Susunan Ustaz Adli Khalim
Ringkasan Fiqh Ramadhan:
55. Rukhsah untuk berbuka puasa: Orang yang tidak mampu lagi untuk berpuasa, sama ada kerana tua atau sakit yang tidak akan sembuh.
سمع ابنُ عباسٍ يقرأُ : { وَعَلَى الَّذِينَ يُطَوِّقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ } . قال ابنُ عباسٍ : ليستْ بمنسوخةٍ، هو الشيخُ الكبيرُ، والمرأةُ الكبيرةُ، لا يستطيعان أن يصوما، فيُطعمان مكان كلِّ يومٍ مسكينًا .
الراوي : عطاء بن أبي رباح | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 4505 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]
`Atha’ mendengar Ibn `Abbas membaca ayat: “Dan wajib bagi orang-orang yang berat mengerjakannya membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin.” Kata Ibn `Abbas: “Ayat ini tidak dimansukh. Maksudnya lelaki dan wanita tua yang tidak mampu berpuasa, hendaklah mereka memberi makan kepada orang miskin untuk setiap hari yang ditinggalkan.” – Shahih Al-Bukhari, no. 4505.
= = = = = = = = = =
Penjelasan:
1. Terdapat beberapa perbahasan tentang riwayat Ibn `Abbas ini:
(a) Ibn `Abbas membacanya dengan sebutan يُطَوِّقُونَهُ, sedangkan jumhur membacanya dengan sebutan يُطِيقُونَهُ.
(b) Ibn `Abbas menafikan tentang mansukhnya ayat 184 ini, sedangkan terdapat riwayat daripada Salamah bin Al-Akwa` dan Ibn `Umar tentang mansukhnya ayat ini.
2. Menurut Ibn Katsir, bagi orang tua yang tidak mampu berpuasa, dibolehkan baginya berbuka puasa namun tidak diwajibkan qadha’, kerana dia tidak akan sesekali mampu untuk qadha’. Kemudian Ibn Katsir membawakan satu permasalahan; adakah dia wajib membayar fidyah sekiranya dia kaya? Beliau kemudiannya menyebutkan 2 pendapat:
(a) Tidak wajib membayar fidyah, kerana kewajipan berpuasa telah terangkat daripadanya, dan Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.
(b) Wajib membayar fidyah, dan inilah pendapat jumhur, dan inilah pendapat yang shahih menurut Ibn Katsir. Beliau kemudiannya membawakan satu atsar daripada Anas (sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari secara mu`allaq dalam kitab shahihnya): Anas bin Malik ketika sampai usia tua telah berbuka puasa dan memberi makan roti dan daging kepada seorang miskin berdasarkan jumlah hari yang ditinggalkannya selama setahun atau dua tahun.
3. Hukum ini juga diqiyaskan kepada orang sakit yang tiada harapan untuk sembuh; mereka dibolehkan untuk berbuka dan memberi makan kepada orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkannya.
= = = = = = = = = =
Hashtag: #fiqhpuasa