Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Nota 17 – Tafsir Surah Al-Fatihah Ayat ke-7 (Bahagian 3)

Nota 17 – Tafsir Surah Al-Fatihah Ayat ke-7 (Bahagian 3)

1363
0
Iklan

بسم الله الرحمن الرحيم

Tafsir Al-Fatihah Ayat ke-7 (Bahagian 3)

الضّالّينَ

Bukan Jalan Orang Yang Sesat

Sekarang kita akan belajar siapakah ‘Golongan yang sesat’. Golongan sesat yang dimaksudkan itu adalah Nasara dan munafiqin. Bukanlah mereka sahaja, tetapi mereka adalah contoh utama. Kita akan lihat apakah sifat-sifat mereka.

Kristian percaya bahawa Allah (God the Father) itu adalah Tuhan, Nabi Isa itu Rasul mereka, Kitab Injil daripada Tuhan. Namun, mereka silap faham tentang Tuhan hingga memuja Nabi Isa, kerana mereka percaya Nabi Isa adalah ‘anak Tuhan’, dan kemudian sampai dipanggil Jesus itu Tuhan pula. Mereka semuanya memohon kepada Jesus, tidak memohon kepada Tuhan. Itulah kesesatan utama mereka.

Malangnya, ada juga orang kita percaya Allah Tuhan, Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul, Al-Quran daripada Allah, tapi silap faham tentang Allah, Nabi dan tentang adab doa, sampaikan ramai orang kita yang minta tolong, minta syafaat, minta berkat kepada Nabi Muhammad SAW. Apakah itu tidak sama dengan Kristian? Inilah salah faham dalam agama yang amat besar sekali.

Contoh kedua orang yang sesat adalah golongan Munafik. Contoh yang kita kena lihat adalah golongan munafik yang hidup dengan Nabi Muhammad SAW dahulu di Madinah. Mereka ini dahulunya solat mengikut belakang Nabi tetapi masih tidak mahu terima Islam sepenuhnya. Mereka itu terdiri dari golongan Ansar. Mereka sebenarnya tidak mahu kepada Islam, tapi apabila Islam berkembang di Madinah, ada golongan Ansar yang masuk Islam kerana terpaksa sebab telah ramai puak mereka masuk Islam. Mereka hendakkan kepentingan, malu kerana ramai masyarakat mereka telah memeluk Islam. Namun, di dalam hati mereka tidak ikhlas sebenarnya semasa memeluk Islam itu. Mereka tidak beriman sebenarnya.

Masyarakat kita pun banyak yang sedemikian itu juga bukan? Mereka mengaku Islam, menggunakan nama Islam. Orang solat, mereka pun solat, orang puasa mereka pun berpuasa, tetapi mereka tidaklah mengamalkan Islam dengan sebenarnya. Mereka tidak peduli tentang agama. Mereka beragama Islam kerana sebaik sahaja lahir, mak ayah telah Islam. Apa maksud ‘Islam’ itu pun mereka tidak tahu.

Kita akan belajar lagi tentang sifat-sifat dua golongan ini dalam surah-surah seterusnya nanti.

Surah Ali Imran banyak menyentuh kesesatan Nasara.

Surah an-Nisa pula banyak menceritakan tentang golongan munafikin.

SurahAl- Maidah pula ada campuran tentang kesesatan Yahudi, Nasara dan munafik.

Itulah semua surah-surah awal dalam Quran yang menceritakan tentang kesesatan empat golongan yang telah diberi isyarat dalam ayat غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ.

  1. Yahudi
  2. Musyrikin
  3. Nasara
  4. Munafik

Kita kena belajar semua sifat-sifat mereka dan periksa diri kerana dikhuatiri sifat-sifat mereka ada juga di dalam diri kita. Jika ada, maka kita hendaklah ubah diri kita. Jika tidak belajar tafsir Al-Quran bagaimana hendak tahu sifat-sifat ini semua?

Sesat golongan الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِم dan الضَّالِّينَ tidaklah sama. Maknanya, ada empat golongan tapi ada dua jenis kesesatan. Kita telah belajar sebelum ini tentang ‘mereka yang dimurkai’ – mereka itu ‘kafir degil’.

“Golongan Sesat” الضَّالِّينَ pula adalah mereka yang jahil dan cuai dalam belajar. Macam golongan sufi dan tarekat yang kononnya hendak dapat agama cara pintas. Mereka tidak belajar dengan betul dan mereka hanya bermodalkan dengan amalan bidaah mereka yang diajar oleh tok guru mereka (kononnya golongan murshid dan arifbillah). Mereka mencari Tuhan tetapi dengan cara yang salah. Mereka sangka mereka benar dan beruntung kerana dapat belajar tarekat, sama juga dengan Kristian yang rasa mereka betul tapi sebenarnya mereka sesat. Panjang jika hendak diceritakan tentang sufi/tarekat ini tetapi wajarlah apabila Imam Syafi’i rahimahullah mengatakan, “Seandainya seseorang menjadi sufi pada pagi hari, maka siang sebelum dhuhur ia menjadi orang yang dungu.”

Begitulah golongan Nasara seperti yang disebut dalam hadis. Allah telah ajar cara-cara mencari Tuhan yang benar tapi mereka hendak menggunakan cara sendiri – akhirnya mereka sesat.

Namun, mereka yang sesat jenis ini lebih baik sedikit dari golongan yang pertama (yang dimurkai), kerana mereka mungkin boleh lagi diajak belajar dan bila mereka telah faham, mereka boleh tinggalkan fahaman salah mereka dahulu. Kita perlu ajak mereka belajar sahaja dahulu. Ramai dari golongan tarekat yang telah mula sedar kesesatan mereka dan mengikut jalan sunnah. Akhir zaman nanti pun, golongan Nasara ini akhirnya semuanya akan masuk Islam beramai-ramai. Tetapi golongan Yahudi tetap berdegil. Akhir zaman nanti, mereka akan berada bersama pihak Dajjal, tetapi itu bukanlah alasan untuk tidak berdakwah kepada mereka.

 

Tentang golongan Nasara Allah telah sebut dalam Maidah:82

‎وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَىٰ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.(Al-Maidah: 82)

Maknanya, mereka ini tetap lembut dengan orang Islam. Pada zaman Nabi, pernah para sahabat berhijrah ke Habshah, tempat orang Nasara. Ternyata mereka lembut dengan orang Islam dan raja mereka yang bernama (atau pangkat) Najashi sendiri memeluk Islam. Masyarakat kita pun macam itu jugalah kebanyakannya. Mereka jadi sesat itu sebab malas belajar sahaja, atau silap tempat belajar. Maka kita kena heret mereka datang belajar.

Maksudnya lagi, malas belajar ini adalah sifat Nasara, jadi jangan malas belajar. Dalam ayat di atas, disebut tentang قِسِّيسِينَ dalam agama Nasara itu, di mana mereka belajar juga, tetapi belajar kitab Injil, iaitu kitab yang salah. Itu bukanlah Kitab Injil yang asal. Sepertimana orang kita yang belajar juga, tetapi belajar kitab yang salah, sampai salah dalam agama. Bermacam jenis kitab yang dipelajari tetapi kitab Al-Quran tidak pula belajar lagi. Padahal, kena habis belajar tafsir Al-Quran, baru belajar kitab-kitab yang lain, supaya boleh periksa sama ada kitab itu mengikut fahaman Al-Quran atau tidak.

Kita sudah hampir habis tafsir Surah Fatihah. Secara ringkasnya, apabila wahyu Allah, iaitu Al-Quran dibacakan kepada manusia, manusia akan terbahagi kepada lima puak:

  1. Yang beriman (yang telah diberi nikmat)
  2. Yahudi
  3. Musyrikin
  4. Kristian/Nasara
  5. Munafik.

Selain dari mereka yang beriman, empat golongan yang lain itu akan masuk neraka tidak akan keluar sampai bila-bila.

‘Orang-orang yang sesat’, kurang sedikit salah mereka kalau dibandingkan dengan golongan yang dimurkai. Sebab itu ‘yang dimurkai’ itu disebut dahulu sebelum ‘golongan yang sesat’. Ini adalah ilmu ‘balaghah’ iaitu penggunaan susunan perkataan dalam Al-Quran. In sha Allah kita akan belajar sedikit demi sedikit nanti.

Walaupun mereka yang sesat itu masih salah, tapi ianya kurang sedikit jika dibandingkan dengan orang-orang yang dimurkai. Untuk membayangkannya, kita ambil contoh dua orang anak yang telah diberi arahan oleh ayahnya untuk tidak memakan makanan yang telah disediakan di rumah, kerana ayahnya hendak keluar sebentar. Seorang anak yang besar berserta adiknya yang lebih muda. Apabila ayahnya pulang, didapati makanan tersebut telah habis dimakan. Sudah tentu kemarahan ayahnya berbeza antara dua anak tersebut. Ayahnya lebih marah kepada anaknya yang besar daripada anak yang kecil, kerana anak yang kecil itu hanya mengikut sahaja. Anak yang besar itu sepatutnya lebih mengetahui, telah tahu salah tetapi buat juga lagi.

Begitulah, kita telah belajar bahawa Yahudi itu mengetahui akan kebenaran namun mereka sombong dan degil untuk mengikutinya. Orang Nasrani itu dalam kebingungan dan tidak tahu apa-apa tentang agama – mereka tertipu sahaja. Itu bukanlah alasan untuk melarikan diri dari kesalahan, kerana jika dibandingkan dengan kesalahan orang yang sepatutnya tahu kebenaran, ianya adalah kurang sedikit salahnya.

Maka kesimpulannya, kita berdoa semasa baca ayat ini dalam solat kita, minta kepada Allah supaya kita tidak menjadi seperti orang Nasara dan orang Munafik. Mereka itu telah tersalah jalan kerana mereka telah silap belajar atau malas belajar, tetapi mereka sangka mereka benar. Oleh itu, kita berharap kepada Allah, janganlah beri kita ilmu yang salah. Kita minta kepada Allah agar berikan kita ilmu-ilmu yang benar belaka. Kita memohon kepada Allah untuk memimpin kita ke jalan yang benar.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan