Utama Bilik (05) Fiqhud Dalil 47. Seputar Isu Wanita Beri`tikaf Di Masjid

47. Seputar Isu Wanita Beri`tikaf Di Masjid

161
0
Iklan

Susunan Ustaz Adli Khalim
Ringkasan Fiqh Ramadhan:

47. Qiyam Ramadhan: Dibolehkan kepada kaum wanita untuk beri`tikaf di masjid, walaupun dalam keadaan beristihadhah.

وَلا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنْتُمْ عاكِفُونَ فِي الْمَساجِدِ

“Janganlah kalian menggauli mereka ketika kalian beri`tikaf di masjid-masjid.” – Surah Al-Baqarah, ayat 187.

كان رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم يعتكفُ في كلِّ رمضانَ، وإذا صلى الغداةَ دخل مكانَه الذي اعتكف فيه. قال: فاستأذنَته عائشةُ أن تعتكفَ فأذن لها، فضربتْ فيه قُبَّةً، فسمعت بها حفصةُ فضربتْ قُبَّةً، وسمعت زينبُ بها فضربتْ قُبَّةً أخرى، فلما انصرف رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم من الغدِ أبصر أربعَ قبابٍ، فقال: ما هذا . فأُخبِرَ خبرهن، فقال: ما حملهن على هذا؟ آلبرُّ؟ انْزِعوها فلا أراها. فنُزِعت، فلم يعتكفْ في رمضانَ حتى اعتكفَ في آخرِ العشرِ من شوالٍ.
الراوي : عائشة أم المؤمنين | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 2041 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]

Rasulullah ﷺ beri`tikaf pada setiap bulan Ramadhan. Apabila baginda selesai solat Subuh, baginda masuk ke tempat i`tikafnya. Yahya (perawi) berkata: `A’isyah telah meminta izin untuk beri`tikaf, dan baginda mengizinkannya. Lalu `A’isyah membuat satu kubah (untuk beri`tikaf) di dalamnya. Lalu Hafsah mendengar tentangnya, dan dia membuat kubah yang lain. Lalu Zainab mendengar tentangnya, dan dia membuat kubah yang lain. Ketika Rasulullah ﷺ selesai solat Zuhur, baginda melihat 4 buah kubah, lalu baginda bertanya: “Apakah semua ini?” Lalu baginda diberitahu tentang apa yang dilakukan oleh isteri-isterinya. Baginda berkata: “Apa yang menyebabkan mereka melakukan ini? Kebaikan? Robohkan semua ini, aku tidak mahu melihatnya.” Lalu kubah-kubah tersebut dirobohkan. Baginda tidak meneruskan i`tikaf pada Ramadhan tersebut sehingga baginda beri`tikaf pada 10 hari akhir bulan Syawal. – Shahih Al-Bukhari, no. 2041.

اعتَكفت مع رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم امرأةٌ مِن أزواجِهِ ، فكانتْ تَرى الدَّمَ والصُّفرَةَ والطَّستُ تَحتَها وهي تُصلِّي.
الراوي : عائشة أم المؤمنين | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 310 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]

Salah seorang isteri Nabi ﷺ yang mengalami istihadhah beri`tikaf bersama baginda dalam keadaan masih keluar darah dan lendir kekuningan. Dia mengerjakan solat dengan meletakkan bekas di bawahnya. – Shahih Al-Bukhari, no. 310.

= = = = = = = = = =

Penjelasan:

1. Para `ulama’ berbeza pendapat tentang i`tikaf para wanita di masjid; sebahagiannya berpendapat lebih baik beri`tikaf di tempat yang dikhususkan untuk i`tikaf di rumahnya, sedangkan jumhur mengatakan wanita boleh beri`tikaf di masjid. Kata Ibn Hajar Al-`Asqalani mengenai ayat 187 surah Al-Baqarah: Seandainya i`tikaf sah dilakukan di luar masjid, pasti pengharaman mubasyarah tidak akan dikhususkan di dalam masjid sahaja.

2. Para wanita dibolehkan untuk beri`tikaf di masjid sekiranya memenuhi beberapa syarat:

(a) Mesti mendapat keizinan daripada suami, sebagaimana yang dilakukan oleh Ummu Al-Mu’minin `A’isyah radhiyallahu `anha.

(b) Tidak menimbulkan fitnah atau godaan bagi kaum lelaki, seperti tidak menutup aurat dengan sempurna atau memakai wangi-wangian.

3. Wanita yang mengalami istihadhah juga dibolehkan untuk beri`tikaf di masjid sekiranya dia mampu menjaga dirinya daripada mengotori masjid. Syarat yang sama juga dikenakan kepada pesakit yang mengalami masalah salisul baul (kencing tidak lawas).

= = = = = = = = = =

Hashtag: #fiqhpuasa

Komen dan Soalan