Utama Bilik (05) Fiqhud Dalil 54. Rukhsah Berbuka Puasa: Orang Yang Sakit

54. Rukhsah Berbuka Puasa: Orang Yang Sakit

677
0
Iklan

Susunan Ustaz Adli Khalim
Ringkasan Fiqh Ramadhan:

54. Rukhsah untuk berbuka puasa: Orang yang sakit.

وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

“Dan sesiapa yang sakit atau bermusafir, hendaklah menggantikannya pada hari-hari lain.” – Surah Al-Baqarah, ayat 184.

= = = = = = = = = =

Penjelasan:

1. Terdapat 3 hukum yang berbeza mengenai berbuka puasa bagi orang yang sakit di bulan Ramadhan:

(a) Tidak boleh berbuka puasa bagi orang yang mengalami sakit ringan, seperti batuk selsema, kencing manis yang terkawal, darah tinggi yang terkawal.

(b) Dianjurkan berbuka puasa bagi orang yang sakitnya akan bertambah parah atau kesembuhannya akan berlarutan dengan berpuasa (sila dapatkan pengesahan daripada doktor).

(c) Diwajibkan berbuka puasa bagi orang yang puasanya akan membahayakan dirinya (sila dapatkan pengesahan daripada doktor).

2. Panduan mengambil ubat-ubatan ketika berpuasa:

(a) Ubat yang dimakan sekali sehari – dimakan ketika bersahur atau ketika berbuka puasa.

(b) Ubat yang dimakan 2 kali sehari – dimakan ketika bersahur dan ketika berbuka puasa.

(c) Ubat yang dimakan 3 kali sehari – dimakan ketika bersahur, ketika berbuka, dan sebelum tidur. Atau sila berbincang dengan doktor untuk mendapatkan alternatif lain (seperti bertukar kepada ubat yang boleh diambil 2 kali sehari).

(d) Ubat yang dimakan 4 kali sehari – sila berbincang dengan doktor untuk mendapatkan alternatif lain (seperti bertukar kepada ubat yang boleh diambil 2 kali sehari).

(e) Ubat yang perlu diambil sebelum makan – dimakan setengah jam sebelum sahur, atau dimakan selepas berbuka puasa ringan (seperti kurma) dan menunggu sekitar 20 hingga 30 minit sebelum makan malam.

3. Pengambilan insulin perlu dititikberatkan ketika berpuasa untuk mengelakkan hypoglycaemia (kurang gula dalam darah):

(a) Bagi suntikan 1 kali sehari (biasanya diambil sebelum tidur), tiada perubahan dos (kecuali mengalami hypoglycaemia, dos hendaklah dikurangkan) atau waktu suntikan.

(b) Bagi suntikan 2 kali sehari (biasanya diambil pada waktu pagi dan petang):

(i) suntikan pada waktu pagi diambil pada waktu berbuka, tiada perubahan dos.

(ii) suntikan pada waktu petang diambil pada waktu bersahur, dengan dikurangi separuh daripada dos asal.

(c) Bagi suntikan 3 kali sehari (biasanya diambil pada waktu pagi, tengah hari, dan malam):

(i) suntikan pada waktu pagi diambil pada waktu waktu bersahur, dengan dikurangi separuh daripada dos asal.

(ii) suntikan tengah hari tidak perlu diambil.

(iii) suntikan malam ditukar kepada waktu sejurus sebelum makan malam, tiada perubahan dos.

(d) Bagi suntikan 4 kali sehari (biasanya diambil pada waktu pagi, tengah hari, malam, dan sebelum tidur), sila gabungkan antara point (a) dan (c).

= = = = = = = = = =

Hashtag: #fiqhpuasa

Komen dan Soalan