Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Bekas Inai Pada Rambut Rasulullah SAW: Hadis 47

Bekas Inai Pada Rambut Rasulullah SAW: Hadis 47

273
0
Iklan

Susunan: Ustsz ADÖULINÉ Lacharouphe

47 – حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ هَارُونَ، قَالَ: أَنْبَأَنَا النَّضْرُ بْنُ زُرَارَةَ، عَنْ أَبِي جَنَابٍ، عَنْ إِيَادِ بْنِ لَقِيطٍ، عَنِ الْجَهْدَمَةِ، امْرَأَةِ بِشْرِ ابْنِ الْخَصَاصِيَّةِ، قَالَتْ: أَنَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ مِنْ بَيْتِهِ يَنْفُضُ رَأْسَهُ وَقَدِ اغْتَسَلَ، وَبِرَأْسِهِ رَدْعٌ مِنْ حِنَّاءٍ، أَوْ قَالَ: رَدْغٌ، شَكَّ فِي هَذَا الشَّيْخُ.

47- Telah bercerita kepada kami Ibrahim bin Harun, dia berkata: Telah memberitakan kami An-Nadhr bin Zurarah, daripada Abi Janab, daripada Iyad bin Laqit, daripada Al-Jahdamah isteri Bisyr bin Al-Khassasiyyah, dia berkata: Saya telah melihat Rasula Llah, dia keluar daripada rumahnya, dia membasuh kepalanya dan sesungguhnya dia telah mandi, dan pada rambutnya terdapat bekas-bekas inai, atau dia telah berkata: lumpur, telah ragu-ragu pada hal ini asy-syaykh.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini diriwayatkan oleh At-Tirmizi daripada gurunya Ibrahim bin Harun, yang disebut di hujung hadis sebagai, “telah ragu-ragu pada hal ini asy-syaykh”. Ini bermakna, Imam At-Tirmizi meriwayatkan hadis ini sebagaimana yang dia dengar daripada gurunya – walaupun gurunya itu menyebut keraguan dalam riwayatnya – padahal Imam At-Tirmizi mengetahuï riwayat yang benar.

Antara (رَدْعٌ) dan (رَدْغٌ), ia dibezakan oleh titik huruf terakhir. Ini ialah masalah khusus dalam bahasa `Arab, kerana huruf `Arab mempunyaï huruf yang sama, tetapi hanya dibezakan oleh titiknya. Itupun – menambah kepada rumitnya hal ini –, pada zaman awal, titik itu tidak ditulis.

Untuk memudahkan pemahaman, mari kita ambil satu perkataan dalam tulisan Jawi, iaitu (أد بايو د رومه ساي) Ada bayu di rumah saya. Perkataan (بايو) ini boleh diubah titiknya menjadi (باتو) batu, dan ayatnya menjadi “Ada batu di rumah saya”. Perbezaan hanya pada satu huruf, dan ia mengubah maknanya.

Hadis dengan lafaz (رَدْعٌ مِنْ حِنَّاءٍ) – dengan huruf (ع) `ayn – diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnadnya, dan dalam Sunan Abi Dawud dalam bentuk muktamad iaitu tanpa keraguan. Justeru, mengapakah di dalam hadis ini berlaku keraguan? Hal ini menjadi uslub Imam At-Tirmizi untuk menjelaskan punca keraguan iaitu daripada lafaz gurunya Ibrahim bin Harun.

Lihatlah bahawa menjaga dan memelihara bahasa adalah perkara yang sangat penting, kerana setiap perkataan boleh dibahaskan dan disyarahkan, dan ia menunjukkan kepada sesuatu makna. Apabila orang-orang yang tidak cermat berbahasa, maka tampillah para `ulama’ yang membetulkan kesilapan dan menunjukkan kepada cara yang benar dalam berbahasa.

Isu bahasa bukan isu budak-budak sekolah sahaja. Isu bahasa ialah isu yang penting dalam Islam, kerana Islam dijaga dengan bahasa `Arab. Tetapi, bagi kita yang bukan `Arab, bahasa menjadi lebih penting, agar kita memahami apa yang ingin diterjemahkan dan disampaikan kepada kita. Ramai cendekiawan bahasa `Arab mengkaji bahasa `Arab untuk memahami Al-Qur’an dan hadis, sehingga terhasilnya banyak kamus dan mu`jam.

Apabila orang-orang muda sudah tidak kisah dalam hal bahasa, terutama dalam zaman bahasa rojak dan pengaruh bahasa asing, maka ia menunjukkan bahawa mereka sudah tidak kuat walaupun dalam bahasa ibunda mereka. Justeru, bagaimana mereka akan dapat memahami dan menghayati bahasa Islam – iaitu bahasa `Arab – yang lebih rumit dan kompleks?

Berbahasa bukan setakat menyampaikan makna, seperti yang semakin popular sekarang, iaitu bahasa komunikasi atau “communicative language” – boleh bercakap apa sahaja, asalkan maknanya difahami. Konsep bahasa komunikasi ini hanya benar untuk pemula dan kanak-kanak sahaja, kerana selepas itu, mereka perlu mencari bahasa yang benar dan sahih – dari segi sebutan, ejaan, penggunaan kata dan sebagainya –.

Di Malaysia, sebutan huruf (ع) sedang beransur-ansur hilang dari lisan orang ramai. Dengarlah bagaimana sebut (عبد الله) `Abdu Llah, (إعلان) iklan, dan (رعية) rakyat sudah berubah menjadi (أبدولا) Abdula, (إكلان) ik(e)lan dan (ركيات) rakiyat. Ini ialah sesuatu yang perlu dibetulkan dan dikembalikan kepada sebutannya yang asal!

Bangsa Melayu sudah kehilangan huruf (ث) dan (خ) dari lidah mereka, sehingga mereka tidak boleh menyebut perkataan (وارث) waris, (اثنين) hari Isnayn, (خميس) hari Khamis, atau nama (خيرُ الـــ) Khairul. Dan ini menunjukkan bahawa kita sudah tidak memerhatikan dan mengambil berat tentang bahasa kita. Kesannya, apabila perbincangan yang lebih berat dimulakan, orang-orang muda tidak dapat memahami apakah yang cuba disampaikan!

Al-Jahdamah meriwayatkan bahawa dia telah melihat Nabi keluar dari rumahnya. Ketika itu Nabi telah mandi dan dia telah membasuh rambutnya. Namun, pada rambutnya itu masih ada kesan-kesan inai, yang membawa maksud bahawa Nabi telah menginai rambutnya.

Lihatlah bahawa Nabi mandi, tetapi masih ada bekas-bekas penggunaan daun inai! Ini menunjukkan bahawa mandi itu ialah mandi yang ringan, bukan untuk menghabiskan air dan masa! Yang penting dalam mandi ialah ia menjadi syarat `ibadah – iaitu mandi disebabkan hadas besar – atau mandi yang disyari`atkan pada hari Juma`at.

Mempelajari hadis Syama`il seharusnya menjadikan hidup kita lebih ringkas dan mudah, kerana kecintaan kita kepada Nabi dan kehidupannya yang ringkas dan mudah.

*******
*******
*******

Komen dan Soalan