Utama Bilik (05) Fiqhud Dalil 56. Fidyah Bagi Yang Diberikan Rukhsah Berbuka

56. Fidyah Bagi Yang Diberikan Rukhsah Berbuka

185
0
Iklan

Susunan Ustaz Adli Khalim
Ringkasan Fiqh Ramadhan:

56. Fidyah bagi orang yang diberikan rukhsah untuk berbuka.

وَعَلَى الّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

“Dan wajib bagi orang-orang yang berat mengerjakannya membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin.” – Surah Al-Baqarah, ayat 184.

= = = = = = = = = =

Penjelasan:

1. Tiada penetapan daripada Al-Qur’an dan As-Sunnah tentang berapakah kadar fidyah yang harus dibayar. Oleh itu, kita kembali kepada `uruf; seseorang dikatakan telah sah membayar fidyah apabila dia memberikan makan kepada seorang miskin yang boleh mengenyangkannya.

2. Maksud “memberikan makan” adalah:

(a) memberikan atau menghidangkan makanan yang telah siap dimasak, sebagaimana yang dilakukan oleh Anas bin Malik ketika beliau menghidangkan roti (makanan asasi) dan daging kepada 30 orang miskin pada hari yang sama, atau

(b) memberikan makanan asasi mentah, dan sebaik-baiknya diberikan juga bahan untuk dijadikan lauk-pauk.

3. Sebahagian `ulama’ berpendapat tidak boleh membayar fidyah dalam bentuk wang kerana ayat Al-Qur’an secara jelas menyebutkan “memberi makan.” Inilah hukum asal dalam membayar fidyah. Namun, sekiranya terdapat kesukaran yang tidak dapat dielakkan, seseorang boleh menggantikannya dengan membayar wang.

4. Fidyah boleh dibayar sekali gus, sebagaimana yang dilakukan oleh Anas bin Malik (dengan menghidang roti dan daging kepada 30 orang miskin dalam satu ketika), atau boleh juga dibayar sedikit demi sedikit.

5. Fidyah boleh diberikan kepada orang miskin yang sama sebanyak hari yang ditinggalkan, misalnya seseorang yang tidak berpuasa selama 20 hari, lalu memberi makan kepada orang miskin yang sama selama 20 hari.

6. Fidyah hanya boleh dibayar selepas berlalunya hari yang ditinggalkan puasa, sama ada membayarnya selepas masuknya waktu berbuka pada hari tersebut, atau boleh juga dikumpulkan sehingga berakhirnya Ramadhan. Fidyah tidak boleh dibayar lebih awal, misalnya membayar fidyah pada bulan Sya`ban.

7. Para `ulama’ berbeza pendapat dalam membayar fidyah kepada orang kafir:

(a) sebahagian membolehkannya sekiranya tiada umat Islam yang miskin di negerinya, dan

(b) sebahagian yang lain tidak membolehkannya, bahkan mereka berpendapat lebih utama disalurkan ke negara-negara Islam yang memerlukannya.

= = = = = = = = = =

Hashtag: #fiqhpuasa

Komen dan Soalan