Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Al-Baqarah – Ayat Ke-2

Tafsir Al-Baqarah – Ayat Ke-2

4424
0
Iklan

بسم الله الرحمٰن الرحيم

Tafsir Al-Baqarah Ayat Ke-2

ذَٰلِكَ الْكِتَابُ

“ Itulah kitab”.

Allah SWT menggunakan perkataan ذٰلِكَ untuk merujuk kepada Al-Quran dan perkataan ذٰلِكَ dari segi bahasa sebenarnya bermaksud ‘itu’.

Sepatutnya, kita rasa perkataan yang sesuai digunakan adalah ‘ini’ kerana Al-Quran ada di hadapan kita, bukan? Tetapi, tidaklah ayat itu yang digunakan oleh Allah SWT. Ini adalah kerana, apabila digunakan ‘itu’ pada tempat yang sepatutnya digunakan dalam ayat ini, dari segi balaghah (yang tersirat), menunjukkan ‘ketinggian’ dan ‘kehebatan’. Maksudnya Allah SWT menggunakan kata penunjuk ‘itu’ untuk memberi isyarat ketinggian Al-Quran.

Pendapat kedua: Perkataan ini digunakan untuk mengejutkan mereka yang membaca. Perkataan yang digunakan adalah ذَٰلِكَ yang bermaksud ‘itu’. Ini adalah kerana tidak ada kitab dalam bentuk mushaf yang digunakan pada zaman Nabi. Al-Quran yang lengkap adalah Al-Quran yang berada di langit dunia yang diturunkan sedikit demi sedikit oleh malaikat Jibrail atas arahan Allah SWT. Jadi, perkataan ‘itu’ yang digunakan adalah merujuk kepada Al-Quran yang berada di langit tersebut.

Pendapat yang ketiga: walaupun menggunakan kalimah ذَٰلِكَ (itu) tetapi ia membawa maksud هذا (ini) dan ini dibolehkan dalam penggunaan bahasa Arab.

Kalimah الْكِتَابُ yang dimaksudkan adalah Al-Quran.

Itu adalah potongan ayat pertama. Saya akan potongkan ayat satu persatu mengikut kesesuaian supaya kita boleh kaji satu demi satu ayat itu, kerana ayat-ayat Al-Quran ada yang membawa berbagai maklumat di dalamnya.

لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ

“ Tidak ada keraguan di dalamnya “.

Merujuk di dalam Al-Quran: Tidak ada syak terhadap Al-Quran itu. Allah SWT sendiri mengatakannya. Namun, jika begitu mengapa ramai yang tidak percaya? Bukankah lebih ramai yang tidak percaya kepada Al-Quran daripada mereka yang percaya? Adakah salah ayat ini? Mungkin timbul persoalan seperti ini.

Kita hendaklah faham apakah yang hendak disampaikan oleh Allah SWT. Makna dalam ayat ini adalah, Allah SWT mengatakan bahawa tidak syak yang Al-Quran itu datang daripada Allah SWT. Allah SWT hendak beritahu sendiri kepada kita sama ada manusia hendak percaya atau tidak, terpulanglah kepada mereka dan mereka akan menanggung penyesalan jikalau mereka tidak mempercayainya.

Allah SWT juga hendak memberitahu kita, tidak ada keraguan dalam isi kandungan Al-Quran ini. Tidak akan terdapat sebarang perselisihan di dalamnya. Sebagai contoh, ayat dalam juzuk 1 tidak ada perselisihan dengan juzuk-juzuk lain. Kalau nampak ada perbezaan, itu bukanlah perbezaan dan boleh dijelaskan di dalam tafsir. Orang yang tidak belajar sahaja yang akan kata ada perselisihan. Al-Quran tidak seperti ‘Bible’ yang terdapat banyak perselisihan maklumat-maklumat di dalamnya.

Tidak ada juga perbezaan antara apa yang diceritakan dalam Al-Quran dengan hadis Nabi. Apa yang Nabi kata tidak akan berlawanan dengan ayat Al-Quran. Jadi, jikalau kita jumpa ada hadis yang tidak sealiran dengan Al-Quran, bermakna hadis itu yang ada masalah.

Musuh-musuh Islam telah sekian lama mencari kesalahan di dalam Al-Quran tetapi hingga sekarang, mereka tidak menjumpainya. Memang ada ramai yang cuba menimbulkan contoh-contoh adanya perselisihan di dalam ayat-ayat Al-Quran, tetapi yang boleh tertipu adalah mereka yang jahil Al-Quran sahaja, kerana jika belajar mereka tidak akan keliru.

Oleh itu pengajaran untuk kita: Kita jangan ragu-ragu terhadap mana-mana pun ayat Al-Quran. Jika rasa ada kekeliruan terhadap mana-mana ayat Al-Quran, hendaklah segera bertanya kepada mereka yang lebih arif.

هُدًى لِلْمُتَّقِينَ

“ Petunjuk bagi mereka yang bertakwa “.

Allah SWT sambung lagi di dalam ayat ini yang Al-Quran itu adalah ‘hidayah’ kepada orang yang bertaqwa. Siapakah yang dikatakan ‘bertaqwa’? Selalu kita dengar perkataan taqwa, tetapi apakah maksud ‘taqwa’ itu sendiri?

Perkataan ‘taqwa’ selalunya diterjemahkan sebagai ‘takut’. Namun, takut bukanlah terjemahan yang tepat kerana jika kita maksudkan ‘takut’ sahaja, ada perkataan lain yang boleh digunakan: ‘khauf’ dan memang kalimah ‘khauf’ ini juga ada dalam ayat-ayat Al-Quran yang lain.

Tidaklah bermakna ‘khauf’ tidak ada kena mengena dengan taqwa sebab ‘takut’ adalah salah satu dari elemen ‘taqwa’ kerana kalau tidak ada takut kepada Allah SWT, tidak akan ada taqwa.

Taqwa diambil dari kata dasar وقي (wiqaya) yang bermaksud ‘berhati-hati’. Sebagaimana kita melalui jalan yang berduri, tentu kita akan berhati-hati, bukan?

Menurut satu riwayat, Umar ibnu Khattab r.a. pernah bertanya kepada Ubay ibnu Ka’b tentang makna taqwa. Maka Ubay ibnu Ka’b bertanya kembali, “Pernahkah engkau menempuh jalan yang beronak duri?” Umar menjawab, “Ya, pernah.” Ubay ibnu Ka’b bertanya lagi, “Kemudian apa yang kamu lakukan?” Umar menjawab, “Aku bertahan dan berusaha sekuat tenaga untuk melintasinya.” Ubay ibnu Ka’b berkata, “Itulah yang namanya taqwa.” [Tafsir Ibn Kathir].

Taqwa ini bolehlah diertikan sebagai seorang yang berhati-hati dalam kehidupannya. Dia akan sentiasa memeriksa sama ada apa yang dia lakukan itu bertepatan dengan agama dan kehendak Allah SWT. Kalau hendak berbuat sesuatu, dia akan berfikir, “Apa Allah SWT hendak aku buat dalam hal ini?” “Adakah sah/ halal/ boleh perbuatan ini?” Hati dia sentiasa memikirkan kehendak Allah SWT. Di dalam bahasa Inggeris, ini dipanggil ‘God-conscious’. Dia sedar yang Allah SWT sentiasa memerhatikan apa yang dilakukannya.

Oleh itu, setakat ini kita tahu maksud ’taqwa’ adalah:

1.Sedar Allah SWT sedang memerhatikan segala gerak geri kita.

2.Taat hukum-hakam yang Allah SWT telah sampaikan kepada kita.

Hendaklah ingat maksud ‘taqwa’ ini, kerana kita akan berjumpa dengan banyak lagi di dalam ayat-ayat Al-Quran selepas in, di mana tidaklah perlu dijelaskan lagi. Insya-Allah di dalam ayat-ayat selepas ini, akan diterangkan apakah sifat-sifat orang yang bertaqwa itu.

Kita akan berjumpa dengan ayat-ayat lain yang menjelaskan lagi tentang maksud taqwa itu. Barulah kita dapat memahaminya secara menyeluruh. Ayat Al-Quran hendaklah dibaca dan difahami semua sekali, tidak boleh diambil sedikit- sedikit.

Justeru, Al-Quran itu adalah petunjuk hidayah untuk orang yang bertaqwa. Mungkin timbul satu persoalan, kenapa hendak beri hidayah lagi kepada orang yang sudah bertaqwa? Bukankah sepatutnya diberikan kepada orang yang belum bertaqwa?

Maka, ulama kata lafaz مُتَّقينَ di dalam ayat ini bukanlah bermaksud orang yang sudah sempurna taqwa mereka, tetapi orang yang ‘hendak menjadi orang yang bertaqwa’. Kalau seseorang itu ada keinginan untuk menjadi orang yang bertaqwa, Allah SWT akan buka hatinya untuk mencapai kedudukan itu. Wahyu Al-Quran ini adalah untuk semua manusia, tetapi yang mahu menerimanya adalah mereka yang mahu beriman sahaja, seperti makna yang terkandung di dalam firman-Nya:

 

قُلْ هُوَ لِلَّذِينَ آمَنُوا هُدىً وَشِفاءٌ وَالَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ فِي آذانِهِمْ وَقْرٌ وَهُوَ عَلَيْهِمْ عَمًى أُولئِكَ يُنادَوْنَ مِنْ مَكانٍ بَعِيدٍ

“ Katakanlah, “Al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang yang beriman. Dan orang-orang yang tidak beriman pada telinga mereka ada sumbatan, sedangkan Al-Quran itu suatu kegelapan bagi mereka. Mereka itu adalah (seperti) orang-orang yang dipanggil dari tempat yang jauh.””[Fussilat: 44]

Apabila seseorang itu telah mahu bertaqwa dan dia telah percaya kepada Allah SWT, tentulah dia hendak belajar isi kandungan Al-Quran sebagai petunjuk. Petunjuk yang ada di dalam Al-Quran ini diberikan kepada orang yang telah menerima tauhid, iaitu selepas dia telah mengucap dua kalimah syahadah, agar dia kenal siapakah Tuhan dan supaya dia tidak melakukan syirik seperti dalam agama-agama yang lain.

Untuk menyempurnakan taqwa, ada dua perkara yang tidak boleh ada dan dua perkara yang perlu ada:

1. Jangan ada sifat sombong. Jika ada sifat sombong (untuk terima kebenaran), taqwa tidak akan masuk.

2. Jangan ikut orang lain membuta tuli. Jangan taklid kepada orang tanpa usul periksa. Hendaklah ada usaha untuk mencari kebenaran. Jangan hanya berserah kepada orang.

3. Hendaklah takut kepada balasan dari Allah SWT. Takutlah ancaman dari Allah SWT jika berbuat salah.

4. Hendaklah menjaga diri. Kawal nafsu dari derhaka terhadap suruhan dan larangan Allah SWT.

Kaitan dengan Al-Fatihah:

Dalam surah Al-Fatihah, kita telah diajar untuk meminta hidayah daripada Allah SWT, iaitu ayat اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ (Pimpinlah kami ke jalan yang lurus). Maka, Allah SWT menjawab dalam ayat ini bahawa Al-Quran inilah sebagai petunjuk dan hidayah bagi mereka. Jika kamu telah meminta jalan yang lurus, maka ikutlah apa yang disampaikan di dalam Al-Quran ini. Jadi, jikalau kita hendak menjadi orang yang bertaqwa, maka kita hendaklah menjadikan Al-Quran ini sebagai pedoman hidup kita. Mesti belajar tafsir Al-Quran hingga habis, kerana kita tidak mahu tertinggal satu pun hidayah daripada Allah SWT.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan