Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 50: Sunnah Bercelak Ketika Tidur

Hadis 50: Sunnah Bercelak Ketika Tidur

500
0
Iklan

بَابُ مَا جَاءَ فِي كُحْلِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Bab: Apa yang datang berkenaan celak Rasuli Llah

*******
*******
*******

50 – حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ الصَّبَّاحِ الْهَاشِمِيُّ الْبَصْرِيُّ، قَالَ: حَدَّثَنَا عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ مُوسَى، قَالَ: حَدَّثَنَا إِسْرَائِيلُ، عَنْ عَبَّادِ بْنِ مَنْصُورٍ (ح) وَحَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ حُجْرٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ، قَالَ: حَدَّثَنَا عَبَّادُ بْنُ مَنْصُورٍ، عَنْ عِكْرِمَةَ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَكْتَحِلُ قَبْلَ أَنْ يَنَامَ بِالْإِثْمِدِ ثَلَاثًا فِي كُلِّ عَيْنٍ. وَقَالَ يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ فِي حَدِيثِهِ: إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَتْ لَهُ مُكْحُلَةٌ يَكْتَحِلُ مِنْهَا عِنْدَ النَّوْمِ ثَلَاثًا فِي كُلِّ عَيْنٍ.

50- Telah bercerita kepada kami `Abdu Llah bin As-Sabbah Al-Hasyimiy Al-Basriy, dia berkata: Telah bercerita kepada kami `Ubaydi Llah bin Musa, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Isra’il, daripada `Abbad bin Mansur (H) Dan telah bercerita kepada kami `Aliy bin Hujr, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Yazid bin Harun, dia berkata: Telah bercerita kepada kami `Abbad bin Mansur, daripada `Ikrimah,

daripada Ibni `Abbas, dia berkata: Rasulu Llah telah bercelak sebelum dia tidur dengan antimoni dengan tiga pada setiap mata. Dan berkata Yazid bin Harun dalam ceritanya: Sesungguhnya Nabi, dia mempunyaï bekas celak yang dia bercelak daripadanya ketika tidur dengan tiga pada setiap mata.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini menceritakan tentang masa Rasulu Llah bercelak, iaitu sebelum dia tidur. Dan dia bercelak sebanyak tiga kali di setiap mata. Bercelak sebelum tidur, bermakna ia bukanlah perhiasan untuk ditayangkan atau ditonjolkan kepada orang ramai, sebagaimana ramai yang bercelak dewasa ini. Ini kerana, tujuan bercelak, sebagaimana yang disebut sebelum ini, adalah kerana faedahnya untuk diri sendiri apabila dipakai ketika tidur.

Secara kimia, hal ini boleh dikaji secara empirikal, iaitu kajian bagaimanakah kesan penggunaan celak – yang mengandungi antimoni – semasa tidur terhadap penglihatan dan pertumbuhan rambut. Seterusnya, dibuat perbandingan dengan penggunaan celak semasa siang hari. Subjek yang tidak menggunakan celak pula dijadikan sebagai kawalan.

Mendalami hadis dan sunnah sebenarnya mampu menggerakkan ummah ke arah ummah yang berfikir dan maju dari segi saintifik. Ini kerana setiap kita beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Setiap kita percaya bahawa Allah dan Rasul-Nya tidak menipu dan tidak berdusta. Justeru, setiap apa yang disebut oleh Allah dan Rasul, ia boleh dibuktikan secara saintifik jika kajian dibuat secara bersungguh-sungguh.

Menerima dan beriman, itu satu kewajiban bagi setiap kita. Namun, mempelajari, mengkaji dan cuba memahami secara saintifik, ia ialah peringkat yang perlu diterokaï oleh umat Islam, agar pembuktian itu nanti menjadi satu ayat – bukti dan tanda kekuasaan – daripada Tuhan terhadap kebenaran ajaran Islam.

Dalam hadis ini disebut perkataan Yazid bin Harun bahawa Nabi mempunyaï (مُكْحُلَةٌ) mukhulah, iaitu bekas celak. Perkataan Yazid ini disebut kerana ia berkaitan dengan hadis utama yang menyebut tentang bercelak ketika hendak tidur sebanyak tiga kali pada setiap mata.

Dalam ilmu hadis, para perawi hadis kadang-kadang membawakan beberapa sokongan terhadap hadis yang disampaikan. Sokongan ini boleh berupa ayat Al-Qur’an yang menjelaskan atau menyokong hadis yang disampaikan, boleh juga berbentuk hadis yang lain, atau khabar dan asar yang disampaikan oleh para sahabat, tabi`in dan tabi` tabi`in.

Sokongan terhadap hadis ini menjelaskan contohnya perkataan (قَبْلَ أَنْ يَنَامَ) sebelum dia tidur dengan (عِنْدَ النَّوْمِ) ketika tidur. Maksudnya, ia dilakukan apabila Nabi ingin masuk tidur. Penerangan ini dapat digunakan untuk menafikan perbuatan seseorang yang bercelak 3 jam sebelum tidur, atau pada waktu pagi, kerana ia bukanlah “sebelum tidur” seperti yang dijelaskan oleh lafaz yang satu lagi. Begitu juga, penerangan ini menafikan mencelakkan orang yang sedang tidur, kerana “ketika tidur” bermaksud sebelum tidur. Perkataan (يَكْتَحِلُ مِنْهَا) yang dia bercelak daripadanya menjelaskan bahawa bercelak itu dilakukan sendiri, dan bukan disolekkan oleh sesiapa, daripada bekas celak.

Justeru, sokongan yang dibawa tidaklah semestinya bersifat sahih sahaja, malah kadangkala hadis atau asar yang lemah juga dijadikan sebagai sandaran bagi membolehkan sesuatu hadis difahami dengan jelas.

*******
*******
*******

.
Terjemahan dan Syarah oleh

محمد عدلن بن محمد شريف الدين بن أحمد بن جعفر الدياري

ADÖULINÉ Lacharouphe
Mohd `Adlan Bin Mohd Shariffuddin

Asy-Syamail Al-Muhammadiyyah

Komen dan Soalan