SOALAN & JAWAPAN
FIQH WANITA
SOALAN
Adakah salah jika seorang isteri tidak mahu mengikut kata suami untuk membelanjakan harta pusaka yang isteri perolehi?
JAWAPAN
Harta isteri adalah hak isteri. Suami tiada hak menentukan apa yang isteri hendak buat dengan hartanya.
SOALAN
Maksudnya tidak salah jika isteri tidak mahu mengikut kata suami?
JAWAPAN
Ya, melainkan kalau isteri mahu membelanjakan harta itu ke jalan maksiat, maka suami boleh menegur dan isteri wajib taat.
SOALAN
a. Ustaz, bagaimana kalau seseorang ustaz itu bukan mengikut sunnah tetapi sangat bagus dalam ilmu tajwid dan lain-lain dan adakah secara mutlak kita tidak boleh mengambil ilmu darinya sebab Nabi saw pernah bersabda, jangan duduk bersama pelaku bid’ah?
JAWAPAN
Boleh belajar tajwid jika dia pakar dalam bab itu seperti ustaz Don Daniyal.
b. Tetapi jika dia menambah ilmu lain bagaimana. Sebagai contoh di samping mengajar tajwid kemudian beliau mengajar tafsir Al-Quran mengikut kefahaman dia. Adakah dikira bahaya juga mengambil ilmu dari beliau?
JAWAPAN Ustaz Azlizan Nueq
Ya, bahaya. Kalau dia mengajar tajwid sahaja tidak mengapa. Dalam mentafsir Al-Quran, ulama mengambil juga tafsir dari ulama muktazilah kerana kehebatan bahasa mereka. Tetapi kena tapisan dahulu, cuma takut kita tidak tahu cara hendak buat tapisan.
SOALAN
Apakah keadaan yang membolehkan seseorang itu bersembahyang sambil duduk?
Kalau kita sudah sembuh tetapi jika selalu tunduk rasa pinggang dan kaki masih tidak kuat, adakah kita patut tunggu sakit dahulu baru kita bersembahyang sambil duduk atau boleh bersembahyang sambil duduk untuk mengelakkan daripada jatuh atau pening?
JAWAPAN
Sakit ini ada pelbagai jenis, orang yang sakit itu sahaja yang tahu bagaimana keadaannya, sama ada mampu berdiri atau tidak mampu, sama ada duduk atas kerusi atau atas lantai atau berbaring.
Buatlah yang termampu dan terbaik bagi pesakit itu.
Contohnya, jika tidak mampu berdiri lama maka berdiri sekejap dan duduk. Jika berdiri sekejap pun tidak mampu maka terus duduk. Begitulah seterusnya.
Dalil:
فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ مَا ٱسْتَطَعْتُمْ
“Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu ” (Q.S At-Taghabun 64:16)
ما أمرتكم به فأتوا منه ما استطعتم
“Apa yang aku perintahkan kepada kalian, kerjakanlah sesuai kemampuan kalian”
(HR. Al-Bukhari 7288, Muslim 1337)
SOALAN
Mohon pencerahan, benarkah ada hadis mengenai perempuan boleh membeli-belah di syurga?
JAWAPAN Ustaz Azlizan Nueq
Di syurga nanti pelbagai perkara boleh dibuat. Hadis di bawah tentang seorang ahli syurga hendak bercucuk tanam dalam syurga. Dia minat menanam. Allah kata boleh sahaja. Tetapi tidaklah seperti tanam masa di dunia. Di syurga, tanam terus tumbuh jadi besar. Jadi kalau kaum Hawa hendak shopping dekat syurga, kira-kiranya memang boleh.
بَاب حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ سِنَانٍ حَدَّثَنَا فُلَيْحٌ حَدَّثَنَا هِلَالٌ ح و حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مُحَمَّدٍ حَدَّثَنَا أَبُو عَامِرٍ حَدَّثَنَا فُلَيْحٌ عَنْ هِلَالِ بْنِ عَلِيٍّ عَنْ عَطَاءِ بْنِ يَسَارٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَوْمًا يُحَدِّثُ وَعِنْدَهُ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْبَادِيَةِ أَنَّ رَجُلًا مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ اسْتَأْذَنَ رَبَّهُ فِي الزَّرْعِ فَقَالَ لَهُ أَلَسْتَ فِيمَا شِئْتَ قَالَ بَلَى وَلَكِنِّي أُحِبُّ أَنْ أَزْرَعَ قَالَ فَبَذَرَ فَبَادَرَ الطَّرْفَ نَبَاتُهُ وَاسْتِوَاؤُهُ وَاسْتِحْصَادُهُ فَكَانَ أَمْثَالَ الْجِبَالِ فَيَقُولُ اللَّهُ دُونَكَ يَا ابْنَ آدَمَ فَإِنَّهُ لَا يُشْبِعُكَ شَيْءٌ فَقَالَ الْأَعْرَابِيُّ وَاللَّهِ لَا تَجِدُهُ إِلَّا قُرَشِيًّا أَوْ أَنْصَارِيًّا فَإِنَّهُمْ أَصْحَابُ زَرْعٍ وَأَمَّا نَحْنُ فَلَسْنَا بِأَصْحَابِ زَرْعٍ فَضَحِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Sinan telah menceritakan kepada kami Fulaih telah menceritakan kepada kami Hilal. Dan diriwayatkan pula, telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Muhammad telah menceritakan kepada kami Abu ‘Amir telah menceritakan kepada kami Fulaih dari Hilal bin ‘Ali dari ‘Atha’ bin Yasar dari Abu Hurairah radliallahu ‘anhu bahwa pada suatu hari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berbicara dan di samping Beliau ada seorang laki-laki penduduk Badwy: “Ada seorang dari penduduk syurga meminta izin kepada Rabbnya untuk bercucuk tanam. Maka Rabbnya berkata, kepadanya: “Bukankah kamu bebas melakukan apa saja yang kamu mahu?” Orang itu berkata: “Benar, tetapi aku suka bercucuk tanam”. Beliau berkata: “Maka orang itu bersegera menanam benih sehingga tumbuh berkembang dengan sangat banyak hingga ketika menuai hasilnya sebanyak gunung. Maka Allah berfirman: “Tidak ada yang melebihi kamu wahai anak Adam”. Maka laki-laki Badwy itu berkata: “Demi Allah, tidak akan anda temui orang seperti itu selain Kaum Quraisy dan Anshar kerana mereka para petani sedangkan kami bukanlah petani”.
Maka Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tertawa.
SOALAN
Adakah di dalam syurga nanti tiada perasaan negatif? Semuanya positif maksud tiada perasaan cemburu, dengki dan perasaan negatif yang lain walaupun menangis kerana sedih tiada peluang dan seumpamanya?
JAWAPAN Ustaz Azlizan Nueq
Benar. Allah boleh hilangkan perasaan negatif itu.
SOALAN
a. Kita digalakkan untuk berdoa untuk mendapat syurga firdaus, malahan ia sunnah. Bagaimanakah dengan syair “taubat” (ilaahi lastu lil-firdausi ahla..) yang dikatakan daripada Imam as-Syafie rahimahullah. Difahamkan tidak salah dilagukan kerana ia bukan merupakan doa malahan ia hanya sebuah perumpamaan Imam as-Syafie rahimahullah yang berasa rendah diri kerana tidak layak memasuki syurga firdaus. Benarkah hal ini ustaz?
JAWAPAN Ustaz Azlizan Nueq
Tidak ada dalil yang sahih mengatakan bahawa ia adalah dari Imam as-Syafie rahimahullah. Ini bukan amalan dari Nabi saw dan para sahabat, maka bukanlah perlu diambil perhatian sangat. Orang kita sahaja yang suka.
b. Ada seorang ustaz memberitahu bahawa ia dari Imam As-Syafie rahimahullah
JAWAPAN
Bukan lafaz Imam As-Syafie rahimahullah. Maaf, kata-kata ustaz itu bukan dalil. ‘Kalaulah’ benar ia dari Imam as-Syafie rahimahullah pun, bolehkah kata manusia menolak hadis Nabi? Cuba cari youtube Fathul Bari tentang syair itu atau Dr Rozaimi.
SOALAN
Dalam bab jodoh, kita sedia maklum bahawa jodoh kita sudah ditentukan oleh Allah di Lauh mahfuz, namun takdir Allah mengatasi segalanya dan ia termasuk usaha kita ke arahnya.
Apakah dalam hal ini, doa dari kawan-kawan yang ingin kita berjodoh dengan seseorang akan termasuk doa yang akan dimakbulkan Allah?
JAWAPAN Ustaz Azlizan Nueq
Ya, doa boleh mengubah takdir. Lagi pun, Allah juga yang takdirkan mereka berdoa begitu.
SOALAN
Jika ramai orang bercakap kita sesuai dengannya dan akan berkahwin dengannya suatu hari nanti. Adakah hal itu tidak mustahil kerana doa rakan-rakan kita sendiri agar kita berjodohan dengan orang itu?
JAWAPAN Ustaz Azlizan Nueq
Kehendak manusia kalau tidak sama dengan kehendak Allah, tidak akan terjadi juga.
SOALAN
Kita hendaklah meminta langsung kepada Allah dalam hal berdoa. Namun jika kita meminta berkat kepada ummi kita contohnya sebelum pergi belajar dan mengambil peperiksaan dengan berkata “Ummi, doakan Aainaa dapat mumtaz exam ni”. Adakah itu tidak dibolehkan? Sebab kita berasakan doa ibu itu berkat dan redha ibu juga diperlukan dalam hidup kita. Bolehkah kalau kita minta ibu kita doakan yang terbaik dalam perjalanan hidup kita?
JAWAPAN Ustaz Azlizan Nueq
Boleh minta ibu doakan. Doa ibu berkat. Walaupun tidak minta ibu doakan, ibu akan doakan juga. Kita cakap itu hanya hendak ingatkan dia sahaja. Ibu ini hati dia ingat pada kita sahaja.
SOALAN
Mengenai isu lafaz cerai.
Isteri mendapat tahu suami melakukan khalwat. Dalam perbincangan untuk berdamai, isteri telah mengeluarkan kata-kata yang menyebabkan suami mengeluarkan lafaz tersebut.
‘’Isteri berkata “apa abang akan buat jika saya lakukan sama seperti abang dah lakukan?” . Suami jawab “kita kena bercerai”
Adakah ini dianggap lafaz qias dan adakah jatuh talak pada ketika itu? Bolehkah hal ini dirujuk ke pejabat agama untuk pengesahan?
JAWAPAN
Bukan ke isteri berkata “jika dia buat”. Suami menjawab berdasarkan ‘jika’ dan perkara itu tidak berlaku. Apa yang berlaku adalah suami yang berkhalwat manakala isteri itu tidak berkhalwat. Soalannya adakah jatuh talak.
Jadi jawapannya tidak jatuh talak kerana kenyataan suami mensyaratkan jika isteri berkhalwat maka dia akan ceraikan. Jika isteri berkhalwat maka jatuh talak.
SOALAN
a. Apakah hukumnya lelaki yang tidak pergi menunaikan solat Jumaat? Ada riwayat mengatakan bahawa Allah menggelapkan hati orang yang tidak pergi solat Jumaat 3 kali berturut-turut. Adakah sahih riwayat tersebut?
JAWAPAN Ustaz Azlizan Nueq:
1. Sahih terdapat dalam Sahih Muslim yang berbunyi:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ تَرَكَ ثَلَاثَ جُمَعٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ
Sesungguhnya Rasûlullâh Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Siapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali kerana meremehkannya maka Allâh akan mengunci hatinya.”
Dalam menterjemah mengunci hatinya, Imam Nawawi mengatakan sama ada kunci hatinya dari kebaikan atau menjadikan orang itu munafik.
2. Hadits lain yang diriwayatkan:
Thabrani dalam al-Mu’jamul Kabîr dan dinilai hasan oleh Syaikh al-Albâni rahimahullah , Rasûlullâh Shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah bersabda :
مَنْ تَرَكَ ثَلَاثَ جُمَعاتٍ مِنْ غَيْرِ عُذْرٍ كُتِبَ مِنَ الْمنَافِقِيْنَ
Siapa yang meninggalkan tiga kali solat ـumaat tanpa uzur maka dia ditetapkan sebagai sebahagian dari kaum munafiqin
3.Dalam hadits lain yang mauqûf kepada Ibnu Abbâs Radhiyallahu anhu dijelaskan:
مَنْ تَرَكَ ثَلَاثَ جُمَعٍ مُتَوَالِيَاتٍ فَقَدْ نَبَذَ الإسْلاَم وَرَاءَ ظَهْرِهِ
Siapa yang meninggalkan solat jumaat 3 kali secara berurutan maka ia telah membuang Islam ke belakang punggungnya. [Hadits Mauqûf Riwayat Abu Ya’la rahimahullah dengan sanad yang sahih]
b. Adakah mereka ini tergolong dalam golongan orang yang munafik atau fasik? Apakah perbezaan antara munafik dan fasik?
JAWAPAN Ustaz Azlizan Nueq
Hadis jelas mengatakan mereka tergolong dalam golongan munafik.
Munafik: sebenarnya kufur kerana dia berlakon sahaja sebagai orang Islam.
Fasik: Sudah tahu hukum, tetapi tidak mahu amalkan. Maksudnya dia sengaja tidak mahu buat.
Tinggal solat fardhu lain, sudah berdosa besar, tambahan pula solat Jumaat. Ini sudah dikira teruk sangat kalau tinggal solat Jumaat. Ada orang tidak solat lima waktu, tetapi waktu Jumaat dia solat (dia solat mingguan). Jadi kalau solat Jumaat tidak dibuat, tidak tahu mereka orang jenis apa.
SOALAN
Adakah lelaki yang kita selidiki, bahawa dia meninggalkan solat fardhu dan Jumaat, patutkah kita sebagai muslimah menyenaraikan hitam dari dijadikan calon suami? Lagipun bukankah syarat pernikahan, bakal suami harus tahu tafsir dan faham hadith?
JAWAPAN Ustaz Azlizan Nueq
Saya ada seorang pekerja, hendak berkahwin dengan lelaki tidak solat. Saya kata jangan tetapi dia dan mak dia mahu teruskan juga perkahwinan tersebut. Suami dia sekarang sudah solat, tetapi sebelum itu terseksa jiwa dia beberapa tahun. Sudah ada anak dua baru suami mulai hendak solat. Kalau sanggup dan ambil sebagai cabaran hendak betulkan suami, boleh juga.
Nasihat saya doa yang terbaik. Mohon Allah beri kita suami yang dapat membimbing kita.
Tentang agama ini, memang lelaki yang patut di hadapan. Dia yang kena membimbing isteri dan anak-anak dia. Isteri kalau tidak pandai agama, boleh diterima lagi, tetapi kalau lelaki tidak tahu agama, ini memang teruk. Kerana perempuan sibuk di rumah menguruskan rumah dan menjaga anak, jadi memang peluang untuk belajar kurang kalau dibandingkan dengan lelaki.
SOALAN
Adakah mimpi boleh dijadikan sandaran dalam memilih calon suami?
Sebagai contoh saya berkenalan dengan seseorang, saya berdoa kepada Allah beri saya petunjuk jika dia yang terbaik buat saya. Namun saya mendapat mimpi yang tidak baik macam kereta tayar pancit dan ditinggalkan dalam gelap. Adakah dengan mimpi sebegitu boleh dijadikan petunjuk untuk kita menjauhi lelaki itu?
JAWAPAN Ustaz Azlizan Nueq
Ini bab istikharah.
Solat istikharah ini dilakukan apabila ada dua pilihan yang hampir sama, tetapi kita tidak tahu mahu pilih yang mana. Maksudnya, kita dah buat penilaian dulu, buat kajian, tanya orang. Bila dah ada dua pilihan, baru kita istikharah (istikharah tidaklah menolak proses mencari yang terbaik mengikut fakta dulu).
Baik, setelah kita meminta petunjuk Allah, ia tidak semestinya dalam bentuk mimpi. Allah mungkin kuatkan hati kita dan memudahkan kita memilih salah satu dua pilihan itu. Kalau si A yang sepatutnya menjadi suami, Allah akan mudahkan laluan untuk berkahwin dengan si A itu.
Tentang tayar pancit itu, saya tidak pasti apakah takbir mimpi itu. Kena cari orang yang tahu takbir mimpi.