Utama Bilik (09) Ulum Al-Quran 05.01.01 Bab Ayat Awal Turun (أول ما نزل)

05.01.01 Bab Ayat Awal Turun (أول ما نزل)

246
0
Iklan

#020616 Bilik (09) Ulum al-Quran

05.01.01 Bab Ayat Awal Turun (أول ما نزل)

1. Ust Manna’ Qattan menyebutkan, pendapat yang paling tepat tentang surah/ayat yang pertama turun ialah ayat 1 – 5, dari surah al-‘Alaq.

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ، خَلَقَ الْأِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ، اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ، الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ، عَلَّمَ الْأِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

Berdalilkan hadits yang masyhur, diriwayatkan dari ‘Aisyah radhiyalLaahu ‘anha, dia menyebutkan,

“Yang pertama dimulai terasa oleh RasululLah sallalLaahu ‘alaihi wa sallam dari wahyu, adalah mimpi-mimpi yang benar ketika tidur.

Tidaklah baginda melihat satu-satu mimpi kecuali ianya sangat jelas bagaikan cahaya subuh.

Kemudian, dia diberi ilham untuk mengasingkan diri. Dia sering ke Gua Hira di mana dia beribadah di sana beberapa malam, dan dia menyiapkan bekalan untuk itu.

Kemudian dia kembali kepada Khadijah, lalu dipersiapkan kembali bekalannya seperti sebelumnya, sehinggalah (pada suatu malam), hadirnya kebenaran ketika dia berada di gua Hira’.

Malaikat mendatanginya di dalam gua itu lalu berkata, “Bacalah!”

(Dia menceritakan kepadaku:) Lalu aku menjawab, “Aku bukan orang yang tahu membaca..”

Dia menangkapku, lalu memelukku kuat sehingga aku tak mampu bertahan. Lalu dia melepaskan aku dan berkata, “Bacalah!”

Aku menjawab, “Aku bukan orang yang tahu membaca..”

Lalu, aku dipeluk kali ke-2 sehingga aku terasa sesak, lalu dia melepaskan aku dan berkata:
“Bacalah!”

Aku menjawab, “Aku bukan orang yang tahu membaca..”

Lalu, aku dipeluk kali ke-2 sehingga aku terasa sesak, lalu dia melepaskan aku dan membacakan ,

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ، خَلَقَ الْأِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ، اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ، الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ، عَلَّمَ الْأِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

(Aisyah menyambung kisah:) Lalu, RasululLah pun pulang dalam keadaan menggigil ketakutan.

[HR al-Bukhari & Muslim]

2. Pendapat seterusnya mengatakan bahawa ayat-ayat atau surah yang pertama turun ialah dari surah al-Muddatstsir.

Ia disandarkan pada hadits yang diriwayatkan dari Abu Salamah ibn Abdul Rahman, di mana dia menyebutkan:

‘Aku pernah bertanya kepada Jabir: (Ayat) al-Quran yang mana turun dahulu?

Jabir menjawab: يَا أَيُّهَا المُدَّثِّرُ

Aku tanyakan lagi: Bukan اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ ?

Jabir mengatakan: Aku ceritakan kepada kalian apa yang RasululLah sallalLaahu ‘alaihi wa sallam ceritakan kepada kami (di mana baginda bersabda:)

“Aku mengasingkan diri di gua Hira selama sebulan. Apabila selesai satu tempoh masa, akupun turun dan melewati suatu lembah.

Kemudian (aku terdengar seperti) aku dipanggil. Aku lihat di depan, di belakang, di kanan dan di kiriku, aku tak melihat sesiapapun.

Kemudian aku dipanggil lagi. Aku lihat sekeliling, tiada siapa.

Kemudian aku dipanggil lagi, aku angkat kepalaku, dan aku tiba-tiba melihat dia (Jibril) di atas sebuah singgahsana di udara.

Aku jadi sangat terkejut, lalu segera pulang bertemu Khadijah sambil menyebut: ‘Selimuti aku!”. Lalu mereka membalutku dan menyiramkan air kepadaku.

Lalu, Allah turunkan ayat berikut:

يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ، قُمْ فَأَنْذِرْ، وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ، وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ‏

[HR al-Bukhari & Muslim]

Ust Manna Qattan menyebutkan: Aku katakan sebagai respon kepada isu hadits Jabir di atas ini, bahawa soalan yang ditanyakan kepadanya merujuk kepada surah yang diturunkan secara lengkap.

Maka, Jabir menjelaskan bahawa surah al-Muddatstsir turun secara lengkap sebelum lengkapnya surah al-‘Alaq, kerana yang awal turun dari surah al-‘Alaq hanya beberapa ayat yang awal.

Dalil yang mendokong kenyataan ini adalah hadits yang juga dari Abu Salamah yang meriwayatkan dari Jabir, dengan sedikit perbezaan lafaz, di mana Nabi menyebutkan ketika mendengar namanya dipanggil:

فَرَفَعْتُ رَأْسِي فَإِذَا الْمَلَكُ الَّذِي جَاءَنِي بِحِرَاءٍ

“Akupun mengangkat kepalaku, tiba-tiba aku melihat malaikan yang telah menemuiku ketika di gua Hira..”

[HR al-Bukhari & Muslim]

Hadits ini menunjukkan bahawa peristiwa tersebut berlaku lebih kemudian, selepas berlakunya peristiwa di gua Hira di mana telah turunnya beberapa ayat dari surah al-‘Alaq terlebih dahulu.

(Bersambung..)

walLaahu a’lam

Ruj: Mabahits fi ‘Ulum al-Quran, karangan Ust Manna’ Khalil al-Qattan

#BroSyariefShares

Komen dan Soalan