Utama Bilik (22) Hadith Al-Sakandary Ulum hadith : Kelas #18

Ulum hadith : Kelas #18

263
0
Iklan

Kelas Ulum Hadith Al-Sakandary : 8 Jan 2016 @ 20 Rabi’ al-Awwal 1437

 

Bismillah, Alhamdulillah. Segala puji kepada Allah Rabb sekalian alam, kepadaNya kita memohon perlindungan, petunjuk serta pengampunan, selawat serta salam kepada baginda Muhammad SAW penutup segala Nabi dan Rasul, serta kepada para Sahabat baginda serta keluarga baginda dan kepada mereka yang teguh atas manhaj baginda hingga kini..wa ba’d

Kita berdoa agar ditetapkan atas manhaj salaf, mengikuti tauladan para salaf. Manhaj salaf adalah bagi semua yang mengikut tauladan para Salaf. Moga kita dijauhkan dari sifat perasan diri mengikuti salaf serta memberi cop kepada orang lain sebagai tidak mengikut salaf hanya kerana orang itu tidak mengikut pendapat gurunya atau tidak mengekor pendapat syaikh yang disanjungnya.

Syukur kepada Allah yang telah memberikan kita rezqi untuk meneruskan kelas ulum hadith kita pada malam ini insyaAllah. Telah lama kita tidak bertemu untuk kelas ulum hadith ini, disebabkan kesibukan kerja dan kesuntukan masa.

 

Hadith Dhaif bermaksud ia disandarkan kepada Nabi secara lemah

Pada kelas-kelas yang lalu kita telah melihat banyak perkara, kita telah melihat ta’rif hadith Sahih dan syarat-syaratnya, dan kelas kita yang lalu kita telah melihat contoh hadith/hadith Munkar. Walaubagaimanapun malam ini, saya tidak bercadang untuk terus menyambung kelas yang lalu di mana jika diikutkan saya ingin berbincang lanjut berkenaan hadith Munkar dan membawa lebih banyak contoh. Sebaliknya saya ingin menyentuh beberapa isu, dan melihat beberapa istilah-istilah hadith. Pertamanya isu berkenaan hadith Dhaif. Sejak akhir-akhir ini saya sering mendengar suara berkata “hadith Dhaif tetap hadith, ia tetap dari Nabi, ia bukan palsu”. Ungkapan ini batil. Hadith sebagaimana yang kita tahu bermaksud apa saja yang disandarkan kepada Nabi. Hadith Sahih bermaksud ia disandarkan kepada Nabi secara benar dan boleh kita ithbatkan ia kepada Nabi.

Manakala hadith Dhaif bermaksud ia disandarkan kepada Nabi secara lemah, dan kita tidak boleh mengithbatkannya kepada Nabi, iaitu kita tidak boleh berkata Nabi berkata sekian-sekian atau berbuat sekian-sekian dengan hadith Dhaif. Dan hadith Maudhu adalah jenis hadith Dhaif yang paling Dhaif. Ithbat sesuatu hadith kepada Nabi adalah satu hal, manakala beramal dengannya adalah satu hal lain. Hadith Dhaif tidak boleh kita ithbatkan kepada Nabi, namun beramal dengannya boleh dengan syarat, beramal pula tidaklah dengan mengithbatkannya kepada Nabi.

 

Beramal dengan Hadith Dhaif dalam Fadhail

Isu seterusnya ialah beramal dengan hadith Dhaif dalam fadhail atau kelebihan-kelebihan amalan. Sebagaimana yang pernah saya sebutkan dalam kelas yang lalu, sepakat para huffaz salaf mutaqaddimin bolehnya beramal akan hadith Dhaif dalam hal fadhail. Sebahagian mendakwa terdapat para huffaz mutaqaddimin semisal al-Bukhari dan Muslim, Ibn al-Madini merupakan mereka yang menolak hadith Dhaif secara mutlak hatta dalam bab fadhail, kenyataaan ini batil, dan tidak disokong oleh hujjah yang konkrit, sebaliknya apa yang jelas adalah sebaliknya. Namun isu yang berlaku dalam masyarakat kita ialah, mereka tidak faham apa itu fadhail amal, hingga perkara bid’ah juga dikatanya fadhail amal. Asalkan ada hadith dhaif, maka boleh beramal dengannya atas alasan fadhail amal.

Ini salah. Bukan semua hadith dhaif boleh dibuat amal dalam fadhail. Pertama syarat yang disepakati huffaz mutaqaddimin ia mestilah hadith dhaif yang ringan. Kemudian amalan itu mestilah bukan amalan yang baru, dengan kata lain amalan itu sudah punya dalil yang Sahih baik dalil Quran atau hadith.

 

Apakah ta’rif fadhail amal?

Saya dapati rata-rata memahaminya sebagai:

  1. Satu amalan baik yang berasal dari hadith-hadith Dha’if, asal hadith itu Dha’if yang jika ia diamalkan, maka itu termasuk dalam fadha’il a’mal. Tidak mengira ia Dha’if Ringan (Khafif al-Dha’f) atau Dha’if Berat (Syadid al-Dha’f)
  2. Satu amalan yang tiada asalnya dari hadith Sahih, mahupun al-Qur’an, mahupun amalan para Salaf (iaitu para Sahabat, Tabi’in dan Tabi’ Tabi’in, hingga 300H), namun ia terdapat dalam hadith Dha’if maka ia termasuk fadha’il a’mal
  3. Satu amalan yang tiada asalnya dari hadith Sahih, mahupun al-Qur’an, mahupun amalan para Salaf (iaitu para Sahabat, Tabi’ dan Tabi’in, hingga 300H), namun ia terdapat dalam hadith Dha’if maka ia termasuk fadha’il a’mal, dengan syarat hadith Dha’if itu mestilah bukan terlalu Dha’if (Dha’if Jiddan) atau Palsu (Maudhu’)
  4. Satu amalan yang berasal dari hadith-hadith Dha’if tanpa mengira darjat ke’Dha’ifan’nya, dengan syarat hadith Dha’if itu isi kandungannya memberi suntikan jiwa, dan membawa rasa ketenangan dalam jiwa, maka ia adalah fadha’il a’mal
  5. Satu amalan yang masyhur diamalkan masyarakat awam, yang berasal dari hadith-hadith Dha’if, maka itu adalah fadha’il a’mal.

Sayangnya kesemua pemahaman ini adalah pemahaman yang salah, bahkan ia bercanggah dengan pemahaman para ulama hadith yang membenarkan hadith-hadith Dha’if digunakan untuk fadha’il a’mal itu sendiri semisal Imam Yahya bin Syaraf al-Nawawi, walaupun nama beliau sering dipergunakan oleh mereka-mereka yang ketagihan fadha’il a’mal ini.

 

Hukum beramal dengan hadith Dha’if dalam fadha’il a’mal

Sebelum kita pergi lanjut berkenaan maksud fadha’il a’mal dan bagaimanakah ia sering disalah-guna sesetengah pihak terutamanya ahli bid’ah, adalah baik terlebih dahulu kita lihat apakah hukum beramal dengan hadith Dha’if dalam fadha’il a’mal itu sendiri. Para ulama berbeza berkenaan boleh atau tidaknya beramal akan hadith-hadith Dha’if dalam fadha’il a’mal kepada dua kelompok, iaitu:

  1. Kelompok pertama berpendapat bahawa hadith-hadith Dha’if tidak boleh digunakan secara mutlak termasuklah dalam fadha’il a’mal. Pendapat ini popular dikalangan fuqaha dan ahli hadith Mutaakhkhirin semisal Ibn Taimiah, Ibn al- ‘Arabi, al-Syatibi, al-Syaukani. Ahmad Syakir, al-Albani dan lainnya. Terdapat juga antara mereka dari kelompok pertama ini menisbahkan pegangan ini kepada huffaz Mutaqaddimin semisal al-Bukhari, Muslim, Yahya ibn Ma’in, namun ia hanyalah dakwaan ampuh tanpa bukti yang jelas, bahkan bukti-bukti yang sampai menunjukkan sebaliknya.
  2. Kelompok kedua berpendapat boleh beramal dengan hadith-hadith Dha’if dalam fadha’il a’mal dengan syarat-syarat yang ketat (kita akan sebutkan syaratsyaratnya kemudian). Ini adalah pegangan para huffaz hadith Mutaqaddimin semisal Abu Hatim, Abu Zur’ah, Ahmad bin Hanbal, Abu Daud, Sufyan al-Thauri, ‘Abdul Rahman ibn Mahdi, Yahya ibn Ma’in, bahkan ia juga adalah pegangan alBukhari dan Muslim (berdasarkan bukti kuat yang sampai kepada kita).

Pendapat kedua inilah pendapat yang rajih (lebih tepat).

 

Syarat-syarat ketat beramal dengan hadith Dha’if dalam fadha’il a’mal

Sebagaimana yang telah kita sebutkan sebelum ini, para huffaz Mutaqaddimin membolehkan beramal dengan hadith-hadith Dha’if dalam fadha’il dengan syaratsyarat ketat. Syarat-syarat ini adalah sebagaimana yang telah dinaskan(disebutkan) mereka dan juga yang dapat difahami dari amalan-amalan mereka dalam berinteraksi dengan hadith-hadith Dha’if dalam fadha’il ini. Padanya 4 syarat ketat iaitu:

  1. Hadith Dha’if itu mestilah bukan dari jenis Dha’if Syadid (Dha’if Berat). Yang dimaksudkan dengan Dha’if Syadid atau Dha’if Jiddan ialah pada hadith itu terdapat mereka yang Muttaham, atau Matruk, atau Dha’if Jiddan, atau Mathruh al-Hadith dan semisalnya, Setiap dari jenis-jenis sakit ini tidak dapat menguatkan satu sama lain, bahkan ia lebih melemahkan yang lain, ia umpama tisu “necrosis” dalam badan yang hanya memusnahkan dan membunuh bukan membaiki. Jika satu hadith terdapat mereka yang seperti ini maka ia termasuk dari jenis hadithhadith Dha’if Syadid dan ia tidak boleh dibuat beramal dalam fadha’il. Dan untuk mengenal sama ada suatu hadith itu adalah Dha’if Jiddan atau tidak, ia hanya boleh dilakukan oleh mereka yang ahli dalam hadith serta ilmunya, ia tidak mungkin diketahui oleh orang awam. Oleh sebab itu, ramai ulama menegaskan bahawa beramal dengan hadith Dha’if dalam fadha’il ini terhad untuk para ulama hadith kerana hanya mereka yang mampu membezakan mana hadith Dha’if Jiddan dan mana yang Dha’if Khafif.
  2. Amalan dalam hadith Dha’if itu mestilah mempunyai asal dalam hadith-hadith Sahih, ia tidak membawa amalan baru yang tiada dalam hadith-hadith Sahih, tidak menetapkan sesuatu tatacara khusus atau waktu khusus yang tiada asalnya dalam hadith-hadith Sahih.
  3. Pengamal hadith Dha’if itu tidak meyakini bahawa ganjaran atau ancaman dalam hadith Dha’if itu adalah pasti, sebaliknya ia hanya dilakukan atas sebab berhati-hati.
  4. Pengamal hadith Dha’if itu tidak mempopularkan amalan dari hadith Dha’if itu, kerana ditakuti ganjaran atau ancaman itu akan disalah fahami orang awam yang jahil sebagai satu yang pasti, seterusnya mereka meyakini ia dari Nabi secara pasti.

 

Definisi Fadha’il A’mal

Setelah kita memahami apakah hukum beramal dengan hadith-hadith Dha’if dalam fadha’il a’mal dan juga memahami syarat-syarat ketat yang digariskan ahli hadith, pasti kita tertanya apakah maksud fadha’il a’mal itu sebenarnya?. Yang dimaksudkan dengan fadha’il a’mal ialah suatu amalan yang mana fadhilat(ganjaran)nya terdapat dalam hadith-hadith Dha’if, namun amalan itu sendiri adalah satu amalan yang telah sedia wujud bahkan telah sedia thabit dalam hadith-hadith Sahih atau al-Qur’an. Dengan kata lain, amalan itu adalah amalan yang telah sedia disyariatkan dalam hadith-hadith Sahih dan al-Qur’an, hanya saja fadhilat (ganjaran) amalan tersebut terdapat dalam hadith Dha’if. Untuk menyatakan bahawa suatu amalan itu adalah disyariatkan ia memerlukan dalil, dan dalil itu mestilah Sahih serta menepati kaedah usul yang tepat.

Fadha’il a’mal bukanlah bermaksud beramal dengan satu amalan baru yang tidak wujud dan pernah tidak disyariatkan dalam hadith-hadith Sahih mahupun al-Qur’an, amalan tersebut bukanlah berdiri dengan sendiri, akan tetapi ia adalah amalan yang hanya boleh berdiri dengan bantuan hadith-hadith Sahih lain, ia adalah amalan yang telah sedia wujud dan thabit dalam hadith-hadith Sahih. Hadith Dha’if itu hanyalah menjadi satu sumber motivasi pembakar semangat untuk seseorang beramal dengan amalan yang telah sedia wujud dalam hadith Sahih tersebut.

 

Contoh-contohnya

Misalnya amalan solat Dhuha adalah satu amal ibadah yang telah sedia thabit dalam hadith-hadith Sahih, solat Dhuha itu sendiri sememangnya disyariatkan. Sekiranya wujud satu hadith Dha’if yang menceritakan ganjaran-ganjaran solat Dhuha, dan hadith Dha’if itu mencukupi syarat-syaratnya (sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini) maka bolehlah mengambil hadith Dha’if tersebut untuk beramal dengannya sebagai pemberi semangat melakukan solat Dhuha.

Contoh lain pula, misalnya jika terdapat satu hadith Dha’if yang menceritakan ganjaran bersedekah secara umum, dan hadith Dha’if itu mencukupi syarat-syaratnya, maka bolehlah beramal dengan hadith Dha’if berkaitan ganjaran bersedekah tersebut, kerana amalan bersedekah sememangnya satu amalan yang telah sedia wujud dalam hadith-hadith Sahih dan ia sememangnya disyariatkan.

Misal lainnya, amalan beristighfar sememangnya satu amalan yang thabit dalam al-Qur’an, namun fadhilat(ganjaran) beristighfar dari hadith-hadith adalah Dha’if kesemuanya, namun hadith-hadith Dha’if berkenaan ganjaran istighfar itu boleh dibuat amal dalam fadha’il apabila ia mencukupi syarat-syaratnya kerana amalan istighfar sememangnya telah sedia wujud dan disyariatkan dalam al-Qur’an. Ia bukanlah amalan baru. Sekiranya terdapat satu hadith Dha’if yang menceritakan amalan zikir dengan lafaz khusus, pada waktu-waktu tertentu yang khusus, dengan sifat khusus serta tatacara yang khusus, ini tidaklah termasuk dalam ketegori fadha’il a’mal kerana amalan zikir khusus tersebut, dengan waktu dan tatacara khusus tersebut tidak mempunyai sebarang asal dari mana-mana hadith Sahih, sebaliknya ia adalah satu amalan baru yang direka dari hadith-hadith Dha’if, dengan kata lain ia sebenarnya adalah amalan bid’ah, bukan fadha’il a’mal.

Begitu juga sekiranya terdapat satu hadith Dha’if yang menceritakan amalan solat pada waktu yang khusus, dengan sifat, tatacara yang khusus semisal solat Raghaib (solat pada malam Jumaat pertama bulan Rejab), atau solat Tasbih, atau solat Hifzi, atau solat malam Nisfu Sya’ban dan lain-lain semisal, kesemua itu tidak termasuk dalam kategori fadha’il a’mal kerana ia adalah amalan baru yang tidak wujud dalam mana-mana hadith Sahih bahkan tidak pernah disyariatkan, sebaliknya ia adalah amalan bid’ah yang wajib diingkari.

Begitu juga jika datang satu hadith yang menceritakan amalan puasa pada hari sekian sekian yang khusus semisal puasa pada hari Nisfu Sya’ban, maka ia bukanlah termasuk dalam fadha’il a’mal kerana amalan tersebut tidak wujud dalam hadith-hadith Sahih, sebaliknya ia adalah bid’ah yang tercela.

 

Berpegang dengan hukuman hadith yang dilakukan para muassirin dan meninggalkan hukuman yang dibuat oleh para huffaz mutaqaddimin

Isu seterusnya pula ialah satu sikap negatif yang berleluasa yang perlu dibendung, iaitu sikap berpegang dengan hukuman hadith yang dilakukan para muassirin dan meninggalkan hukuman yang dibuat oleh para huffaz mutaqaddimin. Berleluasa dalam kalangan tidak sedikit penuntut ilmu, mereka berpegang kepada hukuman hadith oleh para muassirin, dan meninggalkan hukuman para huffaz salaf, hingga ada yang menukilkan hadith dari kitab Jami’ al-Tirmizi namun menyebut hukuman hadith dari mussirin misalnya al-Albani, Ahmad Syakir, dan meninggalkan kalam al-Tirmizi sendiri bagi hukuman hadith itu!

Sikap yang benar ialah berihtimam dengan kalam para huffaz salaf, dan mengambil istifadah dari kalam muassirin Perlu diketahui para huffaz salaf mereka bukan hanya mengumpulkan hadith semata, sebaliknya mereka mengumpul, memilih, serta memberi hukuman bagi hadith itu sama ada Sahih atau Dhaif, bahkan kata guru saya al-Syaikh Thariq Iwadullah tiada satupun hadith yang tidak diberi hukuman oleh para huffaz Mutaqaddimin.

 

Bid’ah dalam istilah hadith,

Isu seterusnya pula ialah isu bid’ah dalam kalam para huffaz hadith, ramai saya lihat memahami istilah bid’ah itu dengan istilah fiqh. Sedangkan bid’ah dalam istilah hadith, bid’ah di sisi para muhaddith ialah bid’ah aqidah, apabila dikata untuk seseorang rawi sebagai ahli bid’ah yang dimaksudkan ialah aqidahnya bermasalah. Bid’ah di sisi mutaqaddimin terbahagi kepada 3 tahap,

  • Tahap berat seperti jahmiyah, mu’tazilah, serta rafidhah
  • Tahap sederhana semisal qadariah
  • Tahap rendah semisal irja’.

 

Periwayatan Perawi Majhul

Isu seterusnya ialah periwayatan perawi majhul. Jahalah (tidak dikenal) sebenarnya bukanlah jarh dan bukan juga ta’dil, sama seperti syuhrah (masyhur, dikenali), seseorang rawi boleh masyhur namun masyhur sebagai seorang pendusta. Periwayatan perawi majhul asalnya ditolak, namun diterima dengan qarain, kita akan berbincang lanjut kemudian.

 

Para huffaz mutaqaddimin tidak pernah membahagikan hadith kepada mutawatir dan ahad dengan jumlah rawi

Isu seterusnya ialah isu mutawatir dan ahad. Sebenarnya fahaman mutawatir yang popular dalam buku-buku mustolah yang mendefinisikan mutawatir sebagai satu hadith yang diriwayatkan sejumlah ramai rawi yang hingga mustahil mereka berdusta, definisi ini batil, dan merupakan definisi muktazilah dan ahli kalam. Bahkan para huffaz mutaqaddimin tidak pernah membahagikan hadith kepada mutawatir dan ahad dengan melihat jumlah rawi.

 

Thiqah boleh membawa hadith Dhaif bahkan Munkar

Isu seterusnya ialah isu thiqah, Thiqah bukan bermaksud hadithnya mesti Sahih, bahkan seorang thiqah boleh membawa hadith Dhaif bahkan Munkar, thiqah bermaksud hadithnya banyak betul dan sedikit silap, bukannya tiada silap langsung.

Baik, setakat itu dulu kelas kita malam ini, tebuk-tebuk isu yang saya rasa perlu diberi penekanan disebabkan ramai salah faham, dan insyaAllah kelas mendatang kita akan meneruskan diskusi ulum hadith kita semula dan melihat lanjut contoh-contoh hadith Munkar, kemudian kita masuk bab hadith Hasan insyALLAH.

Kita tutup majlis dengan tasbih kaffarah, dan saya berpesan kepada semua penuntut hadith sebagaimana pesan guru saya al-Syaikh Mahir Yasin al-Fahl

“Jangan lupa membaca dan mentadabbur al-Quran”

 

Komen dan Soalan