Utama Fiqh Ramadhan 6. Niat: Khilaf Antara Mazhab Dan Antara Ulama Mazhab

6. Niat: Khilaf Antara Mazhab Dan Antara Ulama Mazhab

306
0
Iklan

Susunan Ustaz Adli Khalim
Ringkasan Fiqh Ramadhan:

6. Niat untuk berpuasa, tidak perlu dilafazkan di mulut.

إنما الأعمالُ بالنيةِ، وإنما لامرِئٍ ما نوى، فمَن كانت هجرتُه إلى اللهِ ورسولِه، فهجرتُه إلى اللهِ ورسولِه، ومَن كانتْ هجرتُه إلى دنيا يُصيبُها، أو امرأةٍ يتزوجُها، فهجرتُه إلى ما هاجَر إليه
الراوي : عمر بن الخطاب | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 6689 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]

“Sesungguhnya amalan berdasarkan niat, bagi setiap orang apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang hijrahnya kepada dunia yang diharapkan atau wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya kepada apa yang dituju. – Shahih Al-Bukhari, no. 6689.

مَن لم يُجْمِعِ الصيامَ قبلَ الفجرِ ، فلا صيامَ له
الراوي : حفصة بنت عمر | المحدث : الترمذي | المصدر : سنن الترمذي
الصفحة أو الرقم: 730 | خلاصة حكم المحدث : لا نعرفه مرفوعا إلا من هذا الوجه وروي عن ابن عمر قوله وهو أصح

“Sesiapa yang tidak berazam untuk berpuasa sebelum fajar, tiada puasa baginya.” – Sunan At-Tirmidzi, no. 730. Kata At-Tirmidzi: Kami tidak mengetahui riwayat yang marfu` melainkan melalui jalur ini, dan diriwayatkan juga hadits ini sebagai kata-kata Ibn `Umar dan inilah yang lebih shahih.

= = = = = = = = = =

Penjelasan:

1. Memandangkan hadits Hafshah tidak shahih, kita akan dapati para `ulama’ berbeza pendapat tentang waktu berniat untuk puasa:

(a) Asy-Syafi`i, Ahmad, dan Ishaq berpendapat niat haruslah sebelum terbit fajar.

(b) Abu Hanifah berpendapat boleh berniat selepas terbit fajar, sehinggalah sebelum tegaknya kedudukan matahari.

(c) Malik berpendapat cukup bagi seseorang untuk niat berpuasa pada malam pertama bulan Ramadhan dan diniatkan untuk berpuasa selama sebulan. Ini kerana puasa sebulan itu dikira satu ibadat, sebagaimana haji yang cukup diniatkan pada permulaannya sahaja.

2. Amalan melafazkan niat tidak diriwayatkan daripada Nabi ﷺ, sama ada melalui sanad yang shahih ataupun dha`if. Bahkan, tidak juga diriwayatkan daripada para sahabat radhiyallahu `anhum. Demikianlah generasi kurun yang paling baik, dan inilah pendapat yang terbaik.

3. Sebahagian `ulama’ mazhab menganjurkan lafaz niat, antaranya `ulama’ Al-Hanafiyyah, Asy-Syafi`iyyah, dan Al-Hanabilah, dengan tujuan untuk membantu menghadirkan niat dalam qalbu. Sesiapa yang memilih untuk melafazkan niat, hendaklah mengetahui bahawa:

(a) sekiranya terjadi perbezaan antara niat di qalbunya dengan lafaz di lisannya, sudah pasti yang dikira adalah niat di qalbunya. Contohnya seseorang yang berniat untuk mengerjakan solat `Asar, tetapi dia melafazkan solat Zuhur, yang dikira adalah solat `Asar.

(b) sekiranya dia terlupa untuk melafazkannya, sedangkan memang dia berniat untuk mengerjakan amalan tersebut, maka amalan tersebut tetap dikira sah. Contohnya seseorang yang terlupa untuk melafazkan niat puasa, namun dia tetap bangun untuk bersahur, malah dia mula menahan dirinya daripada makan, minum, dan seks bermula dari terbitnya matahari, maka puasanya dikira sah.

(c) sekiranya dia menganggap amalan melafazkan niat lebih afdhal, itu adalah satu kesilapan yang besar, bahkan i`tiqad seperti ini boleh menjatuhkan seseorang ke lembah bid`ah.

= = = = = = = = = =

Hashtag: #fiqhpuasa

Komen dan Soalan