Utama Bilik (05) Fiqhud Dalil 36. Solat Malam Tiada Penetapan Raka’at

36. Solat Malam Tiada Penetapan Raka’at

141
0
Iklan

Susunan Ustaz Adli Khalim
Ringkasan Fiqh Ramadhan:

36. Qiyam Ramadhan: Solat malam tiada penetapan raka`at.

ما كان يزيدُ في رمضانَ ولا غيرِه على إحدى عشْرةَ ركعةً، يصلي أربعُ ركَعاتٍ ، فلا تَسألْ عن حُسنِهن وطولِهن، ثم يصلي أربعًا، فلا تسألْ عن حُسنِهن وطولِهن، ثم يصلي ثلاثًا، فقلتُ: يا رسولَ اللهِ تنامُ قبلَ أن تُوتِرَ؟ قال: تنامُ عيني ولا ينامُ قلبي.
الراوي : عائشة أم المؤمنين | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 3569 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]

Baginda tidak menambah bilangan raka`at di bulan Ramadhan dan bulan-bulan lain melebihi 11 raka`at. Baginda solat 4 raka`at, dan jangan engkau tanyakan tentang bagusnya serta panjangnya setiap raka`at. Kemudian baginda solat 4 raka`at, dan jangan engkau tanyakan tentang bagusnya serta panjangnya setiap raka`at. Kemudian baginda solat 3 raka`at. Aku (`A’isyah) bertanya: “Ya Rasulullah! Adakah engkau tidur sebelum mengerjakan witir?” Jawab baginda: “Kedua-dua mataku tidur, tetapi qalbuku tidak tidur.” – Shahih Al-Bukhari, no. 3569.

صلاةُ الليلِ مَثْنى مَثْنى. فإذا رأيتَ أنَّ الصبحَ يُدركُك فأَوتِرْ بواحدةٍ. فقيل لابنِ عمرَ: ما مَثْنَى مَثْنَى؟ قال: أن تُسلِّمَ في كلِّ ركعتَينِ.
الراوي : عبدالله بن عمر | المحدث : مسلم | المصدر : صحيح مسلم
الصفحة أو الرقم: 749 | خلاصة حكم المحدث : صحيح

“Solat malam 2 raka`at, 2 raka`at. Apabila engkau lihat Subuh akan masuk, lakukanlah solat witir satu raka`at.” Ibn `Umar ditanya: “Apa maksud 2 raka`at, 2 raka`at?” Jawabnya: “Engkau memberi salam setiap 2 raka`at.” – Shahih Muslim, no. 749.

= = = = = = = = = =

Penjelasan:

1. Sebahagian pihak berkeras dengan mengatakan jumlah raka`at tarawih adalah 11 raka`at, kerana Nabi ﷺ tidak pernah menambah lebih daripada jumlah tersebut. Hujahnya adalah hadits `A’isyah di atas.

2. Namun, mereka lupa bahawa 11 raka`at adalah suatu kebiasaan yang dilakukan oleh baginda, bukannya suatu ketetapan. Berdasarkan hadits Ibn `Umar, baginda tidak menetapkan jumlah raka`at solat malam, namun baginda cuma menyebutkan solat malam 2 raka`at, 2 raka`at.

3. Inilah juga pegangan para `ulama’ salaf, sebagaimana yang disebutkan oleh At-Tirmidzi:

(a) Para `ulama’ berbeza pendapat tentang (bilangan raka`at untuk) qiyam Ramadhan. Sebahagiannya berpendapat solat malam sebanyak 41 raka`at termasuk witir, ini adalah qaul ahli Madinah, dan diamalkan di Madinah.

(b) Kebanyakan ahli ilmu pula berpendapat seperti apa yang diriwayatkan daripada `Umar, `Ali, dan selain kedua-duanya daripada sahabat Nabi ﷺ, bahawa solat malam sebanyak 20 raka`at, dan inilah qaul Ats-Tsauri, Ibn Al-Mubarak, dan Asy-Syafi`i.

(c) Kata Asy-Syafi`i: “Ini yang aku dapati di negeri kami, di Makkah, mereka solat sebanyak 20 raka`at.”

(d) Kata Ahmad: “Diriwayatkan dalam bab ini pelbagai pendapat,” dan beliau (Ahmad) tidak menentukan pendapat yang dipilihnya.

(e) Kata Ishaq: “Bahkan, kami memilih pendapat (solat malam) 41 raka`at, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ubay bin Ka`ab.”

4. Kata Ibn Taimiyyah: “Ketika `Umar menghimpunkan orang ramai dan Ubay bin Ka`ab sebagai imam, Ubay melakukan solat sebanyak 20 raka`at, kemudian witir sebanyak tiga raka`at. Namun, ketika itu bacaan setiap raka`at menjadi lebih ringan dengan bilangan raka`at yang ditambah. Ini lebih ringan bagi ma’mum daripada melakukan satu raka`at dengan bacaan yang panjang.”

= = = = = = = = = =

Hashtag: #fiqhpuasa

Komen dan Soalan