Utama Fiqh Ramadhan 5. Tertakluk Kepada Ru’yah Hilal Setiap Negeri

5. Tertakluk Kepada Ru’yah Hilal Setiap Negeri

154
0
Iklan

Susunan Ustaz Adli Khalim
Ringkasan Fiqh Ramadhan:

5. Penduduk setiap negeri tertakluk kepada ru’yah hilal di negeri mereka masing-masing.

واستهلَّ عليَّ رمضانُ وأنا بالشامِ . فرأيتُ الهلالَ ليلةَ الجمعةِ . ثم قدمتُ المدينةَ في آخرِ الشهرِ . فسألني عبدُ اللهِ بنُ عباسٍ رضي اللهُ عنهما . ثم ذكر الهلالَ فقال : متى رأيتُم الهلالَ فقلتُ : رأيناه ليلةَ الجمعةِ . فقال : أنت رأيتَه ؟ فقلتُ : نعم . ورأه الناسُ . وصاموا وصام معاويةُ . فقال : لكنا رأيناه ليلةَ السَّبتِ . فلا تزال نصومُ حتى نكمل ثلاثينَ . أو نراه . فقلتُ : أو لا تكتفي برؤيةِ معاويةَ وصيامِه ؟ فقال : لا . هكذا أمرَنا رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ . وشكَّ يحيى بنُ يحيى في : نكتفِي أو تَكتفي .
الراوي : عبدالله بن عباس | المحدث : مسلم | المصدر : صحيح مسلم
الصفحة أو الرقم: 1087 | خلاصة حكم المحدث : صحيح

Hilal Ramadhan sudah kelihatan sedangkan aku (Kuraib) masih di Syam. Aku melihat hilal pada malam Juma`at. Kemudian aku pulang ke Madinah di akhir bulan. Lalu `Abdullah bin `Abbas radhiyallahu `anhuma bertanya kepadaku tentang hilal, katanya: “Bila kalian melihat hilal?” Aku menjawab: “Kami melihatnya pada malam Juma`at.” Ibn `Abbas bertanya: “Adakah engkau turut melihatnya?” Aku menjawab: “Ya. Orang ramai turut melihatnya, dan mereka berpuasa. Begitu juga dengan Mu`awiyah.” Ibn `Abbas berkata: “Tetapi kami melihatnya pada malam Sabtu. Kami akan terus berpuasa sehingga kami menggenapkan 30 hari atau kami melihatnya.” Aku berkata: “Tidak cukup dengan ru’yah Mu`awiyah dan puasanya?” Jawab Ibn `Abbas: “Tidak! Itulah yang diperintahkan oleh Rasulullah ﷺ.” – Shahih Muslim, no. 1087.

= = = = = = = = = =

Penjelasan:

1. Kata At-Tirmidzi dalam sunannya selepas meriwayatkan hadits Kuraib di atas (no. 693): “Hadits ini diamalkan oleh para `ulama’, iaitu bagi setiap penduduk negeri itu ru’yah masing-masing.”

2. Bagi mathla` (مطلع, iaitu tempat terbitnya bulan) Malaysia, negeri yang diterimapakai adalah Banda Acheh di Sumatera sehingga ke Irian Jaya, Brunei Darussalam, dan Singapura, sebagaimana yang diamalkan oleh negara-negara anggota MABIMS (Menteri-Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura).

3. Bagi seseorang yang bermusafir, hadits ini menjadi dalil bahawa permulaan dan pengakhiran puasanya bergantung kepada penetapan yang dilakukan oleh pemerintah di negara tempat dia berada.

4. Namun, sekiranya perjalanannya menyebabkan jumlah hari berpuasanya kurang daripada 29 hari atau lebih daripada 30 hari (sedangkan dalam hadits shahih, Rasulullah ﷺ mengatakan sebulan adalah 29 atau 30 hari), berikut adalah perinciannya:

(a) Sekiranya esok adalah 1 Syawal menurut negara tersebut, sedangkan dia baru berpuasa selama 27 atau 28 hari, dia hendaklah menyambut `Id bersama penduduk negara tersebut, dan menggantikan jumlah hari sehingga genap 29 hari selepas 1 Syawal.

(b) Sekiranya dia telah berpuasa sebanyak 30 hari, sedangkan negara tersebut hanya akan merayakan 1 Syawal dalam masa sehari atau 2 hari lagi, dia hendaklah berhenti berpuasa selepas genap 30 hari, dan menunggu (dalam keadaan tidak berpuasa) kedatangan 1 Syawal bersama penduduk negara tersebut.

(c) Penjelasan tentang masalah ini boleh dibaca di pautan berikut: http://www.muftiwp.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=186:rukyah-dan-hisab&catid=57&Itemid=276 atau http://hafizfirdaus.com/ebook/musafir/bhg38.htm

= = = = = = = = = =

Hashtag: #fiqhpuasa

Komen dan Soalan