Utama Bilik (106) Usyul Tafsir Usul Tafsir – Kisah Peguam dan Bid’ah

Usul Tafsir – Kisah Peguam dan Bid’ah

385
0
Iklan

Kisah Peguam dan Bid`ah

Ayah Aji bersama-sama dengan beberapa orang kawan dari Sultan Ismail College 1972 (SIC) bersarapan pagi di Kota Bharu.

Datanglah seorang peguam masuk menyertai kumpulan kami untuk bersarapan. Selepas beberapa cakap kosong, peguam tersebut pun berkata:

Peguam: Saya ada dengar daripada berbagai-bagai ustaz tentang bid`ah. Sesetengah mengatakan boleh berserta dengan hujah-hujah mereka, dan yang lainnya berkata tidak boleh dengan hujah-hujah mereka juga. Saya hendak tanya pada Hj Man, boleh ke tidak kita buat bid`ah?

Ayah Aji: Awak kan seorang peguam. Awak berhujah di mahkamah dengan bukti. Bukti pula mestilah kukuh, jika tidak mahkamah akan tolak.

Peguam: Ya.

Ayah Aji: Jika saya boleh buktikan sama ada boleh atau tidak dengan hujah yang kemas, awak hendak terima atau tidak?

Peguam: Ya.

Ayah Aji: Nabi SAW menghadapi kematian isteri baginda, Siti Khadijah rha, anak-anak baginda Ummi Kalsom, Rokiah, Ibrahim, Abdullah dan para sahabat, tetapi Nabi SAW tidak membaca apa-apa wirid atau bacaan Qur’an kepada mereka.

Soalannya kenapa Nabi SAW tidak buat tahlil untuk mereka? Adakah Nabi SAW tidak suka, tidak minat atau terlupa? Nabi SAW tidak buat mestilah disebabkan arahan daripada Allah, sebab tidak terdapat dalam mana-mana hadis untuk buat tahlil.
Nabi SAW adalah seorang Rasul, utusan Allah. Apa yang Allah perintahkan Nabi SAW buat, apa yang dilarang oleh Allah Nabi SAW tidak buat. Utusan atau pesuruh Allah ini tidak boleh buat rekaan pada perintah Allah.

Katakan awak sebagai seorang peguam, apabila menyuruh penghantar surat awak hantar dokumen kepada pelanggan awak, kemudian dia pula perbetulkan dokumen awak dan hantar dokumen yang dia sudah baiki/reka itu kepada pelanggan awak. Tentu awak akan pecat penghantar surat itu kan?

Peguam: Ya.

Ayah Aji: Begitu juga dengan Nabi kita, baginda tidak boleh mereka-reka ugama, bid`ah. Sebagai contoh bid`ah, tahlil, memang Nabi kita tidak buat seperti dalam Surah An-Najm.

وَمَا يَنطِقُ عَنِ ٱلْهَوَىٰٓ
Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. [An-Najm: 3]

إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْىٌ يُوحَىٰ
Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Qur’an atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. [An-Najm: 4]

Ayah Aji: Semua yang Nabi SAW kata atau buat adalah daripada wahyu Allah. Oleh itu apakah ada wahyu Allah yang melarang Nabi SAW dan para sahabat daripada berbuat bid`ah tahlil ini? Adakah? Jawabnya ada banyak dikatakan dalam Qur’an.

وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَٰنِ إِلَّا مَا سَعَىٰ
Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. [An-Najm: 39]
Ini salah satu ayat perintah tentang ibadat, iaitu siapa yang melakukan tahlil orang itu sahaja yang boleh mendapat pahalanya. Oleh itu pahala ibadat tahlil tidak boleh diberikan pada orang lain.

وَحُورٌ عِينٌ
Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya. [Al-Waqi`ah: 22]

كَأَمْثَٰلِ ٱللُّؤْلُؤِ ٱلْمَكْنُونِ
Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya. [Al-Waqi`ah: 23]

جَزَآءًۢ بِمَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ
(Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah kerjakan. [Al-Waqi`ah: 24]

Ayah Aji: Ini adalah ayat mengenai kehidupan di akhirat, keadaan orang-orang yang tidak membuat bid`ah. Bidadari yang bermata seksi seperti mutiara yang tersimpan rapi sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka lakukan. Iaitu balasan pahala yang diberikan kepada orang yang membuat amalan soleh, tidak boleh kirimkan pahala pada orang lain.

مَنْ عَمِلَ صَٰلِحًا فَلِنَفْسِهِۦ ۖ وَمَنْ أَسَآءَ فَعَلَيْهَا ۖ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ
(Tiap-tiap balasan berdasarkan kaedah): Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu. [Al-Jasiyah: 15]

Ayat ini adalah mengenai dunia iaitu sesiapa yang melakukan amal soleh, iaitu amalan daripada Sunnah Nabi SAW, maka pahalanya adalah untuk dirinya sahaja, dan barangsiapa yang melakukan kejahatan/dosa maka dia sendiri sahaja yang akan menanggungnya.

Kita buat amalan baik adalah untuk kita, kita melakukan dosa kita sendiri terima balasan, orang lain tidak terlibat.

Sama ada kamu hendak taat atau ingkar, kepada Rabb kamu sahaja kamu akan dikembalikan, untuk dihisap segala amalan.

Ada beratus ayat-ayat seperti ini, sama ada ayat dunia atau ayat akhirat, atau untuk masuk syurga, semua menyatakan sebagai balasan terhadap apa yang kamu lakukan di dunia dahulu. Jika ingkar terhadap mana-mana ayat Qur’an adalah kufur, maka wajiblah kita bertaubat. Setiap perbuatan bid`ah, ada sahaja ayat Qur’an yang kita telah langgar.

Ayah Aji: Adakah awak sebagai seorang peguam faham bahawa buat bid`ah tahlil ini telah melanggar ayat Qur’an?

Peguam: saya faham sekarang. Saya ini dari mahkamah, hadir sebagai peguam. Hakim dengan khusyuk mendengar hujah-hujah peguam bela dan pendakwa. Kemudian hakim berkata, saya dengan dan faham serta simpati terhadap tertuduh, tetapi saya tidak boleh melawan undang-undang negara. Saya dengan dukacita menolak hujah peguambela dan yang tertuduh adalah bersalah terhadap tuduhan yang dikenakan.

Itulah yang dimaksudkan oleh Hj Man kepada saya. Saya akur perintah Allah.

Ayah Aji: Kenapa awak kata di dalam mahkamah, saya naik saksi tuan hakim, saya bercakap benar?

Peguam: Itu adalah ikrar atau janji kita sebagai peguam di mahkamah.

Ayah Aji: Asyhadu, maksudnya saya naik saksi. Adakah ini maksud bersumpah tuan peguam?

Peguam: Ya.

Ayah Aji: Asyhadu anna muhammadur rasulullah, apakah maknanya?

Peguam: Saya berjanji kepada Allah Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

Ayah Aji: Mengapa tuan peguam mengaku Nabi SAW sebagai Rasulullah?

Peguam: Sebab Nabi Rasul, disebut dalam Qur’an dan Allah telah melantik baginda sebagai Rasul.

Ayah Aji: Sudah sepatutnya begitu, tetapi orang-orang kafir yang telah memeluk Islam tidak tahu pun seperti yang tuan peguam kata, malah mereka dengan senang hati kata ia adalah syahadah.

Peguam: (terpesir[ pesir: mata tidak berkelip-kelip])

Ayah Aji: Dalam Qur’an Allah berkata kepada kita, fattabi`u, kamu ikutlah ajaran dia. Ada ayat dalam Qur’an, Nabi SAW berkata ikutlah ajaranku. Semua Nabi-Nabi yang diceritakan dalam Qur’an juga berkata, kamu ikutlah ajaranku.
Maka erti kalimah syahadah itu ialah, aku berjanji kepada-Mu Allah bahawa aku hendak ikut ajaran Nabi SAW.

Peguam: Ya, sekarang saya bertambah faham. Jadi kalimah syahadah itu suatu janji hendak ikut ajaran Nabi SAW sahaja.

Ayah Aji: Ya. Soalan, kita buat tahlil itu yang tidak diajar oleh Nabi SAW itu, adakah kita telah langgar sumpah kita pada Allah?

Peguam (terdiam sebentar, kemudian dia kata): Ya.

Sahabat-sahabat SIC ayah Aji yang lain juga turut mengatakan: “Ya”.

Allah SWT berfirman:
وَلَوْ تَقَوَّلَ عَلَيْنَا بَعْضَ الْاَقَاوِيْلِ
Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan Al-Qur’an itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta – sebarang kata-kata rekaan. [Al-Haqqah: 44]

لَاَخَذْنَا مِنْهُ بِالْيَمِيْنِ
Sudah tentu Kami akan menyentapnya, dengan kekuasaan Kami. [Al-Haqqah: 45]

ثُمَّ لَقَطَعْنَا مِنْهُ الْوَتِيْنَ
Kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya ia mati dengan serta-merta). [Al-Haqqah: 46]

فَمَا مِنْكُمْ مِّنْ اَحَدٍ عَنْهُ حَاجِزِيْنَ
Maka tidak ada seorang pun di antara kamu yang dapat menghalang (tindakan Kami itu) daripada menimpanya. [Al-Haqqah: 47]

Jika Nabi Muhammad mengubah suai wahyu Tuhan, maka baginda akan dipecat serta-merta, tetapi ustaz-ustaz yang mereka cipta dan mengubah suai syari`at dibiarkan dulu hingga mati dan menunggu hari Qiamat.

Komen dan Soalan