Utama Bilik (101) Fiqh Wanita 1 Nota Fiqh Wanita 100

Nota Fiqh Wanita 100

526
0
Iklan

S&J FIQH WANITA

Soalan 1

Disebut dalam alquran “Peliharalah akan solat-solat dan solat wustho (asar)”

a. Apakah hikmah disebutkan solat wustho? Adakah ia melebihi solat-solat yang lain? Mohon pencerahan

Jawapan Ustaz Azlizan Nueq:

Solat asar diberi penekanan kerana waktu inilah yang ramai terbabas. Kerana sibuk dengan kerja dan hal kehidupan lain. Ayat ini ada dalam baqarah 238.

Penekanan seperti ini biasa digunakan dalam Qur’an. Kadangkala disebut tentang malaikat, kemudian disebut jibrail (ar-ruh). Sedangkan jibrail itu sudah termasuk dalam kategori malaikat. Ini adalah kerana Allah hendak beri penekanan.

Solat Asar sudah termasuk dalam solat secara keseluruhan, tapi Allah beri penekanan khusus.  Malaikat Jibrail sudah termasuk dalam kategori malaikat, tapi Allah beri penekanan khusus.

Malaikat Jibrail diberi penekanan khusus kerana kedudukan beliau adalah malaikat yang besar. Solat Asar diberi penekanan kerana ianya selalu ditinggalkan oleh manusia.

Contoh : Macam emak, bila suruh kita pergi kedai beli barang dapur. Semua barang sudah disebut, tapi dia tambah: “ha jangan lupa beli cili tu…”. Sebab cili itu penting.

Allahua’lam

b. Apakah maksud hadith ini, “Sesiapa yang meninggalkan solat Asar, maka terhapuslah amalannya” (Hr Bukhari 520)

Jawapan Ustaz Azlizan Nueq:

Ibnul Qoyyim mengatakan ada dua kondisi dengan tentang hadis ini:

1. Kalau dia jenis memang tidak solat asar langsung, hari-hari macam itu, maka segala amalannya terhapus. Tiada nilai.
2. Kalau pada hari itu dia meninggalkan solat asar (hari lain dia buat), amalannya terhapus pada hari itu, tidak ada pahala.

c. Maksudnya, hari ini sengaja tidak solat asar,jadi ibadah untuk hari ini semua hilang,benarkah begitu ustaz?

Jawapan Ustaz Azlizan Nueq:

Benar, tidak ada pahala.

Ini perlu difahami juga, ada yang salah faham. Mereka kata, kalau begitu, tidak perlu buat solat-solat lain. Ini cara fahaman yang salah. Memang solat dia tidak dapat pahala pada hari itu. Tapi kalau dia ‘tidak’ solat pula, sudah dikira satu dosa ‘tinggalkan solat’ dan berganda kesalahannya.

Contohnya hadis tentang kalau jumpa bomoh, gugur amalan selama 40 hari. Tidaklah bermakna tidak perlu solat selama 40 hari itu. Tetap kena solat juga. Kalau tidak, sudahlah tidak dapat pahala, kena seksa sebab tinggalkan solat pula.

Allahua’lam

 

Soalan 2

Boleh terangkan perbezaan antara infaq, wakaf, zakat dan sedekah.

Jawapan

Perkataan ini kadangkala boleh ditukar ganti. Cuma biasanya zakat itu sedekah yang wajib. Waqaf pula selalu merujuk kepada sedekah dalam bentuk tanah atau bangunan.

Lebih jelas lagi, boleh juga kalau hendak tahu.
Infak dari نفق bermaksud ‘membelanjakan’. Ini boleh digunakan untuk jalan Allah atau belanja di kedai. Sebab itu ada disebut infaq fi sabilillah. Tapi selalunya kalau sebut infaq, orang sudah tahu ianya untuk kebaikan.

Zakat dari زكى yg bermaksud ‘menyucikan’ dari segi bahasa. Juga bermaksud menyuburkan.
Oleh itu, apabila kita keluarkan zakat, ia bermaksud mensucikan harta kita dari pendapatan yang gharar (tidak pasti datang dari mana, halal atau tidak).
Juga ia menyuburkan harta kita dengan pengeluaran zakat itu.

Sedekah dari صدق yg bermaksud ‘membenarkan’ (macam nama Abu Bakr as-siddiq). Kita keluarkan sedekah kerana kita membenarkan suruhan Allah untuk memberi sedekah – kalau beri kita akan mendapat balasan di akhirat. Maka kerana kita percaya dengan janji Allah itu, kita tunjukkan dengan berikan sedekah.

Waqaf dari kalimah وقف yang bermaksud ‘berhenti’ dari segi bahasa (macam wuquf di Arafah bermaksud berhenti dan bermalam di Arafah). Maksudnya memberhentikan hak orang yang beri waqaf itu ke atas hartanya. Kalau dia sudah jadikan tanah dia sebagai waqaf, tidaklah dia boleh nak jual, sewa, wasiat dan sebagainya lagi. Kalau dia tidak waqaf, dia boleh buat semua benda itu, tapi bila dah waqaf, sudah tidak boleh lakukan.

Ringkasnya dalam penggunaan kita zaman sekarang:
1. Infaq – berbentuk umum. bagi duit utk kebaikan.
2. Zakat – selalunya maksud khusus – zakat harta, zakat tanaman, zakat fitrah.
3. Sedekah – macam infak juga. beri kepada orang yg memerlukan.
4. Waqaf – bentuk harta – bagi tanah, bangunan etc digunakan untuk kebaikan – rumah anak yatim, madrasah, masjid etc.

Allahua’lam

 

Soalan 3

Adakah sah solat sunat dhuha kalau selepas kita baca bacaan dalam sujud kita terus sambung zikir ya wahhab 41 kali semasa sujud terakhir?

Jawapan Ustaz Azlizan Nueq:

Bidaah. Adakah dalil tentang perkara ini?

Soalan kita kena tanya:
1. Kenapa 41 kali?
2. Kenapa sebut nama Allah sahaja? Mana doanya? Bila kita panggil seseorang dan orang itu menoleh, tentu dia tanya: yer, apa dia? Adakah kita terus panggil lagi nama dia?

Ini kita panggil nama Allah, tapi tidak ada doanya. Tidak kena caranya. Bid’ah itu kerana buat satu kaifiat (cara) baru pula dalam amalan. Zikir tidak salah, tapi bila letakkan kaifiat tertentu itu yang kita takut.
Kalau zikir subhanallah 33 kali, itu ada dalilnya. Tapi kalau zikir ya wahhab 41 kali itu ada dalilkah?

Doa lepas solat boleh. Yang tidak boleh adalah sebut ya wahhab 41 kali. Solat Dhuha selalunya dianggap sebagai pembuka rezeki, maka ramailah yang solat kerana hendak murah rezeki. Dalil mereka adalah:

Dari Nu’aim bin Hammar Al-Ghathafaniy, beliau mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ يَا ابْنَ آدَمَ لاَ تَعْجِزْ عَنْ أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ أَكْفِكَ آخِرَهُ
“Allah Ta’ala berfirman: Wahai anak Adam, janganlah engkau tinggalkan empat raka’at shalat di awal siang (di waktu Dhuha). Maka itu akan mencukupimu di akhir siang.” (HR. Ahmad, 5: 286; Abu Daud, no. 1289; At Tirmidzi, no. 475; Ad Darimi, no. 1451 . Syaikh Al-Albani dan Syaikh Syu’aib Al-Arnauth mengatakan bahwa hadits ini shahih)

Kalimah ‘mencukupimu’ itulah yang mereka katakan sebagai ‘rezeki’ – cukupkan rezeki. Sedangkan ini tidak benar. Kerana ulama bahas mencukupi itu dari segi selamat dari bahaya, dari terjurumus dari melakukan dosa besar, Allah mudahkan urusan. Iaitu cukuplah amalan solat itu sebagai Allah akan ganti dengan benda-benda yang disebut tadi. Tidaklah disebut tentang rezeki secara khusus.

Masalah juga kalau solat sebab hendak rezeki. Sedangkan kita solat kena ikhlas. Tapi geng MLM, geng insurans, geng financial investment katanya banyak promosikan solat ini supaya berjaya.

Saya kira sudah lari niat kita. Allahu a’lam.

 

Soalan 4

Mohon ustaz jelaskan tentang hadith dibawah.

يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلامَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ ، فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ ، وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ ، وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ ، وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ ، وَنَهْيٌ عَنْ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ ، وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنْ الضُّحَى (رواه مسلم، رقم 1181) .

Pada setiap persendian kalian harus dikeluarkan sedekahnya setiap pagi; Setiap tasbih (membaca subhanallah) adalah sedekah, setiap tahmid (membaca Alhamdulillah) adalah sedekah, setiap tahlil (membaca Lailaha illallah) adalah sedekah, setiap takbir (membaca Allahu Akbar) adalah sedekah, amar bil ma’ruf adalah sedekah, nahi ‘anil munkar adalah sedekah. Semua itu dapat terpenuhi dengan (shalat) dua rakaat yang dilakukan di waktu Dhuha.” (HR. Muslim, no. 1181)

Jawapan Ustaz Azlizan Nueq:

Kita ada banyak sendi pada tubuh kita. Nabi kata setiap sendi itu kena ‘sedekah’ – melakukan amal kebaikan. Tapi adakah kita mampu? Maka yang terbaik adalah dengan Solat Dhuha. Lihat hadis ini:

Hadits dari Buraidah, beliau mengatakan bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

أَبِى بُرَيْدَةَ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَقُولُ « فِى الإِنْسَانِ سِتُّونَ وَثَلاَثُمِائَةِ مَفْصِلٍ فَعَلَيْهِ أَنْ يَتَصَدَّقَ عَنْ كُلِّ مَفْصِلٍ مِنْهَا صَدَقَةً ». قَالُوا فَمَنِ الَّذِى يُطِيقُ ذَلِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ « النُّخَاعَةُ فِى الْمَسْجِدِ تَدْفِنُهَا أَوِ الشَّىْءُ تُنَحِّيهِ عَنِ الطَّرِيقِ فَإِنْ لَمْ تَقْدِرْ فَرَكْعَتَا الضُّحَى تُجْزِئُ عَنْكَ

“Manusia memiliki 360 persendian. Setiap persendian itu memiliki kewajiban untuk bersedekah.” Para sahabat pun mengatakan, “Lalu siapa yang mampu bersedekah dengan seluruh persendiannya, wahai Rasulullah?” Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam lantas mengatakan, “Menanam bekas ludah di masjid atau menyingkirkan gangguan dari jalanan. Jika engkau tidak mampu melakukan seperti itu, maka cukup lakukan shalat Dhuha dua raka’at.” (HR. Ahmad, 5: 354. Syaikh Syu’aib Al Arnauth mengatakan bahwa hadits ini shahih ligoirohi)

Hadis-hadis ini semua menunjukkan kelebihan solat Dhuha. Maka solatlah sebagai tambahan untuk amal kita. Cuma jangan kaitkan dengan harta dunia.

Talbis iblis bila kita solat berkehendakkan murah rezeki sedangkan kita solat kerana Allah yang memberi rezeki. Allahua’lam

 

Soalan 5

Adakah perkara ini benar?

Apabila kita melakukan sesuatu dosa , malaikat pencatat akan menunggu kita selama enam jam sebelum mencatitnya. Jika kita beristighfar dalam tempoh tersebut maka malaikat tersebut tidak akan mencatitnya.Tetapi apabila kita melakukan kebaikan. Malaikat pencatit akan terus mencatitnya. Sesungguhnya Allah maha pengasih.

– Jadi , tahukah anda , dengan menyebarkan semua ini , malaikat akan mencatitnya ?

Jawapan Ustaz Azlizan Nueq:

Asal pendapat ini dari hadis Riwayat Tabrani:

Daripda Abu Umamah R.A. Dari Nabi s.a.w.sabdanya bermaksud:
Malaikat yang disebelah kanan (yang mejadi penulis kebaikan) ialah ketua kepada yang sebelah kiri, maka apabila seseorang melakukan sesuatu kebaikan ditulis baginya kebaikan itu menjadi dengan sepuluh kebaikan yang tesebut, dan apabila dia melakukan sesuatu kejahatan, lalu malaikat disebelah kanan berkata: Tunggu dahulu “lalu dia menunggu selama enam atau tujuh jam, maka jika orang itu beristighfar daripda perbuatan jahat itu, tidaklah ditulis sesuatu pun, dan jika dia tidak meminta ampun kepada Allah dituliskan bagi nya satu kejahatan sahaja.. (Hadis riwayat at-tabrani)

Tapi hadis ini tidak sahih. Riwayat malaikat berhenti enam/tujuh jam diriwayatkan oleh Al-Thabrani dalam Mu’jam Al-Kabir. Riwayat Ja’far bin Zubair daripada Al-Qasim daripada Abi Umamah yakni Sudaiyy ibn ‘Ajlan memang ma’lul dan dikritik ramai.

Allahua’lam

 

Soalan 6

Assalamualaikum ustaz, adakah dalil mengenai memberi salam apabila kita melalui kawasan perkuburan?

Jawapan Ustaz Azlizan Nueq:

Doa yang diajar oleh Nabi adalah;

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ، وَيَرْحَمُ اللهُ الْمُسْتَقْدِمِينَ مِنَّا وَالْمُسْتَأْخِرِينَ، وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللهُ بِكُمْ لَلَاحِقُونَ أَسْأَلُ اللهَ لَنَا وَلَكُمُ الْعَافِيَةَ

“Semoga keselamatan tercurah kepada kalian, wahai penghuni kubur, dari (golongan) orang-orang beriman dan orang-orang Islam, semoga Allah merahmati orang-orang yang mendahului kami dan orang-orang yang datang belakangan. Kami insya Allah akan menyusul kalian, saya meminta keselamatan untuk kami dan kalian.”

(HR. Ahmad 25855, Muslim 975, Ibnu Hibban 7110, dan yang lainnya).

 

Soalan 7

Apakah pilihan yang lebih baik, beli barang dari kedai orang melayu islam, tapi jual arak atau dari pasaraya yang bukan milik orang islam? Adakah kita dikira bersubahat jika terus membeli dari kedai tersebut?

Jawapan Ustaz Azlizan Nueq:

Berkenaan arak dan mereka yang terlibat dengan nya ada 10 golongan.

Nabi SAW bersabda :-

‎عن أَنَسِ بن مَالِكٍ قال لَعَنَ رسول اللَّهِ في الْخَمْرِ عَشْرَةً عَاصِرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَشَارِبَهَا وَحَامِلَهَا وَالْمَحْمُولَةُ إليه وَسَاقِيَهَا وَبَائِعَهَا وَآكِلَ ثَمَنِهَا وَالْمُشْتَرِي لها وَالْمُشْتَرَاةُ له
“Rasulullah saw melaknat tentang arak, sepuluh golongan:
(1) yang memerahnya,
(2) yang minta diperahkan untuknya,
(3) yang meminumnya,
(4) yang membawanya,
(5) yang minta dihantarinya,
(6) yang menuangkannya,
(7) yang menjualnya,
(8) yang makan harganya,
(9) yang membelinya,
(10) yang minta dibelikannya.” ibn Majah.

Membeli dengan orang yang menjual arak itu tidak termasuk dalam golongan ini. Sebab kita beli barang yang halal.

 

Soalan 8

A berzina dengan B akhirnya mengandung. Kandungan melebihi antara 5 hingga 6 bulan baru mereka bernikah dan mendapat anak perempuan.
Bagaimana status hubungan anak dengan B? Wajib tutup aurat dan wajib jaga batasan?

Jawapan Ustaz Azlizan Nueq:

Anak perempuan itu bukan anak kandung lelaki itu. Tapi anak tirinya kerana dah kahwin dengan mak dia. Dalam syarak disebut ‘rabibah’ (anak tirinya) kerana lelaki itu telah mencampuri ibunya. Maka hukumnya mahram.

Cuma kalau mengikut fatwa Perlis, boleh menamakan anak itu kepada suami ibu itu kalau dia mengaku itu anak dia. Berdasarkan hadis Rasulullah Shallallahu’alaihi wa Sallam bersabda dalam sebuah hadits

Dari Aa’isyah Radhiyallahu anhuma :

الوَلَدُ لِلْفِرَاشِ ، وَلِلْعَاهِرِ الْحَجْرُ

Anak yang lahir adalah milik pemilik ranjang (suami) dan pezinanya mendapatkan kerugian

Kelebihan fatwa ini, anak itu tidaklah malu.

Perlis tidak terikat dengan mazhab tertentu. Kalau pejabat pendaftaran, mereka tidak benarkan nasab kepada suami kalau anak itu lahir tak cukup 6 bulan selepas perkahwinan. Maksudnya, kalau 5 bulan kahwin dah lahir anak, itu dikira sebagai anak zina.

 

Soalan 9

Ustaz suami saya pernah bercakap tidak perlu membaca tafsir quran sebab tafsir ini mendalam. Dia risau takut saya jadi isim pulak.Kini saya sudah dalam dilema hendak baca tafsir. Dia benarkan baca terjemahan sahaja. Situasi saya ni, kalau saya baca juga tafsir itu,adakah dikatakan tidak mendengar nasihat suami?

Jawapan Ustaz Azlizan Nueq:

Nauzubillah…inilah bisikan syaitan. Sebab syaitan tidak mahu kita faham Qur’an. Sedangkan Allah beritahu 4 kali dalam surah Qamar

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

Allah kata Dia mudahkan, bukan?

Dan belajar tafsir ini wajib. Jadi kalau suami larang buat perkara wajib, tidak salah. Memang kena langgar arahannya itu. Patutnya dia yang ajar kepada awak.

 

Soalan 10

a. Adakah kenduri arwah bidaah kerana ramai orang di kampung saya lakukan seperti membaca doa untuk arwah?

Jawapan Ustaz Azlizan Nueq:

Kenduri arwah adalah bidaah. Ini menyusahkan keluarga simati. Sudahlah mereka susah hati, kena beri makan orang yang datang pula. Tidak ada hati perut. Kalau saya pergi, saya tidak makan. Kalau nak doa, kena ikhlas, tidak perlu ada makan.

b. Emak mertua buat kenduri untuk arwah ayah mertua. Bolehkah ustaz jelaskan?

Jawapan Ustaz Azlizan Nueq:

Ini bukan kenduri arwah tapi kenduri majlis tahlil. Ini pun bidaah juga. Nabi dan para sahabat ramai kematian, kelihatan mereka tidak buat kenduri begini. Dan tidak ada majlis untuk doa ramai-ramai.

c. Ini memang sukar ustaz, memang kerap ada majlis kenduri. Bila ditegur katannya untuk jamuan ringan sahaja, dari hasil sumbangan jiran tetangga.

Jawapan Ustaz Azlizan Nueq:

Memang sukar dan saya faham.
1. Ada orang bagi sumbangan masa lawat.Ini untuk waris simati untuk digunakan untuk keperluan kehidupan mereka. Bukan untuk dijamu orang.
2. Tidak ada majlis baca Qur’an dan zikir dan hadiahkan pahala kepada simati.
3. Tidak ada juga amalan doa beramai ramai.

d. Mengenai solat hajat di sekolah ada diterapkan lakukan solat hajat terutama ketika peperiksaan. Bagaimana hendak atasi?

Jawapan Ustaz Azlizan Nueq:

Nabi dan sahabat ketika hendak berperang  tidak melakukan solat hajat. Kita pula melakukan solat hajat apabila budak hendak mengambil peperiksaan. Tidak kena begini.

Membuat benda bidaah kita tidak boleh disokong. Mesti ada wala wal bara. Tunjuk cinta dan tunjuk benci. Cinta kepada benda baik dan benci kepada benda salah. Inilah dugaan dan memang susah. Sebab itu nabi kata hendak amal sunnah macam genggam bara api.

e. Solat hajat tanpa disediakan air botol bukan kesalahan kerana tujuan dibuat bila kita berkehendakkan sesuatu (berhajat), adakah betul begini ustaz?

Jawapan Ustaz Azlizan Nueq:

Istilah ‘solat hajat’ tidak ada, rekaan sahaja. Tapi untuk solat sebelum berdoa, itu memang ada dalam Qur’an. Jadi tidak salah. Bidaah nya adalah apabila dilakukan berjemaah. Kerana solat sunat tidak dilakukan berjemaah melainkan ada dalilnya seperti solat istisqa minta hujan.

Kemudian ada banyak perkara bidaah dalam solat itu pula yang ditambah. Cara-cara yang direka.

Apabila direka istilah solat hajat, maka direka kaifiat – cara caranya.
1. Baca ayat tertentu
2. Doa tertentu pada tempat tertentu.
3. Diajar biar tertentu.

Ini semua tidak ada. Sepatutnya solat sunat biasa sahaja. Selepas itu doa dan buat berseorangan.  Doa boleh bila-bila masa saja. Tapi kalau hendak tambah makbul, elok lah dilakukan solat dahulu sebelum berdoa.

 

Soalan 11

Ustaz, adakah sahih sunat memotong kuku pada hari jumaat? Maksudnya memotong kuku itu untuk menjaga kebersihan, tapi tiada dalam hadis tentang memotong kuku adalah sunat dilakukan hari jumaat.

Jawapan Ustaz Azlizan Nueq:

Tidak ada penentuan hari khusus untuk potong kuku.

من قلم أظافيره يوم الجمعة قبل الصلاة ، أخرج الله منه كل داء ، وأدخل مكانه الشفاء والرحمة

Maksudnya: “sesiapa yang mengerat kukunya pada hari jumaat sebelum menunaikan solat, Allah mengeluarkan daripadanya penyakit dan menggantikan tempat penyakit itu dengan ppenyembuhan dan rahmat.” Hadith ini menurut penilaian al-Albani adalah hadith yang terlalu lemah (ضعيف جدا)-

 

Soalan 12

a. Adakah wajar si isteri taat kepada suami yang menderanya fizikal dan mental?

Jawapan Ustaz Azlizan Nueq:

Allahu akbar. Sedih mendengar tentang perkara macam ini…

Pertama: Kewajipan isteri taat kepada suami rasanya semua sudah faham.

Hadits dari ‘Abdurrahman bin ‘Auf, ia berkata bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا وَصَامَتْ شَهْرَهَا وَحَفِظَتْ فَرْجَهَا وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا قِيلَ لَهَا ادْخُلِى الْجَنَّةَ مِنْ أَىِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ

“Jika seorang wanita selalu menjaga shalat lima waktu, juga berpuasa sebulan (di bulan Ramadhan), serta betul-betul menjaga kemaluannya (dari perbuatan zina) dan benar-benar taat pada suaminya, maka dikatakan pada wanita yang memiliki sifat mulia ini, “Masuklah dalam surga melalui pintu mana saja yang engkau suka.” (HR. Ahmad 1: 191 dan Ibnu Hibban 9: 471. Syaikh Syu’aib Al Arnauth mengatakan bahwa hadits ini shahih)

Kedua, kita sentiasa diuji dalam kehidupan kita, ada pasangan yang mendapat suami atau isteri yang baik dan sebaliknya.

Allah berfirman;

{وَجَعَلْنَا بَعْضَكُمْ لِبَعْضٍ فِتْنَةً أَتَصْبِرُونَ} [الفرقان: 20]

dan Aku jadikan sebahagian dari kalian cobaan bagi sebahagian yang lain. Bisakah kalian tabah? (Al-Furqon; 20)

Ketiga, kalau suami itu jenis jahat, bagaimana? Adakah sudah tidak perlu taat?

An-Nasai meriwayatkan;

سنن النسائي الكبرى (5/ 361)

عن عبد الله بن عباس قال قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : ألا أخبركم بنسائكم من أهل الجنة الودود الولود العؤود على زوجها التي إذا آذت أو أوذيت جاءت حتى تأخذ بيد زوجها ثم تقول والله لا أذوق غمضا حتى ترضى

“Dari Abdullah bin Abbas beliau berkata; Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda; Tidakkah aku beritahu kalian tentang wanita-wanita kalian yang termasuk penghuni surga? Yang penyayang, subur, dan banyak memberi manfaat kepada suaminya…yang jika menyakiti atau disakiti dia datang lalu mengambil tangan suaminya kemudian berkata; demi Allah, aku tidak bisa tidur sebelum engkau ridha” (H.R.An-Nasai)

Keempat, islam ini adil. Selalu orang sebut isteri nusyuz. Tapi tidak tahukah ada istilah ‘suami nusyuz’? Ini disebut dalam Nisa:128

وَإِنِ امرَأَةٌ خافَت مِن بَعلِها نُشوزًا أَو إِعراضًا فَلا جُناحَ عَلَيهِما أَن يُصلِحا بَينَهُما صُلحًا ۚ وَالصُّلحُ خَيرٌ ۗ وَأُحضِرَتِ الأَنفُسُ الشُّحَّ ۚ وَإِن تُحسِنوا وَتَتَّقوا فَإِنَّ اللَّهَ كانَ بِما تَعمَلونَ خَبيرًا

Dan jika seorang wanita khawatir akan nusyuz atau sikap tidak acuh dari suaminya, maka tidak mengapa bagi keduanya mengadakan perdamaian yang sebenar-benarnya, dan perdamaian itu lebih baik (bagi mereka) walaupun manusia itu menurut tabiatnya kikir. Dan jika kamu bergaul dengan isterimu secara baik dan memelihara dirimu (dari nusyuz dan sikap tak acuh), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Kalau dia sudah mula memukul, cakap tidak elok, janganlah simpan sahaja dalam hati. Islam ada jalan penyelesaian. Kena report kepada orang lain – samada mengadu kepada ahli keluarga yang dihormati atau terus pergi ke pejabat agama. Jangan bagi muka. Jadilah isteri yang bijak dan tahu selok belok kehidupan ini. Tapi selalu dengar isteri pasrah dengan apa suami buat.

b. Kadang-kadang, ada isteri terpaksa terima penderaan fizikal dan mental sebab tidak bekerja ,perbelanjaan si suami yang tanggung. Ada yang malu untuk failkan perceraian sebab uruf setempat memandang serong perempuan yang diceraikan.

Jawapan Ustaz Azlizan Nueq:

Kena yakin dengan janji Allah. Allah sebut dalam Nisa:130

وَإِن يَتَفَرَّقا يُغنِ اللَّهُ كُلًّا مِن سَعَتِهِ ۚ وَكانَ اللَّهُ واسِعًا حَكيمًا
Jika keduanya bercerai, maka Allah akan memberi kecukupan kepada masing-masingnya dari limpahan karunia-Nya. Dan adalah Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Bijaksana.

Allahua’lam

 

Soalan 13

a. Apa hukum segelintir penceramah atau ustaz-ustaz  memberi ceramah lawak untuk buat orang ketawa dan ada unsur lucah?

Jawapan Ustaz Azlizan Nueq:

Saya tidak tahu ustaz mana yang dimaksudkan. Memang ramai yang jadikan ceramah sebagai pertandingan raja lawak sahaja. Seolah-olah tujuan utama mereka adalah untuk buat lawak sahaja, bukan hendak bagi ilmu.

Padahal di dalam Islam, para pelawak itu adalah termasuk jenis orang yang dikecam oleh Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam bahkan berkali-kali dinyatakan celakalah baginya, celakalah baginya…

عن بَهْزُ بْنُ حَكِيمٍ حَدَّثَنِي أَبِي عَنْ جَدِّي قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ بِالْحَدِيثِ لِيُضْحِكَ بِهِ الْقَوْمَ فَيَكْذِبُ وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ (الترمذي وَفِي الْبَاب عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ)

Dari Bahz bin Hakim, bahwa bapaknya telah bercerita kepadanya dari kakeknya, ia berkata, aku telah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Celakalah bagi orang yang berbicara dengan satu pembicaraan agar menjadikan tertawanya kaum, maka ia berdusta, celakalah baginya, celakalah baginya.” (HR At-Tirmidzi, hadits hasan).

Kalau gelak sikit-sikit pada saya tidak mengapa, tetapi kalau gelak dari mula sampai habis,ilmu tidak ke mana, itu tidak patut.

b. Maksudnya rancangan Maharaja Lawak itu haram?

Jawapan Ustaz Azlizan Nueq:

Benar, Syaikh Al-Mubarakafuri pengarang syarah Tirmidzi mengatakan salah besar kalau menjadikan pelawak sebagai pekerjaan.

Allahua’lam

 

Soalan 14

Ustaz ,adakah kesemua 25 Nabi itu, mempunyai isteri lebih dari satu iaitu poligami?

Jawapan Ustaz Azlizan Nueq:

Nabi dan Rasul tidaklah ada 25 sahaja.

Tentang pasangan hidup, tidak semua nabi sama. Kalau Nabi Sulaiman, sampai ada 90 isterinya:

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قاَلَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّـى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “قَالَ سُلَيْمَانُ: َلأََطُوْفَنَّ اللَّيْلَةَ عَلَى تِسْعِينَ امْرَأَةً كُلُّهُنَّ تَأْتِي بِفَارِسٍ يُجَاهِدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، فَقَالَ لَهُ صَاحِبُهُ: قُلْ إِنْ شَاءَ اللَّهُ، فَلَمْ يَقُلْ إِنْ شَاءَ اللَّهُ، فَطَافَ عَلَيْهِنَّ جَمِيعًا فَلَمْ يَحْمِلْ مِنْهُنَّ إِلاَّ امْرَأَةٌ وَاحِدَةٌ جَاءَتْ بِشِقِّ رَجُلٍ، وَايْمُ الَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، لَوْ قَالَ إِنْ شَاءَ اللَّهُ لَجَاهَدُواْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فُرْسَانًا أَجْمَعُونَ”.

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu , Rasulullâh Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “(Pada suatu hari) Nabi Sulaiman Alaihissallam berkata, “Malam ini aku akan berhubungan badan dengan sembilan puluh istriku. Masing-masing (pasti) akan melahirkan lelaki penunggang kuda yang kelak berjihad di jalan Allah Azza wa Jalla . Malaikat berkata padanya, “Katakan insyaAllah!”. Tetapi Nabi Sulaiman  tidak mengucapkan insyaAllah. Lalu beliau berhubungan badan dengan seluruh istrinya tersebut, namun tidak seorangpun dari mereka yang mengandung, kecuali hanya satu. Itupun tatkala bersalin, melahirkan bayi hanya setengah badan [HR. Bukhâri dan Muslim]

Dan sebaliknya, Nabi Yahya tidak berkahwin. Nabi Muhammad pula seperti kita tahu, ada 9 isteri.

Tapi semua itu tidaklah menjadi dalil, kerana kalau Nabi sebelum Nabi Muhammad, syariat mereka lain. Dan kalau Nabi Muhammad lebih dari empat isteri, itu hanya utk baginda sahaja.

Daripada isteri ramai zaman dahulu, Islam menghadkan bilangan isteri. Syariat Nabi lain tidak hadkan. Jadi, islam sebenarnya membawa ke arah menghadkan bilangan isteri sebenarnya. Kalau paling banyak, hanya empat sahaja.

Allahua’lam

 

Soalan 15

a. Apakah erti mimpi basah? Adakah kita perlu mandi junub?

Jawapan Ustaz Azlizan Nueq:

Mimpi basah namanya ihtilam. (Senang untuk ingat dan faham ialah mimpi atas tilam). Ada wanita ansar tanya. Nabi jawap “jika kau nampak air.”
Cuma wanita susah hendak nampak air mani. Maka kalau nampak sahaja iaitu kalau banyak, ia akan keluar. Tak tahu keadaannya tapi begitulah syarah hadis.

Ya,kalau “nampak air mani” itu. Kalau tidak nampak, tidak perlu. Kerana sebab untuk mandi adalah keluar air mani. Kalau mimpi tidak keluar air mani, lelaki juga tidak perlu mandi junub.

Hadis dalam Bukhari

127 – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ سَلَامٍ قَالَ أَخْبَرَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ قَالَ حَدَّثَنَا هِشَامُ بْنُ عُرْوَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ زَيْنَبَ ابْنَةِ أُمِّ سَلَمَةَ عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ قَالَتْ جَاءَتْ أُمُّ سُلَيْمٍ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَحْيِي مِنْ الْحَقِّ فَهَلْ عَلَى الْمَرْأَةِ مِنْ غُسْلٍ إِذَا احْتَلَمَتْ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَأَتْ الْمَاءَ فَغَطَّتْ أُمُّ سَلَمَةَ تَعْنِي وَجْهَهَا وَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَوَتَحْتَلِمُ الْمَرْأَةُ قَالَ نَعَمْ تَرِبَتْ يَمِينُكِ فَبِمَ يُشْبِهُهَا وَلَدُهَا

127. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Salam berkata, telah mengabarkan kepada kami Abu Mu’awiyah berkata, telah menceritakan kepada kami Hisyam bin ‘Urwah dari Bapaknya dari Zainab puteri Ummu Salamah, dari Ummu Salamah ia berkata, “Ummu Sulaim datang menemui Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu menyatakan perkara benar. Apakah bagi wanita wajib mandi jika ia bermimpi (bermimpi melakukan hubungan seks)?” Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Ya, jika dia melihat air (terkeluar air mani dari farajnya).” Ummu Salamah lalu menutupi wajahnya seraya bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah seorang wanita juga bermimpi?” Beliau menjawab: “Ya. Ah! Teruklah engkau, jika tidak, bagaimana anaknya menyerupainya?”

b. Tapi susah juga nak kenal ,sebab tak bermimpi tapi pagi nampak kesan basah mcmne yer ustaz?

Jawapan

Kena mandi junub. Maknanya ada berlaku mimpi. Cuma tidak ingat sahaja. Kalau tidak nampak air, maka tidak perlu mandi. Ihtilam tidak semestinya keluar air mani.

Kalau bangun tidur dan nampak kesan basah, kena mandi. Kecuali kalau tahu bukan air mani. Langkah berjaga-jaga juga. Cuma untuk pengetahuan, wanita rambut panjang tidak perlu basahkan rambutnya. Bagi kena air sahaja pada kepala. Sanggul tidak perlu dibuka.

Hadits Ummu Salamah radhiallahu anha, dia berkata, “Wahai Rasulullah, saya adalah orang yang suka mengikat rambut kepala, apakah harus saya lepas untuk mandi janabah?” Dia berkata, “Tidak perlu (dilepas), cukup engkau tuangkan air di atasnya tiga kali sidukan.” (HR. Muslim, no. 330)

Cuma kalau selepas haidh, kena basuhkan rambut sekali.

c. Kenapa ada perbezaan sedangkan tujuannya sama iaitu mandi wajib?

Jawapan

Dalam Sahih Bukhari, beliau membezakan antara mandi junub dan mandi haidh. Tentang mandi junub tidak perlu buka sanggul rambut telah diberi tadi. Sekarang tentang mandi dari haidh pula. Tentang mandi haidh Imam Bukhari membawakan hadis Aisyah berhaji.

Kami keluar bertepatan saat nampak hilal bulan Dzul Hijjah. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam lalu bersabda: “Siapa yang ingin memulai haji dengan Umrah hendaklah ia lakukan. Sekiranya aku tidak membawa hewan sembelihan, aku lebih suka melakukan Umrah lebih dahulu.” Maka sebagian para sahabat ada yang memulai dengan Umrah dan ada yang memulai dengan haji. Sedang aku termasuk di antara yang mulai dengan Umrah. Maka ketika hari Arafah aku mengalami haid, aku lalu mengadukan hal itu kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, beliau lalu bersabda: “Tinggalkanlah Umrahmu. Uraikan rambut kepalamu lalu sisirlah, kemudian mulailah talbiah dengan haji.” Maka aku pun laksanakan perintah beliau, hingga ketika tiba malam Hashbah (Malam di Muzdalifah), beliau memerintahkan ‘Abdurrahman bin Abu Bakar untuk menemaniku.
Maka aku keluar menuju Tan’im, lalu bertalbiah dengan Umrah sebagai ganti Umrahku sebelumnya.” Hisyam berkata, “Dan dalam hal itu tidak ada denda baik berupa hadyu (menyembelih), puasa atau pun sedekah.”, (HR. Bukhari: 306) – http://hadits.in/bukhari/306

Lihat pada kalimah ‘Uraikan rambut kepalamu’. Ini bermaksud wanita mandi haidh kena uraikan rambutnya dan kena basuh. Tidak sama dengan mandi junub. Kalau nak basahkan tidak mengapa. Cuma Islam beri kemudahan. Kerana mandi junub lebih selalu dari mandi haidh.

Dan bagi wanita masalah mandi junub ini adalah dengan rambut mereka. Antara sebabnya malas nak basahkan rambut dengan alasan lambat kering, nanti bila pakai tudung berbau. Bila timbul rasa malas, suami sentuh sikit untuk bersama bila waktu malam, wanita tidak selesa dan masam muka (sebab malas hendak mandi junub paginya).

Allahu a’lam.

 

Soalan 16

Betulkah tiada larangan memakai cincin di mana-mana jari? Setahu saya jari manis dan telunjuk sahaja boleh, jari lain nanti ikut kaum yang Allah pernah laknat.

Jawapan Ustaz Azlizan Nueq:

Untuk lelaki: sunnah memakai pada jari kelingking kerana nabi pakai di situ. Dan ada larangan kalau pakai di jari tengah dan telunjuk.

Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, ia berkata,

كَانَ خَاتِمُ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- فِى هَذِهِ. وَأَشَارَ إِلَى الْخِنْصَرِ مِنْ يَدِهِ الْيُسْرَى
“Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam biasa mengenakan cincin di sini.” Anas berisyarat pada jari kelingking di tangan sebelah kiri. (HR. Muslim no. 2095).

Disebutkan dalam hadits ‘Ali bin Abi Tholib, ia berkata,

نَهَانِى رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أَنْ أَتَخَتَّمَ فِى إِصْبَعِى هَذِهِ أَوْ هَذِهِ. قَالَ فَأَوْمَأَ إِلَى الْوُسْطَى وَالَّتِى تَلِيهَا
“Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam melarang padaku memakai cincin pada jari ini atau jari ini.” Ia berisyarat pada jari tengah dan jari setelahnya. (HR. Muslim no. 2095).

Untuk perempuan, tidak ada larangan pakai cincin pada mana-mana jari. Allahua’lam

 

Soalan 17

a. Buat ibadah sebanyak mana pun , Allah lihat keikhlasan ,ikhlas semata-mata kerana Allah. Kita tidak tahu, ibadah kita yang mana satu disukai dan diterima. Boleh ustaz tambah lagi ulasan hal ini?

Jawapan Ustaz Azlizan Nueq:

Tentang ibadat, selalu disebut dalam Qur’an  “orang orang yang beriman dan beramal soleh”. Ada dua iaitu:
1. Iman
2. Amal soleh

Iman maksud amal yang ikhlas.
Amal soleh maksudnya buat amal ikut sunnah Nabi.
Kalau dua syarat ini tidak dipenuhi, amal tertolak.

Ini selari dengan syahadah kita:
1. La ilaaha illallah
2. Muhammadur rasulullah

1. Iman kepada Allah.
2. Beramal dengan ajaran Nabi.

1. Amal kena ikhlas
2. Kena ikut ajaran Nabi.

Ada yang amal ikhlas tapi tidak sunnah – tertolak
Ada yang amal ikut sunnah tapi tidak ikhlas – tertolak

b. Perkara penting ialah “ada amal yang ikhlas tapi tidak sunnah ” tertolak. Ini yang difahami ibadah yang tiada tuntunan dari Nabi saw .

Macamana dengan ahli kluarga kita yang banyak buat ibadah tapi bukan dari sumber yang sahih. Amalan tokok tambah, tidak perbaharui ilmu agama, yang ada cuma warisan moyang. Berdosakah  kita tidak kuatkan hujjah yang berdasarkn quran dan as sunnah pada kerabat? Apakah cara terbaik?

Jawapan Ustaz Azlizan Nueq:

Kita kena sampaikan dakwah kepada mereka. Tegur dengan cara baik sebab apapun tetap kena tegur.

Ini memang dugaan. Adakalanya dengan orang lain kita boleh ajar, boleh dakwah tapi dengan keluarga sendiri, mengalami kesukaran. Mereka juga ada diantaranya kuat menentang. Orang lain boleh sahaja.

Tapi beginilah Sunnah para Rasul. Nabi Ibrahim bertembung dengan bapanya sendiri, Azar namanya. Dan Nabi Muhammad dengan bapa saudaranya Abu Lahab. Mmg tak boleh nak lari. Kena hadap sahaja. Tapi lihat bagaimana dakwah mereka. Kalau kita baca cara Nabi Ibrahim berdakwah dengan bapanya, baginda panggil dengan panggilan lembut : ya abati….

Kita hanya boleh sampaikan sahaja. Kalau Nabi Muhammad  tidak boleh mengubah bapa saudaranya Abu Thalib, apatah lagi dengan kita?

Berlembut, berlembut, berlembut dengan mereka. Jangan kasar, jangan keras, jangan perli. Mereka itu darah daging kita, rapat dengan kita. Dalam hal lain kita bercampur dengan mereka. Makan minum bercuti dan segalanya. Tapi jangan campur majlis bidaah mereka. Itu sahaja. Jangan terus boikot mereka.

Kata ulamak: macam bunuh ular pukul dengan tongkat – ular mati, tongkat tak patah. Supaya bidaah mati, tapi hubungan kita dengan mereka masih terpelihara.
Maksudnya, supaya hubungan kita tetap ada dengan mereka. Kalau kita maki, marah dan hina mereka, lepas itu kita dah tak boleh dakwah dengan mereka (tongkat dah patah)

 

Soalan 18

Adakah pelaku bid’ah akan dikeluarkan dari neraka atau tinggal selamanya dineraka?

Jawapan Ustaz Azlizan Nueq:

Kalau bidaah bab amal ibadat, tauhid masih utuh, masih boleh dikeluarkan dari neraka.
Tapi kalau bidaah bab akidah, itu kekal dalam neraka.

(bidaah ada bab akidah, ada bab amal ibadat)

Bab Tauhid dalam Quran, jadi kena belajar semua ayat Quran 30 juzuk itu. Semua ada dalam Quran. Jadi kena belajar tafsir.

Dua perkara utama yang menyesatkan akidah manusia:
1. Syirik dalam berdoa
2. Syirik dalam ibadah

1. Disentuh dalam Surah-surah Hawamim (dimulakan dengan Haa miim). Dari Surah Ghafir ke Surah Ahqaf.
2. Disentuh dalam Surah Zumar.

Dalam pembelajaran Tafsir, ke lapan-lapan surah ini adalah penting dan perlu dihadam dahulu.

Allahua’lam

 

Soalan 19

Adakah benar zikir menundukkan syaitan dalam diri kita? Orang kata makanan dalam diri kita? Adakah mencukupi kalau kita sekadar membaca quran atau hanya berzikir sahaja?

Jawapan Ustaz Azlizan Nueq:

Pertamanya kalimah ‘zikir’ ini adalah luas sebenarnya. Baca Quran itu zikir, tasbih itu zikir, tahmid itu zikir, bercerita tentang Allah zikir dan macam-macam lagi. Secara umumnya, zikir itu melemahkan syaitan. Maksudnya, kalau kita ingat Allah, syaitan akan lemah untuk menipu kita. Kalau kita lupa Allah, dia akan datang balik.

Tapi tidak ada zikir-zikir tertentu yg disebutkan. Ada ajaran tarekat ajar zikir tutup liang roma di kulit (untuk menghalang syaitan masuk) ini adalah karut.

Allah sudah ajar isti’azah sebagai senjata kita. Nabi juga ajar Surah an-Nas sebagai doa kita menentang Syaitan. Dan yang paling penting – Ilmu. Tanpa ilmu, senang sahaja syaitan hendak menipu kita.

Kita mesti menjadi hamba kepada Allah – betul-betul tunduk kepada kehendak Allah, maka syaitan tidak ada berkuasa terhadap kita. Ini disebut dalam Hijr:42

إِنَّ عِبادي لَيسَ لَكَ عَلَيهِم سُلطانٌ إِلّا مَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الغاوينَ
Sesungguhnya hamba-hamba-Ku tidak ada kekuasaan bagimu terhadap mereka, kecuali orang-orang yang mengikut kamu, yaitu orang-orang yang sesat.

Allahu a’lam. Ini topik yang besar, harap saya dapat ringkaskan dalam tulisan yang pendek ini.

 

Soalan 20

Mohon pencerahan mengenai wuduk terbatal bila bersentuhan antara lelaki dan perempuan.

Jawapan Ustaz Azlizan Nueq:

Persoalan samada batal wudhuk atau tidak apabila bersentuhan lelaki dan wanita, adalah khilaf yang muktabar. Maksudnya khilaf antara mazhab dan masing-masing ada hujah dan dalil. Maka kita kena hormati pendapat. Tugas kita adalah melihat apakah hujah dan dalil mereka, dan kita pegang kepada satu keputusan yang kita yakin itulah yang paling kuat. Tapi kalau orang lain berpegang dengan pendapat yang lain, kita kena hormat.

Ringkasan pandangan Imam Mazhab
1. Ulama Mazhab Hanafi
– wudhu batal akibat bersentuhan dengan perempuan sewaktu jimak .
2. Ulama Mazhab Maliki dan Hambali
– wuduk batal dengan sebab bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan di saat ada rasa nikmat atau timbulnya ghairah nafsu.
3. Ulama Mazhab Syafie
– wudhu kedua belah pihak lelaki dan perempuan akan batal dengan hanya terjadi sentuhan kulit, meskipun tidak timbul nafsu.

Mazhab Syafie berdalil kpd ayat Nisa:43

أَو لامَستُمُ النِّساءَ
atau kamu menyentuh perempuan,

Maka, apabila sentuh wanita, wudhu batal dan kena ambil wudhu semula untuk solat.

Sedangkan mazhab lain, menggunakan dalil yg sama juga. Kerana kalimah لامَستُمُ adalah dalam wazan (structure) لامس dan bukan لمس. Kalau لمس، ia bermaksud ‘sentuh’. Tapi kalau لامس, ia bermaksud lebih lagi, iaitu ‘bersentuh-sentuhan’ iaitu sama nak sentuh lelaki dan perempuan dalam rasa syahwat, bukan sentuh nak pimpin dan sebagainya.

Dan pendapat itu dikuatkan lagi dengan hadis-hadis yg lain, contohnya,

Hadith riwayat Aisyah, menyebutkan,

“ketika Rasulullah hendak menunaikan solat, saya pernah duduk di hadapannya seperti jenazah, hingga apabila hendak witir Rasul menyentuh saya dengan kakinya.”
(HR an-Nasa’i. Ibnu Hajar mengatakan bahawa isnadnya shahih- Naulul Authan, Jilid1/hlm.196)

– hadis ini menunjukkan Nabi sentuh air semasa sedang solat. Kalau ianya membatalkan wudu, tentu Nabi tidak sentuh.

Hadith riwayat Aisyah juga yang menyatakan,

“pada suatu malam, saya mendapati Rasulullah saw tidak ada di atas alas tidur. Lalu saya mencarinya dan saya memegang telapak kakinya dengan tangan saya pada waktu baginda berada dalam masjid. Kedua kakinya itu di berdirikan (dalam keadaan sujud) dan baginda membaca,
‘ Ya Allah, aku berlindung dengan keridhaan-Mu dari kemurkaan-Mu. Aku berlindung dengan ampunan-Mu dari siksa-Mu, dan aku berlindung dengan-Mu dari ketidakmampuanku dalam memuji-Mu sebagaimana Engkau memuji Diri-Mu.'”
“HR Muslim,at-Tirmidzi, dan al-Baihaqi.AT-Tirmidzi menganggap hadith ini SHAHIH, ibid., dan lihat hadith ini dalam Nashbur Rayah, Jilid I, hlm. 70-75)

– Hadis ini juga menunjukkan Nabi disentuh oleh Aisyah. Kalau ia membatalkan wudhu, tentu Nabi sudah memberhentikan solat baginda, tapi tidak.

Dan ada lagi hadis-hadis lain sebagai penguat kepada pendapat ini.
Ulama mazhab Syafie juga tahu hadis-hadis ini, tapi mereka takwil dengan mengatakan sentuhan semua itu adalah ‘berlapik’. Tapi dijawab balik, tidak jelas yg mengatakan semua itu berlapik.

Imam Syafie berpendapat, susah hendak pastikan ada syahwat atau tidak masa bersentuh itu, jadi senangnya, terus sahaja menghukum ianya batal. Senang manusia hendak ikut.

Jadi ini adalah khilaf mazhab dan masing-masing ada dalil dan hujahnya. Terpulang untuk gunakan yang mana satu. Saya ingatkan yang kita berpegang kepada pendapat dan hujah (walaupun berlainan dengan mazhab yang kita biasa) bukanlah atas dasar ianya ‘senang’. Tapi atas dasar hujahnya lebih kuat. Kita tidak bermudah dalam agama. Tapi tidak perlu kita menyusahkan.

Komen dan Soalan