Panel: BroSyarief
asSalaamu ‘alaikum semua.
Kita telah selesai membincangkan bahagian sebab-sebab timbulnya hadits-hadits palsu sama ada yang disengajakan atau tidak disengajakan.
Apapun, perbincangan tentang hadits palsu masih panjang. Seterusnya, nota-nota akan mengupas tanda-tanda bukti bagi mengenal hadits palsu yang digunakan oleh para ulama.
Nota akan dibahagikan kepada 3 atau 4 bahagian, harap dapat baca dengan teliti dan fahami.
Semoga bermanfaat..
#BroSyariefShares
#130616 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits
02.10.01 Hadits al-Mardud (المردود) Kategori Kritikan pada Periwayat (الطعن في الراوي) – Persoalan Hadits Palsu
#NotaBroSyarief #AsasIlmuHadits #UiTOBilik40
Susunan: BroSyarief
TANDA-TANDA BUKTI HADITS PALSU (Bhg. 01)
01 Pengakuan Pemalsu Hadits akan Pemalsuan yang Dilakukannya (إقرار واضع الحديث بوضعه)
Tanda ini adalah bukti yang paling kuat kerana ianya jelas, kerana kaedah menyebutkan ‘الإعتراف سيد الأدلة’ yang bermaksud ‘Pengiktirafan/pengakuan adalah ketua segala bukti’.
Contohnya adalah pengakuan Abu ‘Ismah ibn Abi Maryam di mana dia mengaku telah mencipta hadits panjang berkaitan fadhilat-fadhilat al-Quran bagi setiap surah, dan disambungkan sanadnya kepada Ibn ‘Abbas.
al-Imam al-Bukhari pula menukilkan dari salah seorang pemalsu hadits, ‘Umar ibn Subh, di mana dia menyebutkan,
أَنَا وَضَعْتُ خُطْبَةَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
‘Aku telah mencipta hadits palsu berkenaan khutbah Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam’
[at-Taarikh as-Soghir]
02 Pengakuan Bermasalah oleh Periwayat
Terdapat dua keadaan untuk kes ini,
i. Seorang periwayat meriwayatkan hadits dari seorang guru. Kemudian periwayat itu ditanyakan (oleh ulama hadits lainnya) tentang tarikh lahirnya, lalu dia menyebutkan tarikh lahirnya, yang diyakini bahawa guru tadi meninggal sebelum tarikh dia dilahirkan.
Seperti apa yang berlaku kepada Makmun ibn Ahmad al-Harawi apabila dia mendakwa mendengar langsung dari Hisyam ibn ‘Ammar. Lalu Ibn Hibban bertanya kepadanya tentang bila dia memasuki tanah Syam (untuk meriwayatkan dari Hisyam)? Dia menjawab: (Aku masuk ke syam pada) Tahun 250H.
Ibn Hibban lantas berkata,
فإن هشام بن عمار الذي تروي عنه مات في سنة خمس وأربعين ومائتين
Sebenarnya Hisyam ibn ‘Ammar yang engkau riwayatkan daripadanya meninggal pada tahun 245H
[al-Majruhin]
ii. Begitu juga apabila seorang periwayat mendakwa dia mendengar langsung dari seorang guru di negeri sekian, dan diketahui secara yakin bahawa guru tersebut belum pernah sampai ke negeri tersebut.
Seperti apa yang berlaku kepada Suhayl ibn Zakwan, di mana dia menyebutkan: ‘Aku bertemu ‘Aisyah di Wasith’. Kemudian az-Zahabi menyebutkan,
وهكذا يكون الكذب فقد ماتت عائشة قبل أن يخط الحجاج مدينة واسط بدهر
‘Beginilah berlakunya pembohongan, Aisyah telah meninggal setahun lamanya sebelum para hujjaj menjejak kaki di kota Waasith’
[Lisan al-Mizan]
03 Terkenalnya Periwayat itu dengan Pembohongan
Apabila wujud seorang periwayat yang memang terkenal sebagai pencipta hadits palsu di dalam sanad satu-satu hadits, ianya bukti jelas bahawa hadits itu palsu. Antaranya adalah Makmun ibn Ahmad al-Hirawi.
Ditanyakan kepada dia: Apa pendapatmu tentang asy-Syafie dan pengikutnya di Khurasan?
Lalu dia menjawab (dengan sanadnya): Telah menceritakan kepada kami Ahmad ibn Abdullah (al-Juwaybaari – juga seorang pemalsu hadits), dari ‘Abdullah ibn Mi’dan al-Azdiy, dari Anas, secara marfu’, (kononnya Nabi bersabda:)
يَكُونُ فِي أُمَّتِي رَجُلٌ يُقَالُ لَهُ مُحَمَّدُ بْنُ إِدْرِيسَ ، أَضَرُّ عَلَى أُمَّتِي مِنْ إِبْلِيسَ
“Akan ada dari kalangan umatku seorang lelaki yang dipanggil Muhammad ibn Idris, yang mana dia lebih mudarat kepada umatku berbanding Iblis”
[Fathul Mugits]
WalLaahu a’lam
Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.
#BroSyariefShares