TKK 98: Bumi Arab Kembali
Menghijau Dan Mengalirnya sungai
(عودة جزيرة العرب مروجا وأنهارا )
Dalil hadith: Dari Abu Hurayrah ra,
فعن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال لا تقوم الساعة حتى يكثر المال ويفيض حتى يخرج الرجل بزكاة ماله فلا يجد أحدا يقبلها منه وحتى تعود أرض العرب مروجا وأنهارا ; رواه مسلم
“Hari Kiamat tidak akan terjadi sehingga harta menjadi banyak dan melimpah, sehingga seseorang hendak mengeluarkan zakat hartanya tetapi ia tidak menemukan seorang pun yang menerimanya dan sehingga tanah Arab kembali menjadi padang rumput dan sungai.”
(HR. Muslim no 157)
Juga dari Abu Hurayrah ra,
لا تقوم الساعة حتى تعود أرض العرب مروجا وأنهارا وحتى يسير الراكب بين العراق ومكة لا يخاف إلا ضلال الطريق -أي يخاف أن يضيع الطريق- وحتى يكثر الهرج»قالوا: وما الهرج يا رسول الله ؟قال: «القتل»رواه أحمد : الراوي: أبو هريرة – خلاصة الدرجة: رجاله رجال الصحيح – المحدث: الهيثمي – المصدر: مجمع الزوائد – الصفحة أو الرقم: 7/334
“Tidak akan terjadi Kiamat sehingga bumi Arab kembali hijau dan sungainya mengalir dan sehingga seorang menaiki kenderaan dari Iraq ke Makkah tidak takut kepada sesiapa pun kecuali tersesat jalan dan banyak terjadi Haraj. Diajukan soalan, “Apa itu al-Haraj?”, Baginda SAW menjawab, “Ia adalah pembunuhan besar-besaran.”
(HR Ahmad, dinilai sahih oleh al-Haithami dalam Majma’)
Hadith Mu’adz bin Jabal ra,
قال : «يوشك يا معاذ إن طالت بك الحياة أن ترى ما ههنا قد ملى جنانا> رواه مسلم<
Ia berlaku ketika ekspedisi Tabuk dan mereka mengalami masalah kekurangan bekalan air di Tabuk, lalu baginda SAW berkata kepada Muadz, ” Ya Mu’adz, jika usiamu panjang, pasti engkau akan menyaksikan kawasan ini (Bandar Tabuk) akan berubah kepada kesuburan dan ladang-ladang pertanian yang lebat.”
(HR Muslim)
Syarah:
Berkata Dr. Abdul Majid al-Zindani, asalnya tanah Arab adalah kawasan paling awal dihuni, dan ketika itu ia adalah kawasan hijau dan subur. Tetapi selepas zaman ais yang pertama, maka berlaku perubahan pertama dan tanah Arab menjadi padang pasir. Namun dengan hadith ini, jika berlaku zaman ais kedua, di mana kutub akan cair, tanah Arab akan kembali menghijau dan sungai-sungai akan mengalir semula.
Berkata Dr. al-Arifi, KSA (Kingdom Saudi Arabia), semua sudah maklum, lapan puluh peratus tanah Arab adalah padang pasir yang tandus dan gersang. Maka, apabila Nabi SAW mengkhabarkan ia akan kembali hijau, ia suatu yang aneh dan menakjubkan.
Mengenai hadith Muaz bin Jabal di Tabuk, sememangnya sahih, Tabuk sekarang di Saudi adalah hijau dan antara kawasan pertanian utama di Saudi.
Syarah Thtl (Tuan Hasan Tuan Lah)
Selepas saya sendiri bekerja di Arab Saudi selama beberapa tahun di bandaraya Jizan, saya dapati, Jizan sendiri adalah kawasan pengeluaran pertanian yang utama di Arab Saudi, antaranya pengeluar mangga dan pisang yang utama di Saudi. Saya pernah ke ibu kota Riyadh, di mana Riyadh itu sendiri bermaksud “garden city” atau “bandar raya taman”, maka wujud di sekitar Riyadh kawasan hijau yang besar dan ajaib sekali kerana ia berada di padang pasir. Jika anda ke Arafah, tempat wukuf, kawasan tersebut juga sudah menghijau, dan dengan teknologi penyulingan air laut, Saudi ke arah mencukupi dalam pengeluaran sayuran dan buah-buahan. Manakala di Dubai dan negara teluk, teknologi hijau amat mengagumkan, di mana terdapat pusat permainan salji terbesar di dunia adalah di Dubai.
Bayangkan, boleh bermain luncur ais dan salji di padang pasir!