Terjemahan dan Syarah oleh
محمد عدلن بن محمد شريف الدين بن أحمد بن جعفر الدياري
ADÖULINÉ Lacharouphe
Mohd `Adlan Bin Mohd Shariffuddin
Dari Saitama, Jepun
41- حَدَّثَنَا أَبُو كُرَيْبٍ مُحَمَّدُ بْنُ الْعَلَاءِ، قَالَ: حَدَّثَنَا مُعَاوِيَةُ بْنُ هِشَامٍ، عَنْ شَيْبَانَ، عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ، عَنْ عِكْرِمَةَ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ: قَالَ أَبُو بَكْرٍ: يَا رَسُولَ اللهِ، قَدْ شِبْتَ. قَالَ: «شَيَّبَتْنِي هُودٌ، وَالْوَاقِعَةُ، وَالْمُرْسَلَاتُ، وَعَمَّ يَتَسَاءَلُونَ، وَإِذَا الشَّمْسُ كُوِّرَتْ».
41- Telah bercerita kepada kami Abu Kurayb Muhammad bin Al-`Ala’, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Mu`awiyah bin Hisyam, daripada Syayban, daripada Abi Ishaq, daripada `Ikrimah, daripada Ibni `Abbas, dia berkata: Telah berkata Abu Bakr: Ya Rasula Llah, kamu telah beruban. Dia berkata: «Telah mengubankan saya Hud, dan Al-Waqi`ah, dan Al-Mursalat, dan `Amma yatasa’alun, dan Iza sy-syamsu kuwwirat».
Syarah Adou_Fr:
Hadis ini menunjukkan kata-kata Abu Bakr kepada Nabi apabila dia melihat Nabi telah beruban, seolah-olah dia terkejut melihat kepala Nabi yang beruban. Dapat dilihat di sini bahawa Aba Bakr, sebagai seorang sahabat, dia dapat memerhatikan perubahan pada fizikal Nabi yang merupakan sahabatnya. Ini menunjukkan bahawa Aba Bakr sangat mengambil berat, prihatin dan peka dengan apa yang berlaku kepada orang yang disayanginya.
Hadis ini sebenarnya dapat mengajar kita tentang cinta, iaitu cinta menyebabkan seseorang mengambil berat terhadap kekasih dan orang yang dicintaïnya. Apabila cinta sudah tertanam dalam diri, ia akan lahir dengan bukti, yang terzahir melaluï cara bagaimana seseorang melayan dan berinteraksi dengan orang yang dicintaïnya.
Ramai anak muda, terutama yang besar angan-angannya – tetapi pendek akal dan ilmunya –, mereka menganggap bahawa cinta itu hanya kata-kata. Justeru, mereka mengulang-ulang kata-kata cinta, sehingga ia menggoyangkan iman, maruah dan membutakan hati mereka daripada kebenaran.
Sebaliknya, yang penting dalam cinta, yang penting dan persahabatan yang sejati, yang penting dalam hubungan yang ikhlas dan tulus, ialah seseorang itu dapat mengesan sesuatu kelainan, perbezaan atau perubahan pada diri orang yang dihargaïnya, sebelum dia diberitahu oleh lisan orang itu, atau sebelum lidah orang itu berbicara.
Kelainan, perbezaan atau perubahan itu dapat dikesan – walaupun tanpa diberitahu, malah kadangkala ia ialah hal yang cuba disembunyikan – kerana dia melihat dengan mata hati, dan bukan sekadar bergantung dengan deria sahaja.
Mata hati yang lebih cerah, lebih sensitif, lebih terbuka ‘matanya’, dapat melihat kelainan orang yang dikasihi pada suatu ketika berbanding dengan ketika yang lain, dapat melihat perbezaan – sifat, tingkah laku, perangai, fizikal dan sebagainya – antara keadaan biasa dengan yang luar biasa, serta dapat mengesan perubahan – walaupun yang paling kecil – daripada keadaan sebelumnya.
Lihatlah Aba Bakr dalam hadis ini, dia dapat melihat uban Nabi – yang sedikit, seperti dalam hadis sebelum ini – yang menunjukkan bahawa dia perasan terdapat rambut putih pada kepala Nabi walaupun ia hanya lebih kurang 20 helai.
Seterusnya, Nabi menjawab perkataan Abi Bakr, dengan memberikan penjelasan bahawa uban itu adalah kerana wahyu yang diturunkan, iaitu Surah Hud, Surah Al-Waqi`ah, Surah Al-Mursalat, Surah An-Naba’ dan Surah At-Takwir.
Sebagai penuntut ilmu hadis yang ikhlas, dan sebagai muslim yang benar-benar mencintaï Nabinya, maka setiap kita hendaklah membuka Al-Qur’an – sekarang – dan membaca kelima-lima surah tersebut.
Setelah itu, bagi yang tidak memahami surah-surah itu, dia hendaklah membuka terjemahan – dalam bahasa yang difahaminya – dan membaca terjemahannya.
Kemudian, kita hendaklah cuba membandingkan dan mencari sebab, kenapa surah-surah tersebut telah menyebabkan Nabi beruban.
Adou_Fr berkata: Dan hanya orang yang benar-benar ikhlas mahu menuntut ilmu akan berusaha memenuhi syarat-syaratnya. Dalam hal ini, untuk memahami syarah hadis ini, kita hendaklah membaca dahulu surah-surah tersebut dan berfikir tentang bagaimana ia telah mengubankan Nabi. Jika tidak sanggup untuk membaca surah-surah itu, maka fikirlah semula, adakah anda benar-benar mahu menuntut ilmu, atau hanya menipu diri sendiri?