Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Ad-Dhuha Ayat Ke-9

Tafsir Ad-Dhuha Ayat Ke-9

1214
0
Iklan

Tafsir Ad-Dhuha Ayat Ke-9

Dalam Ad-Dhuha ini, Allah telah sebutkan tiga perkara yang Allah berikan kepada Rasul SAW, iaitu:

1) Kemuliaan kepada anak yatim;

2) Petunjuk hidayah (melalui wahyu/Al-Quran); dan

3) Kekayaan (rasa kecukupan dan tenang dalam mengatur urusan dunia).

Inilah 3 perkara yang kita telah syarah dan bincangkan bersama sebelum ini (sila rujuk nota terdahulu).

Sekarang Allah SWT akan menyebutkan tiga perkara yang perlu dilakukan oleh baginda (iaitu cara untuk menggambarkan kesyukuran atas nikmat pemberian Allah SWT) melalui tindakan/perbuatan dan kata-kata.

فَأَمَّا ٱلْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ

“Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,” [Ad-Dhuha: 9]

Dalam ayat yang ke-6, kita telah bincang definisi dan dalil-dalil bagaimana Allah mengangkat martabat anak yatim, tetapi ayat kali ini kita akan lihat apakah petunjuk Allah (ayat-ayat) yang sepatutnya kita jaga dan ambil iktibar.

Fa ammal yatim: Maka adapun anak yatim

Fala taqhar: (Laa = Harfun Nahi) Jangan engkau berlaku kasar

Tafsiran:

– Ibn Abbas: Menzalimi dan menghina.

– Ibn Katsir: Menghina, membuat jahat, menghalang hak-hak mereka.

– (Banyak juga kitab tafsir yang terkemudian mengambil ayat Ibn Katsir bila menceritakan ayat ini. Antaranya Tafsir Al Munir, Prof Dr Wahbah)

Taqhar: Juga boleh difahami = melakukan sewenangnya/menguasai orang lain dan kemudian memalukan mereka.

Kita lihat sama-sama penekanan ayat Allah mengenai anak yatim dalam Al-Quran. Jika kita buka Mu’jam (indeks), kita akan dapati terdapat sebanyak 23 kalimah yatim dalam Al-Quran.

Saya hadiahkan sedikit dari pencarian saya mengenai anak yatim:

  1. Berbuat baik/sayangi/keadilan hak: 13 ayat
  2. Berkaitan urusan harta: 8 ayat
  3. Kisah harta anak yatim: 1 ayat
  4. Lain-lain: 1 ayat

Secara tidak langsung, kita akan lihat isu “penindasan” kepada anak yatim ialah mengenai hak dan berkaitan pengurusan harta.

Sabda Nabi SAW:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ. قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ قَالَ ” الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلاَّ بِالْحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلاَتِ

Maksudnya: Jauhilah tujuh dosa besar.

Bertanya para sahabat: Wahai Rasulullah, siapakah mereka itu? Jawab Baginda:

Syirik kepada Allah, sihir, membunuh manusia yang mana diharamkan oleh Allah kecuali mereka yang dibenarkan oleh syarak, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang dan melemparkan tuduhan qazaf terhadap wanita mukmin. [Riwayat Al-Bukhari (6897) & Muslim (89)].

Ayat ke-9 Ad-Dhuha ini, walaupun ia diturunkan kepada Baginda SAW, tetapi ia adalah pengajaran umum kepada setiap manusia, iaitu panduan untuk hidup bermasyarakat, agar harmoni menjaga hubungan satu dengan yang lain.

Apa yang kita boleh tadabbur terhadap perintah ni?

Berkaitan dua kalimah yatim dalam surah ini, kita dapat lihat pengajaran Allah SWT kepada manusia supaya sentiasa memikirkan/menginsafi asal-usul mereka.

Sebagaimana Nabi SAW dulu yatim, maka Allah SWT ingatkan baginda agar jaga “hak-hak” anak yatim atau lebih luas pengajaran untuk hari ini adalah, ia adalah sama dengan kisah kehidupan kita:

  1. Tatkala kita ada kedudukan lebih baik dari orang lain, maka jangan kita pandang hina orang lain, sedang dulu pun mungkin kita bermula dari bawah.
  2. Tatkala kita ada rezeki/hidup lebih baik dari orang lain, maka jangan kita pandang rendah terhadap orang lain, sedang dulu pun mungkin kita berasal dari orang yang susah.

Anak yatim ini mungkin ujian buat kita untuk memperbaiki amal jadi ujian mereka menjadi yatim, ujian kita untuk menjaga hak mereka. Melihat kisah anak yatim sepatutnya melahirkan keinsafan dan merenung diri sendiri agar bersyukur dan bertindak membetulkan diri.

Oleh sebab itu, Allah SWT sering mengingatkan kita untuk melihat asal usul kita. Maka hendaklah manusia memikirkan: dari apa manusia diciptakan.

فَلْيَنظُرِ ٱلْإِنسَٰنُ مِمَّ خُلِقَ

“Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan: dari apa ia diciptakan.” [At-Tariq: 5].

Sebarang tindakan kita ke atas seseorang perlulah kita lihat latar belakang mereka. Jangan jadi seperti iblis, ingat asal usul terasa “lebih baik” pula.

Allah SWT berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.” [Al-A’raaf: 12].

Bagi wali dan penjaga, maka hendaklah menjaga hak anak yatim dengan sebaiknya. Jika ada keperluan, ada kelonggaran untuk menggunakan hak anak yatim:

وَٱبْتَلُوا۟ ٱلْيَتَٰمَىٰ حَتَّىٰٓ إِذَا بَلَغُوا۟ ٱلنِّكَاحَ فَإِنْ ءَانَسْتُم مِّنْهُمْ رُشْدًا فَٱدْفَعُوٓا۟ إِلَيْهِمْ أَمْوَٰلَهُمْ ۖ وَلَا تَأْكُلُوهَآ إِسْرَافًا وَبِدَارًا أَن يَكْبَرُوا۟ ۚ وَمَن كَانَ غَنِيًّا فَلْيَسْتَعْفِفْ ۖ وَمَن كَانَ فَقِيرًا فَلْيَأْكُلْ بِٱلْمَعْرُوفِ ۚ فَإِذَا دَفَعْتُمْ إِلَيْهِمْ أَمْوَٰلَهُمْ فَأَشْهِدُوا۟ عَلَيْهِمْ ۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ حَسِيبًا

“Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya; dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim itu secara yang melampaui batas dan secara terburu-buru (merebut peluang) sebelum mereka dewasa. Dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu) yang kaya maka hendaklah ia menahan diri (dari memakannya); dan sesiapa yang miskin maka bolehlah ia memakannya dengan cara yang sepatutnya. Kemudian apabila kamu menyerahkan kepada mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (yang menyaksikan penerimaan) mereka. Dan cukuplah Allah SWT sebagai Pengawas (akan segala yang kamu lakukan)”. [An-Nisa’: 6].

Ibn Jauzi memberikan empat syarat:

1) gunakan sebagai hutang.

2) ambil yang perlu sahaja.

3) ukuran ambil sebagai upah.

4) darurat.

Kesimpulan:

  1. Allah wujudkan anak yatim dengan pelbagai hikmah. Antaranya adalah sebagai pengajaran kepada manusia agar berusaha untuk berbuat baik.
  2. Antara pengajaran yang baik dalam Al-Quran, merenung asal usul diri, untuk menginsafi kekerdilan kita dan moga melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT atas nikmat hari ini.
  3. Bila Allah SWT telah beri kesenangan, jangan lupa berbuat baik kepada orang lain pula.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan