Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Nota 12 Kuliah Tafsir – Surah Al-Fatihah (Ayat ke 5)

Nota 12 Kuliah Tafsir – Surah Al-Fatihah (Ayat ke 5)

2195
1
Iklan

Kuliah Tafsir Al-Fatihah – Ayat ke 5 – Iyyaka Nasta’in

Dalam ayat ini, bahagian pertama kita telah membaca ‘hanya kepada Engkau kami sembah’ – ini menetapkan kepada kita apakah tujuan hidup kita, ‘mission statement’ kita.

Kemudian kita terus membaca bahagian kedua ayat ini: ‘dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan’. Apakah kaitan antara dua bahagian ini?

Kita telah sebutkan yang tujuan hidup kita adalah ubudiyah terhadap Allah. Cara untuk mencapainya adalah dengan pertolongan Allah. Kita tidak akan dapat mencapainya tanpa pertolongan Allah, kerana kita amat lemah. Oleh itu, selepas kita baca bahagian pertama dan terus kita mengaku dalam bahagian kedua (iyyaka nasta’in) yang kita tidak boleh mencapainya tanpa pertolongan Allah, maka kita memohon pertolongan kepada Allah untuk membantu kita dalam melakukan ibadat dan menjadi hamba kepada-Nya. Kita mengakui kelemahan kita.

Ini adalah satu kefahaman yang amat penting, iaitu kita tiada daya dan upaya melainkan dengan bantuan Allah, walaupun dalam melakukan ibadah. Dengan adanya kefahaman ini pun sudah dikira sebagai satu ibadat, kerana walaupun kita ada keinginan, tetapi jika tanpa pertolongan Allah, kita tidak boleh melakukannya. Janganlah merasa kita kuat beribadat kerana kehebatan kita, tapi ketahuilah yang itu adalah taufik dari Allah untuk kita.

Kita memang memerlukan pertolongan Allah dalam segala hal, bukan dalam ibadat sahaja, kerana kita sendiri pun menyedari bahawa ada banyak elemen yang mengganggu kita mencapai tujuan hidup untuk beribadat kepada Allah, iaitu dari nafsu kita sendiri dan dari syaitan. ‘Kehendak nafsu’ adalah gangguan dalaman dan ‘bisikan syaitan’ adalah gangguan luaran.

Soalan

Apa perbezaan antara bantuan/pertolongan dan kehendak Allah?

Jawapan

Kehendak (iradah) Allah adalah dalam bentuk umum. Ada benda yang terjadi tetapi Allah tidak redha. Sebagai contoh, kalau ada yang mahu membuat dosa, Allah membenarkan sahaja, tetapi tidak semestinya bermaksud Allah redha dengan perbuatan itu. Tetapi jika Allah bantu, itu adalah kerana doa kita. Allahu a’lam.

Maka semasa baca ayat itu, kita berniat memerlukan pertolongan Allah. Allah sudah berfirman dalam ayat yang lain, di mana Dia akan perkenankan doa kita:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

“Dan Rabbmu berfirman: “Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina“. (QS. Ghafir: 60)

Oleh itu, semasa kita membaca ayat إِيَّاكَ نَسْتَعِينُ ini, hendaklah kita merendahkan diri kepada Allah. Kita mengaku yang kita tidak ada daya dan usaha tanpa bantuan-Nya, walaupun dalam melakukan perkara yang baik dan dalam amal ibadat sekali pun. Kita hendaklah sentiasa mengaku kekurangan diri kita ini.

Maka, ayat ini sebenarnya adalah suatu doa, bukan kita baca kosong begitu sahaja. Kita hendaklah ingat yang doa juga adalah satu ibadah. Ramai yang tidak faham bahawa doa adalah ibadah. Semakin banyak ibadah yang kita buat, semakin banyak Allah akan bantu kita. Semakin kita rapat dengan Allah, Allah akan datang lagi dekat kepada kita. Rasulullah bersabda:

الدعاء هو العبادة

“Do’a adalah ibadah”

Riwayat Abu Dawud, At-Tirmidzi dan selainnya, disahihkan Al-Albani

Soalan

Saya teringat satu doa yang diajar oleh Nabi kepada Muaz supaya Muaz berdoa di setiap akhir solatnya iaitu, “Ya Allah bantulah aku supaya mengingati-Mu dan mensyukuri-Mu dan memperbaiki ibadah kepada-Mu.” Bagaimana dengan doa ini ustaz?

Jawapan

Ini adalah doa yang dibaca selepas tahiyat dan sebelum salam, amatlah baik untuk diamalkan.

Kita telah sebut bahawa potongan ayat ini adalah suatu doa, tetapi tidak disebutkan apa keinginan kita dalam ayat ini. Ini kerana apa yang kita minta kepada Allah adalah secara umum dan terlalu banyak jika hendak disebutkan satu persatu, hingga tidak berkesempatan untuk menyebutnya. Kita mengharapkan pertolongan Allah dalam semua perkara yang melibatkan dunia dan akhirat, dari sekecil-kecilnya sehingga yang sebesar-besarnya. Sepertimana yang telah kita sentuh tentang ‘ibadah’ dalam bahagian yang sebelum ini – iaitu Ibadah adalah suatu perkara yang menyeluruh. Maka doa kita pun hendaklah secara menyeluruh.

Selepas kita berdoa, Allah bantu kita dengan berbagai-bagai cara. Allah boleh membantu kita di dalam perkara dunia dan juga akhirat. Kita tidak tahu bagaimana cara Allah akan beri pertolongan itu. Kadang-kadang kita sendiri pun tidak sedar bagaimana cara Allah makbulkan doa kita, tapi hendaklah kita yakin bahawa Allah telah membantu kita dengan cara yang kita sendiri pun tidak faham. Orang-orang yang sedar dengan pertolongan Allah dalam segenap kehidupan adalah mereka yang beriman. Oleh itu, merekalah yang lebih banyak bersyukur kepada Allah. Apabila kita rasa kita telah mendapat nikmat, barulah kita akan senang hendak bersyukur. Tetapi malangnya ramai yang lalai. Mereka tidak perasan ‘tangan’ Allah yang telah membantu mereka dalam segala hal, sampaikan mereka tidak yakin yang Allah telah membantu mereka. Maka, kita mesti penuh yakin bahawa Allah akan kabulkan setiap do’a. Dari Abu Hurairah, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ

“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan yakin akan dikabulkan, dan ketahuilah bahawa Allah tidak mengabulkan doa dari hati yang lalai.”

(HR. Tirmidzi no. 3479. Syaikh Al-Albani mengatakan bahawa hadis ini hasan)

Malangnya, ada sebilangan orang yang tidak yakin dengan doa mereka. Apabila disuruh mereka berdoa banyak-banyak, ada yang mengatakan: “Sudah berdoa, tetapi tidak makbul….”. Ini adalah fahaman yang salah. Hadis ini memberitahu kita yang kita kena yakin bahawa Allah mendengar doa kita; dan semasa berdoa itu, mestilah bersungguh-sungguh mengharap kepada Allah sahaja. Jika tidak ada keyakinan bahawa Allah akan mendengar doa, maka itulah antara sebab ada yang berdoa seperti acuh tidak acuh sahaja. Kemudian dikatakan Allah tidak memakbulkan doanya pula.

Sudah tentu kita mengharapkan pertolongan Allah dalam semua perkara. Lebih-lebih lagi dalam keadaan susah dan dalam masa yang sama kita tahu tiada sesiapa lagi yang dapat membantu kita melainkan Allah sahaja.

Untuk mendapatkan pertolongan Allah, hendaklah kita ingat kepada Allah dalam setiap waktu susah dan senang. Jika ingat Allah pada waktu senang nescaya Allah akan tolong semasa dalam kesusahan. Janganlah semasa susah sahaja baru teringat kepada Allah, memohon pertolongan dan berdoa panjang. Entah berapa ramai yang hanya ingat akan Allah apabila menghadapi kesusahan. Itu adalah amalan orang jahiliah dahulu. Bila ada masalah besar, baru mereka meminta kepada Allah. Jika pada waktu senang, mereka akan meminta kepada berhala-berhala mereka.

Bayangkan kalau ada seseorang yang selalu kita minta pertolongan kepadanya dan dia pun memang selalu menolong kita, tetapi kalau kita hanya berjumpa dengannya apabila kita ada masalah, tentulah dia akan berasa hati – apabila ada masalah baru cari dia. Lama-kelamaan, kalau kita susah pun dia sudah tidak mahu membantu lagi.

Allah memakbulkan doa kita dengan berbagai-bagai cara: kadang-kadang Allah akan beri apa yang kita minta dan kadang-kadang Allah akan beri dengan cara yang lain; sebagai contoh, Allah mungkin akan jauhkan perkara yang boleh merosakkan kita, seperti mungkin jauhkan kita dari kedudukan tinggi, kekayaan dan sebagainya, kerana Allah tahu, sekiranya kita kaya dan ada kedudukan yang tinggi, maka kita tidak dapat mengawal diri dan mungkin akan terjerumus ke lembah kehinaan.

Ayat ini mengajar kita untuk hanya memohon pertolongan kepada Allah sahaja. Mintalah hanya kepada Allah dalam semua perkara, seperti nasihat Nabi kepada Ibn Abbas:

“Wahai budak! Sesungguhnya aku ingin mengajarkan kepadamu beberapa kalimah: Peliharalah Allah, nescaya Dia akan memeliharamu. Peliharalah Allah, kamu akan mendapati-Nya bersamamu. Apabila kamu meminta sesuatu, maka mintalah daripada Allah. Apabila kamu meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan daripada Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya jika seluruh manusia berhimpun untuk memberi sesuatu manfaat kepadamu, mereka sekali-kali tidak akan dapat memberikan manfaat itu kepadamu kecuali sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah untukmu. Dan sekiranya mereka berhimpun untuk mendatangkan sesuatu bencana ke atasmu, mereka tidak akan dapat mendatangkannya kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah ke atasmu. Telah diangkat pena dan telah keringlah lembaran”

(Diriwayatkan dari Ibnu Abbas oleh Imam At-Tirmizi, katanya: Hadis hasan sahih)

Memanglah hukumnya harus untuk memohon pertolongan kepada sesama makhluk. Yang harusnya adalah meminta kepada mereka yang boleh memberi pertolongan itu (ada dalam kuasa mereka). Iaitu, orang yang kita mohon pertolongan itu memang dia mampu hendak menolong kita. Sebagai contoh, kita minta dia tolong angkat barang, atau kita minta dia tolong belikan barang untuk kita, atau kita minta tolong dia masakkan untuk kita dan sebagainya lagi. Namun, dalam meminta pertolongan kepada manusia, kita kena cuba untuk elakkan kerana tidak elok jika kita berharap kepada manusia, sedangkan mereka manusia juga dan tiada kuasa. Apa sahaja bantuan yang mereka nampak pada zahirnya boleh diberi, tidaklah boleh menolong kita tanpa keizinan dari Allah jua. Justeru semasa meminta pertolongan kepada manusia, dalam masa yang sama juga kita hendaklah berharap kepada Allah. Kita kena fahamkan di dalam hati kita yang sebenarnya memberi pertolongan itu adalah Allah. Maka sebelum meminta tolong kepada orang lain, mohonlah pertolongan kepada Allah terlebih dahulu.

Dalam masa yang sama, ada juga permintaan kepada manusia yang diharamkan, iaitu meminta kepada perkara yang memang mereka tidak mempunyai kuasa. Contohnya, kita memohon kepada manusia sama ada yang telah mati atau masih hidup untuk menambah iman atau memberi hidayah dan lain-lain perkara yang bukan dalam kuasa mereka. Ini adalah haram kerana semua perkara itu hanya Allah sahaja yang boleh beri.

Malangnya, ramai yang meminta daripada orang-orang yang telah mati. Ada yang meminta kepada para Nabi dan wali. Ada juga yang pergi ke kubur dan bercakap dengan orang di dalam kubur untuk menolong mereka. Perkara ini sudah lama berlaku dan di negara ini pun banyak berlaku. Ini adalah syirik.

Begitu juga ramai yang minta ‘berkat’ kepada orang yang hidup atau yang telah mati. Ini pun suatu kesesatan kerana manusia tidak boleh beri berkat kepada manusia lain. Allah sahaja yang boleh memberi berkat. Oleh itu, mintalah keberkatan kepada Allah. Kalau kita minta berkat dari orang lain, itu adalah suatu kesyirikan, kerana kita menganggap orang itu pun boleh memberi berkat serupa seperti Allah pula. Ini adalah syirik kerana menyamakan makhluk dengan Allah.

Soalan

Bagaimana kita hendak menghindari rasa putus asa sehingga terasa hambar dalam berdoa?

Jawapan

Belajarlah tafsir Quran dan fahami tentang doa kerana rasa hambar itu disebabkan tidak kenal akan Allah.

Seperti yang kita telah beritahu di awal tafsir surah Al-Fatihah ini, ayat-ayat dalam surah ini adalah ringkasan kepada ayat-ayat lain di dalam Quran. Jadi, penerangan yang lebih lanjut tentang doa ini ada dalam 7 surah hawamim – surah-surah yang dimulai dengan lafaz “Ha Mim” iaitu dari surah Ghafir (surah ke 40) sampai ke surah al-Ahqaf (surah ke 46). Sehingga tujuh surah Allah berikan kepada kita untuk menjelaskan tentang doa, kerana ianya amat penting memandangkan banyak salah faham tentang doa dalam fikiran manusia ini. Disebabkan salah faham tentang berdoalah yang menyebabkan manusia menjadi syirik dan kafir. Semoga Allah beri kesempatan kepada kita untuk mempelajarinya.

1 KOMEN

  1. Asallamualiamkum, nk kepastian bacaan alafatihah ayat 5 yg last skali iya ”khannaz (ta’in)selalu sy dgr org sebut ‘khannaz (ta’im) minta jasa baik ustaz2 memberi maklum Balas , Hal kecik cm nie takut x sempurna solat

Komen dan Soalan