Utama Bilik (78) Bulughul Maram & Fathul Bari Sahih Bukhari – Bab: orang mu’min takut terbatal amalannya dalam keadaan dia...

Sahih Bukhari – Bab: orang mu’min takut terbatal amalannya dalam keadaan dia tidak sedari.

251
0
Iklan

Syarahan Sahih Bukhari – Ustaz Solahuddin

 

بسم الله الرحمن الرحيم. الحمد لله على نعمه والصلوة والسلام على رسوله الكريم. اللهم انفعنا بما علمتنا و علمنا ما ينفعنا و زدنا علما. رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي. أما بعد،

باب: خوف المؤمن من أن يحبط عمله وهو لا يشعر

 

 Bab: orang mu’min takut terbatal amalannya dalam keadaan dia tidak sedari.

 

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَرْعَرَةَ قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ زُبَيْدٍ قَالَ سَأَلْتُ أَبَا وَائِلٍ عَنْ الْمُرْجِئَةِ فَقَالَ حَدَّثَنِي عَبْدُ الله أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ وَقِتَالُهُ كُفْرٌ

Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin ‘Ar’arah berkata, Telah menceritakan kepada kami Syu’bah dari Zubaid berkata: Aku bertanya kepada Abu Wa’il tentang (kata-kata cacian oleh) golongan al Murji`ah, maka dia menjawab: Telah menceritakan kepadaku Abdullah bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda: mencerca orang muslim adalah fasiq dan memeranginya adalah kufur.

 

Penerangan

1- Maksud سباب ialah memaki-hamun atau mencela atau mencerca seseorang dengan cara menyakitinya dengan perkataan atau mengaibkannya. Hukum fasiq di sini adalah kerana makian kepada seseorang muslim tanpa bukti kebenaran (haqq). Antara contoh makian ialah seperti memaki perkataan fasiq, kafir atau munafiq dan sebagainya. Dengan hadis ini dalil bahawa seorang muslim mesti menjaga lidahnya dari mencela sesama muslim. Hukum ke atas muslim lebih berat di sini dibanding selain muslim.

Tapi tetap berdosa jika mencela selain muslim. Dan سباب juga boleh dimaksudkan dengan makna saling memaki-hamun. Dan perbuatan ini juga fasiq.

2- Maksud فسوق ialah pendosa, fasiq iaitu melakukan dosa sehingga tahap terkeluar jauh dari ketaatan kepada Allah taala dan RasulNya. Hukum fasiq lebih berat dari maksiat biasa kerana fasiq adalah jenis manusia yang melakukan dosa hingga terkeluar atau jauh dari ketaatan. Dan ini menyebabkan dia sukar untuk kembali berbanding pelaku dosa biasa. Bahkan Allah Ta’ala menggelar orang fasiq sebagai munafiq.

Firman Allah Ta’ala:

الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ بَعْضُهُم مِّن بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمُنكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوفِ وَيَقْبِضُونَ أَيْدِيَهُمْ ۚ نَسُوا الله فَنَسِيَهُمْ ۗ إِنَّ الْمُنَافِقِينَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik. [At Taubah 9:67]

3- Hukum membunuh secara sengaja orang islam adalah kufur. Kufur di sini ada beberapa penjelasan:

a) Jika dilakukan secara menghalalkan perbuatan haram atau seumpamanya maka jatuh kufur akidah. Jika tidak, hanya kufur jenis kufur nikmat. Iaitu jenis kufur dalam bab melakukan maksiat dosa.

b) Pemakaian perkataan kufur di sini boleh dengan kedua-dua makna di atas mengikut keadaannya yang sesuai. Tapi zahir yang dipegang oleh majoriti ulama adalah kufur nikmat iaitu kufur yang tidak menyebabkan terkeluar dari islam. Ini seperti bab sebelum ini bab kufur bawah dari kufur.

Dan seperti firman Allah Ta’ala:

إِنَّ الله لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar. [An Nisa’ 4:48]

Lihat ayat di atas secara jelas bahawa dosa syirik tidak akan diampuni Allah. Manakala dosa-dosa lain harus bagi Allah ampuni mengikut kehendakNya kerana Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

4. Lafaz Murji’ah asal dari perkataan إرجاء bermaksud mengakhirkan sesuatu atau menundakannya. Ini kerana mereka meletak amal pada akhir sehingga dianggap imannya tidak rosak walaupun melakukan dosa besar.

5- lafaz قتال di sini dengan makna مقاتلة iaitu perangi. Maknanya lebih luas kerana ada bentuk penipuan,mencederakan,kezaliman dan tahap yang lebih besar adalah dengan membunuh seorang muslim.

Habis di sini penerangan hadis di atas.

 

Hadis seterusnya.

 

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ جَعْفَرٍ عَنْ حُمَيْدٍ حَدَّثَنِي أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ قَالَ أَخْبَرَنِي عُبَادَةُ بْنُ الصَّامِتِ أَنَّ رَسُولَ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ يُخْبِرُ بِلَيْلَةِ الْقَدْرِ فَتَلَاحَى رَجُلَانِ مِنْ الْمُسْلِمِينَ فَقَالَ إِنِّي خَرَجْتُ لِأُخْبِرَكُمْ بِلَيْلَةِ الْقَدْرِ وَإِنَّهُ تَلَاحَى فُلَانٌ وَفُلَانٌ فَرُفِعَتْ وَعَسَى أَنْ يَكُونَ خَيْرًا لَكُمْ الْتَمِسُوهَا فِي السَّبْعِ وَالتِّسْعِ وَالْخَمْسِ

Telah menceritakan kepada kami Qutaibah bin Sa’id, Telah menceritakan kepada kami Isma’il bin Ja’far dari Humaid, Telah menceritakan kepadaku Anas bin Malik berkata, telah khabarkan kepadaku ‘Ubadah bin Ash Shamit, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم keluar untuk menjelaskan tentang waktu Lailatulqadr, lalu ada dua orang muslimin saling bertengkar. Maka Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda: Aku datang untuk menjelaskan Lailatulqadr kepada kamu, namun si fulan dan si fulan saling bertengkar sehingga akhirnya diangkat (ilmu tentang Lailatulqadr sehingga terlupa), dan semoga menjadi lebih baik buat kamu, maka cari lah (Lailatulqadr) itu pada hari yang ketujuh, kesembilan dan kelima.

 

Penerangan

1. Bertengkar asbab terkena tarik nikmat berkat Allah. Ini kerana bertengkar biasanya akan berlaku riuh-rendah dengan bunyi bising sehingga mengganggu orang lain. Dan adakala sehingga melampau dengan memaki-hamun atau kuruk-mengutuk satu sama lain. Lebih-lebih lagi buat bising dalam masjid dengan bertengkar. Dan pula berlaku didepan Nabi صلى الله عليه وسلم . Tidak syak lagi bahawa perbuatan ini berdosa.

Firman Allah Ta’ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَرْفَعُوا أَصْوَاتَكُمْ فَوْقَ صَوْتِ النَّبِيِّ وَلَا تَجْهَرُوا لَهُ بِالْقَوْلِ كَجَهْرِ بَعْضِكُمْ لِبَعْضٍ أَن تَحْبَطَ أَعْمَالُكُمْ وَأَنتُمْ لَا تَشْعُرُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya. [Al Hujurat 49:2]

2. Akibat dari dosa ini Allah Ta’ala menarik nikmatNya dengan memberi Nabi صلى الله عليه وسلم terlupa. Pun begitu setiap musibah ada hikmahnya. Antaranya dapat menambah pahala dengan memperbanyak amalan kerana mengharapkan menepati waktunya. Dan ini dalil kena sentiasa berharap kurniaan Allah Ta’ala serta tidak putus asa.

3. Malam Lailatulqadr tidak diketahui secara pasti bila akan berlaku. Oleh itu 10 akhir ramadhan kita semua dianjurkan perbanyakkan amalan qiyamullail bagi mencari fadhilatnya.

4. Kesesuaian dengan bab di atas bahawa hadis ini menyatakan bahawa perlu dikhuatiri setiap amalan dosa. Tidak boleh meremehkan dosa,kerana akibatnya ditarik berkat atau dihapuskan amalannya tanpa disedari.

Sampai di sini saja kelas malam ini. Dan Allah lah yang lebih mengetahui. Ada soalan boleh tanya jika ada tak faham.

Saya akhiri dulu kelas malam ini.

وآخر دعوانا ان الحمد لله رب العالمين. السلام عليكم ورحمة الله

Komen dan Soalan