Utama Fiqh Ramadhan 2. Sengaja Puasa Hari Ambang Ramadhan Adalah Dilarang

2. Sengaja Puasa Hari Ambang Ramadhan Adalah Dilarang

195
0
Iklan

Ringkasan Fiqh Ramadhan:

2. Tidak boleh mendahului puasa Ramadhan sehari atau dua hari (yakni pada hari syak), melainkan itu merupakan amalan kebiasannya.

لا تصُوموا حتى تَرَوا الهلالَ ، ولا تُفْطِروا حتى تَرَوْهُ ، فإنْ غُمَّ عليكم فَاقْدُروا لهُ .
الراوي : عبدالله بن عمر | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 1906 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]

“Janganlah kalian berpuasa sehingga kalian melihat anak bulan (hilal), dan janganlah kalian berbuka sehingga kalian melihat hilal. Sekiranya kalian terhalang, maka hendaklah kalian kira.” – Shahih Al-Bukhari, no. 1906.

لا تقْدُموا رمضانَ بصومِ يومٍ ولا يومينِ . إلا رجلٌ كان يصومُ صومًا ، فلْيصمْه
الراوي : أبو هريرة | المحدث : مسلم | المصدر : صحيح مسلم
الصفحة أو الرقم: 1082 | خلاصة حكم المحدث : صحيح

“Janganlah kalian mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari (sebelumnya), melainkan lelaki yang biasa berpuasa, maka dia dibolehkan untuk berpuasa.” – Shahih Muslim, no. 1082.

كنا عِندَ عمار بن ياسر فأتى بشاة مصلية فقال : كلوا، فتنحى بعض القوم، فقال : إني صائم . فقال عمار : من صام اليومَ الذي شك فيه فقد عصى أبا القاسم
الراوي : صلة بن زفر | المحدث : الترمذي | المصدر : سنن الترمذي
الصفحة أو الرقم: 686 | خلاصة حكم المحدث : حسن صحيح

Kata Shilah bin Zhufar: Kami bersama `Ammar bin Yasir, lalu dihidangkan daging kambing bakar, lalu beliau berkata: “Makanlah.” Sebahagian orang mengundurkan diri, lalu berkata: “Aku berpuasa.” Lalu `Ammar berkata: “Sesiapa yang berpuasa pada hari syak, dia telah derhaka kepada Abu Al-Qasim.” – Sunan At-Tirmidzi, no. 686. Kata At-Tirmidzi: Hasan shahih.

= = = = = = = = = =

Penjelasan:

1. Kata At-Tirmidzi dalam sunannya (nama asal kitabnya ialah Al-Jami` Al-Mukhtashar) selepas meriwayatkan hadits Abu Hurairah (no. 684): “Para `ulama’ membenci seseorang menyegerakan puasanya sehari atau dua hari sebelum masuknya Ramadhan, melainkan seseorang berpuasa pada hari yang biasa dia lakukan, maka itu tidak mengapa menurut mereka.”

2. Maksud “Melainkan seseorang berpuasa pada hari yang biasa dia lakukan, maka itu tidak mengapa…” adalah apabila seseorang melazimi puasa Isnin-Khamis atau puasa Nabi Dawud `alaihi as-salam, dan kebetulan hari yang sepatutnya dia berpuasa adalah sehari atau dua hari sebelum masuknya Ramadhan, maka dia diperbolehkan untuk berpuasa seperti kebiasaannya.

3. Kata An-Nawawi dalam Al-Majmu` Syarh Al-Muhadzab (4/453): “Tidak sah puasa pada hari syak bulan Ramadhan tanpa khilaf sebagaimana yang disebutkan oleh pengarang. Sekiranya puasanya kerana qadha’, nazar, atau kaffarah, maka dibolehkan.”

4. Hadits-hadits di atas juga menjadi dalil sebahagian `ulama’ yang berpendapat hadits Abu Hurairah tentang larangan selepas 15 Sya`ban tidak shahih. Sekiranya hadits Abu Hurairah tersebut shahih, maka tidak perlu lagi Nabi ﷺ melarang berpuasa sehari atau dua hari sebelum Ramadhan.

= = = = = = = = = =

Hashtag: #fiqhpuasa

Komen dan Soalan