Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits TANDA-TANDA BUKTI HADITS PALSU (Bhg. 03)

TANDA-TANDA BUKTI HADITS PALSU (Bhg. 03)

514
0
Iklan

Panel: BroSyarief
#200616 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

02.10.03 Hadits al-Mardud (المردود) Kategori Kritikan pada Periwayat (الطعن في الراوي) – Persoalan Hadits Palsu

#NotaBroSyarief #AsasIlmuHadits #UiTOBilik40

Susunan: BroSyarief

TANDA-TANDA BUKTI HADITS PALSU (Bhg. 03)

07 Pertentangan Hadits dengan Fitrah Insan, Pancaindera dan Uji Kaji.

Tiada sesiapa di kalangan mereka yang beriman kepada Allah dan RasulNya dapat menafikan bahawa hadits yang sahih selamanya akan menepati fitrah insan, menepati pancaindera dan dibuktikan dengan eksperimen.

Maka, apabila dinisbahkan kepada Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam apa yang bertentangan dengan fitrah insan, tidak diterima oleh pancaindera dan bercanggah dengan hasil eksperimen; maka ianya palsu.

Contohnya, hadits yang menyebutkan,

لا يُولَدُ بَعْدَ الْمِائَةِ مَوْلُودٌ لِلَّهِ فِيهِ حَاجَةٌ

‘Tidaklah dilahirkan seorang anak selepas (seratus tahun hijrah), yang ada keperluannya bagi Allah’

Sedangkan betapa ramainya para ulama yang lahir selepas seratus tahun pertama, yang hebat dan utama seperti imam-imam mazhab, tafsir dan hadits; di mana mereka telah menyebarkan ilmu dan kita berterusan mengambil manfaat dari ilmu yang mereka sebarkan.

Begitu juga hadits yang menyebutkan,

الْبَاذِنْجَانُ لِمَا أُكِلَ لَهُ

‘Terung itu (penyembuh) bagi apa sahaja sebab ia dimakan’

Dakwaan ini palsu, kerana ianya bukan ubat untuk apa sahaja penyakit dan kesakitan.

08 Tidak Wujudnya Hadits Dalam Kitab-kitab Hadits

Apabila seorang imam ahli hadits meneliti sesuatu hadits dan dia tidak mendapatinya pada kitab-kitab ulama hadits, ia adalah tanda hadits tersebut palsu

Kata Imam as-Suyuti,

وأما الآن فالعمدة على الكتب المدونة، فمن جاء بحديث غير موجود فيها فهو ردّ

‘Adapun kini, kita bergantung kepada kitab-kitab yang telah tertulis, maka sesiapa yang membawa sesuatu hadits yang tiada di dalam kitab-kitab hadits, maka ianya tertolak’

[Tadrib ar-Rawi]

09 Lafaz dan Makna Hadits yang Lekeh

Sekiranya hadits itu lafaz dan maknanya lekeh mengikut kefasihan bahasa arab, apalagi jika disandarkan kepada RasululLah sebagai insan yang paling indah bahasanya, maka itu tanda kepalsuan hadits tersebut.

Contohnya hadits berikut,

إِنَّ لِلَّهِ مَلَكًا مِنْ حِجَارَةٍ يُقَالُ لَهُ : عُمَارَةُ ، يَنْزِلُ كُلَّ يَوْمٍ عَلَى حِمَارٍ مِنْ حِجَارَةٍ فَيُسَعِّرُ الأَسْعَارَ

‘Sesungguhnya Allah mempunyai malaikat yang diperbuat dari batu, dipanggil dia: ‘Umarah. Dia setiap hari ke atas seekor keldai yang juga diperbuat dari batu, lalu dia menawarkan harga kepadanya’

[al-Mawdhu’aat al-Kubro]

Kata-kata di atas ini lekeh dari sudut makna dan lafaz.

(Bersambung..)

WalLaahu a’lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.

#BroSyariefShares

Salam Ustaz.
Hadith Qudsi ada yg dipalsukan tak?

Hadits Qudsi sebagaimana hadits-hadits lain juga dinilai sanad dan matannya, jadi ada hadits qudsi yang sahih, dhaif dan malah palsu.

Assalamualaikum, mengapa saya dengar hadis taffarud susah mendapat status sahih/hasan? Atau adakah saya tersilap?

Wa ‘Alaikumus Salam.

Aiman boleh kongsikan sumbernya?

Kita ada sentuh tentang hadits al-Gharib atau al-Fard (istilah lain bagi at-Tafarrud) pada nota 02.04.04 merujuk kepada salah satu kategori di bawah hadits Ahad.

Adapun istilah tafarrud yang disebutkan juga digunakan oleh imam-imam huffaz pada penilaian periwayat, dan ini adalah topik yang berat dan mendalam di mana saya tak mahir.

WalLaahu a’lam

p/s: Harap dapat fokus sebarang persoalan kepada nota-nota yang telah dikongsi dan dibaca. Terima kasih.

Sebaiknya elakkan terkesan dengan kata-kata di kotak-kotak komen semata. Untuk kepastian, tanya terus kepada orang-orang tersebut dan periksa.

Komen dan Soalan