Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Nota 15 – Tafsir Al-Fatihah Ayat ke-7 (Bahagian 1)

Nota 15 – Tafsir Al-Fatihah Ayat ke-7 (Bahagian 1)

406
0
Iklan

بسم الله الرحمن الرحيم

Tafsir Al-Fatihah : Ayat ke-7 (Bahagian 1)

صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ

Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat ke atas mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.(Al-Fatihah – 7)

Sekarang kita masuk kepada ayat yang ke-7 Surah Fatihah. Ayat ini pendek sahaja sebenarnya, tapi mengandungi tiga bahagian:

  1. Jalan orang-orang yang dapat nikmat
  2. Jalan orang-orang yang dimurkai
  3. Jalan orang-orang yang sesat

Setiap bahagian itu adalah penting, jadi kita akan membicarakan ianya secara khusus satu persatu. Kita mulakan dengan bahagian yang pertama dahulu pada hari ini:

 صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ

jalan orang-orang yang Allah telah kurniakan nikmat kepada mereka.

Ayat ini menjelaskan lagi apakah ‘jalan lurus’ seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini, supaya jelas dan tidak ada yang salah guna dan supaya tidak ada yang dengan senang mendakwa jalan merekalah yang lurus. Memang ramai dalam dunia Islam yang kata merekalah jalan yang lurus. Sampai keliru jadinya kita. Jadi bagaimana kita hendak tahu siapakah yang berada di atas jalan yang lurus itu? Allah mengajar dalam ayat ini untuk membandingkan jalan itu dengan cara orang-orang dahulu yang telah selamat. Kerana mereka yang telah lalui jalan itu dan mereka telah mendapat pujian dari Allah dalam ayat ini.

Kalau kita lihat, ayat ini tidak memberitahu yang jalan lurus itu adalah Jalan Al-Quran dan Sunnah. Kenapa tidak begitu? Bukankah kalau kita berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah, kita akan selamat? Ini adalah kerana kalau dikata hanya ‘Al-Quran dan Sunnah’ sahaja, mungkin ada yang salah faham dan salah guna kenyataan itu. Mungkin ada yang buat jalan sendiri dan mereka mengaku yang mereka ikut Al-Quran dan Sunnah Nabi. Berapa banyak yang sudah mendakwa begitu dengan memetik ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis tapi mereka sebenarnya jauh dari jalan yang lurus. Mereka itu tidak berada atas jalan yang lurus kerana mereka faham Al-Quran dan Sunnah dengan cara mereka sendiri. Begitulah yang terjadi kepada Syiah, contohnya. Mereka pun kata mereka ikut Al-Quran juga, mereka pun kata mereka ikut sunnah juga, bukan?

Namun, jalan mereka itu adalah jalan yang sesat. Padahal kita sepatutnya mengikut jalan yang telah dilalui oleh golongan Salafussoleh – mereka yang berada dalam tiga kurun yang pertama selepas kebangkitan Islam. Mereka yang belajar sendiri dengan Nabi Muhammad SAW dan yang mereka dengan mereka. Sahabat belajar dengan Nabi, Tabein belajar dengan para sahabat dan Tabi’ Tabein belajar dengan Tabein. Maka, mereka lebih faham agama dari kita. Ini selari dengan sabda Nabi:

خَيْرُ أُمَّتِي قَرْنِيْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ.

Sebaik-baik umatku ialah kurunku (zamanku) kemudian kurun selepas mereka (tabi’in) kemudian kurun selepas mereka (tabi’ut tabi’in). [Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari (no.3650)]

Maka kita kenalah periksa sama ada amalan kita sama dengan cara yang mereka amalkan. Kerana ada yang buat cara sendiri tapi mendakwa mereka ikut Al-Quran dan hadis. Tapi mereka sebenarnya tidak faham apakah sunnah dan mereka hanya faham Al-Quran dan hadis dengan cara mereka sendiri. Ini adalah salah sama sekali dan ramai yang telah tertipu dengan mereka.

Lihatlah bagaimana ada puak yang hanya berpegang dengan Al-Quran tanpa berpegang dengan Hadis – golongan Anti-Hadis; lihatlah bagaimana Syiah kata mereka juga berpegang dengan Al-Quran dan Hadis, tapi mereka tafsir ayat Al-Quran ikut pemahaman mereka yang sesat dan mereka pilih dan reka hadis supaya kena dengan kehendak mereka.

Lihatlah juga bagaimana ramai dalam kalangan masyarakat kita yang baca juga hadis tapi mereka faham tidak seperti yang difahami oleh sahabat. Sebagai contoh, mereka baca hadis Nabi pacak pelepah tamar di kubur dan mereka katakan itu sunnah. Padahal, sahabat tidak buat pun. Apabila sahabat tidak buat, maka kita tahu yang ianya bukanlah sunnah. Hadis itu ada dalam Sahih Bukhari:

‎209 – حَدَّثَنَا عُثْمَانُ قَالَ حَدَّثَنَا جَرِيرٌ عَنْ مَنْصُورٍ عَنْ مُجَاهِدٍ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ مَرَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحَائِطٍ مِنْ حِيطَانِ الْمَدِينَةِ أَوْ مَكَّةَ فَسَمِعَ صَوْتَ إِنْسَانَيْنِ يُعَذَّبَانِ فِي قُبُورِهِمَا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ ثُمَّ قَالَ بَلَى كَانَ أَحَدُهُمَا لَا يَسْتَتِرُ مِنْ بَوْلِهِ وَكَانَ الْآخَرُ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ ثُمَّ دَعَا بِجَرِيدَةٍ فَكَسَرَهَا كِسْرَتَيْنِ فَوَضَعَ عَلَى كُلِّ قَبْرٍ مِنْهُمَا كِسْرَةً فَقِيلَ لَهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لِمَ فَعَلْتَ هَذَا قَالَ لَعَلَّهُ أَنْ يُخَفَّفَ عَنْهُمَا مَا لَمْ تَيْبَسَا أَوْ إِلَى أَنْ يَيْبَسَا

  1. Telah menceritakan kepada kami ‘Utsman berkata, telah menceritakan kepada kami Jarir dari Manshur dari Mujahid dari Ibnu ‘Abbas berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melewati perkebunan penduduk Madinah atau Makkah, baginda mendengar suara dua orang yang sedang di siksa dalam kubur mereka. Maka Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pun berkata: “Keduanya sedang disiksa, dan tidaklah mereka disiksa disebabkan dosa besar.” Lalu beliau menerangkan: “Bahkan besar, salah seorang disiksa karena tidak menjaga diri dari kencingnya sendiri, sementara yang satunya lagi suka mengacum.” Baginda kemudian minta diambilkan pelepah kurma, baginda lalu membelah menjadi dua, kemudian baginda menancapkan setiap bahagian pada dua kuburan tersebut. Maka baginda pun ditanya, “Kenapa engkau melakukan ini?” Baginda menjawab: “Mudah-mudahan siksanya diringankan selama pelepah itu tidak kering atau sehingga kering pelepah ini.”

Hadis ini adalah sahih. Tapi adakah sahabat ikut apa yang Nabi buat itu? Tidak, bukan? Kerana mereka tahu yang perbuatan itu adalah khusus untuk Nabi sahaja – Nabi sahaja yang nampak seksaan mereka dalam kubur. Dan baginda pun nampak waktu itu sahaja – tidaklah setiap kali baginda lalu, baginda akan nampak apa yang terjadi dalam kubur pula.

Jadi, begitulah pemahaman kita dengan hadis. Kalau hadis itu sahih, tidak semestinya ianya untuk kita ikuti. Sesuatu hadis itu tidak semestinya ‘sunnah’. Sunnah bermaksud sesuatu yang kita patut ikut. Kena tengok apakah yang dilakukan oleh para sahabat. Kena tengok bagaimana mereka faham. Mereka lebih faham dengan kita. Malangnya, ada orang sekarang yang baca hadis ini dan kata ianya sunnah.

Soalan

Macam mana lah pula dengan orang dapat nikmat dalam keadaan mereka kufur atau melakukan perkara mungkar?

Jawapan

Itu dinamakan istidraj. Mereka dapat nikmat sampai mereka lupa kepada kebenaran. Bila mereka engkar dan degil, Allah lalaikan lagi mereka dengan nikmat-nikmat yang melekakan. Sampai mereka semakin jauh. Nikmat dunia yang mereka dapat itu bukan mendekatkan kepada Allah, malah menjauhkan lagi mereka.

Dalil istidraj:

فَلَمَّا نَسُوا۟ مَا ذُكِّرُوا۟ بِهِۦ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَٰبَ كُلِّ شَىْءٍ حَتَّىٰٓ إِذَا فَرِحُوا۟ بِمَآ أُوتُوٓا۟ أَخَذْنَٰهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ

Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).(Al-An’am – 44)

Setelah Allah sebut golongan yang selamat ini, tidakkah kita teringin untuk kenal mereka dan meniru cara-cara mereka? Begitulah yang sepatutnya. Sudah tentu Allah ada terangkan siapa mereka ini dalam Al-Quran. Berkenaan dengan golongan yang selamat, Allah tafsir dan menjelaskan mereka dalam ayat Nisa:69

وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَٰئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِم مِّنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ وَحَسُنَ أُولَٰئِكَ رَفِيقًا

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman(An-Nisa- 69)

Kita dapat lihat bagaimana kalimat الَّذِينَ أَنْعَمَ itu merujuk kepada kalimat الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم dalam surah Al-Fatihah ini.

Pertamanya, kita boleh lihat dari ayat Nisa:69 di mulakan dengan وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ (Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul) – merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah. Maknanya kena ikut Al-Quran dan Sunnah. Kemudian Allah beri empat contoh untuk kita ikuti.

Contoh ini penting kerana manusia boleh sahaja mereka mengaku berada di atas jalan yang lurus, berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah, berada atas landasan tauhid, tapi Allah beri kayu ukur. Empat golongan yang disebut itu adalah sebagai contoh ikutan kita :

  1. Para Nabi
  2. Siddiqeen
  3. Syuhada’
  4. Soleheen

Kita tidak boleh menjadi Nabi, tetapi kita boleh mengikut sifat-sifat mereka dan menjadi pengikut mereka. Mereka menyampaikan dakwah agama mengajak kepada tauhid dan sanggup berkorban untuk menegakkannya.

Siddiqeen adalah golongan pengikut setia Nabi. Mereka membenarkan apa yang dibawa oleh para Nabi. Mereka sanggup berkorban untuk membenarkan ajaran para Nabi. Sebagai contoh Abu Bakr yang percaya kepada Nabi walau saat Nabi tidak dipercayai oleh orang lain.

Syuhada adalah golongan pejuang yang sanggup berkorban menggadai nyawa untuk menegakkan agama Allah.

Golongan paling rendah yang dapat masuk syurga adalah soleheen. Itulah golongan yang mentaati Allah dengan tidak berbelah bagi. Mereka beramal mengikut syariat dan mereka juga berkorban untuk agama.

Keempat-empat golongan ini disebut dalam banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadis. Kita kena belajar tentang mereka supaya kita tahu bagaimana kita boleh mencontohi mereka. Tapi apa yang penting kita sampaikan sekarang adalah keempat-empat golongan ini adalah mereka yang sanggup berkorban untuk agama.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan