Utama Bilik (04) Rahiqum Makhtum Sirah Rasulullah SAW – Peristiwa Tahun 8H Sebelum Fathul Mekah

Sirah Rasulullah SAW – Peristiwa Tahun 8H Sebelum Fathul Mekah

401
0
Iklan

Tahun 8H sebelum Fathul Mekah

Sedikit tarajim yang berlaku kepada anak sulung Baginda saw yakni Zainab r.a. Anekdot ini anak- anak Rasulallah SAW ini menjadi satu pengajaran bagaimana begitu halusnya didikan akhlak Rasulallah SAW.

Selepas sahaja Umrah Qadha’ pada Zulhijjah tahun ke 7 Hijriyyah di antara Muharram hingga Ramadhan yakni 8 hingga 9 bulan tersebut beberapa peristiwa peribadi/tarajim yang jarang-jarang disebut oleh para sejarawan. Dalam tempoh itu telah lahir Ibrahim bin Rasulallah SAW, anaknya Mariyyah Al-Qibtiyyah.

Dalam tempoh itu juga Zainab binti Rasulallah SAW setelah 8 tahun berpisah dengan suaminya Abu Al ‘As bin Rabi’ah telah kembali hidup bersama. Abu Al ‘As adalah anak kepada Halah binti Khuwailid yakni adik kepada Khadijah binti Khuwailid , isteri pertama Nabi saw.

Abu Al ‘As bin Al-Rabi’ terkenal sebagai pedagang yang kaya, pandai dan amanah.

Dalam satu riwayat sirah diberitakan rombongan kafilah Abu Al ‘As yang pulang dari Sham melalui Madinah telah dirampas oleh orang Islam. Namun ia agak mengelirukan kerana orang Islam telah pun menandatangani perjanjian Hudaibiyyah pada waktu itu, kenapa masih diganggu kafilah dagangan. Setelah dari peristiwa itu Abu Al A’s telah kembali ke pangkuan isterinya Zainab r.a di Madinah.

Apa yang menghalangi Abu Al A’s dari memeluk Islam? Ada satu pendapat mengatakan kemungkinan sebelum Islam beliau telah ada perjanjian perniagaan dengan rakan-rakan niaganya di Mekah demi menunaikan amanah perniagaan beliau terpaksa menangguhkannya.

Sejarawan juga menyebut pada tahun 8H ini juga telah wafatnya Zainab binti Rasulallah SAW.  Zainab r.a telah dikurniakan dengan 2 orang cahaya mata iaitu Umamah dan Ali r.a.

Kronologi ringkas apa yang berlaku pada tahun 8H:

  1. Safar 8H – Sariyyah Abdullah Al Laitsi
  2. Rabiu’ul Awwal 8H – Sariyyah Shuja’ bin Wahb Al Asadi
  3. Rabi’ul Awwah 8H – Sariyyah Ka’ab bin Umair Al Ghifari

12 bulan mereka tidak sama walau sedikit pun dengan 120 tahun hidup kita dari segi juhud (usaha) dalam meninggikan agama dan menyebar luaskan kalimah yang haq.

Kronologi 8 Hijriyyah ini dari Muharram sampai ke Zulhijjah (12 bulan) supaya kita dapat gambarkan bagaimana Rasulallah SAW dan para sahabat melalui 1 tahun Hijri dalam kehidupan mereka.

Rabi’ul Awwal 8H

  1. Sariyyah Zaid bin Haritsah ke Madyan
  2. Jamadil Awwal 8H – Sariyyah Mu’tah

Sariyyah Mu’tah adalah satu sariyyah yang sangat profilik dalam usaha menyebarluaskan agama Islam. Rasulallah SAW telah menghantar jemaah ke Mu’tah dengan tujuan mendakwah penduduk di sempadan Syam. Sebelum jemaah dihantar Rasulallah SAW telah melantik Panglima dan pengganti-penggantinya sekiranya panglima tersebut syahid. Pada tahun 7H seperti yang telah dibincangkan sebelum ini banyak surat yang telah dihantar kepada pembesar pembesar di luar jazirah Arab.

Mu’tah adalah ekspedisi dakwah merentas kesempadan Arab. Bermula dari pembunuhan utusan Rasulullah SAW bernama Harith İbn Umair Al Azdy oleh Gabenor Balqa’ satu kawasan yang dikuasai oleh Arab yang bersekutu dengan Rom.

Lebih kurang 3,000 para pejuang digerakkan ke Syam, jumlah yang paling besar dari sariyyah-sariyyah lain sebelum 8H yang diketuai oleh Zaid bin Harithah. Rasulullah SAW mewasiatkan “Apabila Zaid terbunuh, penggantinya Ja’far dan apabila Ja’far terbunuh diganti oleh Abdullah bin Rawahah dan bendera putih diserahkan pada Zaid bin Harith”. 

Menanti mereka 100,000 tentera Rom bersama 100,000 lagi ally (sekutu) Rom dari kabilah Lakhm, Judzam, Balqin, Bahra’ dan Bally. Sekutu Rom ada kabilah Arab yang beragama Nasrani.

Pasukan Muslim memutuskan untuk menulis surat pada Rasulullah SAW dan mengkhabarkan jumlah musuh mereka. Mungkin beliau akan mengirimkan bantuan atau memberi perintah dan mereka siap melaksanakannya. Tetapi Abdullah bin Rawahah tidak bersetuju, dia memberi cadangan pada mereka dan berkata:

“Wahai kaum Muslim, hal yang tidak kalian sukai dalam pemergian ini sebenarnya yang kita cari iaitu mati syahid. Sesungguhnya kamu pergi berperang tidak kerana jumlah, kekuatan, dan banyaknya pasukan musuh. Kita memerangi mereka tidak lain kerana agama ini, dengan agama kita telah dimuliakan Allah. Kerana di sana salah satu kebaikan, apakah kemenangan atau mati syahid”.

3000 vs 200,000 di Mu’tah.  3 orang panglima perang yang disebut di atas telah mati syahid. Khalid Al Walid yang baru sahaja setahun memeluk Islam telah dipilih menjadi panglima. Beliau dari Kabilah Al Makhzum yang terkenal sebagai panglima perang dan bijak merencana taktikal.

Taktik Khalid Al Walid di Mu’tah adalah dengan mengumpan musuh ke kawasan padang pasir. Rom dan sekutunya tidak mahir berperang di kawasan padang pasir, oleh kerana itu mereka berundur. Peperangan yang sengit ini membuktikan kepada Rom dan sekutunya kekuatan umat Islam. Bantuan Allah SWT dalam perang Mu’tah menggerunkan musuh. Walaupun pada hakikatnya peperangan ini berakhir dengan pengunduran dua-dua pihak ia memberi kesan psikologi kepada Rom, bahawa umat Islam adalah umat yang kuat dengan keyakinan mereka kepada Islam.

Pada Jamadil Akhir 8H – Sariyyah Amru Al A’s yang dikenali sebagai Zat Al Salsalil – mengikut satu hadis Amru’ Al A’s baru sahaja memeluk Islam pada Safar tahun yang sama (8H).Zat Al Salsalil adalah perang bantuan kepada jemaah sariyah Mu’tah. Serangan ke atas kabilah Arab yang bersekutu dengan Rom sewaktu sariyyah Mu’tah.

Syaaban 8H – Sariyyah Abi Qatadah

Syaaban 8H – Sariyyah Abi Hadrad ke Ghabah

Di penghujung Sya’aban sekutu Quraish Makkah – Bani Bakr telah melanggar perjanjian Hudaibiyyah apabila mereka telah merampas unta suku Khuza’ah.  Utusan Khuza’ah telah datang ke Madinah mengadu kepada Rasulallah SAW.

Abu Sufyan telah datang ke Madinah untuk berunding, pada masa inilah beliau telah datang ke rumah anak perempuannya yang merupakan isteri kepada Rasulallah SAW yakni Ummu Habibah r.a dan juga anaknya yang telah enggan memberikan bantal dan tikar sebagai alas duduk, kerana menganggap orang kafir ini najis, seperti yang disebutkan dalam Al-Qur’an secara maknanya begitu.

Rundingan Abu Sufyan ini gagal, gencatan senjata telah terbatal. Orang Islam dan Kafir Quraish kembali berperang.

Mendapat berita kegagalan rundingan Abu Sufyan, orang-orang Mekah yang berniat untuk masuk Islam telah beramai-ramai berhijrah antaranya adalah Abbas bin Abdul Muttalib r.a bapa saudara Rasulallah SAW.

Dalam masa yang sama Rasulallah SAW telah pun bergerak bersama para sahabat ke Mekah iaitu pada awal Ramadhan 8H. Di pertengahan jalan di sempadan Mekah, Abu Sufyan telah menemui Rasulallah SAW dan telah menyatakan keislamannya.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan