Tafsir Al-Baqarah Ayat Ke-6 dan Ke-7
Kalau anda masih ingat, ada beberapa golongan yang disebut dalam Al-Fatihah. Kita telah belajar golongan yang baik sebelum ini. Dan sifat golongan itu disebut dalam ayat-ayat Al-Quran yang lain. Sekarang kita masuk kepada tafsir ayat غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم dari pula. Iaitu ‘mereka yang dimurkai’.
Mari kita lihat ayat yang pertama untuk hari ini:
Tafsir Ayat Ke-6:
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا سَوَاءٌ عَلَيْهِمْ أَأَنذَرْتَهُمْ أَمْ لَمْ تُنذِرْهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ
“Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman”.
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا
“Sesungguhnya orang-orang yang kafir degil”;
Kenapa dipakai gelaran ‘kafir’ kepada mereka? Kerana dalam hati mereka ada sifat tolak kebenaran. Mereka menutup kebenaran yang sudah ada fitrah dalam diri mereka.
Dan kita gunakan lafaz ‘kafir degil’ kerana hendak bezakan dengan golongan munafik yang ‘kafir jahil’. (Rujuk kelas Tafsir Al-Fatihah).
‘Kufur’ adalah satu perkataan yang umum. Banyak jenis kufur sebenarnya. Ada yang kufur kerana syirik, ada yang jadi kufur kerana tolak Nabi, ada yang kufur kerana tolak Al-Quran walaupun satu ayat dan lain-lain lagi. Sebagai contoh, ada yang tolak hudud, ada yang tolak hukum faraid dan sebagainya. Ada yang jadi kufur dengan perbuatan mereka, sebagai contoh, mereka sujud kepada selain Allah SWT, campak Al-Quran kerana hendak menghina Al-Quran dan sebagainya.
Kalimat kafir berakar kata dari ك ف ر yang bermaksud “menutup”. Pada zaman sebelum Islam istilah tersebut digunakan untuk para petani (كافر) yang sedang menanam benih di ladang, menutup/mengubur dengan tanah. Sehingga kalimat kāfir dapat dimplikasikan menjadi “seseorang yang bersembunyi atau menutup diri”. Dalam bahasa Islam, kāfir adalah kalimah yang digunakan untuk seseorang yang menolak / tidak memeluk agama Islam. Ini adalah kerana, setiap dari kita telah ada fitrah semula jadi untuk terima Islam, kerana setiap dari kita dilahirkan dalam bentuk suci (atas fitrah). Tetapi mereka telah ‘menutup’ fitrah mereka dari terima Islam. Itulah sebabnya mereka dinamakan ‘kafir’.
Jadi ada banyak cara untuk jadi kafir. Kafir dalam ayat ini adalah sengaja menutup kebenaran kerana degil. Sudah tahu yang Al-Quran itu benar, tetapi masih tolak juga. Mereka akan dihumbankan ke dalam neraka jahanam selama-lamanya. Kedegilan inilah yang menyebabkan kekafiran Yahudi dan Musyrikin Mekah kerana mereka tahu kebenaran tetapi tolak kerana degil.
Itulah mereka yang sengaja menutup kebenaran kerana degil dalam hati mereka. Ini adalah orang-orang yang menolak ajakan dakwah Islam sampai kepada ‘Peringkat Keempat.’ Iaitu hati mereka telah ‘dikunci mati’. Apabila Allah SWT telah kunci mati hati mereka, mereka tidak akan dapat hidayah langsung. Tidak ada cara lagi untuk mereka menerima hidayah, walaupun apa pun yang terjadi, walau dikatakan apa-apa pun kepada mereka.
Mulanya peringkat pertama, hati mereka ragu-ragu terhadap Allah SWT – itu adalah sifat orang munafik. Antara percaya dan tidak kepada apa yang Allah SWT sampaikan.
Peringkat Kedua: mereka lawan dengan hati – tidak mahu terima dakwah Islam.
Peringkat Ketiga: mereka lawan berdepan. Contohnya apabila ayat Al-Quran dibacakan, mereka faham, tetapi tidak mahu terima; mereka tolak pendakwah depan-depan, kutuk pendakwah itu dan sebagainya – sudah tidak menyembunyikan lagi apa yang ada di dalam hatinya.
Peringkat Keempat: Apabila seseorang itu terus melawan, Allah SWT akan buat keputusan untuk mengunci mati hatinya dari terima kebenaran.
Tetapi kita tahu dari sini yang Allah SWT bukannya terus tutup hati manusia. Allah SWT telah bagi banyak peluang.
سَوَاءٌ عَلَيْهِمْ
“sama sahaja ke atas mereka”;
Tidak jadi apa-apa pun, mereka tidak akan berubah sampai bila-bila.
أَأَنْذَرْتَهُمْ
“sama ada kamu beri ancaman kepada mereka”;
Kalau kita berikan peringatan tentang ancaman-ancaman dalam Al-Quran.
أَمْ لَمْ تُنْذِرْهُمْ
“atau kamu tidak beri ancaman kepada mereka”;
Atau kita tidak beri ancaman kepada mereka, kita buat senyap sahaja. Tidak dakwah kepada mereka.
لَا يُؤْمِنُونَ
“Mereka tidak beriman”;
Sama sahaja kalau beri peringatan atau tidak, kerana degil, mereka tidak akan beriman kerana orang degil tidak akan beriman. Inilah maksudnya, mereka tidak akan dapat hidayah sampai bila-bila – kerana mereka telah sampai peringkat kufur keempat. Kalau belum sampai lagi peringkat itu, masih ada harapan lagi.
Makna ayat ini semisal dengan ayat lain-nya, iaitu firman-Nya:
إِنَّ الَّذِينَ حَقَّتْ عَلَيْهِمْ كَلِمَتُ رَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ وَلَوْ جاءَتْهُمْ كُلُّ آيَةٍ حَتَّى يَرَوُا الْعَذابَ الْأَلِيمَ
“Sesungguhnya orang-orang yang telah pasti terhadap mereka kalimat (azab) Tuhanmu tidaklah mereka akan beriman, meskipun datang kepada mereka segala macam keterangan, hingga mereka menyaksikan azab yang pedih”. [Yunus: 96-97]
Kita kena faham maksud ayat ini kerana jika kita salah faham, kita akan sangka bahawa tidak ada gunanya lagi berdakwah kepada orang kafir. Ini kalau kita baca ‘kafir’ itu sebagai kafir biasa, macam kebanyakan orang kafir sekarang. Sebab kita mungkin kata, kalau kita beri peringatan atau tidak kepada mereka yang kafir itu, mereka tidak akan terima dakwah kita. Bukan begitu maksud ayat ini. Kalau begitu, tidaklah ada usaha dakwah lagi dari kita. Kita tengok kawan kita yang agama Kristian…dalam hati kita: “dia ni kafir, dan aku baca dalam Al-Quran, mereka ini tidak akan beriman…” Ini adalah fahaman yang salah.
Pertamanya, siapa boleh tahu yang mereka itu jenis degil? Siapa yang boleh kata seseorang itu jenis ‘kufur degil’? Kita tidak boleh tahu kerana ia adalah perkara dalam hati. Kalau kita agak sendiri, itu tidak tepat. Dan Allah SWT pun tidak ada beri tanda mereka untuk kita kenal mereka. Maka kita kena dakwah kepada mereka.
Keduanya, mereka sahaja yang tidak akan berubah, tetapi kita yang pergi dakwah Al-Quran kepada mereka, akan berubah (akan dapat kebaikan). Kerana dalam ayat ini, Allah SWT kata ‘ke atas mereka’. Mereka sahaja yang tidak dapat faedah dengan dakwah itu, tetapi setiap kali kita pergi dakwah kepada mereka, kita akan dapat faedah. Untuk dapat kekuatan iman, kita kena sampaikan dakwah kepada orang lain. Lihatlah kisah Nabi Musa. Bukankah Allah SWT suruh Nabi Musa dakwah kepada Firaun? Padahal tentu Allah SWT tahu yang Firaun tidak akan beriman sampai bila-bila, jadi kenapa Allah SWT suruh juga Nabi Musa dakwah kepada Firaun? Allah SWT suruh juga Nabi Musa pergi berdakwah kepada Firaun, kerana Nabi Musa akan meningkat imannya setiap kali baginda jumpa dan dakwah kepada Firaun. Jadi, jangan berhenti dari berdakwah.
Seperkara lagi, kita kena faham bahawa kafir yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang yang telah didakwah berkali-kali tetapi mereka masih lagi tidak terima. Sampai kepada peringkat mereka lawan kita balik. Bayangkan orang Musyrikin Quraish itu didakwah sendiri oleh manusia yang paling mulia – Nabi Muhammad SAW. Tentulah cara dakwah Nabi adalah yang paling baik. Dan baginda telah menunjukkan akhlak yang paling baik. Tetapi walaupun begitu, mereka masih tidak terima. Malah mereka menentang dan cuba untuk membunuh Nabi. Bertahun-tahun Nabi Muhammad SAW berdakwah kepada mereka tetapi mereka masih tidak terima. Nabi berada di Mekah selama 13 tahun – 3 tahun dakwah secara sembunyi dan 10 tahun dakwah secara terbuka. Tetapi mereka masih tidak mahu terima dan malah mereka menentang Nabi Muhammad SAW. Oleh kerana itu, Allah SWT telah kunci mati hati mereka dari menerima ajaran Islam. Jadi, kalau kita ada kawan yang tidak masuk Islam setelah kita cerita sedikit tentang Islam kepada dia, tanya sendiri diri kita: sudah berapa kali aku dakwah kepada dia?
Kita kena ingat tugas kita, seperti firman Allah SWT dalam banyak ayat Al-Quran seperti ini:
أَنْتَ نَذِيرٌ وَاللَّهُ عَلى كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ
“Sesungguhnya kamu hanyalah seorang pemberi peringatan, dan Allah SWT pemelihara segala sesuatu”. [Hud: 12].
Ayat ini bukan hanya merujuk kepada Musyrikin Mekah pada zaman Nabi. Kalau zaman sekarang, kalau kita dakwah kepada manusia dan ajak mereka kembali kepada Al-Quran dan sunnah, dan mereka ingkar untuk terima, sampai kepada peringkat mereka lawan kita, maka mereka juga boleh termasuk dalam golongan yang dimaksudkan dalam ayat ini. Iaitu mereka yang telah diberikan dengan dalil-dalil dari Al-Quran dan Hadis Nabi SAW, tetapi mereka masih lagi tolak. Cara tolak mereka itu bermacam-macam. Tetapi pada dasarnya, mereka tolak ayat-ayat Allah SWT dan hadis Nabi SAW. Namun, kita sendiri tidak tahu adakah mereka sudah ditutup hati atau tidak, jadi jangan kita jadi ‘hakim’ pula, dengan mudah berkata seseorang itu telah ‘tertutup hatinya’. Itu semua adalah rahsia Allah SWT, jangan kita membuat andaian.
Tafsir Ayat ke-7:
خَتَمَ اللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَعَلَىٰ سَمْعِهِمْ وَعَلَىٰ أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
“(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah SWT mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar”.
خَتَمَ اللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ
“Maka Allah SWT kunci mati hati-hati mereka”;
Kalau kufur tahap 1 sampai 3, masih ada harapan lagi. Tetapi kalau telah sampai tahap 4, setelah hati mereka telah di’kunci mati’, tidak ada harapan lagi bagi mereka. Ini dinamakan Khatmul Qalbi. Khatam: tutup dan Qalbi: hati – maksudnya hati mereka telah ditutup. Ditutup dari terima hidayah. Ini terjadi apabila mereka banyak sangat menolak ayat-ayat Al-Quran dan mereka menentang. Perkara ini kita takut terjadi kepada diri kita atau diri orang-orang yang kita kenal.
Kita amat takut jika termasuk dalam golongan mereka ini seperti firman-Nya:
بَلْ طَبَعَ اللَّهُ عَلَيْها بِكُفْرِهِمْ
“Sebenarnya Allah SWT telah mengunci mati hati mereka karena kekafirannya”. [An-Nisa: 155]
وَعَلَىٰ سَمْعِهِمْ
“dan ke atas pendengaran mereka”;
Yang dikunci itu bukan ‘telinga’, tetapi ‘pendengaran’ mereka. Mereka dengar, tetapi tidak faham apa yang kita sampaikan. Macam kita panggil lembu. Lembu itu dengar suara kita, tetapi dia tidak faham yang kita sedang panggil dia, bukan?
Oleh itu, kadang-kadang kita akan jumpa orang yang kita beritahu dia macam-macam, tetapi dia macam tidak faham. Inilah sebabnya.
غِشَاوَةٌ
“ada penutup”.
Ada penutup pada pendengaran mereka. Penutup itu adalah dalam bentuk rohani/maknawi sahaja, bukanlah ada penutup yang betul. Kalau korek nak cari dan keluarkan, tidaklah jumpa.
وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
“Dan bagi mereka azab yang pedih”.
Balasan kepada mereka adalah mereka akan kekal di dalam neraka selama-lamanya. Tidak ada azab yang lebih teruk lagi. Mereka tidak akan keluar dari neraka. Ini adalah kalau kufur mereka itu adalah jenis kufur syirik.
Allahu a’lam.
Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Al-Qur’an bersama ahli panel Ustaz Ibn Omar dan Ustaz Azlizan Nueq
Saluran rasmi @UiTOSaluranRasmi
Pautan terkini: https://t.me/joinchat/AAAAAEA8_HDlLalulPfotg
Nota-Nota boleh lihat di: https://t.me/TazakkurQuran