Utama Bilik (04) Rahiqum Makhtum Sirah Nabi – Tahun ke-6 Hijrah Ujian dan Cabaran

Sirah Nabi – Tahun ke-6 Hijrah Ujian dan Cabaran

1337
0
Iklan

Tahun ke 6 Hijrah – Ujian dan Cabaran

Selepas sariyah dan ghuzwah yang berlaku pada tahun ke-6H apakah posisi umat Islam ketika itu di jazirah Arab? Dari segi kekuatannya umat Islam menunjukkan hampir kesemua kabilah Arab baik di Yaman, di sempadan Sham (Daumah Al-Jandal), di Najd dan sekitarnya telah dapat ditundukkan. Dalam keadaan Quraish mula lemah dan berpecah belah.

Pada bulan Zulkaedah tahun ke-6H Rasulullah SAW telah diperintahkan oleh Allah SWT untuk melaksanakan Umrah. Posisi umat Islam di Madinah telah semakin kukuh dengan pengusiran Yahudi ke Khaibar kira-kira 150km-200km dari Madinah.

Walaupun begitu dari segi keamanan dan kestabilan politik, Madinah masih terdedah kepada ancaman Quraish kerana tiada apa-apa persetujuan damai atau gencatan senjata dibuat di antara kedua pihak.

Inilah hikmah perintah Allah SWT untuk melakukan Umrah:

“Telah menceritakan kepada kami Ahmad bin Muhammad, telah mengkhabarkan kepada kami ‘Abdullah, telah mengkhabarkan kepada kami Ma’mar, dari Az Zuhriy, dari ‘Urwah bin Az Zubair, dari Al Miswar bin Makhramah, dan Marwan, keduanya berkata: “Nabi Shallallahu’alaihiwasallam berangkat saat perjanjian Al-Hudaibiyah dari Madinah bersama sekitar seribu orang sahabat beliau hingga ketika sampai di Dzul Hulaifah, Nabi Shallallahu’alaihiwasallam mengikatnya dan menandai haiwan korban beliau, lalu berihram untuk ‘umrah”.”

Perjalanan Umrah ini disebut oleh Al-Bukhari dalam sahihnya.

Pada tahun ini juga ada jemaah sariyah di sebut sebagai al-anbar kerana jemaah tersebut terputus makanan, mereka telah menemui bangkai ikan paus yang terdampar dan telah makan ikan tersebut sehinggalah mereka pulang ke Madinah:

“Telah menceritakan kepada kami Isma’il, dia berkata; Telah menceritakan kepada ku Malik, dari Wahb bin Kaisan, dari Jabir bin ‘Abdullah, dia berkata; “”Rasulullah Shalla Allahu ‘alaihi wa sallam mengutus delegasi menuju ke pantai. Beliau mengangkat Abu Ubaidah bin Jarrah sebagai pemimpin pasukan. Mereka berjumlah tiga ratus orang.”” Kami berangkat, namun ketika sampai di suatu jalan perbekalan kami habis. Maka Abu Ubaidah memerintahkan untuk mengumpulkan perbekalan pasukan, dan perbekalan pun dikumpulkan. Bekal yang terkumpul berjumlah dua kantung kurma.”” Bekal itulah yang menjadi makanan pokok kami setiap hari, sedikit demi sedikit hingga habis. Sampai kami tidak mendapatkan jatah lagi kecuali hanyalah sebuah kurma tiap orang. Aku bertanya; ‘Apalah ertinya sebiji kurma.’ Abu ‘Ubaidah menjawab; ‘Kami memang sudah mendapati tidak ada kurma lagi’.”” Jabir berkata; “”Kemudian kami tiba di sebuah pantai. Ternyata ada ikan paus sebesar anak bukit. Maka pasukan pun memakannya selama delapan belas malam. Abu Ubaidah memerintahkan untuk mengambil dua tulang rusuknya, lalu dipancangkan. Kemudian dia memerintahkan untuk mendatangkan seekor unta tunggangan. Ternyata unta tersebut dapat melewati bawah tulang rusuk ikan itu dan ia tidak mengenainya.”

Peristiwa ini disebut oleh Al-Bukhari dalam Sahihnya.

Pada tahun yang sama juga terjadi peristiwa al-Urainah:

“Telah menceritakan kepada kami Sulaiman bin Harb berkata, telah menceritakan kepada kami Hammad bin Zaid, dari Ayyub, dari Abu Qilabah, dari Anas bin Malik berkata, “”Beberapa orang dari ‘Ukl atau ‘Urainah datang ke Madinah, namun mereka tidak tahan dengan iklim Madinah hingga mereka pun sakit. Beliau lalu memerintahkan mereka untuk mendatangi unta dan meminum air seni dan susunya. Maka mereka pun berangkat menuju kandang unta (zakat), ketika telah sembuh, mereka membunuh pengembala unta Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan membawa unta-untanya. Kemudian berita itu pun sampai kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menjelang siang. Maka beliau mengutus rombongan untuk mengikuti jejak mereka, ketika matahari telah tinggi, utusan beliau datang dengan membawa mereka. Beliau lalu memerintahkan agar mereka dihukum, maka tangan dan kaki mereka dipotong, mata mereka dicungkil, lalu mereka dibuang ke padang pasir yang panas. Mereka minta minum namun tidak diberi.”” Abu Qilabah mengatakan, “”Mereka semua telah mencuri, membunuh, murtad setelah keimanan dan memerangi Allah dan Rasul-Nya.”””

Peristiwa ini yang dirakam oleh Al-Bukhari dalam sahihnya.

Tahun yang sama juga semasa Ghuzwah Muraisi’ terjadinya peristiwa pemfitnahan ke atas Ummul Mu’minin Aisyah RA.

Peristiwa ini berlaku semasa Ghazwah Muraisi’ yang disahkan oleh penulis RM yakni As-Syaikh Sofiyyurrahman yang berlaku pada tahun 6 Hijriah.

Perbahasan bila berlakunya Muraisi’ ini bagi ahli sejarah memang sangat sengit dan kompleks.

Aisyah ra telah turut serta dalam Ghazwah Bani Mustaliq/Muraisi’ tentu orang bertanya mengapa hendak berperang bawa isteri? Sekali lagi isu fiqh tidak akan dibincangkan di sini.

Sebelum dari Ghazwah ini Abdullah bin Ubai telah menyerang ‘peribadi’ Rasulallah SAW. Ini adalah teknik siasah yang digunakan oleh sesiapa pun jika mahu menang dengan cara kotor yakni menyerang peribadi. Inilah yang diajar oleh si munafik. Maka sesiapa yang sering menyerang dan memburukkan peribadi seseorang baik pun ianya benar, berhati-hatilah kerana sebahagian ‘SUNNAH’ Abdullah bin Ubai telah ada dalam diri kita. Nauzubillahimin zalik.

Serangan-serangan peribadi ini di sisi sahabat amat menyakitkan, sehingga Umar ra meminta izin untuk dicantas sahaja leher Abdullah bin Ubai.

Bagaimana Rasulallah SAW menangani serangan dan fitnah ini?

Setelah diserang secara peribadi dan dapat dinafikan semuanya oleh sahabat, kini satu polemik yang lebih dahsyat lagi yakni ‘skandal’ yang sangat-sangat nyata.

Isteri Nabi SAW bersama dengan seorang lelaki ajnabi (bukan mahram) pulang bersama. Tidakkah ianya suatu yang sangat jelas untuk berlaku skandal? Ya, oleh sebab itulah, berita ini dipercayai oleh sebilangan sahabat di masa itu.

  1. Rasulallah SAW – tawaqquf (berhenti) dari membuat apa-apa komen dan keputusan.
  2. Rasulallah SAW – meneruskan kehidupan seperti biasa untuk menunjukkan betapa ianya kehidupan yang biasa selama sebulan lebih Aisyah ra masih tidak tahu bahawa beliau difitnah sehingga pada malam Ummu Mishtah tergelincir.
  3. Rasulallah SAW – membiarkan yang difitnah membela diri.

Setelah hampir 3 bulan, ianya satu masa yang lama untuk satu fitnah menjadi konflik sehinggakan sahabat-sahabat ada yang terpengaruh. Bayangkan kita di tempat Umar ra, bayangkan kita di tempat Abu Bakar ra.

Maka, Allah SWT telah menurunkan wahyu An-Nur ayat ke-11 hingga ke-20:

إِنَّ ٱلَّذِينَ جَآءُو بِٱلْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ ۚ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم ۖ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ لِكُلِّ ٱمْرِئٍ مِّنْهُم مَّا ٱكْتَسَبَ مِنَ ٱلْإِثْمِ ۚ وَٱلَّذِى تَوَلَّىٰ كِبْرَهُۥ مِنْهُمْ لَهُۥ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).(An-Nur – 11)

 

لَّوْلَآ إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَٱلْمُؤْمِنَٰتُ بِأَنفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا۟ هَٰذَآ إِفْكٌ مُّبِينٌ

Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata”.(An-Nur – 12)

لَّوْلَا جَآءُو عَلَيْهِ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَآءَ ۚ فَإِذْ لَمْ يَأْتُوا۟ بِٱلشُّهَدَآءِ فَأُو۟لَٰئِكَ عِندَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلْكَٰذِبُونَ

Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.(An-Nur – 13)

وَلَوْلَا فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُۥ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْءَاخِرَةِ لَمَسَّكُمْ فِى مَآ أَفَضْتُمْ فِيهِ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu; -(An-Nur – 14)

إِذْ تَلَقَّوْنَهُۥ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَتَقُولُونَ بِأَفْوَاهِكُم مَّا لَيْسَ لَكُم بِهِۦ عِلْمٌ وَتَحْسَبُونَهُۥ هَيِّنًا وَهُوَ عِندَ ٱللَّهِ عَظِيمٌ

Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.(An-Nur – 15)

وَلَوْلَآ إِذْ سَمِعْتُمُوهُ قُلْتُم مَّا يَكُونُ لَنَآ أَن نَّتَكَلَّمَ بِهَٰذَا سُبْحَٰنَكَ هَٰذَا بُهْتَٰنٌ عَظِيمٌ

Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: “Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan”.(An-Nur – 16)

يَعِظُكُمُ ٱللَّهُ أَن تَعُودُوا۟ لِمِثْلِهِۦٓ أَبَدًا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.(An-Nur – 17)

وَيُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلْءَايَٰتِ ۚ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukum-Nya); kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.(An-Nur – 18)

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلْفَٰحِشَةُ فِى ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْءَاخِرَةِ  وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)(An-Nur – 19)

وَلَوْلَا فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُۥ وَأَنَّ ٱللَّهَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, dan juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah Amat melimpah belas kasihan-Nya, (tentulah kamu akan ditimpa azab dengan serta-merta).(An-Nur – 20)

Maka ternyatalah berita tersebut adalah fitnah dan pihak yang menyerang dengan ghuluw itu, tahulah di pihak yang mana.

Maka telah disyariatkan hukuman 80 sebatan bagi penuduh zina. 3 sahabat yang mengaku bersalah telah menjalani hukuman ini yakni Mishtah bin Usathah, Hassan bin Thsabit dan Hamnah binti Jash.

Kenapa hanya 3 orang? Mereka mengaku bersalah kerana iman mereka. Bahkan yang munafik sudah pastilah pelbagai alasan diberikan untuk mengelak hukuman.

Hamnah binti Jash adalah adik ipar Rasulallah SAW. Hasan bin Thabit adalah penyajak yang dibenarkan bersajak di masjid manakala Mishta bin Usatha adalah saudara rapat Abu Bakar ra. sepupu kepada Aisyah ra. Ibunya Umm Mishtah sering bersama Aisyah ra ketika di rumah Abu Bakar ra. Hamnah binti Jash adalah kakak kepada Zainab binti Jash (isteri Rasulallah SAW).

Selepas mereka dijatuhkan hukuman hubungan mereka berjalan seperti biasa bahkan dalam surah An-Nur ada arahan supaya golongan yang dipengaruhi/terpedaya ini dimaafkan dan di layan selayaknya.

وَلَا يَأْتَلِ أُو۟لُوا۟ ٱلْفَضْلِ مِنكُمْ وَٱلسَّعَةِ أَن يُؤْتُوٓا۟ أُو۟لِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْمَسَٰكِينَ وَٱلْمُهَٰجِرِينَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ۖ وَلْيَعْفُوا۟ وَلْيَصْفَحُوٓا۟ ۗ أَلَا تُحِبُّونَ أَن يَغْفِرَ ٱللَّهُ لَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.(An-Nur – 22)

Tahun ke-6H adalah tahun yang mana sepanjang tahun yang ‘penuh’ dengan pelbagai ujian dan cabaran buat umat Islam dan peribadi Rasulallah SAW.

 

Wallahu a’lam.

Komen dan Soalan