Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 45: Apa Yang Datang Berkenaan Pewarnaan Rasuli Llah

Hadis 45: Apa Yang Datang Berkenaan Pewarnaan Rasuli Llah

256
0
Iklan

شرح الديارية ألاحديث الشمدئل احملمدثة

Syarhu d-Diyariyyah Li’ahadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah

ADÖULINÉ Lacharouphe:

بَابُ مَا جَاءَ فِي خِضَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Bab: Apa yang datang berkenaan pewarnaan Rasuli Llah

45 – حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ مَنِيعٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا هُشَيْمٌ، قَالَ: حَدَّثَنَا عَبْدُ الْمَلِكِ بْنُ عُمَيْرٍ، عَنْ إِيَادِ بْنِ لَقِيطٍ، قَالَ: أَخْبَرَنِي أَبُو رِمْثَةَ، قَالَ: أَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَعَ ابْنٍ لِي، فَقَالَ: «ابْنُكَ هَذَا؟»، فَقُلْتُ: نَعَمْ، أَشْهَدُ بِهِ. قَالَ: «لَا يَجْنِي عَلَيْكَ، وَلَا تَجْنِي عَلَيْهِ». قَالَ: وَرَأَيْتُ الشَّيْبَ أَحْمَرَ.
قَالَ أَبُو عِيسَى: هَذَا أَحْسَنُ شَيْءٍ رُوِيَ فِي هَذَا الْبَابِ وَأَفْسَرُ، لِأَنَّ الرِّوَايَاتِ الصَّحِيحَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَبْلُغِ الشَّيْبَ. وَأَبُو رِمْثَةَ، اسْمُهُ رِفَاعَةُ بْنُ يَثْرِبِيٍّ التَّيْمِيُّ.

45- Telah bercerita kepada kami Ahmad bin Mani`, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Husyaym, dia berkata: Telah bercerita kepada kami `Abdu l-Malik bin `Umayr, daripada Iyad bin Laqit, dia berkata: Telah memberitahu saya Abu Rimsah, dia berkata: Saya telah mendatangi Rasula Llah bersama anak lelaki saya, maka dia berkata: «Anak lelaki kamukah ini?» maka saya berkata: Ya, saya bersaksi dengannya. Dia berkata: «Dia tidak akan mengapa-apakan ke atas kamu, dan kamu tidak akan mengapa-apakan ke atasnya». Dia berkata: Dan saya telah melihat uban yang merah.

Berkata Abu `Isa: Ini ialah perkara paling baik yang diriwayatkan dalam bab ini, dan paling jelas, kerana riwayat-riwayat yang sahihah bahawa Nabi tidak sampai beruban. Dan Abu Rimsah, namanya ialah Rifa`ah bin Yasribiy At-Taymiy.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini adalah ulangan hadis keempat puluh tiga yang baru berlalu, tetapi dengan penambahan dan pengurangan. Hadis keempat puluh tiga diriwayatkan daripada:
`Aliy bin Hujr —> Syu`ayb –> `Abdi l-Malik bin `Umayr —> Iyad bin Laqit Al-`Ijliy

Manakala hadis ini diriwayatkan daripada:
Ahmad bin Mani`–>  Husyaym –> `Abdu l-Malik bin `Umayr –> Iyad bin Laqit

Isnad hadis ini bertemu pada `Abdi l-Malik bin `Umayr.

Melihat kepada isnad kedua-dua hadis ini, butiran lanjut tentang beberapa rawi dapat diperoleh, seperti tambahan nisbah Al-`Ijliy dan tambahan nisbah bagi Abi Rimsah.

Di hujung hadis ini, ditulis perkataan Abu `Isa, iaitu nama bagi Imam At-Tirmizi, penulis kitab Syama`il ini, katanya: Dan Abu Rimsah, namanya ialah Rifa`ah bin Yasribiy At-Taymiy.

Tambahan ini adalah untuk menjelaskan siapakah itu Abu Rimsah, agar tidak berlaku kekeliruan di kalangan pembaca dan penuntut ilmu hadis.

Imam At-Tirmizi berkata lagi selepas hadis, (Ini ialah perkara paling baik yang diriwayatkan dalam bab ini, dan paling jelas, kerana riwayat-riwayat yang sahihah bahawa Nabi tidak sampai beruban) yang merupakan ulasan beliau terhadap hadis ini.

Maksud Imam At-Tirmizi ialah ucapan di dalam hadis (Dan saya telah melihat uban yang merah) menunjukkan bahawa ia bersesuaian dengan hadis-hadis yang sahihah, iaitu kepala Nabi tidak sampai beruban keseluruhannya, justeru, Nabi mewarnakan ubannya yang sedikit dengan inai sehingga ia menjadi merah.

Hadis ini menunjukkan bahawa Nabi bertanya kepada sahabat, «Anak lelaki kamukah ini?» yang selari dengan ucapan yang selalu kita gunakan. Biasanya, apabila kita melihat rakan kita dengan budak kecil, kita akan menyapa dengan mesra dan bertanya, “Ini anak awak ke?”.

Pertanyaan ini adalah sunnah, dan penting agar kita dapat mengetahuï nasab dan keturunan seseorang. Apabila seseorang mengaku bahawa itu ialah anaknya, maka nyatalah nasab dan akan tersebar dalam masyarakat bahawa si fulan ialah anak si fulan.

Begitu juga apabila ditanya, dan seseorang menjawab, “Bukan, ini ialah …”, maka akan diketahuïlah bahawa si fulan itu bukan anak si fulan, sebaliknya dia ialah seperti mana yang dijelaskan dalam sambungan ayat tersebut.

Mengetahuï nasab keturunan adalah sesuatu yang penting, dan ia adalah sebahagian daripada agama. Menipu atau menafikan nasab keturunan adalah dosa besar. Anak angkat bukanlah anak yang boleh dinasabkan – atau dibinkan – kepada nama sendiri. Begitu juga anak tiri, hamba yang dibebaskan, atau anak yang bukan daripada benih sendiri, mereka tidak boleh dinasabkan kepada nama sendiri.

Justeru, bertanya tentang nasab adalah suatu yang sunnah, dan merupakan antara ajaran agama. Sama ada soalan itu berbunyi, “Awak anak siapa?”, atau “Siapa ayah awak?”, atau “Adakah ini anak awak?”, ia dibolehkan.

Dalam hadis ini, Abu Rimsah menambah dengan menyebut, “Saya bersaksi dengannya”. Ini untuk menunjukkan penegasan bahawa itu memang anaknya.

Hadis ini menunjukkan bahawa kesaksian atau pengakuan seseorang muslim itu adalah diterima, dan tidak memerlukan kepada sebarang hitam putih, atau dokumen untuk pengesahan. Justeru, para pemerintah, pembuat dasar dan pemimpin negara hendaklah memartabatkan pengakuan dan penyaksian seseorang muslim melebihi sebarang dokumen.

Contohnya, dalam perkahwinan dan perceraian. Seorang bapa berhaq mengahwinkan anak perempuannya, walaupun tanpa saksi, tanpa gambar, atau tanpa majlis. Setelah si bapa mengahwinkan si lelaki dengan anaknya – yang hanya merupakan persetujuan lisan –, maka perkahwinan itu hendaklah diterima sah di sisi undang-undang. Hanya untuk tujuan rekod, barulah si ayah membuat pendaftaran pernikahan anaknya dengan si lelaki, di pejabat kerajaan. Pihak pendaftar hanya perlu mendaftarkan dan mengeluarkan dokumen rasmi – serta-merta –, bukan mempertikaikan atau menyusahkan.

Begitu juga apabila si suami menceraikan si isteri, lafaz perceraian itu hendaklah diterima dan diguna pakai, pada tarikh dan masa ia dilafazkan. Setelah itu, si lelaki pergi mendaftarkan perceraiannya tanpa ada keperluan untuk berjumpa dengan hakim, atau qadhi, atau kaunselor. Tugas si pendaftar hanya merekodkan dan memberikan dokumen rasmi – serta-merta –, bukan bersoal-jawab atau mempertikaikan haq suami, atau melambat-lambatkan proses.

Dalam hadis ini, Nabi berkata bahawa «Dia tidak akan mengapa-apakan ke atas kamu, dan kamu tidak akan mengapa-apakan ke atasnya». Ini bermakna, si anak tidak akan memberikan dosa kepada si bapa, dan si bapa juga tidak akan memberikan dosa kepada si anak.

Seseorang anak, apabila dia telah baligh, maka dia menanggung dosanya sendiri. Si anak tidak akan memudharatkan si ayah di akhirat, apabila si anak tidak bertudung, si anak tidak bersalat, atau apabila si anak melakukan maksiat. Ini kerana apabila si anak sudah baligh, maka dia bertanggungjawab terhadap perbuatannya sendiri. Tugas si ayah hanyalah memberikan ilmu dan pendidikan.

Begitu juga apabila si ayah melakukan sesuatu dosa, atau amalan yang bercanggah dengan Islam, ia tidak akan memudharatkan si anak di akhirat, selagi si anak berpegang dengan kebenaran dan tidak mengikuti kesesatan si ayah.

Hadis ini menafikan anggapan sesetengah ahli masyarakat bahawa seseorang menanggung dosa orang lain, contohnya si ayah menanggung dosa si anak yang membuka `awrat, atau si imam menanggung dosa si ma’mum ketika salat, atau si suami menanggung dosa si isteri. Tidak, dan tidak. Tiada siapa menanggung dosa orang lain.

Si anak yang membuka `awrat, itu ialah dosanya, dan dia akan diseksa di akhirat dengan balasan neraka. Si ma’mum yang bersalat, apakah akan ada dosa sehingga perlu ditanggung oleh si imam? Si isteri yang berdosa, contohnya berikhtilat – bergaul bebas – dengan lelaki lain, maka si isterilah yang menanggung dosa dan akan diseksa di akhirat dua kali ganda – kerana dosanya bergaul bebas dan kerana dosanya mengkhianati suami.

*******
*******
*******

.

*******
*******
*******
Buku Syarhu d-Diyariyyah Li’ahadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah
Edisi PDF terkini setakat ini Hadis 1-45 boleh dibaca di:
https://drive.google.com/open?id=0B6dUHmEQLdx6bU4wc2RkeHc2Qnc&authuser=0

Untuk yang lebih selesa dengan Facebook, boleh gunakan link berikut:

https://www.facebook.com/adoufr/posts/10153308789332278

https://www.facebook.com/adoufr2/posts/925632510845717

Sebarang kritikan, ulasan atau nasihat adalah dialu-alukan.
*******
*******
*******

.

Komen dan Soalan