Panel: Adli Khalim
#SilsilahShahihah: Hadits 48: Qadar, dan hadits dua genggaman adalah benar
Allah ﷻ menciptakan Adam, kemudian menciptakan mahluk daripada belakangnya (Adam), lalu berfirman: “Mereka ini ke syurga dan Aku tidak akan mempedulikannya, dan mereka itu ke neraka, dan Aku tidak akan mempedulikannya pula.” Kemudian seseorang yang bertanya: “Wahai Rasulullah! Kalau begitu, untuk apa kita beramal?” Jawab baginda: “Atas ketetapan qadar.”
إن الله ﷻ خلق آدم، ثم أخذ الخلق من ظهره، وقال: “هؤلاء إلى الجنة ولا أبالي، وهؤلاء إلى النار ولا أبالي”، فقال قائل: “يا رسول الله! فعلى ماذا نعمل؟” قال: “على مواقع القدر”
Diriwayatkan oleh Ahmad, Ibn Hibban.
= = = = = = = = = =
Ulasan:
1. Untuk memahami hadits ini, kita harus melihat kepada beberapa hadits yang lain, antaranya:
(a) Rasulullah ﷺ bersabda: “Beramallah kalian! Semuanya telah dimudahkan terhadap apa yang diciptakan untuknya. Kemudian baginda membaca (ayat 5-10 surah Al-Lail): [[Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertaqwa…]] * [[dan membenarkan (ganjaran) yang terbaik]] * sehingga ke ayat [[Kami mudahkan baginya jalan kesukaran]]. – HR Muslim no 2647
(b) `Umar bertanya kepada Rasulullah ﷺ: “Adakah amalan yang kita lakukan itu kita sendiri yang memulakannya atau amalan yang telah ditentukan takdirnya?” Jawab baginda: “Bahkan, amalan itu telah selesai ditentukan takdirnya.” Kata `Umar: “Kalau begitu, untuk apa kita beramal?” Jawab baginda: “Wahai `Umar! Tiada yang mengetahui takdir, kecuali setelah beramal.” – HR Al-Bazzar.
2. Hadits-hadits ini menunjukkan bahawa memang qadar setiap sesuatu telah ditetapkan oleh Allah ﷻ, namun bagi seorang hamba yang tidak mengetahui apakah yang telah ditetapkan untuknya, hendaklah dia berusaha sebaik mungkin dalam kehidupan sehariannya.
3. Bagi hamba yang jiwanya condong kepada kebaikan (dari segi i`tiqad dan amalan, sebagaimana yang disebutkan dalam ayat 5-6 surah Al-Lail), Allah akan memudahkannya kepada kebahagiaan (ayat 7 surah Al-Lail). Sedangkan bagi hamba yang jiwanya condong kepada keburukan (dari segi i`tiqad dan amalan, sebagaimana yang disebutkan dalam ayat 8-9 surah Al-Lail), Allah akan memudahkannya kepada kesengsaraan (ayat 10 surah Al-Lail).