Utama Tazkirah Admin Apabila Terpaksa Melakukan Maksiat, Wajib Berhijrah

Apabila Terpaksa Melakukan Maksiat, Wajib Berhijrah

311
0
Iklan

~Tadabbur Kalamullah 1 Muharram 1437H~

 

إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ ظَالِمِي أَنْفُسِهِمْ قَالُوا فِيمَ كُنْتُمْ ۖ قَالُوا كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الْأَرْضِ ۚ قَالُوا أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا ۚ فَأُولَٰئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَسَاءَتْ مَصِيرًا * إِلَّا الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ لَا يَسْتَطِيعُونَ حِيلَةً وَلَا يَهْتَدُونَ سَبِيلًا

“Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah)”[Surah An-Nisa’ 97-98]

 

Berkata al-Maraghi:

“Ayat ini mengisyaratkan bahawa seseorang yang tinggal di suatu negeri yang tidak memungkinkan dapat mengerjakan perintah-perintah agamanya kerana wujud beberapa halangan atau dia tahu bahawa di tempat lain akan lebih mudah melaksanakan kewajipan kepada Allah dan beribadah dengan lebih baik, maka dia WAJIB berhijrah”

#Ijmak ulamak mengatakan bahawa WAJIB hijrah dari negara kafir apabila orang Islam terpaksa melakukan maksiat.

#Berkata Dr. Mustafa al-Bugha: “Hijrah dari bumi kafir ke negeri Islam adalah wajib ke atas seorang Muslim yang tidak dapat bertahan dalam menzahirkan agamanya. Hukum ini adalah berkekalan tanpa sebarang syarat.

 

Sabda Nabi saw:

“Dan aku perintahkan kamu dengan 5 perkara. Ini kerana Allah perintahkan aku dengannya. Iaitu dengan berjemaah, mendengar, mematuhi, hijrah dan jihad di jalan Allah” (HR Ahmad dan at-Tirmizi)

#Ini menunjukkan bahawa orang yang wajib berhijrah (yang tiada sebarang keuzuran) namun enggan dan degil untuk berhijrah (demi mempertahankan agama dan rela ditindas oleh kafir musyrik) maka Allah swt mengancam mereka dgn azab neraka jahannam.

 

Imam Ibnu Qayyim mengatakan hijrah terbahagi kepada 2:

  1. Hijrah dengan tubuh badan dari sebuah negeri ke sebuah negeri yang lain
  2. Hijrah dengan hati kepada Allah dan RasulNya iaitu hijrah yang mengandungi daripada dan kepada. Iaitu hijrah dengan hatinya daripada cinta selain Allah kepada cinta kepadaNya. Daripada Ubudiyyah selainNya kepada Ubudiyyah Allah.

 

Semoga amalan di tahun 1437H lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya. Jom berhijrah meninggalkan dosa dan menuju jalan ke Syurga Allah swt

 

Ustaz Naim
https://m.facebook.com/ustazmuhamadnaim

 

Komen dan Soalan