran hanya satu sahaja. Yang mereka nampak dua-dua belah pihak ada juga kebenaran, kerana mereka jahil. Kefahaman mereka tidak jelas dan tidak betul. Sahabat lain telah faham, tetapi mereka yang tidak faham.

Tafsir Ayat Ke-12:

‎أَلا إِنَّهُم هُمُ المُفسِدونَ وَلٰكِن لا يَشعُرونَ

“Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya”.

‎أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ

Ketahuilah, mereka itulah sebenarnya berbuat kerosakan

Allah SWT beritahu dalam ayat ini yang orang-orang Munafik itu sebenarnya berbuat kerosakan, kerana mereka telah menjadikan kebenaran nampak samar. Sepatutnya kebenaran itu sudah jelas. Bayangkan, orang luar yang nampak mereka, akan jadi ragu-ragu, iaitu apabila mereka lihat golongan munafik itu, mereka jadi ragu. Mereka akan terfikir, kalau Nabi Muhammad SAW itu sudah benar, kenapa pula ada golongan yang pergi juga kepada orang Yahudi? Itu menjadi satu kerosakan yang besar.

Kalau zaman sekarang, kalau ustaz-ustaz yang ajar bidaah masih lagi dijadikan sebagai sumber rujukan, maka orang awam akan keliru, kenapa ramai orang rujuk kepada ustaz itu, tentu ustaz itu betul keliru jadinya.

وَلَٰكِنْ لَا يَشْعُرُونَ

“Sedangkan mereka itu tidak sedar”

Tetapi mereka sendiri tidak sedar kerana mereka salah faham. Sepatutnya apabila diberi Al-Quran, mereka kena terima sepenuhnya, bukan terima sebahagian. Jika tidak terima sepenuhnya, maka mereka akan terus berada dalam keraguan. Oleh itu, Allah SWT telah sebut kesalahan mereka dalam ayat ini.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan