Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Kelas 1: Istiaazah الإستاذة

Kelas 1: Istiaazah الإستاذة

352
0
Iklan

Panel : Ustaz Azlizan Nueq

بسم الله الرحمن الرحيم
إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنًسْتَعِيْنُهُ وَنًسْتَغْفِرُهْ وَنًعُوذً ِبِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللهَ، وَخَيْرَ الهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَشَرَّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلَّ مُحْدَثَةٍ ِبِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَكُلَّ ضَلاَلَةٍ فِي النَّارِ.

سُبْحَانَكَ لاَ عِلْمَ لَنَا إِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي
وبعد

Assalamualaikum…. Kita mulakan kelas kita yang pertama hari ini. Semoga Allah beri kefahaman kepada kita, ameen….

Kelas 1: Istiaazah الإستاذة

Pengenalan:
Assalamualaikum, kita mulakan kelas kita dengan بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ.

b. Ini adalah kelas pengenalan dan kita mulakan dari basic sekali… iaitu ucapan istiaazah. Kemudian kita akan belajar basmalah, kemudian surah Fatihah, kemudian Baqarah dan seterusnya. Mungkin selepas kita habis tafsir Surah Fatihah, saya akan selitkan dengan usul-usul tafsir. Antara lain, saya akan sentuh kepentingan belajar tafsir Quran.

c. Saya terpaksa menggunakan terma-terma yang biasa digunapakai, dan jikalau ada terma yang tidak difahami, sila tanya terus.

d. Betulkan niat kita untuk ikhlas belajar KalamNya. In sha Allah, akan dipermudahkan.

e. Saya insan yang lemah dan banyak kekurangannya. Jadi, maafkan jikalau ada kekurangan atau kesilapan di mana-mana. Sila tegur jikalau ada kesilapan.

Bermula bab Istiaazah – meminta perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang direjam. Ada juga yang menggunakan terma: Ta’awudh. Ianya adalah terma yang sama.

Ketahuilah bahawa Islam ada solusi kepada segala keperluan hidup. Islam juga mengajar kita menjaga maslahah dalam kehidupan kita. Dan Islam juga mengajar untuk mempertahankan diri kita dari musuh.

Banyak musuh kita sebenarnya: Nafsu, syaitan, orang kafir, dan sebagainya. Dan kerana iblis adalah musuh kita yang paling besar, maka Allah ajar kita macam mana nak lawan iblis dan bala tenteranya (jin). Syaitan akan sentiasa mengganggu kita dan membisikkan kepada kita untuk melakukan perkara yang berdosa. Dan kita tidak boleh lawan syaitan macam kita lawan benda lain: kita tidak boleh halau dia, tidak boleh bina badan untuk lawan dia, tidak ada pil vitamin untuk protect diri kita dari syaitan, tidak ada amalan zikir yang boleh dibaca beribu-ribu kali untuk tutup liang roma kita dari dimasuki syaitan (ada amalan tarekat sebegini). Syaitan itu adalah ibarat anjing yang menyalak kita… kita halau dia banyak kali pun, dia akan menyalak kita sahaja. Maka, cara paling mudah adalah dengan panggil tuan dia, dan suruh tuan dia yang panggil dia. Ingatlah yang syaitan itu juga ada tuan, iaitu Allah. Maka, Allah dah ajar kita untuk meminta kepadaNya untuk menghalau syaitan itu.

Pertama, hendaklah kita tahu bahawa Iblis dan anak cucunya syaitan dalam bentuk jin adalah musuh kita yang paling besar. Bukan nafsu dan bukan diri kita sendiri. Kerana keinginan kita bukannya dosa semuanya. Sebagai contoh, semua kita ada nafsu makan dan kalau kita memuaskan nafsu makan dengan cara yang halal, itu tidak salah, malah akan mendatangkan pahala. Sedangkan iblis dan bala tenteranya syaitan dari kalangan jin, tidak ada apa-apa kebaikan langsung dari mereka. Mereka hanya menyuruh kita melakukan keburukan dan dosa sahaja.

Perkataan ‘syaitan’ berasal dari lafaz syathana yang bermaksud ‘jauh’. Iaitu syaitan itu jauh dari rahmat Allah.

Iblis adalah nama salah satu jin yang jahat. Nama asal dia adalah ‘iblis’ tapi kemudian Allah namakan dia syaitan kerana sifatnya- rujuk ayat 36 Baqarah. Dalam surah Baqarah itu, asal namanya disebut Iblis, dan apabila Iblis tidak mahu sujud, nama yang digunakan telah ditukar kepada ‘syaitan’, padahal masih berkenaan entiti yang sama, tapi sudah disebut ‘syaitan’.

Maka, syaitan adalah nama sifat. Sesiapa yang mengajak kepada dosa, dipanggil ‘syaitan’, tidak kira jin atau manusia. Bukan semua jin adalah syaitan kerana ada jin yang Islam seperti yang kita tahu. Oleh itu, Iblis bukanlah malaikat seperti yang dianggap oleh sesetengah orang (kerana keliru), kerana perkara ini telah disebut dalam Kahf:50. Dengan jelas, ayat itu mengatakan bahawa Iblis itu adalah jin. Dulu iblis banyak melakukan ibadat sampaikan Allah meletakkan dia dalam kalangan malaikat. Tapi dia adalah bangsa jin. Maka jangan kita katakan iblis itu asalnya adalah malaikat. Pemahaman yang iblis itu asalnya malaikat adalah dari fahaman agama Kristian. Mereka menggunakan istilah ‘fallen angel’ kepada iblis. Ini adalah salah.

Azazil bukan nama yang diberikan dalam Islam. Itu adalah nama dari sumber bisrailiyat dan tidak boleh dijadikan hujah. Maka kita pakai sahaja namanya Iblis.

Bila kita melakukan Istiaazah, kita minta perlindungan dari syaitan yang dalam bentuk jin. Lafaz yang biasa digunakan adalah A’udzubillahiminasysyaithonirrajim. أعوذ باالله من الشيطان االرجيم. Jadi, ada banyak penggunaan istiaazah ini, antaranya sebelum masuk tandas, hubungan kelamin antara suami isteri dan sebagainya. Ada doa-doa khusus yang Nabi ajar sebagai amalan dalam kehidupan kita seharian. Lafaz istiaazah untuk setiap keadaan itu berbeza-beza. Panjang kalau dibincangkan di sini kerana topik kita adalah tentang tafsir Quran sahaja.

Allah ajar kita membaca Istiaazah dalam 4 ayat dalam Quran:

1. A’raf:200

2. Fussilat 34 – 36

3. Mukminuun 94 – 98

4. Nahl 98. Ini adalah perbincangan kita pada hari ini kerana kita belajar tafsir dan akan membaca Qur’an. Allah berfirman dalam ayat itu:

فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam.

Surah Nahl itu adalah tentang membaca istiaazah apabila membaca Quran. Maka, setiap kali kita membaca Qur’an, hendaklah kita membaca istiaazah ini. Tujuan kita membaca istiaazah ini adalah supaya Allah melindungi kita daripada salah faham dengan ayat-ayat Qur’an. Ini adalah masalah besar kepada orang Islam. Ada yang tidak belajar tafsir dengan benar, maka mereka ada salah faham dengan maksud dan tafsir ayat Qur’an. Ada yang buat faham-faham sendiri dan ada juga yang salah belajar sampaikan mereka diajar fahaman yang salah. Fahaman salah itu dibisikkan oleh syaitan dan kerana itu kita kena mohon perlindungan dari Allah.

Kita mohon kepada Allah untuk menyelamatkan kita dari dugaan ini. Kita tidak mahu diberikan dengan fahaman yang salah. Kerana amatlah buruk sekali kalau kita salah faham dengan Qur’an.

Perkataan أَعُوذُ adalah istiaazah iaitu meminta perlindungan dan berharap dan Allah tidak meninggalkan sedikit pun perlindungan itu. Kerana kalau kita ditinggalkan, kita akan susah. Kita mengucapkan istiaazah apabila kita meminta perlindungan Allah dari sesuatu yang tidak dapat dilihat. Apabila kita mengucapkannya, bermaksud kita menyerahkan diri kita dalam perlindungan Allah semata-mata.

Ada mufassir yang mengatakan yang kita bukan lagi ‘meminta’ perlindungan dari Allah, tapi kita meletakkan diri kita dalam perlindungannya – bukan nak minta-minta lagi. Sebagai contoh, kalau kita sedang lapar hampir kematian, tiba-tiba kita jumpa orang yang ada kemampuan untuk beri kita makan. Adakah kita minta-minta biasa sahaja, atau kita terus meminta sampai orang itu beri kita makan? Tentu kita akan terus minta dan meminta, bukan? Kalau dia mula-mula tidak beri pun, kita akan minta lagi kerana kita tidak ada tempat lain lagi untuk meminta. Begitulah pengharapan kita dengan Allah dalam istiaazah ini. Jangan kita minta main-main sahaja, tapi hendaklah kita tahu bahawa kita sedang meminta kepada yang boleh menolong dan memberi perlindungan kepada kita dan kita tidak ada harapan lain lagi. Bukannya kita boleh minta kepada selain Allah, bukan?

Sekian sahaja kelas permulaan tafsir kita pada hari ini. Semoga Allah memberi kelapangan dan taufik kepada kita semua untuk meneruskan dengan kuliah yang seterusnya. Aamin.

Kita tutup dengan tasbih kaffarah. Assalamualaikum.

Komen dan Soalan