Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadith 53: Saranan Bercelak Tanpa Perkataan Ketika Tidur

Hadith 53: Saranan Bercelak Tanpa Perkataan Ketika Tidur

149
0
Iklan

Panel: UstazADÖULINÉ Lacharouphe

53 – حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ الْمُسْتَمِرِّ الْبَصْرِيُّ، قَالَ: حَدَّثَنَا أَبُو عَاصِمٍ، عَنْ عُثْمَانَ بْنِ عَبْدِ الْمَلِكِ، عَنْ سَالِمٍ، عَنِ ابْنِ عُمَرَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «عَلَيْكُمْ بِالْإِثْمِدِ، فَإِنَّهُ يَجْلُو الْبَصَرَ وَيُنْبِتُ الشَّعْرَ».

53- Telah bercerita kepada kami Ibrahim bin Al-Mustamirr Al-Basriy, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Abu `Asim, daripada `Usman bin `Abdi l-Malik, daripada Salim, daripada Ibni `Umar, dia berkata: Telah berkata Rasulu Llah: «Hendaklah kamu menggunakan antimoni, maka sesungguhnya ia mencerahkan penglihatan dan menumbuhkan bulu».

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini merupakan ulangan untuk hadis kelima puluh satu, dengan sedikit perbezaan pada lafaz matannya, iaitu tiada perkataan (عِنْدَ النَّوْمِ) ketika tidur. Dengan tiada lafaz ini, bagi sesetengah pihak, ia mungkin mengubah maksud hadis ini, iaitu mereka berpendapat bahawa celak ismid ini dipakai pada bila-bila masa sahaja, tidak terhad kepada masa tidur sahaja. Walau bagaimanapun, bagi sesetengah pihak yang lain, walaupun tidak disebut “ketika tidur”, tetapi ia diterangkan oleh faktor lain di luar teks, iaitu (الْعُرْفُ) `uruf, atau adat kebiasaan kerana kebiasaan orang `Arab ketika itu memakai celak ketika tidur.

Apabila dalam teks Melayu – atau dalam percakapan masyarakat – disebut “Emak memasak nasi”, secara teksnya, boleh difahami bahawa yang dimasak ialah nasi, iaitu emak menggunakan nasi sebagai bahan masakan, contohnya untuk memasak nasi goreng. Namun, secara `adatnya, yang dimaksudkan dengan memasak nasi ialah beras, iaitu emak merebus beras sehingga ia menjadi nasi yang boleh dimakan.

Justeru, apabila berlaku perbezaan pendapat dalam memahami sesuatu teks sama ada Al-Qur’an, hadis, atau asar, maka kita hendaklah kembali kepada `uruf atau `adat masyarakat `Arab zaman tersebut, agar kita tidak tersalah faham teks sehingga menyesatkan kita. Contohnya, apabila kita membaca Al-Qur’an, terdapat ayat berikut:

وَجَاءَتْ سَيَّارَةٌ

Dan telah datang sayyarah [Yusuf: 19]

Semua penuntut ilmu yang belajar bahasa `Arab tahu bahawa sayyarah bermaksud kereta. Tetapi, dalam ayat Al-Qur’an ini, ia bukan bermaksud kereta, kerana pada zaman itu, kereta belum lagi dicipta. Jadi secara `urufnya, diketahuï bahawa sayyarah dalam ayat tersebut bukan bermaksud kereta.

Di dalam Tafsir Al-Jalalayn, tafsir bagi ayat ini disebut sebagai:

مُسَافِرُونَ مِنْ مَدْيَنَ إلَى مِصْرَ

Para musafir dari Madyan ke Mesir.

Justeru, sayyarah di dalam ayat ini bukanlah suatu benda, tetapi sekumpulan orang yang dalam perjalanan. Ia bermakna (الْقَافِلَةُ) qafilah atau pengembara yang biasanya bergerak dari satu tempat ke satu tempat untuk tujuan berniaga.

Justeru, di dalam kitab Asy-Syama`il ini, Imam At-Tirmizi mengumpulkan beberapa hadis yang maksudnya sama, tetapi terdapat perbezaan lafaz di sana dan di sini. Ini bertujuan untuk mendapatkan gambaran am terhadap isi kandungan dan pemahaman hadis, kerana apabila hadis-hadis itu dikumpulkan, ia dapat saling menjelaskan dan dapat saling melengkapkan, justeru, membolehkan sesuatu hadis itu difahami dengan benar.

Marilah kita berusaha memahami teks agama kita – iaitu Al-Qur’an dan as-sunnah – dengan kefahaman yang benar, iaitu kefahaman yang dimiliki oleh Rasuli Llah, para khalifahnya yang empat, para sahabatnya, serta generasi yang awal.

*******
*******
*******

.

Komen dan Soalan