Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits SEBAB-SEBAB PEMALSUAN HADITS YANG TIDAK DISENGAJAKAN (Bhg. 02)

SEBAB-SEBAB PEMALSUAN HADITS YANG TIDAK DISENGAJAKAN (Bhg. 02)

429
0
Iklan

Susunan BroSyarief:

Sedikit sambungan dari perkongsian di atas.

Sekiranya kita sedang membaca apa-apa rujukan terjemahan hadits dan dinukilkan dengan ringkas ianya Dha’if, dalam keadaan tiada nota kaki atau sebarang penjelasan akan status hadits tersebut, memadailah untuk kita mendiamkan diri dari mengamalkan dan menyebarkannya.

Paling kurang, atas dasar berhati-hati. Tanpa celupar mengatakan dengan yakin hadits ini tertolak. Dan tanpa syok sendiri menganggap ianya dhaif yang ringan boleh diamal dengan syarat tertentu.

Adapun jika menyandarkannya kepada mana-mana ‘alim dalam hadits, maka dibenarkan atas kapasiti setiap individu dan tidak sesuai untuk dipaksakan pula keyakinan tersebut kepada orang lain.

WalLaahu a’lam.

#020316 Nota 02.09.02 Hadits al-Mardud (المردود) Kategori Kritikan pada Periwayat (الطعن في الراوي) – Persoalan Hadits Palsu

Susunan: BroSyarief

SEBAB-SEBAB PEMALSUAN HADITS YANG TIDAK DISENGAJAKAN (Bhg. 02)

02 Bertebarannya Para Sahabat ke Negeri-negeri yang DIbuka

as-Sunnah diperlukan sebagai sumber syariat yang ke-2 selepas al-Quran, selama-lamanya, di mana-mana era dan di mana-mana tempat sekalipun.

Ianya umum bagi keseluruhan manusia, di setiap negeri dan di setiap zaman.

Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam meletakkan sepenuh fokus pada penjagaan dan pemeliharaan sunnahnya, begitu juga penyebaran dan penyampaiannya.

Ia adalah supaya ia kekal praktikal dengan baik selama-lamanya dan menjadi hujjah berterusan sehingga ke penghujung kemanusiaan.

Oleh kerana itu juga, baginda sallalLaahu ‘alaihi wa sallam menekankan kepada para sahabat supaya memelihara dan menyebarkan sunnahnya, di mana baginda sallalLaahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

نَضَّرَ اللَّهُ امْرَأً سَمِعَ مِنَّا حَدِيثًا فَحَفِظَهُ حَتَّى يُبَلِّغَهُ غَيْرَهُ ،

Semoga Allah memperindah orang yang mendengar dari kami satu hadits, lalu dia menghafalnya sehinggalah dia menyampaikan kepada selainnya

فَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ إِلَى مَنْ هُوَ أَفْقَهُ مِنْهُ ، وَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ لَيْسَ بِفَقِيهٍ

Boleh jadi orang yang membawa kefahaman hadits itu (memberikannya) kepada orang yang lebih faham (tentang hadits itu) berbanding dirinya, dan boleh jadi orang yang membawa kefahaman hadits itu sendiri tidak memahaminya.

[HR at-Tirmizi. Hasan Sahih]

Disebabkan galakan-galakan seperti ini menyebabkan para sahabat bangkit menyampaikan sunnahnya kepada mereka yang tidak sampai sunnah kepada mereka, khususnya selepas wafatnya baginda sallalLaahu ‘alaihi wa sallam.

Ini menyebabkan mereka terpaksa keluar dari Madinah, bermusafir ke lokasi-lokasi yang jauh di atas dasar dakwah, membuka penempatan, menghantar pemimpin, perlantikan hakim dan pelbagai tujuan.

Ada yang ke Jazirah, ke Mekah, ke Thaif, ke Yamamah, ke Yaman, ke Bahrain, ke Mesir, ke Syam, ke Kufah, ke Basrah, ke Khurasan, ke Samarkhan dan banyak lagi.

Lalu, para tabi’in dari pelbagai tempat ini mendengarkan hadits dari mereka. Kemudian generasi seterusnya mendengarkan dari tabi’in, sehingga tersebarlah hadits-hadits kepada ramai manusia dari pelbagai latar belakang.

Di dalam kebanyakan usaha penyebaran hadits ini, para pereka hadits pun mengambil kesempatan menipu orang ramai, mereka mencipta hadits-hadits sesuka hati mereka.

Antara lokasi yang banyak berlakunya pemalsuan hadits adalah di Iraq dan Syam, dalam keadaan jumlah pemalsuan di Iraq lebih banyak berbanding di Syam.

Kata ‘Aisyah radhiyalLaahu ‘anha,

يَا أَهْلَ الْعِرَاقِ أَهْلُ الشَّامِ خَيْرٌ مِنْكُمْ .

Wahai orang Iraq, orang Syam lebih bagus dari kalian.

خَرَجَ إِلَيْهِمْ نَفَرٌ مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَثِيرٌ ، فَحَدَّثُونَا مَا نَعْرِفُ ،

Sekumpulan ramai para sahabat RasululLah sallalLaahu ‘alaihi wa sallam telah keluar kepada mereka, lalu mereka menyebutkan kepada kami (hadits-hadits) apa yang kami ketahui.

وَخَرَجَ إِلَيْكُمْ نَفَرٌ مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَلِيلٌ ، فَحَدَّثْتُمُونَا بِمَا نَعْرِفُ وَمَا لا نَعْرِفُ

Sekumpulan kecil para sahabat RasululLah sallalLaahu ‘alaihi wa sallam telah keluar kepada kelian, lalu kalian menyebutkan kepada kami (hadits-hadits), ada yang kami ketahui dan ada yang kami tak kenali.

[Tarikh Dimasyq]

Kata Abdullah ibn ‘Amr ibn al-‘As di Mekah,

إن من أهل العراق قوما يكذبون ويكذبون ويسخرون

Sungguh, dari kalangan orang Iraq, adanya sekumpulan orang yang berbohon dan berbohong dan memperolokkan (hadits-hadits)

[Tabaqaat Ibn Sa’d]

WalLaahu a’lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.

#BroSyariefShares

Komen dan Soalan