Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Nota 8 Kelas Tafsir – Surah AlFatihah – Ayat 4

Nota 8 Kelas Tafsir – Surah AlFatihah – Ayat 4

1269
0
Iklan

Kuliah Tafsir – Surah AlFatihah (Ayat 4)

مَٰلِكِ يَوْمِ الدِّينِ

Yang memiliki hari Pembalasan (hari Akhirat).

Kalimah: ‎مَٰلِكِ bermaksud ‘memiliki’. Dan apabila kita ‘mempunyai’, memiliki sesuatu benda, kita boleh buat apa sahaja kita hendak dengan benda itu, bukan? Sebab ianya adalah hak kita, bukan? Macam handphone saya punya, suka hati sayalah hendak buat apa, pakai, buang atau beri pada orang lain.

Tapi, kadangkala, kalau kita memiliki sesuatu pun, tidak semestinya kita boleh berbuat dengannya sesuka hati kita, bukan? Kadangkala ada halangan dalam kita menggunakannya. Contohnya, ada larangan undang-undang. Seperti kalau kita hendak ubahsuai rumah kita, kita kena dapatkan permit. Kalau kita ada pistol, bukan boleh kita tembak sesuka hati.

Kita juga tidak memiliki hak kita itu dengan ‘sempurna’. Kita tidak boleh arahkan benda yang kita miliki itu untuk buat apa yang kita hendak. Walaupun kita ada kereta dan kita boleh pakai kereta itu, tapi ada masanya ia rosak dan kita tidak boleh pakai waktu itu…tidak boleh suruh kereta itu hidup juga.

Ini semua adalah contoh ‘pemilikan’ manusia. Milik, tapi tidak sempurna.

Tapi apabila dikatakan Allah ‘memiliki’, Allah memiliki segalanya. Tidak sama pemilikan Allah dengan manusia. Allah ‘absolute’ kepunyaanNya. Itulah beza pemilikan Allah dan kita. Ini sesuai seperti firman Allah dalam ash-Shura:11

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ
Tiada sesuatu pun yang sebanding dengannya.

Maksudnya pemilikan kita tidak sama dengan pemilikan Allah. Kalau Allah kata Dia memiliki, memang Dia berkuasa penuh ke atas sesuatu itu. Maka Allah memang akan berkuasa penuh pada hari pembalasan nanti. Habis tentang kalimah مَٰلِكِ.

Maksud يَوْمِ: ianya adalah satu jangkamasa. Secara literal, ianya bermaksud ‘hari’. Tapi ia bukan hanya bermaksud ‘hari’ sahaja. Dalam penggunaan biasa, selalunya ‘yaum’ ini bermaksud ‘satu hari’. Tapi dalam penggunaan yang lebih luas, ianya lebih lagi. Ianya merangkumi masa dari sesaat sampai beribu-ribu tahun.

Yang dimaksudkan dengan يَوْمِ dalam ayat ini adalah Hari Pembalasan iaitu di Mahsyar nanti di mana perhitungan akan diberikan kepada manusia berdasarkan kepada apa yang mereka telah lakukan semasa di dunia. Firman Allah:

﴿يَوۡمَ يَقُومُ ٱلنَّاسُ لِرَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٦﴾ [المطففين]
“(Yaitu) hari (ketika) manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam”. (QS al-Muthafifin: 6).

Hari Pembalasan itu tidak diketahui berapa lamanya, dan sudah tentu tidak sama dengan hari kita semasa di dunia. Ianya adalah satu tempoh masa yang amat, amat lama. Ada beberapa pendapat tentang lamanya masa itu.

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: «يجمع الله الأولين والآخرين لميقات يوم معلوم قياما أربعين سنة شاخصة أبصارهم إلى السماء ينتظرون فصل القضاء» [أخرجه الطبراني]
“Allah akan mengumpulkan dari makhluk pertama hingga terakhir pada hari yang telah ditentukan, mereka berdiri selama empat puluh tahun seraya pandangannya tegak melihat ke langit menunggu Allah untuk memutuskan perkara..”. HR ath-Thabarani 9/357 no: 9763. Dinilai shahih oleh al-Albani dalam shahih Targhib wa Tarhib 3/418 no: 3591.

Dan ada lagi pendapat lain tentang beza waktu itu. Apa pun yang pasti ianya adalah masa yang amat, amat lama. Dan memang tidak boleh hendak buat apa melainkan tunggu sahaja kerana hanya Allah sahaja yang berkuasa pada waktu itu. Dan keadaan waktu itu amat mengerikan seperti sabda Nabi:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: «يَقُومُ أَحَدُهُمْ فِى رَشْحِهِ إِلَى أَنْصَافِ أُذُنَيْهِ» [أخرجه البخاري و مسلم]
“Salah seorang diantara mereka berdiri dengan keringatnya yang sampai separuh telinganya“. HR Bukhari no: 6531. Muslim no: 2862.

Maksud الدِّينِ. Banyak makna yang boleh diambil dari perkataan ini. Ianya adalah satu perkataan yang mengandungi banyak makna. Dalam Qur’an, ada 4 makna الدِّينِ yang berbeza mengikut konteks ayat:

* agama
* pembalasan (seperti maksud dalam ayat ini).
* ibadah
* doa

 

Kita boleh lihat bagaimana satu perkataan mempunyai beberapa makna, maka kena sesuaikan dengan makna ayat. Apabila tidak belajar, maka ada yang salah faham dan mengatakan yaumiddeen itu ‘Hari Agama’. Itu adalah tidak tepat. Memanglah salah satu dari maksud ‘الدِّينِ’ adalah ‘agama – cara hidup’, tapi tidaklah maksud itu yang di pakai dalam ayat ini.

Oleh itu, maksud ‘الدِّينِ’ dalam surah Fatihah ini adalah ‘pembalasan’ – retribution. Itulah kepentingan belajar kerana kalau tidak belajar, ada kemungkinan kita akan salah faham.

Saya pernah ditanya, apakah maksud Allah apabila Dia kata yang Dia memiliki/menguasai Hari Pembalasan? Adakah Hari itu sahaja? Bagaimana dengan dunia sekarang, adakah Allah tidak miliki? Kenapa Allah tidak sebut semua sekali, kenapa hanya sebut Hari Pembalasan sahaja?

Apabila Allah berkata bahawa Dia memiliki Hari Pembalasan, bukanlah ini menyatakan Dia hanya berkuasa pada hari itu sahaja. Jangan kita salah faham pula. Memang ada yang salah faham apabila membaca ayat ini. Allah maha berkuasa pada waktu-waktu lain juga, termasuklah hari dunia sekarang. Kerana banyak disebut dalam ayat-ayat yang lain, bahawa Allah berkuasa ke atas keseluruhan alam.

Tapi pada ayat ini, diberikan penekanan kepada kekuasaan Allah kerana pada Hari Pembalasan ini, kerana tidak ada seorang pun yang dapat mengatakan sesuatu apa pun dan tidak juga dapat berbicara kecuali dengan izinNya. Bermaksud, pada hari itu, amat jelas kepada semua makhluk bahawa yang maha berkuasa pada hari itu hanyalah Allah sahaja. Nak bercakap pun tak boleh tanpa izin Allah.

Waktu itu jelas dengan sejelas-jelasnya yang tidak ada yang berkuasa lagi waktu itu melainkan Allah. Kalau di dunia sekarang, mungkin ada yang ada rasa-rasa macam dia berkuasa, mungkin dia seorang Perdana Menteri, mungkin dia seorang Presiden atau sebagainya, jadi dia ada rasa macam dia berkuasa.

Sebenarnya, dia tidak berkuasa mana pun, kerana kekuasaan sebenar adalah pada Allah. Tapi, pada hari pembalasan nanti, tidak ada sesiapa pun yang akan ada rasa pun yang mereka ada kuasa. Jadi, Allah tekankan perkara itu dalam ayat ini. Allah berfirman dalam Ghafir:16

يَوْمَ هُم بَارِزُونَ لَا يَخْفَىٰ عَلَى اللَّهِ مِنْهُمْ شَيْءٌ لِّمَنِ الْمُلْكُ الْيَوْمَ لِلَّهِ الْوَاحِدِ الْقَهَّارِ
Iaitu hari mereka keluar (dari kubur masing-masing) dengan jelas nyata; tidak akan tersembunyi kepada Allah sesuatupun dari hal keadaan mereka. (Pada saat itu Allah berfirman): “Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini? (Allah sendiri menjawab): “Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang Mengatasi kekuasaanNya segala-galanya!

Jadi, dari makna Maaliki yaumiddin ini, kita diingatkan tentang kekuasaan Allah setiap kali kita membaca ayat ini, lebih-lebih lagi dalam solat. Oleh itu, seeloknya kita memberi perhatian semasa membaca ayat ini. Apabila kita faham maksud ayat ini, maka ianya akan memberi kesan yang mendalam ke dalam hati kita. Kita diingatkan setiap kali kita membaca ayat ini tentang Hari Kiamat dan Hari Pembalasan di Mahsyar nanti. Kita semua sudah tahu yang kita akan terpaksa menghadapi hari itu samada kita mahu atau tidak, dan Allah mengingatkan berkali-kali kepada kita. Sabda Nabi:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: «لو تعلمون ما أعلم لضحكتم قليلا ولبكيتم كثيرا وما تلذذتم بالنساء على الفرش ولخرجتم إلى الصعدات تجأرون إلى الله » [أخرجه الترمذي]
“Kalau sekiranya kalian mengetahui seperti apa yang aku ketahui, pasti kalian akan sedikit tertawa dan banyak menangis, enggan untuk (terus) bersenang-senang dengan isterinya, dan akan keluar untuk mendaki memohon pertolongan kepada Allah”. HR at-Tirmidzi no: 2312. beliau berkata hasan ghorib. Dari sahabat Abu Dzar radhiyallahu ‘anhu. Dinyatakan hasan oleh al-Albani dalam shahih sunan at-Tirmidzi 2/268 no: 1882.

Kalau kita tidak mahu susah pada hari itu, maka kenalah kita memperbaiki diri kita semasa di dunia lagi. Kerana pada hari itu, tidak ada harapan kita melainkan kita mengharapkan kepada Allah sahaja, kerana hanya Allah sahaja yang menguasai hari itu. Maka taatlah kepada Allah. Lihat hadis ini:

قال رسول وقد التقم القرن واستمع الإذن متى يؤمر بالنفخ فينفخ فكأن ذلك ثقل على أصحاب النبي صلى الله عليه و سلم فقال لهم قولوا حسبنا الله صلى الله عليه وسلم: «كيف أنعم وصاحب القرن الله ونعم الوكيل على الله توكلنا » [أخرجه الترمذي]
“Bagaimana bisa aku merasa tenang sedangkan pemilik sangkakala (malaikat) sudah memegangnya dan siap-siap menunggu perintah kapan dibolehkan untuk ditiup”. Mendengar hal tersebut, para sahabat merasa khawatir, maka Nabi berkata: “Ucapkanlah oleh kalian; Cukup bagi kami Allah sebaik-baik tempat kami bersandar, dan kepadaNya kami bersandar”. HR at-Tirmidzi no: 2431. Beliau mengatakan hadits hasan.

Waktu itu tidak ada lagi yang berkuasa. Sikit pun tidak ada. Mungkin ada yang ingat ada yang boleh tolong. Kalau agama lain, mereka ingat tuhan mereka seperti Buddha, Vishnu, Jesus akan tolong mereka nanti apabila mereka sudah mati. Kalau kita dalam agama Islam ini, ada yang sangka pujaan-pujaan mereka seperti Sheikh Abdul Qadir, Nabi itu dan ini, guru mereka yang mereka anggap wali dan sebagainya akan membantu mereka.

Itulah salah pemahaman pada mereka. Bagaimana mereka boleh tolong, sedangkan mereka sendiri tidak ada kuasa waktu itu? Mereka juga kena duduk di hadapan Allah dan dinilai perbuatan-perbuatan mereka. Mereka juga ada masalah mereka masing-masing. Mereka juga akan risaukan nasib diri mereka sendiri, tidak sempat nak memikirkan keadaan diri orang lain dah. Tidak ada yang berkuasa pada hari itu melainkan Allah SWT sahaja.

Maka, janganlah kita tertipu dengan ajaran-ajaran yang mengatakan kalau ikut ini, ikut orang itu, akan selamat. Tidak sama sekali. Tidak ada sesiapa yang dapat menolong kita pada waktu itu melainkan amalan kita semasa di dunia sahaja. Kita kena bergantung kepada diri kita sendiri.

Ayat ini menyentuh tentang Hari Kiamat tapi tidak disebutkan dengan panjang lebar. Semua kita tahu secara kasar tentang apakah yang akan terjadi pada hari itu. Tafsir bagi ayat ini ada pada keseluruhan Juzu’ 30. Juz 30 itu banyak menceritakan tentang hari Kiamat itu nanti. Tentang bagaimanakah keadaannya, apa yang akan terjadi, siapa yang selamat dan siapa yang tidak dan banyak lagi. Jadi, ayat maaliki yaumiddin ini menyebut tentang hari itu, tapi untuk mendapatkan maklumat yang lebih lagi, kenalah dirujuk kepada ayat-ayat yang lain. Ianya seperti ayat maaliki yaumiddin ini adalah seperti ‘isi kandungan’ sesebuah buku. Bukankah selalu dalam sesebuah buku, di helaian-helaian terawal, ditulis isi kandungan buku itu? Kita telah sebut di awal tafsir Surah Fatihan ini yang surah ini adalah ‘executive summary’ kepada keseluruhan Quran, bukan?

Hari Kiamat adalah satu perkara yang amat penting dalam Islam. Sampaikan, banyak kali dalam Quran, selepas disebut tentang beriman kepada Allah, kemudiannya terus disebut beriman kepada hari akhirat. Oleh itu, kita kena tahu apakah yang terjadi dalam hari kiamat. Banyak disebut tentang kejadian hari itu dalam Quran. Begitu juga ada banyak disebut dalam hadis. Terlalu panjang kalau hendak disebut disini. Kena belajar tafsir tentang ayat-ayat berkenaan syurga dan neraka.

Apakah hubungan ayat ini dengan ayat sebelumnya? Dalam ayat sebelum ini, Allah menyebut dua sifatNya: ar-Rahman dan ar-raheem. Itu adalah sifat Allah yang utama, iaitu Allah menyebut tentang belas kasihanNya kepada makhlukNya.

Kemudian selepas Allah menyebut dua sifatNya itu, terus Allah memperkenalkan sifat DiriNya yang maha berkuasa pada hari kiamat nanti. Memang Allah bersifat belas kasihan, tapi walaupun begitu, umat akan berada dalam ketakutan juga pada hari Kiamat itu. Kerana, sifat Allah bukan hanya belas kasihan sahaja, tapi ada sifat- sifat Allah lain yang keras. Hari kiamat masih lagi satu kejadian yang amat menakutkan. Lebih-lebih lagi kepada orang kafir. Kepada orang mukmin pun akan rasa takut yang amat juga. Kerana Hari Kiamat itu adalah keadaan yang amat-amat menakutkan.

Kita yang orang Islam ini pun belum tahu nasib kita macam mana. Jangan kita berharap semata kepada sifat Rahman dan Raheem Allah itu sampai kita senang hati sangat.

Jadi, ada dua konsep yang kita kena pegang dan ingat sentiasa. Iaitu khauf (takut) dan raja’ (mengharap). Apabila kita baca ayat maalikiyaumiddin, kita akan rasa takut. Tetapi apabila kita baca ayat ar-Rahman ar-raheem, kita berharap kepada sifat belas kasih Allah.

Dua-dua elemen ini kena ada dalam kehidupan kita. Kena seimbang. Kalau kita raja’ sahaja, kita tidak takut buat dosa kerana kita akan rasa yang Allah akan ampun segala dosa kita.

Kalau kita khauf sahaja, kita tidak boleh menjalani kehidupan dengan baik kerana takut sahaja, nak buat apa pun tidak berani. Itu tidak seimbang. Kita kena pandai seimbangkan dua-dua perasaan itu. Ianya ibarat dua sayap. Kalau salah satu sayap terlebih kuat, burung tidak dapat terbang.

Memang Allah bersifat Maha pengampun dan Maha pemaaf. Tapi Allah juga boleh membalas. Allah adalah Maaliki Yaumuddin. Allah berkuasa untuk menghukum. Allah berkuasa untuk menghukum dengan hebat sekali. Jadi jangan kita rasa senang diri. Jangan buat dosa kerana kita ingat hanya sifat Allah yang maha pengampun.

 

Allahu’alam.

 

Komen dan Soalan