Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Al-Baqarah Ayat Ke-8 hingga Ke-10

Tafsir Al-Baqarah Ayat Ke-8 hingga Ke-10

3259
0
Iklan

Tafsir Al-Baqarah Ayat Ke-8 hingga Ke-10

Tafsir Ayat Ke-8

Ayat 8-20 adalah tentang sifat orang-orang Munafik. Mereka itu adalah orang yang pada zahirnya nampak beriman, tapi hati mereka sebenarnya kufur.

Pada zaman Nabi, mereka ini solat berjemaah bersama dengan Nabi dan para sahabat lain. Jihad pun mereka kadang-kadang pergi juga. Mereka bersama Nabi dan para sahabat yang lain, tetapi mereka tidak beriman sebenarnya.

Tapi walaupun mereka duduk dalam kalangan Rasulullah SAW dan para sahabat, Allah SWT masih lagi gelar mereka ‘kafir’ kerana mereka jahil dan mereka tidak menepati kehendak Islam dan kerana mereka itu ‘jahil akidah’.

‘Jahil akidah’ ini adalah amat bahaya sekali. Masyarakat kita pun ramai yang jahil akidah dan mereka dikira sudah berada atas pagar munafik. Jadi kalau mereka duduk bersama dengan kita, solat dengan kita, belum tentu mereka selamat lagi.

Ubatnya adalah belajar Al-Quran dari awal hingga akhir. Kita kena ajak mereka kerana takut mereka mati dalam ‘kufur jahil’. Iaitu mereka tidak tahu benda yang mereka wajib tahu dan yang wajib mereka tolak. Kita takut tanpa sedar mereka itu munafik. Bukan mereka sahaja, tetapi kita pun takut diri kita pun tergolong dalam golongan munafik juga.

Oleh itu, kena ajak mereka datang belajar tafsir Al-Quran dan kita sendiri kena habis belajar tafsir Al-Quran. Kalau sudah belajar tafsir Al-Quran, mereka sendiri akan sedar yang apa yang dahulu mereka buat adalah perkara yang salah. Mereka boleh periksa diri mereka sendiri, kerana kita tidak boleh periksa apa yang ada dalam hati orang lain.

Jadi, dalam ayat-ayat selepas ini kita akan belajar tentang golongan Munafik. Namun, berhati-hati bukan tugas kita untuk mengatakan atau menuduh orang lain sebagai ‘munafik’. Bukan ajaran Nabi untuk mengatakan seseorang itu munafik. Yang kita kena buat adalah kena belajar supaya kita boleh periksa diri kita takut-takut kita pun munafik juga. Iaitu kita kena periksa diri kita dahulu, bukan gunakan pengetahuan ini untuk melihat atau menilai seseorang itu munafik atau tidak. Bukannya mudah kita tuduh orang lain munafik, lebih-lebih lagi kalau mereka tidak setuju dengan kita.

Ramai sangat yang kalau marah dengan orang lain, mulalah tuduh orang itu ‘munafik’. Oleh itu, berhati-hatilah dan jaga hati kita dari terjerumus dalam perkara ini.

Di antara manusia ada yang mengatakan: “Kami beriman kepada Allah dan Hari kemudian,” pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman.

‎وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ

“Dan ada di antara manusia itu yang berkata”;

Yang dimaksudkan adalah golongan munafik itu.

‎ آمَنَّا بِاللَّهِ

“Kami beriman dengan Allah”;

Mereka mengaku mereka beriman. Mereka cakap dengan mulut sahaja. Cakap dengan mulut, siapa-siapa pun boleh cakap, bukan?

‎ وَبِالْيَوْمِ الْآخِرِ

“dan beriman dengan hari akhirat”;

Dalam ayat ini, mereka mendakwa dengan lidah mereka yang mereka beriman. Dalam ayat ini, mereka mengatakan mereka beriman dengan dua rukun iman: ‘percaya kepada Allah’ dan ‘percaya kepada Hari Akhirat’. Disebut hanya dua rukun iman untuk merangkumi kesemua rukun iman yang lain. Tidak perlu disebut kesemua rukun iman satu persatu.

‎وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِينَ

“pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman”.

Allah beritahu yang mereka itu tidak beriman. Mereka tidak beriman dalam hati mereka. Dan Allah tahu apa yang dalam hati mereka (kita sendiri tidak tahu).

Mereka hanya dipanggil ‘orang Islam’ kerana duduk sekali dengan orang Islam yang lain. Sama juga dengan orang kita. Kalau mereka duduk tinggal di Amerika contohnya, mereka akan ikut perangai orang Amerika. Sebab waktu itu, mereka sudah tidak malu dengan sesiapa. Cuma sebab mereka duduk sekali dengan orang Islamlah yang mereka kena buat perangai Islam tu.

Tafsir Ayat Ke-9

Apakah sifat-sifat mereka? sekarang kita masuk perbincangan sifat-sifat mereka. Kita baca ayat dulu:

يُخادِعونَ اللَّهَ وَالَّذينَ آمَنوا وَما يَخدَعونَ إِلّا أَنفُسَهُم وَما يَشعُرونَ

“Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sedar”.

‎يُخَادِعُونَ اللَّهَ

“Mereka hendak tipu Allah Taala”;

Tetapi bolehkah mereka hendak menipu Allah? Tentu tidak boleh. Mana boleh hendak tipu Allah kerana Allah tahu hati kita. Oleh itu maknanya, mereka hendak menipu wakil Allah, iaitu Nabi Muhammad SAW.

وَالَّذِينَ آمَنُوا

“Dan orang-orang yang beriman”.

Mereka juga hendak menipu orang-orang beriman, iaitu sahabat-sahabat Nabi SAW. Kenapa mereka dikatakan menipu? Kerana mereka sebut apa yang bukan dalam hati mereka. Mulut cakap lain, tetapi lain yang di dalam hati.

وَمَا يَخْدَعُونَ

“Tidaklah mereka menipu”;

Mereka cuba hendak menipu, tetapi tidak berjaya. Kena balik kepada mereka.

‎إِلَّا أَنْفُسَهُمْ

“melainkan diri mereka sendiri”;

Mereka hanya menipu diri mereka sahaja dengan kata: “aku beriman, aku beriman…”

Tidaklah penipuan mereka itu akan memberi kesan bahaya kepada orang lain melainkan diri mereka sendiri sahaja.

وَمَا يَشْعُرُونَ

“dan mereka tidak sedar”.

Akhirnya mereka menipu diri mereka sendiri, tetapi mereka tidak sedar. Ini adalah kerana mereka tidak ada kefahaman dalam agama. Mereka tidak memahami agama dengan kefahaman yang sebenar. Mereka tidak faham yang kefahaman agama kena ikut neraca Al-Quran. Bukannya ikut suka sendiri sahaja dan kata-kata guru-guru mereka sahaja.

Mereka sendiri tidak sedar bahawa mereka adalah munafik. Mereka sangka mereka telah Islam. Jadi, kita amat takut kalau-kalau kita sekarang ini pun munafik juga. Kita sekarang sangka kita telah Islam, tetapi mungkin tanpa kita sedar, kita rupanya tergolong dalam golongan munafik juga.

Janganlah kita rasa selamat sangat yang kita sudah benar-benar mukmin. Sedangkan para sahabat yang kita pandang tinggi itu, mereka juga takut tertimpa kemunafikan.

‎وقال ابنُ أبي مُلَيْكَة : أَدْرَكْتُ ثَلاَثِيْنَ مِنْ أَصْحَابِ النَّبيِّ – صلى الله عليه وسلم – كُلُّهُمْ يَخَافُ النِّفَاقَ عَلَى نَفْسِهِ

“Ibnu Abi Mulaikah pernah berkata: Aku telah mendapati 30 orang sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, semuanya khawatir pada dirinya tertimpa kemunafikan.” (HR. Bukhari no. 36)

Tabein ini telah berjumpa dengan 30 orang sahabat dan semuanya takut jikalau mereka munafik. Bayangkanlah: Kalau para sahabat pun risau, tidakkah kita yang bukan sahabat ini tidak ada rasa risau ini pada diri kita?

Oleh itu, kita kenalah memeriksa diri kita. Munafik ini adalah satu penyakit hati. Kalau sesuatu penyakit itu, mesti ada tanda-tandanya. Jadi kita kena tahu apakah tanda orang munafik itu. Tanda-tanda itu diterangkan dalam ayat-ayat seterusnya.

Lihatlah, walaupun duduk dengan Nabi pun boleh jadi salah faham, boleh keliru tentang agama, lalu bagaimana agaknya dengan kita zaman sekarang? Ini amat menakutkan.

Nabi tidak menyebut siapakah orang yang munafik pada zamannya itu. Kerana mungkin mereka akan jadi beriman berkat duduk dengan Nabi dan rapat dengan Al-Quran. Maka itulah sebabnya Nabi tidak pernah sebut nama mereka. Nabi hanya diberitahu dengan nama-nama orang munafik yang memang telah ditakdirkan munafik sampai mereka mati. Nama mereka itulah yang disebut kepada seorang sahabat yang bernama Huzaifah.

Dan ada banyak lagi munafik pada zaman itu. Mungkin ada antara sahabat yang asalnya munafik tetapi mereka akhirnya telah beriman setelah mereka memahami Islam. Begitu jugalah kita ini. Kita harap dengan kita terus belajar Al-Quran ini akan dapat mengeluarkan kemunafikan (jika ada) dalam diri kita.

Tafsir Ayat 10: Sambungan tentang sifat orang munafik

في قُلوبِهِم مَرَضٌ فَزادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا ۖ وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ بِما كانوا يَكذِبونَ

“Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) ada penyakit, maka Allah tambahkan lagi penyakit kepada mereka; dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta”.

فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ

“Dalam hati mereka ada penyakit”;

Mereka yang digelar sebagai munafik itu ada ‘penyakit’. Kerana mereka ada penyakit ini, iman tidak dapat masuk dalam diri mereka. Penyakit itu menghalang iman dari masuk ke dalam diri mereka.

Apakah maksud ‘penyakit’ dalam ayat ini? Dalam ayat ini, penyakit yang dimaksudkan adalah penyakit akidah yang rosak. Ini adalah kerana mereka tidak belajar, maka mereka jahil akidah.

Asal kenapa mereka mendapat penyakit yang disebut dalam ayat ini adalah kerana dengki, atau benci kepada kebenaran. Ia juga bermaksud dengki dengan orang yang membawa kebenaran. Sampai mereka tidak dapat menerima ilmu akidah yang benar. Kalau ada orang yang hendak menceritakan tentang maksud ayat-ayat Al-Quran, tentang Sunnah, mereka tidak suka.

Ini adalah satu sifat yang amat bahaya dan perlu dikeluarkan segera. Kalau seseorang itu boleh buang perasaan itu, barulah boleh masuk keimanan dalam hati. Kalau tidak, sampai bila-bila pun keimanan tidak masuk. Sampai bila-bila jadi jahil, jadi munafik.

Malangnya, begitulah juga yang terjadi kepada masyarakat kita pada hari ini. Banyak guru-guru aliran sunnah yang hendak mengajar tafsir Al-Quran dan Hadis di masjid-masjid, surau-surau, dihalang dari terus mengajar. Ini terjadi apabila ada ayat-ayat Al-Quran dan hadis Nabi yang tidak sesuai dengan pemahaman mereka, tidak kena dengan tekak mereka, maka mereka tolak. Sepatutnya mereka membaiki fahaman dan mengubah amalan mereka, tetapi tidak, mereka halang ustaz yang mengajar itu pula. Ini sama macam marah kepada doktor yang kata kita ada barah. Sepatutnya kita cari jalan bagaimana hendak sembuhkan penyakit barah itu, bukannya marah doktor itu pula.

Allah SWT sendiri kata dalam ayat ini bahawa munafik itu adalah satu jenis penyakit. Jadi kita kena tahu apakah simptom penyakit itu. Kerana setiap penyakit ada tanda-tandanya. Nanti kita akan belajar simptom mereka dalam Al-Quran ini.

فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا ۖ

“Maka AllahSWT akan tambah bagi mereka penyakit”;

Apabila mereka sudah ada penyakit itu, Allah SWT akan tambah penyakit baru. Kalau kita ada penyakit dan tidak diubati, ianya akan melarat ke organ yang lain pula, bukan? Begitulah juga dengan sifat munafik ini.

Ianya akan bertambah apabila semakin banyak ayat Al-Quran yang mereka tolak. Penyakit itu akan bertimpa-timpa ke atas mereka. Semakin lama mereka jadi semakin teruk. Ini adalah kerana mereka sekat diri mereka dari mendapat ajaran agama yang benar, maka mereka terus jadi jahil. Apabila jahil agama, maka syaitan akan mengambil peluang untuk mengajar ajaran yang sesat kepada manusia.

Tanpa ilmu untuk menimbang mana yang benar dan mana yang salah, bagaimana lagi manusia dapat selamat? Akhirnya, mereka nama sahaja Islam, solat tidak tinggal, puasa pun tidak tinggal, tapi dalam masa yang sama, buat ajaran yang salah juga. Lihat hadis ini:

وِ إِنْ صَامَ وَ صَلَّى وَ زَعَمَ أَنُّه مُسْلِمٍ

Dan apabila ia mengerjakan puasa dan shalat, ia menyangka bahawa dirinya seorang muslim” (HR Muslim, Kitab Iman, Bab Penjelasan Sifat-Sifat Orang Munafik, no. 59).

وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

“Bagi mereka azab yang pedih”;

Untuk orang munafik, diberikan ‘azab yang pedih’. Ini lagi teruk dari yang diberikan kepada orang kafir. Kerana azab yang pedih, adalah azab yang tidak berkurangan langsung. Sebagai contoh, kalau kita hari-hari kena pukul, lama-lama kita tidak rasa sakit sangat sebab telah biasa. Tapi, kalau dikatakan azab itu jenis yang أَلِيمٌ, kesakitan itu tidak berkurangan langsung. Sama sahaja sakitnya dari mula sampai bila-bila, malah bertambah. Allah mampu lakukan sebegitu.

بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ

“kerana apa yang mereka dustakan”;

Mereka dikatakan berdusta kerana mereka cakap apa yang bukan dalam hati mereka. Iaitu mereka kata dengan mulut mereka yang mereka beriman, tetapi dalam hati sebenarnya mereka tidak beriman.

Jadi ini adalah simptom pertama orang yang ada penyakit munafik – mereka suka menipu.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahwasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاث إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَ إِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَ إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ

“Tanda orang munafik itu ada tiga, apabila ia berucap berdusta, jika membuat janji berdusta, dan jika dipercayai mengkhianati” (HR Al-Bukhari, Kitab Iman, Bab Tanda-tanda Orang Munafik, no. 33 dan Muslim, Kitab Iman, Bab Penjelasan Sifat-Sifat Orang Munafik, no. 59).

Allahu a’lam.

Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Al-Qur’an bersama ahli panel Ustaz Ibn Omar dan Ustaz Azlizan Nueq

Saluran rasmi @UiTOSaluranRasmi

Pautan terkini: https://t.me/joinchat/AAAAAEA8_HDlLalulPfotg

Nota-Nota boleh lihat di: https://t.me/TazakkurQuran

 

Komen dan Soalan